Tunggu Awak Datang - bab 17




“Aku dah dapat rumah, minggu depan aku pindah” Beritahu Auni kepada teman serumahnya apabila mereka berempat bersantai di hadapan tv.
Ketiga-tiga mata tajam memandangnya. Ada yang tidak puas hati, ada yang kata sampai hati, andai hati kecilnya. Auni tersengih-sengih.
“Janganlah tengok aku macam tu. Seriau rasanya. Macam aku buat salah besar pulak” Canda Auni. Masih lagi berlagak selamba dengan mengopek dan mengunyah kacang cap ngan yin.
“Kenapa kau nak pindah? Bukannya jauh pun sini dengan KLCC tu, kau tak perlu menapak keluar dari LRT tu. Hanya tukar tren je” Ulas Syakila.
“Jauhlah dua kali tukar tren, lepas tu kena memandu balik pula,” Sanggah Auni.
Dia kalau boleh, tak ingin bersesak-sesak di dalam tren dan juga bersesak-sesak di atas jalan raya. Lebuhraya lingkaran tengah menghala ke Bandar Tasek Selatan ini memang sesak teruk di waktu puncak, ketika orang ramai berpusu-pusu pulang ke rumah dan juga ketika orang bergerak ke tempat kerja. Walaupun dia Cuma perlu memandu tidak sampai lima kilometer, yang sepatutnya sampai dalam masa sepuluh minit, menjadikan perjalanannya tiga puluh minit. Itu yang tidak dimahukan, membazir masa sambil mendengar radio dalam dua puluh minit di dalam kereta. Kemudian membazir lagi masa antara sepuluh hingga dua puluh minit menunggu tren dan bertukar tren. Penat mahu menunggu. Jadi cara terbaik adalah dengan tinggal berdekatan dengan tempat kerja.
Tawaran menarik daripada Aazad amat mengujakan, walaupun dia cuba sedaya upaya bersikap selamba di hadapan pemuda itu, namun hatinya sudah berangan-angan mahu menghuni di bilik sederhana besar yang serba serbi lengkap dan cantik itu.
Padahal hakikat sebenarnya, dia ingin membawa diri terlebih dahulu daripada ketiga-tiga housemate merangkap sahabat seiring sejalan sejak dari universiti lagi.  Hati siapa yang tidak terasa sedih apabila seorang demi seorang dari mereka akan melangkah ke alam rumah tangga, meninggalkan dia sendirian di rumah ini. Dia tidak mahu terasa ditinggalkan. Bukan kerana dengki atau cemburu, tidak, lebih kepada rasa ketinggalan dan sedih sebenarnya. Sebab selepas ini, masa berpoya-poya berempat sudah tidak ada lagi.
“Alasan kau tak kukuh Auni. Takkan sebab itu. Lagipun tempat tinggal kita ni dah kira strategik tau, senang hendak ke mana-mana. Malas nak memandu, bas selalu lalu kat depan tu” Celah Zura pula.
“Itu yang korang tak tahu, aku jumpa tempat tinggal lagi strategik dari sini. Jalan kaki je ke tempat kerja dalam sepuluh minit dah sampai. Sewa pun berpatutan. Jimat kos pengangkutan.” Auni mempertahankan keputusannya ingin berpindah.
“Sampai hati kau nak tinggalkan kita orang” Syakila mula melakonkan watak sedih.
“A’aah sampai hati.. kita telah bersama selama lima tahun Auni. Takkanlah sudah bosan dan nak tinggalkan kami. selama ini susah senang kita kongsi bersama,” Sambung Zura pula.
Auni memandang ketiga-tiga sahabat susah senangnya itu. Siapa tak sedih, namun dia berpijak pada realiti kehidupan. Lambat laun mereka akan terpisah mengikut haluan hidup masing-masing. Tak lama lagi seorang demi seorang akan melangkah ke alam rumah tangga, memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu. Jadi akan sampai masanya seorang demi seorang akan angkat kaki melangkah pergi.
“Siapa kata aku sampai hati? Siapa kata aku tak sedih nak pindah dan berpisah dengan korang semua. Aku sedih sangat-sangat tau. Aku terasa sangat aku jauh ketinggalan dari korang semua. Tak lama lagi seorang demi sorang akan kahwin, lama kelamaan aku akan tinggal sendiri di sini. Aku tak nak hadapi situasi itu. Aku akan tertekan dan terasa dengan pemergian korang. Jadi inilah langkah terbaik yang aku fikirkan. Sudah sampai masanya kita mengorak langkah ke hadapan. Zaman kanak-kanak ribena telah hampir ke penghujungnya. Fasa lain akan dilalui,” Panjang Auni meluahkan isi hatinya membuatkan Syakila, Zura dan Nadira terkelu seketika.
Di hati masing-masing langsung tidak terdetik akan perpisahan yang bakal mereka hadapi. Auni yang terdahulu memikirkannya. Mereka saling pandang memandang antara satu sama lain. Menyangkal kata-kata Auni adalah mustahil kerana masing-masing sedar dalam jarak masa tiga bulan akan datang, Zura akan melangkah mendahului mereka meninggalkan zaman gadis ini, kemudian diikuti dengan Nadira dan seterusnya Syakila. Pasti Auni terasa kerana dia masih sendiri.
“Maafkan aku, aku langsung tak fikirkan perasaan kau. Aku ingatkan kau tak rasa apa-apa sebab kau sentiasa selamba dan tenang. Tak pernah tunjuk rasa hati yang sebenar” Zura memulakan kata setelah masing-masing terdiam seketika tadi.
Auni tersenyum dan menggelengkan kepalanya.
“Tak ada apalah. Aku okey je.. Cuma yelah sikit-sikit tu terasa jugak ketinggalan. Tapi aku tak kisah pun sebab salah aku juga tak bagi peluang kat orang dekati aku” Ujar Auni menenangkan hati sahabat-sahabatnya.
“Apa kata kau cuba bagi peluang kenal dengan orang yang nak kenal tu” Usul Nadira setelah sekian lama menjadi pendengar.
Pantas Auni menggelengkan kepalanya. Dia masih lagi belum terdesak sampai ke tahap tangkap muat atau menghadiri blind date.
“Tak nak aku. Aku mahukan pertemuan yang natural, tarikan semulajadi pada seseorang itu tanpa perlu mengatur sebuah temujanji. Biarlah orang yang bakal jadi teman hidup aku tu seseorang yang aku temui secara kebetulan  atas aturan-Nya.”
Nadira mencebik. Sampai bila-bila pun takkan jumpa. Ingat senang ke nak jumpa secara kebetulan dan kemudian terus jatuh cinta pandang pertama? Sekali dalam seribu pertemuan belum tentu akan terjadi cinta pandang pertama itu. Lagipun dia kenal sangat dengan Auni ni, susah hendak jatuh cinta. Sekali tersuka, tersilap orang pulak.
“Ataupun kau masih ingatkan dia?” Tebak Syakila secara tiba-tiba. Merujuk cinta pandang pertama Auni di zaman universiti dulu.
Buat sekian kali Auni menggelengkan kepala dan kemudian mencebik.
“Tak de maknanya aku dok melayan perasaan kat mamat tu lagi. Dia telah jadi laki orang. Buat apa buang masa je.” Sangkal Auni. Sejarah baik untuk dikenang bukan untuk diungkit. Baik dijadikan sempadan bukan hanyut mengangankannya berulang kembali.
“Jadi kau memang dah tekad hendak berpindah ni?”
“Yup.. bilik dah dapat pun.”
“Bila pindah jangan lupakan kami pulak”
“Takkan sesekali lupa sebab koranglah kawan dunia akhirat aku.”
“Kila nanti kau kena jaga diri kau baik-baik tau. Jangan leka pula. Sakit kau tu bukan sebarang sakit, sekali terleka ia akan datang balik,” Pesan Auni.
“Kau cakap macam tu Auni, berdiri bulu roma aku ni hah” Zura menunjukkan lengannya.
“Kau ni penakut sangatlah. Patutnya kau takut pada Allah, bukan pada makhluknya,” Marah Auni.
Bukan dia tak merasa apa yang Zura rasa tu, tapi dia buat-buat biasa. Jika dilayan perasaan takut nanti, tak pasal-pasal dia yang terkena.
“Benda tu takkan kacau orang lainlah. Dia nak kat aku je,” Jelas Syakila.
Pap...
“Aku cakap kau main-main pulak” Marah Zura.
“Banyakkan baca Al-Quran dan berzikir. Yakin pada diri kita, tak takut dengan dia tapi takut dengan Allah,” Pesan Auni lagi.

Sihir ni wujud dan kewujudan diakui oleh Al-Quran karim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan