Tunggu Awak Datang -Bab 5






“Please....” Rayu Ronny agar dibawanya bersama. Hatinya penuh cemburu apabila Aazad memberitahu dia akan pergi bercuti dengan Johan, sahabat baiknya ketika di sekolah menengah dahulu.

Aazad mendengus kasar. Dijeling wajah sedih Ronny. Rasa belas menyelinap di dalam hatinya. Ronny yang setia dan sanggup bersamanya di kala susah dan senang suatu ketika dulu.

“Bukankah saya sudah memberi amaran kepada awak dulu. Apabila kita menjejakkan kaki di Malaysia, kehidupan kita bukan lagi seperti di London. Awak kena faham!” Tegas Aazad.

Bukannya dia tidak pernah memberi amaran dulu. Sebaik sahaja menjejakkan kaki di tanahair, hubungan mereka secara tidak langsung berjarak. Bukan dia tidak sayangkan Ronny, sahabat dan kekasihnya. Tetapi mereka berada di bumi berbeza. Fahaman masyarakat yang berbeza biarpun arus kemodenan telah memodenkan minda ahli masyarakatnya. Dia masih lagi ingat jati dirinya sebagai seorang islam. Jauh di negara barat, dia hanyut. Kembali ke negara sendiri... dia mula berpijak. Kemelut di jiwanya... tak semua dapat memahaminya.

“Tapi awak sudah janjikan. Walau bagaimana sekalipun kehidupan yang kita lalui.. kita tetap bersama.”

“Ya saya ingat. Siapa kata saya nak tinggalkan awak. Saya hendak pergi bercuti dengan kawan baik saya, faham” Aazad mula bosan dan rimas dengan sikap Ronny yang semakin ketara perubahannya. Dia semakin bersikap mengongkong.

“Kawan baik ke kekasih lama?” sinis bunyinya.

“Fikirlah apa sahaja. Aku pergi dulu,” Malas menerangkan apa-apa lagi. Orang yang sedang dirasuk cemburu, tidak dapat membezakan yang betul atau salah. Mereka hanya fikirkan apa yang mereka rasa sahaja.

********

Cantik...

Deburan ombak bagaikan muzik latar yang mendamaikan. Suria pagi mulai menampakkan dirinya. Telah lama dia tidak menikmati panorama yang indah ini. Lebih sepuluh tahun di kota London membuatkan dia lupa keindahan di negara sendiri. Merenung jauh ke tengah lautan China Selatan membuatkan Aazad terfikir, bagaimana agaknya rupa dunia bawah laut ini. Dunia yang belum sepenuhnya diterokai oleh manusia. Masih lagi penuh misteri dan menyimpan seribu kisah di dalamnya. Teringatkan tamadun Atlantis yang dikatakan tenggelam di telan bumi ketika terjadinya bencana besar. Sehingga kini ramai pengkaji sejarah menyatakan tamadun Atlantis terkubur di tengah lautan di Nusantara ini. Namun masih lagi belum dipastikan kesahihannya.

“Oit. Awal kau bangun” Soal Johan setelah berdiri di sebelah Aazad.

“Aku biasa tidur tidak lebih lima jam sehari. Dah tak boleh tidur.”

“Kau pulak, awal?” Soal Aazad kembali.

Johan tersengih.

“Terpisah dengan bantal peluk, beginilah jadinya. Tak lena tidur.”

Aazad mencebik.

Yup, itulah perasaannya. Sayang sekali Rania tidak dapat mengikuti percutian ini.

“Alaa baru semalam. Takkan tak pernah terpisah langsung,”sinis Aazad berkata-kata. Tumpang bahagia dengan kebahagiaan yang dimiliki oleh sahabatnya. Tidak lama lagi Johan bakal bergelar ayah. Dia pula? Entah berpeluang ke tidak merasai perasaan seorang ayah ini. Nalurinya bukan normal walaupun dulu dia pernah cuba menjadi normal.

“Semalam ke seminggu ke, sama je. Dia tak ada aku pun takkan lena,” luahan dari hati Johan.

Semenjak dia dan Rania disatukan tiga tahun lepas, mereka tidak pernah berpisah walaupun banyak waktu malamnya ditemani oleh bau-bauan Rania sahaja. Dia faham situasi kerja isterinya yang selalu on call membuatkan masa mereka bersama terhad.

“Kau tak faham bro, nanti bila kau dah kahwin, tahulah apa rasanya,”

Aazad mencebik. Mustahil dia akan berkahwin sedangkan dia tidak pernah mempunyai perasaan yang mendalam terhadap wanita.

Aazad diam. Semenjak pulang ke tanahair, tidur malam bukan lagi nikmat. Selalu terganggu. Memori semalam kian hari menggamitnya. Kerinduan terhadap kedua orang tuanya semakin menggunung namun dia tidak punya kekuatan untuk menziarahi kubur mereka. Lidahnya kelu, usahkan surah yasin, al-fatihah pun langsung tidak diingatinya. Dirinya terasa benar-benar kerdil dan tidak berguna.

Manakala Johan pula terpegun. Tidak jauh di hujung sana, kelihatan seorang gadis yang dirasakan dikenalinya. ‘Takkanlah Fiya berada di sini? Mabuk ke hapa aku ni.’

Tanpa membuang masa pantas dia mengeluarkan telefon bimbitnya. Niat di hati ingin mengesahkan sama ada apa yang dilihat itu betul. Namun seketika jari berhenti menekan butang telefon.

‘Nanti kang aku telefon, budak ni cakap buang tebiat pulak. Tak pernah telefon, tetiba telefon, isyyy tak boleh,’ bisik hati Johan. Seketika dia teringatkan isterinya, terus tangannya pantas menghantar sms kepada isterinya.

Aazad tidak menghiraukan Johan. Tumpuannya ke laut lepas. Sesekali matanya melihat tingkah laku seorang gadis bertudung di hujung sana. Keseorangan tanpa ditemani oleh sesiapa. Namun tidak pula terukir kesedihan di wajah itu. Sebaliknya nampak berseri disimbahi oleh cahaya mentari pagi.

“Terpikat?” Soalan dari Johan mengejutkan Aazad dari renungannya. Sengaja Johan membelakangi gadis itu setelah dia mendapat pengesahan dari Rania tadi. Melihat gelagat Aazad yang merenung Auni dari jauh menimbulkan satu idea di dalam kepalanya.

“Buang tebiat,” Pantas Aazad menjawab.

Johan geleng kepala. Namun hatinya tetap sayangkan Aazad seperti saudaranya sendiri.

*****

“Betul kau tak nak ikut ni?” Soal Auni buat sekian kalinya kepada Nadira dan Syakila. Pantas mereka berdua geleng kepala. Menyelam memang seronok tetapi mereka tidak tahan dengan sengatan cahaya matahari. Kulit wajah mereka telah merah menggelupas, berlainan dengan Auni. Kulitnya seperti biasa walaupun kelihatan hangus sedikit.

“Itulah aku cakap, pakai sun block korang punya bijak tak mau pakai. Kononnya kulit korang kulit ikan paus, tahan lasak. Sekarang siapa yang susah?” Bebel Auni.

Potong moodlah diorang ni. Takkanlah dia sorang-sorang pergi menyelam. Tak seronoklah. Tak nak pergi nanti teringat-ingat pula kerana hati masih belum puas menyelam dan menikmati keindahan dasar laut di Pulau Perhentian ini.

Masam wajah Auni. Geram dengan sikap sahabatnya. Kononnya datang ke sini ingin menikmati keindahan dasar lautan sepuasnya. Nikmatlah sangat apabila tak sampai sehari sudah meronta-ronta ingin pulang ke chalet.

Ahemmm.... Auni mengeluh.

“Alaa sorilah.. kami pun tak sangka kulit akan jadi pedih macam ni. Kena air masin lagi pedih. Tak tahanlah, sakit sangat.”

Auni mencebik.

“Padan muka. Korang yang cari pasalkan.”

Nadira dan Syakila saling berpandangan dan siku menyiku. Alangkah baiknya jika Zura turut sama menyertai percutian mereka ini. Zura dan Auni sama-sama lasak. Jadi sudah tentu gandingan mereka berdua lebih baik dari mereka bertiga.

“Tak pe kau pergilah. Lagipun kita kan dah tempah awal-awal. Rugilah kalau tak pergi. Manalah tahu kot-kot hari ni kau dapat berkenalan dengan mamat hensem dalam air nanti,” Pujuk Nadira.

Auni mencebik. “ Kau ingat ikan duyung wujud ke? Ikan duyung jantan kacak dan ikan duyung betina cantik. Beranganlah.” Auni berkata geram.

Nadira dan Syakila ketawa mendengarnya.

“Aku tak kata, kau yang kata. Hahahaa..”

“Kau ni Auni ingat ini dyesebel ke? Ada dunia ikan duyung di dasar laut tu. Hahaha...”

“Habis tu kau cakap jumpa mamat hensem tu apasal?”

“Maksud aku, orang lain yang turut join aktiviti menyelam ni lah.” Jelas Nadira setelah berhenti ketawa.

*****

"Weh aku sakit perutlah, memulas ni.” Johan menekan-nekan perutnya setelah menyedari kehadiran Fiya di situ.

“Aku kasi can kat kau. Ingat deal kita pagi tadi... minah tu.” Sempat lagi Johan berpesan sebelum melangkah meninggalkan Aazad termangu-mangu di situ.

Aazad beralih pandang dan mencari gadis yang dimaksudkan oleh Johan. Spontan bibirnya mengukir senyuman apabila matanya menjumpai orang yang dicari.

Di dalam bot mereka saling pandang memandang dan berbalas senyum memandangkan hanya mereka berdua sahaja orang melayu, selebihnya pelancong asing. Auni menutup ketidakselesaan diri dengan melemparkan pandangan ke arah Pulau Perhentian yang ditinggalkan.

“Hai.. Sorang je?” Aazad memulakan perbualan.

Auni mengangguk.

“Aku pun sama.”

“Datang sorang?”

“Taklah bertiga, tapi dua orang lagi dah surrender. Kulit merah dan menggelupas,” Balas Auni.

“Aku pula, member sakit perut.”Jelas Aazad walaupun tidak ditanya oleh Auni.

Kebingitan enjin bot membelah lautan mengisi ruangan kosong tanpa perbualan itu setelah tiada lanjutan daripada perbualan tadi.

Auni melayan perasaan dengan menikmati keindahan alam semulajadi. Pulau Perhentian sebenarnya terdiri daripada dua buah pulau yang indah iaitu Perhentian Besar dan Perhentian Kecil, yang terletak kira-kira 25 kilometer dari Kuala Besut dan berada di timur persisir pantai Semenanjung Malaysia. Pulau-pulau tersebut bukan sahaja dipenuhi dengan keindahan alam semula jadi - tetapi juga memberi peluang kepada para pelancong untuk menikmati keindahan alam semulajadi tersebut dengan cara yang baru dan menyeronokkan.

Aktiviti menyelam ini merupakan aktiviti utama di Pulau Perhentian. Auni tidak mahu melepaskan peluang menikmati panorama indah di dasar laut. Air yang jernih, ikan berwarna warni berenang bersama-samanya membuatkan hatinya tidak sabar untuk menikmatinya lagi.

Hari ini dia mahu melihat sendiri Sugar Wreck, iaitu sebuah bangkai kapal besar - suatu ketika dahulu kapal tersebut membawa gula - dan juga The Temple of the Sea iaitu sesuatu yang berbentuk seakan-akan mercu tanda yang muncul dari dasar laut. Entah bila pula, dia akan berpeluang menikmatinya jika tidak dilakukan sekarang.

Sesekali Aazad mengerling Auni. Gadis dihadapannya bagaikan tenggelam dalam lamunannya. Kesempatan ini diambil, cantik. Sekali lagi hatinya memuji. Oppss.. dia berpaling dan dirinya terperangkap dek terlampau melayan perasaan. Aazad menarik senyuman, menutupi debaran di hati.

“Tak lama lagi kita akan sampai. Nanti kita menyelam bersama-sama.” Suara garau Aazad memecah kebingitan enjin bot.



“Okey” Auni membalas. Tidak ingin menolak pelawaan itu kerana dia juga sendirian. Boleh juga dia mengikut pelancong asing yang berada bersama-samanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan