Tunggu Awak Datang - Bab 18



Auni bersendirian di tempat baru. Teman serumahnya, Aazad telah berangkat ke laut untuk selama dua bulan, itu katanya. Auni tersenyum sendirian. Tak sangka pula kata-katanya telah membuatkan Aazad berubah fikiran. Ingatkan mereka betul-betul serumah. Rupa-rupanya tanggapannya meleset sekali. Semakin Auni mengangumi dan memandang tinggi kepada Aazad. Rumah townhouse ni tak kurang starategik kedudukannya walaupun dia terpaksa memandu beberapa minit menuju ke LRT Ampang. Sudah cukup baik kerana dia tidak perlu memandu di lebuh raya, hanya beberapa lorong taman perumahan Mewah ini sebelum sampai ke LRT, Ampang.
Townhouse ini menurut Aazad merupakan rumahnya juga. Setelah berfikir panjang dan mengambil kira pendapatnya dulu, dia mengambil keputusan tinggal di sini. Kondo tersebut akan disewakan atau sesekali dia akan bermalam di sana. Rumah atas, diduduki oleh Auni dan Aazad tinggal di rumah bawah. Jadi Auni bebas bergerak di dalam rumah ini . Bebas melakukan apa sahaja tanpa sedikit rasa bimbang atau takut. Aazad telah berjanji tidak akan sesuka hati memasuki rumahnya walaupun dia membenarkan Auni memasuki rumahnya sesuka hati. Dengan syarat Auni tolong menjaga dan mengemas rumahnya. Memasakkan untuknya ketika dia berada di rumah. Paling penting menemaninya ketika dia ingin ditemani. Itulah bayaran sewa yang Aazad kenakan. Tidak berubah dan Auni senang hati menerimanya. Janji tidak serunah.
Kerja barunya membuatkan dia sentiasa sibuk. Pulang dari pejabat setiap hari di kala jam berdetik pukul lapan malam. Kadang kala sengaja dia pulang lambat, sempat lagi merehatkan minda melepak di taman petronas mengadap tempat permainan kanak-kanak. Telatah mereka menghiburkan hatinya. menghambat kekusutan di dalam fikiran. Auni amat sukakan kanak-kanak, sebab itulah dia tidak berputus asa memohon kursus perguruan lepasan ijazah. Cita-citanya mahu berbakti mendidik anak bangsa.
Sendirian ini, hatinya membawa ingatan kepada Aazad. Dia juga sempat berkenalan dengan teman Aazad, Ronny namanya. Orang juga segak dan tampan seperti Aazad. Berbangsa cina dan sentiasa murah dengan senyuman. Mereka kelihatan amat rapat. Ronny juga ramah dan cepat mesra dengannya membuatkan Auni tidak kekok apabila berjumpa dengannya.
Dia juga prihatin seperti Aazad. Mengingati Aazad membuatkan hatinya terharu. Sebelum berangkat pergi, Aazad telah memenuhi peti sejuk dengan stok makanan yang banyak. Sampaikan dia tidak henti-henti mengeluh. Untuk apa semua stok makanan itu? Sudahlah tinggal percuma di sini, makanan juga disediakan. membuatkan dirinya segan. Segan bukan sedikit, sampaikan Auni terfikir, patutkah dia mencari rumah sewa lain, melarikan diri dari termakan budi. Terperangkap di dalam budi yang ditabur oleh seorang lelaki yang tentunya membuatkan hatinya terpikat tanpa disedari. Sedangkan di dalam keadaan sedar pun, sering kali hatinya terbabas, matanya nakal merenung dan menganalisa lelaki itu. Markah yang terkumpul semakin tinggi, membuatkan dirinya takut. Takut terjatuh hati pada orang yang tidak sepatutnya.
“Kenapa awak perlu bersusah payah macam ni. Saya boleh beli sendirilah” Bebel Auni. Muncung mulutnya, tidak suka dengan sikap mengambil berat dan baik hati tuan rumahnya.
“Susah apa kebendanya? Cold Storage kat KLCC tu je. Tak berat mana pun nak diusung naik ke atas ni. Senang sikit kau nanti, tak perlu susah-susah bawak plastik berat-berat,” panjang jawapan yang diberikan.
“Saya boleh beli sendiri stok makanan tu.” Dengus Auni.
Tak sangka pulak, Aazad ni terlebih gentle. Kalau perempuan lain pasti terjatuh dan terus terjatuh hati. Sudah pasti bukan dirinya. kebaikan dan keprihatinan ini membuatkan hati Auni tidak enak. Suka dalam tak suka, takut dalam tak takut. Arg.. sukar untuk dimengertikan apa istilah yang boleh digambarkan.
“Saya tak nak termakan budi”
“Siapa suruh kau makan budi,” Pantas Aazad membalas sambil memandang Auni.
“Ini adalah upah sebab kau sudi tinggal di sini dan jaga rumah aku ni. Kalau aku nak kasi duit pasti kau takkan ambilkan. Jadi lebih baik aku belikan kau makanan berkhasiat ni supaya kau akan sentiasa sihat sepanjang aku tak ada di sini. Moga-moga kau ringan tulang mengemas rumah. Bukan free tau, ada balasan yang kau kena berikan,” Terang Aazad perkara yang sebenarnya. padahal bukan itu tujuannya, pembelian ini secara spontan. Terasa ada tanggungjawab yang dipikulnya membuatkan dirinya menyiapkan segala bekalan untuk gadis ini. Spontan dan bukan terasa ia sebagai paksaan. Seketika Aazad tergamam, celaru dengan apa yang dilakukan ini. Walaupun begitu, hatinya gembira dan bahagia melihat wajah cemberut Auni di depan mata. Wajah yang penuh protes.
“Auni awak terima je.. bila-bila masa free boleh gak saya datang sini, makan apa yang awak masak,” sampuk Ronny yang sedari tadi menjadi pemerhati.
Auni mencebik. Susah betul cakap dengan dua orang lelaki ni. Dia bukan perempuan lemah yang bergantung hidup dengan lelakilah. Semuanya dia boleh buat sendiri.
“Tapi tak perlulah susah-susah. Saya tak suka orang susahkan diri sendiri sebab saya. Sejak hidup di Kuala Lumpur ni, saya teramatlah berdikari, tak perlu ada orang tolong saya,” tegas Auni.
“Laa kan aku dah cakap tadi, aku tak tolong kau pun, ini adalah upah sebab kau nak tolong jagakan rumah ini.”
Ronny tersengih-sengih. Lucu melihat Aazad dan Auni bertikam lidah.
“Duduak free di sini pun dikira upah dah. Tak perlu banyak upah,” sambung Auni lagi. dia betul-betul tak suka.
Budi baik Aazad minggu lepas pun tak termampu dah nak bayar. Inikan pula budi yang terkini. Dia takut dirinya terselesa dengan keadaan ini dan membuatkan hatinya berterusan bersenandungkan melodi yang entah apa-apa. Macam-macam lagi dihubungkaitkan.
Ingatan Auni terus menyelusuri kisah dua minggu yang sudah. Kesanggupan Aazad datang ke rumah sewa lamanya menggunakan LRT Star menjentik perasaannya. Usia perkenalan mereka baru menjangkau dua bulan dan Aazad telah sanggup bersusah payah kerananya. Menyesal tak sudah terlepas kata bahawa dia phobia memandu di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur kerana pernah terlibat dengan insiden beberapa bulan yang lalu. Aazad ketika itu, tanpa berfikir panjang menyatakan dia yang akan datang membantunya berpindah. Puas menolak, Aazad tetap dengan pendiriannya, membuatkan Auni mengalah.
Dan tentunya ketika itu, Aazad menjadi perhatian housematenya yang lain. Mereka turut sama menyibuk untuk menolong. Padahal Auni tahu, mereka semua masih lagi terasa dengan keputusannya. Dikeraskan hatinya, dipujuk berkali-kali hati ini agar sentiasa berpegang dengan keputusan yang diambil. Setiap pertemuan ada perpisahan. Setiap permulaan adanya pengakhiran. Zaman mereka bersama sudah hampir ke penghujung. Mereka perlu bergerak ke hadapan, mencorakkan kehidupan berpasangan dan berkeluarga pula.  
“uit…kau jumpa mamat ni kat mana erk? Hensemnya” Puji Nadira.
“Ya lah... Auni, hensem, tak cakap pun kat kitorang kau dah ada pakwe, kacak pulak tu,” sampuk Syakila pula. Auni tersengih-sengih. Macam –macamlah diorang ni. Tapi takkan nak cakap pula. Inilah housemate baru aku. Langsung tak sesuai. Tak boleh pakai. Nantikan mereka akan fikir yang bukan-bukan.
Smart ke? Hensem ke? Nanti aku cakap kat dia yang korang puji dia erk. Mana tahu kot-kot dia pun terbekenan korang jugak, hahaha” usik Auni. Tanpa amaran, dua cubitan hinggap di lengan Auni. Huhu..bisanya.
“Apa kau ni, sakit tahu tak,” Marah Auni sambil menggosok bekas cubitan itu.
“Padan muka kau, kalau kau bagitahu dia, siap kau. Buat malu je,” Nadira memberi amaran.
“Tak adalah. Mesti lagi luas lubang hidung mamat tuh, dengar orang puji dia. Bukannya orang kutuk pun,” ujar Auni selamba tetapi perlahan. Takut didengari oleh Aazad. Sesekali pandangan mereka bertembung dan berbalas senyuman.
“Kalaulah aku belum berpunya lagi, mesti dah masuk jarum ni” kata Zura pula.
“Ada hati, ingat ‘cik abang cinta tak hingat’ kau tuh, kalau-kalau dia terdengar kau cakap macam tuh, tak ke jeles dan merajuk. Siapa yang niaya nak pujuk, kau jugakan” sela Syakila pula.
“Hahahaha…sebab dia tak ada kat sinilah aku berani keluarkan kenyataan maut tu, kalau tidak, gila aku nak cakap macam tu. Dah laa mamat tu suka sangat jeles tak bertempat,” kutuk Zura kepada tunangnya sendiri. Auni menggeleng kepalanya. Itulah dia perangai bakal-bakal ex-housematenya. Cakap lepas. Boleh pula mengutuk pasangan masing-masing. Bukan Auni tidak tahu, dibelakang mereka beranilah, jika ada orangnya di depan, semuanya menikus dan berubah 360 darjah menjadi perempuan melayu terakhir. Dia sudah lali dengan situasi itu.
“Oklah semua, aku minta maaf dan halalkan apa yang aku terambik dan termakan tu erk, kalau dah tetap tarikh per… nak tunang lagi ke, nanti calling-calling atau sms lah aku er”
“Free nanti kita boleh jumpa di mana-mana. Setkan masa. In sha Allah aku akan datang,” ujar Auni lagi sambil bersalam dan berpelukan antara mereka. Terasa sebak juga di hatinya ketika itu. Tetapi lambat laun perpisahan akan terjadi jua. Oleh itu biarlah dia membawa diri dahulu sebelum dia ditinggalkan.
Aazad tetap setia menanti di keretanya. Dia memerhati tingkah laku Auni dan sahabatnya itu. Terbit rasa kagum di hati melihat keakraban mereka. Rupanya dia seorang yang disenangi. Biarpun selalu sendirian. Dia tersenyum.
Deringan telefon menyedarkannya dari khayalan, membawa pergi ingatannya pada teman serumahnya. Siapa pula yang menelefon malam-malam begini. Hatinya bersoal jawab. Lantas kakinya melangkah mendekati meja sisi di mana telefonnya diletakkan.
Berkerut dahinya dengan nombor asing yang muncul diskrin itu. Dalam rasa was-was Auni menekan butang menyambungkan talian tersebut.
“Hello...”
“Hello Auni...”
“Aazad” teka Auni. Rasanya suara itu dapat dicamnya.
“Haaa.. cam pun” Balas Aazad diiringi dengan gelak dihujungnya”
“Awak kat mana ni?”
“Kat lautlah... mana lagi” Balasnya.
“Kau okey... duduk situ?” Soal Aazad prihatin.
“Ya... semua okey... sempurna” Balas Auni.
“Bagus... itu yang aku nak dengar. Baik kau tidur, dah lewat malam ni” Nasihat Aazad lagi.
“Awak tu kenapa tak tidur lagi... bukannya dah lewat juga” Balas Auni pula.
“Aku kerja shift... masa kerja ni, teringat kat kau. Tu yang telefon kejap. Oklah aku kena letak telefon ni. Jaga diri. Bye..”
Tanpa sempat Auni membalas. Talian diputuskan. Seketika Auni merenung telefonnya. Baru sekejap tadi dia mengenangkan Aazad, dan baru beberapa saat, talian baru diputuskan.

‘Adakah dia merasai ada seseorang tengah mengenang dan memikirkan dirinya?’ bisik hati kecil Auni sendirian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan