Tunggu Awak Datang - Bab 21




Huh… lega.. Aazad mengeluh lega sebaik sahaja dia melabuhkan punggung di atas sofa. Akhirnya dia telah selamat sampai ke rumahnya setelah tiga bulan berada di laut. Bukan Aazad tiada rumah lain yang boleh disinggah, tapi ingatannya kuat kepada rumah ini. Lebih-lebih lagi rumah atas didiami oleh Auni.
“Kau ni Zad, kerja pejabat ada. Tapi nak juga kau kerja di tengah laut tu. Apa yang lebihnya? Nak nampak lagi macho dengan kulit hitam legam tu?” Sindir Joe suatu hari ketika mereka sedang melepak-lepak di starbuck.
“Kau juga yang nasihatkan aku supaya hidup jauh-jauh sikit dari kekasih aku tu kan? Jadi itulah yang aku buat” Balas Aazad.
“Itu bukan hidup jauh tapi mengelakkan diri. Aku rasa nanti lagi melekat adalah” sindir Johan.
“Dia baik bro.. Sepanjang kami bersama dia, susah senang telah banyak kami tempuhi” keluh Aazad.
Dia tidak faham kenapa Joe anti sangat dengan Ronny. Begitu juga sebaliknya. Jika mereka bertemu, dia dapat merasakan suasana tegang. Sebab itulah Aazad mengelak bertemu mereka berdua dalam satu masa. Bersama Joe dia lebih relax. Manakala bersama dengan Ronny kadang kala dia merasa sesak. Ronny selalu ingin bermesra dengannya. Dia pula semakin lama semakin merasa tidak selesa. Bukan sebab dia sudah tidak mencintainya lagi. Tapi mungkin sebab mereka berada di bumi Malaysia. Budaya hidup berbeza membuatkan Aazad terasa janggal. Jika di London keadaan ini amatlah biasa, manakala di sini keadaan intim mereka amatlah luar biasa. Lebih-lebih lagi Auni tinggal di rumah atas. Membuatkan dia lebih berhati-hati.
“Baik? Aku pun baik juga tapi tak ada sampai bercinta dengan kaum sejenis.”
“Kau yang tolak cinta aku dulu,”
“Weh.. boleh tak jangan sebut cinta – cinta ni.. geli geleman aku mendengarnya.”
“Sedarlah Zad. Cinta korang tu takkan bawa ke mana. Takkan ada bahagianya.”
“Buang masa.. buang tebiat,” marah Joe lagi.
Berkali-kali dia disindir, namun jiwanya beku sehinggalah dia merasa tercabar.
Auni.... Auni....
Apa lebihnya dia sampaikan Joe mencabarnya?
Hurmm.. dia baik. Comel? Sikapnya yang tidak berprasangka mungkin?
Atau sebab dia seorang gadis yang mudah memahami? Tidak mengada-ngada yang sengaja dibuat-buat? Atau sebab dia memang istimewa di mata Joe?
 Home sweet home. Aazad tersenyum sendirian. Rindu bukan lagi tercalit tetapi mengepung segenap sudut hatinya. Diperhatikan keadaan sekeliling, kemas dan teratur seperti biasa. Tiada yang berubah. Namun hatinya bibirnya tersenyum tanpa sedar, adakah ini perasaan syok sendirinya ataupun aura di dalam rumah ini telah berubah?  Ada aura mesra dan hangat dirasakannya. Dikerling jam, baru pukul 3 petang. Auni masih lagi berada di pejabat. Dia tidak memaklumkan terlebih dahulu kepulangannya, biarlah ia menjadi kejutan kepadanya.
Setelah berehat seketika, tekak yang haus membuatkan dia melangkahkan kaki ke dapur. Dibuka peti ais untuk mengambil air dan dilihatnya isinya penuh dengan makanan. Aazad mengetutkan dahinya, seketika dia terfikir.
‘Auni tak sentuh ke stok yang dia beli sebelum pergi dulu.’ Dia tidak puas hati lalu diperhatikan lagi jika ada yang dia terlepas pandang.
‘Hmmmm rasanya banyak makanan lain, bukan yang dibeli hari tu.’ Aazad tersenyum lalu diambil jag berisi fresh orange yang terdapat di dalamnya. Dibawa keluar dan dituang ke dalam gelas.
Arghaaa...lega rasanya. Hilang dahaganya.
‘Sedap pula jus ini, tentu Auni yang buat.’ Fikirnya.
‘Macam tahu-tahu je dia nak balik hari ini.’
Senyuman masih lagi menghiasi bibirnya. Pertama kali sejak dia berulang alik ke laut, hatinya terasa gembira kembali ke sini. Terasa ada seseorang yang sedang menunggunya pulang. Rasa indah ini menjalar di segenap jiwanya. Kekosongan dulu bagaikan menghilang. Tidak pernah dirasakan apa yang dirasakan ini biarpun dulu hidupnya tidak pernah sunyi. Sentiasa meriah dan keseronokan tiada batasannya.
Hati kecilnya teringatkan Ronny lagi, dengannya hidupnya tidak pernah merasa kekurangan di dalam diri. Mereka sentiasa enjoy bersama. Mereka bagaikan isi dan kuku, sentiasa melekat dan sentiasa bersama ke mana sahaja mereka pergi.
Fikirnya ketika itu, dia telah menemui kebahagiaan yang dicarinya, rupa-rupanya tidak. Habis enjoy, jiwanya segelap sebelumnya. Hatinya kosong lebih kosong dari sebelumnya. Aazad tercari-cari di mana silapnya? Kenapa semakin dia mahu menikmati kegembiraan semakin jauh kebahagiaan itu dari jiwanya.
Auni.. Adakah kau mampu menghidupkan jiwa seorang lelaki yang hampir mati ini?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan