Tunggu Awak Datang - bab 19



“Hai.. Sorang je? Your boyfriend mana?” Soal Rajan sambil meletakkan tangan di atas bahu Ronny. Diurut-urut perlahan.
“Entah. Sejak kebelakangan ni susah sangat hendak jumpa dia” Adu Ronny.
“Itulah I nak kat you, you tak nak. Giler jugak kat budak melayu tu. Hebat sangat ke? Hebat lagi I” Rajan memukul canangnya sendiri.
Ronny menjeling tajam. ‘Hitam macam dia, tak ada selera aku. Hensem macam Aazad baru sesuai dengan wajah jambu ni’ bisik hati kecilnya.
Enjoy man. Malam-malam minggu ni, jangan ditunjuk muka tapai basi tu. Putus selera orang lain” Rajan memeluk bahu Ronny dan mendorong ke pentas tarian. Lagu rancak ligat diputarkan.
Dalam keterpaksaan Ronny menggoyangkan badannya. Dalam masa yang sama dua tiga orang gadis cantik menghampiri mereka dan turut sama menari. Jiwa yang resah tadi kian terubat. Kerancakan irama lagu menenggelamkan kesedihan tadi. walaupun dia tidak berminat dengan kehadiran gadis-gadis tersebut, namun oleh kerana liuk lentuk badan mereka membuatkan hatinya ingin terus-terusan menari untuk membuktikan dia juga pandai melenggukkan badannya mengikut irama rancak itu.
Kalaulah ada Aazad pasti mereka telah bersaing untuk menunjukkan siapa raja tari malam ini. Dan seterusnya tenggelam di dalam keasyikan duniawi ini.
******
Jauh Auni mengelamun. Minggu pertama di sini terasa janggal. Sendirian walaupun Auni tahu rumah bawah berpenghuni. Perumahan ini tidak terlalu sibuk atau padat. Jiran sebelah menyebelah juga rajin bertegur sapa. Auni sukakan jiran-jiran barunya. Mak cik Mindy selalu menegurnya ketika dia ingin keluar bekerja. Selalu juga memberikannya makanan. Mula-mula tu rasa was-was juga hendak makannya. Namun Mak cik Mindy cepat-cepat beritahu, dia tak minum arak dan makan daging khinzir. Dia selalu membeli makanan halal yang dijual oleh orang melayu sebab salah seorang menantu orang Melayu. Anak sulungnya bernama Aminah telah masuk Melayu..
Alhamdulillah Auni bersyukur di dalam hati. Dia juga turut berdoa agar Mak cik Mindy terbuka untuk menerima hidayah Allah sebagaimana anaknya. Dia gembira tinggal di sini. Kadang kala ada juga Auni terjumpa dengan Ronny yang kadang kala singgah ke rumah Aazad di bawah. Ronny ni mood dia selalu berubah-ubah. Ada kalanya dia ramah tamah. Ada kalanya dia dingin dan beku. Mukanya kelat semacam. Malas juga Auni ambil tahu tapi sebagai sahabat Aazad, Ronny tentunya sahabatnya juga. Keprihatinan Aazad membuatkan dia juga bersikap prihatin biarpun dia tak faham seerat mana perhubungan Aazad dan Ronny.
Walaupun tinggal berlainan rumah Auni merasa sangsi juga, Sebab Aazad mahupun Ronny boleh bila-bila masa menerjah masuk ke rumahnya. Aazad siap pesan lagi. Jika dia ada di rumah, jangan sesekali gatal kunci pintu. Senang dia hendak masuk ke dalam rumah Auni duduki tanpa perlu mengetuk pintu bagaikan hendak roboh. Auni bengang juga. Susah. Nanti kang diterjahnya ketika dia berpakaian seksi. Teringat rumah sewa lama dulu, selamba sahaja memakai singlet dan seluar tiga suku menonton televisyen. Selamba je berkemban apabila ingin mandi tanpa perlu risau soal aurat. Itulah tak ada penyakit, nak juga cari penyakit, padan muka kau, kutuk hatinya sendiri.
Rindu pada Nadira, Syakila dan Zura. Mereka sedang buat apa sekarang ya? Adakah mereka sedang bertemujanji dengan pasangan masing-masing atau sudah pun hanyut di alam mimpi. Jika serumah dulu, malam minggu begini dia sentiasa sendirian. Adakalanya ditemani oleh Zura dan adakalanya Syakila. Jadual mereka tidak tentu sebab sibuk bermadu kasih dan juga membuat persiapan untuk majlis perkahwinan tidak lama lagi. Jika ada pun salah seorang dari mereka, mesti ada benda yang tak kena telah terjadi dengan pasangan masing-masing. Ada krisis dan ketika inilah Auni tempat mereka mengadu dan mencurah perasaan. Geram dengan si dia, pening hendak pilih warna tema, bajet telah lari dan banyak lagi aduannya. Auni pula setia mendengar dan adakalanya ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Untuk memberi pendapat, dia tiada pengalaman, lagipun lain orang, lain yang diinginkan. Maklumlah majlis sekali seumur hidup dan tentunya ingin yang sempurna dan meninggalkan kenangan manis untuk di kenang.
Sendirian di rumah ini berjaya membuatkan dia teringatkan mereka semua dan juga teman serumahnya yang baru. Aazad, ada sesuatu di dalam diri pemuda itu membuatkan hatinya terpikat. Bukan kerana dia mempunyai wajah yang memikat tetapi lebih kepada air mukanya. Walaupun dia cuba menyembunyikan dengan senyuman ceria dan celoteh yang mengusik hati Auni, namun ada sesuatu di situ yang membuatkan Auni ingin menerokainya. Ingin menyelami dan memahaminya.
Dia cukup bertuah. Pertama kali melihat kondo ini, hatinya telah terjatuh suka dengan dekorasi dan konsep yang ditonjolkan. Modern style kontempopari. Dia suka dan baginya kekemasan dan konsep yang diterapkan di situ, menggambarkan pemilik yang pentingkan kediaman yang menitikberatkan keselesaan dan kedamaian. Bukan seperti di rumah sewa lamanya yang bagaikan tempat persinggahan sahaja. Tempat lepak dan tempat tidur sementara menanti hari esok. Barang-barang masing-masing yang menjaganya. Soal kemas ke, selerak ke tak siapa yang peduli. Janji ada tempat tinggal sudah cukuplah. Lagipun bukan selamanya akan tinggal di situ.
Bagaikan terpesona, walaupun dia mengambil masa selama seminggu untuk berfikir, hatinya telah awal-awal lagi menerima pelawaan itu. Semua alasan yang sendiri berikan untuk menolak bagaikan angin lalu sahaja. Dan dia dengan sepenuh jiwa menurut keputusan hatinya.
Dia tidak sedikit pun kecewa apabila kondo bertukar townhouse. Dekorasinya juga menarik.
“Terima kasih” Ucap Auni ketika mereka sama-sama menikmati segelas jus di balkoni rumag Auni sambil memerhatikan sekumpulan burung terbang ke utara. Mungkin mahu pulang ke sarang mereka.
“Untuk apa?” Soal Aazad. Sekilas dapat dirasakan Aazad memandang wajahnya sebelum kembali memandang dada langit yang kian berwarna jingga.
“Bersusah payah membantu saya.”
Terukir sebuah senyuman di wajahnya sebelum dia membalas.
“Aku yang sepatutnya mengucapkan terima kasih. Terima kasih kerana sudi tinggal di sini. Terima kasih kerana sudi menjaga rumah aku ni dan terima kasih kerana menerima aku sebagai kawan kau”
Auni terkelu. Walaupun ayat-ayat yang dilafazkan itu biasa-biasa. Namun bagi dirinya belum biasa orang berterima kasih di atas kesudian menghuni rumah ini tanpa sebarang bayaran. Bertuah sungguhkah diri ini?
“Hurmmm peliklah dengan awak ni. Bagi orang duduk free dan siap berterima kasih lagi. siapa awak yang sebenarnya ni? Banyak duit sangat ke sampaikan tak kisah bagi free orang duduk di sini?” Soal Auni. Tetiba ada macam-macam soalan yang timbul di benaknya. Siapakah lelaki ini sebenarnya. Masih muda. Berwajah tampan dan tidak lokek dengan apa yang dimiliki.
Senyuman masih lagi tersungging di wajahnya.
“Agak-agak kau aku ni siapa? Bapa ayam? Gangster?” usiknya membuatkan wajah Auni serta merta berubah. Betulkah? Jika benar, adakah aku akan terperangkap di dalam neraka duniawi ni.
Terbayang lagi diingatannya ketika itu, Aazad ketawa besar dan lama. Ketawa dengan perubahan wajahnya. Jelas terpancar riak ketakutan.
“Kekadang aku lihat kau ni memang betul-betul seorang gadis polos. Yang naif dengan permainan dunia ini. Yang masih suci dari debu kota Auni. Dalam masa yang sama aku melihat kau seorang gadis yang tahu apa yang kau mahukan. Disebalik sifat polos itu ada ketegasan. Kau tetap dengan pendirian. Membuatkan aku tanpa ragu-ragu mempercayai kau Auni.”
“Jadi jangan risau. Aku bukan seperti apa yang aku cakapkan tadi. aku bukan orang yang zalim tetapi seorang yang telah tergelincir dari norma-norma kehidupan sebagai seorang manusia. Berkenalan dengan kau membuatkan aku menyedari sesuatu”
“Aku mahu keluar dari kegelapan yang sengaja dicari. Aku mengharapkan kau berada di sisiku Auni sebagai cahaya di dalam kegelapan.” Aazad bermadah. Dia harus bermain-main dengan kata-kata agar Auni terus terpesona dengannya.
Auni berkerut dahi. Tidak faham apa yang cuba disampaikan oleh Aazad.
“Tak faham. Apa yang awak nak cakap sebenarnya? Tergelincir? Apa maksudnya?”
Aazad tersenyum lagi.
“Suatu hari nanti aku akan ceritakan. Aku harap sebelum sampai hari itu, kau akan sentiasa ada di sini Auni. Aku harap kau sudi menjadi sahabat aku untuk selama-lamanya”
Auni masih lagi blur. Sampai sekarang dia blurr dengan kata-kata yang diucapkan oleh Aazad. Perbualan di remang petang itu meninggalkan kesan di hati Auni. Membuatkan dia seringkali tertanya-tanya. Apa sebenarnya yang telah terjadi kepada pemuda itu. Siapa sebenarnya dia dan apa pekerjaannya yang sebenar. Walaupun begitu hatinya tidak pula menyatakan dia seorang yang merbahaya atau dirinya berada di dalam keadaan bahaya.

Auni tersenyum lagi. Sedikit rindu menguntum di hati dengan persoalan yang masih belum terjawab. Dilemparkan pemandangan di luar sana. Kerlipan lampu-lampu kereta,dan juga lampu – lampu jalan memberikan tanda, kota ini tidak pernah sunyi. Tidak pernah tidur. Tetap hidup 24 jam sehari. Dikerlingkan jam di handsetnya, sudah 12 malam. Lamanya dia mengelamun di situ, menikmati angin malam. Kemudian dia berpaling dan melangkah masuk untuk tidur. Menanti esok dengan rutin yang biasa dilakukannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan