Tunggu Awak Datang -Bab 3



“Saffiya, cita-cita awak pula.”

“Jadi cikgu, cikgu.”

“Kenapa awak hendak menjadi cikgu?” Soal Cikgu Jamilah lagi, ingin tahu.

Hampir separuh kelas sudah memberitahu cita-cita masing-masing dan tiada seorang pun yang ingin menjadi seorang guru. Saffiya pelajarnya yang pertama. Melihat tubuh kecil molek itu, Cikgu Jamilah yakin di dalam hatinya, dia mempunyai sebuah cita-cita murni. Punya matlamat hidup yang tersendiri. Cikgu Jamilah sedar, Saffiya seorang pelajar yang matang mendahului usianya. Dia tahu apa yang dikehendaki dan bagaimana mahu menggapainya.

“Sebab saya hendak berbakti pada bangsa cikgu. Nak jadi polis ataupun askar, tak sanggup pula menempuhi latihan berat tu. Lagipun tinggi saya takkan melepasi syarat minimunnya. Dah asal keturunan kecik, cikgu” seloroh Saffiya disertai gelak tawa rakan sekelasnya. Cikgu Jamilah turut ketawa mendengar seloroh Saffiya. Baginya, Saffiya seorang pelajar yang berbeza dari pelajar-pelajar lain.

“Habis tu kenapa awak tidak menjadi doktor pula? Ahli politik pun berkhidmat untuk anak bangsa juga,” Tanya Cikgu Jamilah ingin terus mendengar pendapat anak didiknya itu.

“Doktor cikgu? Subjek sains saya cukup-cukup makan je cikgu. Kenalah ukur baju di badan sendiri juga, padan ke tidak. Besar sangat tu hendak jadi doktor. Ahli politik pula, saya takut iman tak kuat menghadapi godaan apabila jadi orang berkuasa ni cikgu. Dosa diri sendiri pun tak tertanggung apatah lagi hendak tanggung dosa orang lain. Jadi lebih baik saya jadi cikgu. Berkat pun berkat. Boleh saya berbakti sambil mengutip saham akhirat,” Bernas sekali jawapan Saffiya membuatkan Cikgu Jamilah terdiam.

Seketika kemudian dia tersenyum.

“Bagus. Awak tahu apa yang awak hendak. Cikgu akan sentiasa doakan agar cita-cita awak tercapai. Rania, awak pula.”

Saffiya mengulum senyum. Sebenarnya dia mempunyai banyak cita-cita dan selalu berubah-ubah mengikut keadaan. Cuma sekarang ini dia semakin pasti, cita-citanya yang sebenar adalah menjadi guru. Melihat senyuman yang sentiasa terukir di wajah Cikgu Jamilah semakin menyemarakkan semangatnya menjadi guru. Cikgu Jamilah idolanya. Di sebalik kelembutan ada ketegasan dalam mendidik mereka semua. Keikhlasan Cikgu Jamilah memikat hatinya agar berusaha menjadi yang lebih baik darinya.

“Apasal kau nak jadi cikgu pula? Bukan ke sebelum ini cita-cita kau hendak jadi doktor ke?” Soal Rania tidak puas hati. Bukankah mereka telah sama-sama berjanji hendak menjadi doktor? Sekarang, impian Saffiya sudah berpusing 360 darjah dari impian asalnya.

Tidak tetap pendirian langsung, dengus Rania.

Saffiya tersengih-sengih. “ Aku rasa, aku tak mampulah jadi doktor, Kau tengoklah markah subjek sains aku, asyik-asyik dapat C. Sesungguh mana aku stadi pun, hanya setakat B3 saja yang aku dapat,” Keluh Saffiya.

“Aku bukan macam kau yang pandai dalam sains,” Puji Saffiya.

“Alasan. Kaukan pandai dalam matematik. Aku yakin kalau kau rajin sikit lagi, pasti kau akan dapat A jugak, sama dengan subjek sains tu,” Bersungguh Rania memujuk.

Pantas Saffiya menggeleng.

“Aku tahu kemampuan aku setakat manalah Nia. Tapi kau jangan risau ya, kita tetap stadi sama-sama. Walaupun cita-cita kita berlainan. Matlamat kita kan sama, mahu berbakti pada bangsa, kan?”

“Huh sukahati kau lah.” Rania mengalah dan kembali ke tempatnya. Geramnya masih belum reda.

Saffiya geleng kepala. Dia tahu salahnya, tetapi dia juga tahu tahap kemampuannya. Dia tidak mahu memasang impian yang mustahil dicapai. Dia tidak mahu usahanya jadi sia-sia.

******

“Woit. Mengintai je kerjanya. Macam ni ke rupa seorang guru?” Raudhah menjerkah apabila melihat Saffiya asyik memandang keluar kelas.

Saffiya mencebik dan tidak menghiraukan Raudhah yang bertenggek di penjuru mejanya.

“Kau tengok siapa?” Soal Raudhah sambil turut sama memandang ke luar kelas dan kelihatan dari jauh pasukan bola sepak sekolah sedang menjalani latihan.

“Weh kau minat kat siapa ni? Tak kongsi dengan aku pun?”

Saffiya menjeling. “ Buat apa nak kongsi dengan kau. Tak ada hasil pun,” cebik Saffiya.

Matanya masih lagi leka mengikuti gerak tangkas si dia di atas padang sana. Sesekali senyuman terukir di bibirnya.

Raudhah tidak puas hati, lalu dihadang Saffiya daripada melihat keluar.

“Hisy.. tepilah. Potong stimlah,” rungut Saffiya sambil menolak tubuh Raudhah dari menghalang pandangannya.

“Raudhah... tak payahlah kau nak hadang minah tu, tak jalan. Orang syok sendiri ni memang payah nak dengar kata orang,” Sinis Rania menegur Raudhah.

Raudhah tayang sengih, manakala Saffiya menjeling tajam. Eleh macamlah tajam sangat jelingan itu, tak menakutkan sesiapa pun. Rania membalas dengan jeliran.

“Potonglah korang ni. Aku nak cuci mata pun tak boleh. Kepoh, sibuk!” Dengus Saffiya dengan nada geram dibuat-buat.

“Berangan jelah cik Saffiya sayang oi. Beraninya tidak,” Sindir Rania lagi.

“Kau tahu ke siapa yang dia syok?” Soal Raudhah ingin tahu.

“Laaa kau tak tahu ke?” Soal Rania sambil ketawa-ketawa.

“Ketinggalan keretapi lah kau ni Raudhah.”

“Siapa?” Tanya Raudhah lagi, tidak puas hati. Mana aci dia sorang yang tak tahu. Bukan main lagi hendak berahsia ya? Siap kau Saffiya, Rania!

“Entah. Tanyalah Saffiya sendiri. Kalau aku cakap, tak pasal-pasal dia lancarkan perang dingin dengan aku pulak,” Ujar Rania, ambil jalan tengah.

Sebenarnya Saffiya tidak pernah cakap siapa yang dia minat, dia yang buat andaian sendiri hasil pemerhatiannya. Saffiya.. Saffiya, citarasa dia memang sentiasa ada kelas. Diam-diam Rania mengukir senyum.

“Sudah.. Sudahlah. Pergi kat tempat kau. Aku nak buat latihan matematik ni.”

“Tak nak. Kau cakap dulu, siapa pak we kau. Tak acilah Rania je yang tahu,” Desak Raudhah.

Saffiya menjegilkan mata. Geram dengan tingkah Raudhah yang tidak mahu berganjak dari mejanya.

“Sesiapa pun aku tak cakap. Rania yang suka memandai. Tak boleh aku cuci mata sikit tengok pokok-pokok hijau kat luar tu, ada-ada saja spekulasinya,” Bebel Saffiya.

Rahsia hatinya tak siapa yang tahu. Rania tu yang memandai dan andaiannya memang seratus peratus tepat. Pemerhati yang berjaya. Tetapi tidak pernah sekalipun Saffiya mengiyakan. Rania terus dengan spekulasinya. Jadi dengan Raudhah pun sama. Takkan sesekali, rahsia hatinya terbongkar. Malu.

Siapa yang tidak pernah ditimpa perasaan ketika di alam persekolahan kan. Setiap orang akan merasainya walaupun ia kekal sebagai rahsia hati sendiri. Begitu juga dengan Saffiya. Saat terpandang wajah Muiz kali pertama, hatinya telah terpikat. Kewibawaannya sebagai pemimpin terserlah. Begitu juga di padang. Ketangkasannya menggerunkan lawan. Jadi tidak hairanlah ramai pelajar perempuan meminatinya. Dan dia salah seorang peminat rahsianya. Namun rahsia sudah tidak menjadi rahsia apabila dapat dihidu oleh Rania.

Apabila Raudhah kembali ke tempatnya, Saffiya merapati Rania.

“Kau jangan pecahkan rahsia aku kat Raudhah. Jika tak aku pecahkan rahsia kau jugak,” Ugut Saffiya. Konon-kononnya dia ni garanglah.

Rania menjeling. “ Alaa aku tak heranlah,” Balas Rania sambil lewa. Tangannya ligat membuat peta minda. Dia memang seorang pelajar yang pintar dan rajin. Jadi tidak hairanlah cita-citanya hendak menjadi seorang doktor.

“Alaa.. Nia please.. kau jangan cakap kat dia tahu. Kalau dia tahu habis satu sekolah tahu. Bukannya kau tak kenal dengan dia, kaki gossip.”

Rania ketawa. Tahu sangat Saffiya anti dengan Raudhah walaupun Raudhah itu sepupunya.

“Aku tahulah. Kau tu jangan asyik melayan perasaan sangat. Ketara sangatlah sampai tak berkelip mata memandang dia,” Tegur Rania.

“Ya ke? Mana ada aku terlopong tenung dia. Kau jangan nak buat cerita Nia,” Bantah Saffiya.

“Betullah. Kau agak bagaimana aku boleh tahu kau minat kat dia tu jika bukan sikap kau sendiri.”

“Hmmm.. nampak sangat ke?”



Rania angguk pantas. Merah wajah Saffiya. Malunya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan