Tunggu Awak Datang - Bab 6


Melepak di Taman Petronas di Suria, KLCC sudah menjadi rutinnya di hujung minggu. Jika tidak sempat hari sabtu, pasti dia akan ke sana pada hari ahad. Membacla sambil melihat gelagat orang merupakan satu terapi baginya merehatkan minda setelah kerja lima hari seminggu. Tanpa perlu membebankan fikiran, dengan memerhati tingkah laku pengunjung di situ, Auni dapat memuhasabah diri sendiri supaya menjadi lebih baik atau mencontohi mereka yang kelihat baik dan sopan di khalayak ramai.
Menjadi pemerhati, inilah hobi baru yang dilakukan sejak setahun yang lalu. Ketika dia sedar, fasa-fasa perubahan yang sedang berlaku dan bakal berlaku ke atas diri dan juga kawan-kawannya. Auni tersenyum. Setahun yang lalu, dia banyak menghabiskan masa dengan keluar menonton wayang ataupun membeli belah dengan kawan-kawannya. Ada-ada saja rancangan diatur untuk bersukaria. Tetapi sejak kawan-kawannya seorang demi seorang berteman lelaki dan bertunang, aktiviti tersebut semakin berkurang. Masa mereka banyak dihabiskan bersama pasangan masing-masing.
Sejak itu, dia sudah tidak mempunyai apa-apa aktiviti bersama kawan-kawannya dan dia mula mencari aktiviti baru. Seronok sebenarnya menjadi memerhati ni. Secara tidak langsung mengajak minda berfikir dan sensitif dengan keadaan masyarakat hari ini.
Ada juga masanya, dia malas berpanas di taman tersebut, masanya akan dihabiskan dengan membaca buku di Kunikuniya bookstore di tingkat atas Suria, KLCC. Membaca sudah menjadi hobinya semenjak dia mula mengenal huruf. Cinta pada buku sudah tidak berbelah bagi. Tidak lengkap hidupnya andai dalam sehari dia tidak menghabiskan masa paling kurang setengah jam untuk membaca.
 Dia tidak memilih bahan untuk dibaca, asalkan dapat memberi manfaat kepadanya. Oleh itu, setiap masa luangnya dihabiskan dengan membaca buku. Di mana sahaja, di dalam LRT, bas ataupun komuter, buku sentiasa ada di dalam beg tangannya. Jadi, masanya tidak terbuang begitu sahaja apabila terpaksa menunggu lama.
Seronok sebenarnya melepak di sini. Dia boleh melihat gelagat bermacam-macam orang. Pelbagai aksi romantik oleh golongan remaja disaksikan dan ia amat menyakitkan matanya sehingga dia terfikir, sudah hilangkah perasaan segan silu yang menjadi pegangan orang timur, orang melayu ini? Melihat aksi-aksi mereka menjadikannya malu. Malu melihat anak bangsa sendiri yang lepas bebas tanpa ada benteng yang menjadi penghalang mereka. Tindak tanduk mereka sama sahaja dengan orang-orang barat yang terlalu terbuka. Auni menyoal dirinya sendiri, sudah lupakah mereka dengan adat-adat melayu yang penuh sifat malu dan pemalu? Adakah kerana arus kemodenan dan teknologi kini telah sedikit sebanyak menghapuskan nilai-nilai murni yang dijunjung sejak zaman berzaman itu. Dia sendiri pun tidak mengerti. Kenapa begitu sekali perubahan yang dialami oleh remaja-remaja ini. Bahkan golongan muda juga.
Dia mengeluh sendirian. Untuk apa ya? Penyesalan untuk mereka yang hanyut dan alpa dengan keindahan duniawi ini? Tapi kenapa dia yang perlu merasa menyesal sedangkan mereka-mereka itu begitu menyanjung tinggi budaya barat. Lepas bebas tanpa sekatan. Sesekali dia mengangkat wajah daripada majalah yang dibacanya. Nun di hujung sana sepasang pelancong Arab bukan main lagi bergambar. Si perempuan yang berjubah dan berfurdah hitam dan si lelaki pula bukan main ranggi lagi. Mungkin sepasang suami isteri. Mungkin mereka  datang untuk berbulan madu. Mesranya mereka. Terlintas difikirannya, tidakkah  wanita itu merasa panas berpakaian serba hitam dan tertudung litup di tengah terik matahari ini? Kemudian sekali lagi akalnya terfikir. Kepanasan hari ini mungkin tidak terbanding dengan kepanasan Padang Masyar nanti. Lalu diteliti pakaian yang menyaluti dirinya, tertutup semua walaupun tidak berfurdah. Namun tidak boleh dibandingkan dengan wanita Arab itu. Hatinya kagum dengan kecekalan wanita Arab itu dalam berpakaian. Sedangkan dia entah bila baru boleh berpakaian seperti itu.
Tanpa disedari seseorang mengambil tempat di sebelahnya.
“Hai...”
Ada suara yang menegur dari sebelah kirinya. Lantas ditoleh ke sebelah kiri dan juga ke kanan untuk memastikan kalau-kalau orang itu menegur orang lain.
“Hai..Awak tegur saya ke?”soalnya keliru.
“Yup. Mana ada orang lain lagi selain kita berdua di sini” Jelasnya sambil tersenyum.
Terpana Auni seketika, giginya putih tersusun elok membuatkan senyumannya kelihatan menawan. Pantas Auni mengalihkan pandangan setelah menyedari bahawa dirinya sedang merenung lelaki yang menegurnya tadi.
Sebuah senyuman nipis masih lagi menghiasi bibir pemuda tersebut apabila menyedari yang Auni sedikit terpegun melihat senyumannya. Sudah terlalu biasanya menghadapi keadaan seperti ini.
“Awak tak ingat saya?” Soal pemuda itu.
Auni berkerut dahi. ‘Aku kenal ke? Tapi kawan-kawan lelaki aku boleh dikira dengan jari je yang rapat. Dia tak ada pula aku ingat’
“Selalu saya nampak awak lepak sorang-sorang kat sini. Jadi tergerak hati saya untuk menegur. Saya Aazad. Awak?” Ujar pemuda itu tanpa menunggu Auni mengingatinya.
“Awak ni siapa sebenarnya? Kita pernah kenal ke? Kenapa saya tak ingat awak,” soal Auni tanpa tangguh. Cara percakapan pemuda yang mengambil tempat disebelahnya ini seolah-olah mereka pernah berkawan rapat.
Aazad tersengih. Masakan dapat diingat jika perkenalan  mereka hanya beberapa jam sahaja. Nama pun tak sempat tahu. Tapi dia sentiasa mengingati gadis ini. Ada cabaran yang perlu disahut. Nasib baik mereka bertemu kembali, jika tidak pasti dia mengibar bendera putih tanpa bertanding.
Remember, Pulau Perhentian, scuba driving.” Aazad memberi beberapa pembayang. Dia duduk santai di sebelah Auni. Strategik juga duduk di sini, hampir semua kawasan air pancut ini dapat dilihat. Pelbagai ragam dapat dilihat.
Dahi Auni berkerut, cuba mengingati pertemuan mereka. Percutian di Pulau Perhentian enam bulan yang lepas. Kenangan manis di sana bagaikan menggamit hati Auni untuk kembali ke situ. Mudah-mudahan masih ada lagi peluangnya bercuti ke sana. Perlahan-lahan Auni mula mengingati siapa pemuda di sebelahnya. Dia, yang menemaninya menyelam ketika Nadira dan Syakila menyerah kalah ekoran tidak tahan dengan sengatan suria. Bibir Auni mula menguntum senyum. Dia sudah ingat. Mana tak ingatnya apabila sesekali dibelek album gambar percutian itu terselit juga gambar mereka berdua yang dirakam oleh Stacy, pelancung England yang turut sama menyertai aktiviti menyelam pada hari itu.
“Sudah ingat?” Soal Aazad dengan senyuman kacaknya.
Auni turut tersenyum.
“Bagaimana awak boleh cam saya?” Soal Auni ingin tahu.
 “Opps lupa saya Auni.” Auni memperkenalkan dirinya.
Aazad mengganggukkan kepalanya. Bibirnya terus mengukir senyuman.
“Saya selalu nampak awak sorang-sorang di sini. Tengok di sekeliling semuanya berpasangan. Tak pun berkumpulan. Awak sentiasa keseorangan. Tak ada kawan,” Soal lelaki itu lagi.
“Sama macam di pulau dulu. Awak sendirian juga.”
Auni berkerut dahi dan tersengih. Tidak ada orang yang nak temankan, sendirianlah, bisik hati kecilnya. Auni angkat bahu.
“Jadi sudah lamalah awak perhatikan saya? Kenapa tak tegur awal-awal?”
Selalu nampak dia keseorangan? Pastinya telah lama Aazad memerhatikannya. Tanpa sedar Auni menggelengkan kepalanya. Rasa macam tak percaya, gadis sepertinya dapat menarik perhatiannya. Ingatkan pertemuan di Pulau Perhentian itu adalah pertemuan pertama dan terakhir mereka. Rupa-rupanya masih ada lagi jodoh pertemuan mereka. Macam tak percaya pula, takkanlah gadis tak berapa cantik ini menjadi perhatiannya. Ada rasa sangsi singgah di hati. Dikerling Aazad di sisinya. Apabila rasa sangsi bertapak di hati, maka perasaan takut terwujud.
“Taklah. Saya ada ramai kawan. Tapi saya lebih suka melepak kat sini sorang-sorang. Siapa yang nak lepak-lepak macam nie. Kawan-kawan saya semuanya boleh dikategorikan puteri lilin. Tak suka berpanas dan juga tak suka lepak-lepak ni. Sebab itulah saya sorang-sorang. Dan awak buat apa pula kat sini? Tak pernah nampak pun,” terang Auni panjang lebar.
Dalam diam Auni mengamatinya. Sikap bersahaja dan selamba seolah-olah mereka sahabat lama berjumpa kembali. Apabila Aazad menarik senyuman, dia terpesona. Menarik. Boleh dikategorikan “hot guy”.
“Saya selalu lepak di starbuck sana nuh. Mungkin awak tak nampak tapi saya selalu nampak awak setiap hujung minggu”
Auni melihat ke arah Starbuck yang terletak di hujung sana. Tak nampak pula orang di dalam sana kerana terlindung dengan pokok hiasan yang ditanam di tepinya. Macam mana pula dia boleh nampak? Kenapa pula yang dia nampak hanyalah kehijauan pokok hiasan dan juga payung-payung hijau yang dipasang di situ. Lelaki ini mata dia macam teropong ke? Dapat melihat dari jauh, sedangkan matanya tidak nampak langsung wajah mereka yang berada di sana. cuma yang kelihatan sekumpulan lelaki sedang duduk-duduk mungkin melepak dan berbual-bual di situ. Salah seorang mengadap ke arah sini. Ah perasan. Bukankah di hadapannya ini taman, tengok betapa ramainya mereka yang sedang bersiar-siar sambil menikmati persembahan air pancut ini.’
“Awak takkan nampak dari sini tetapi saya dapat melihat dari sana,” Jelas Aazad merungkai persoalan yang sedang bermain di dalam kepala Auni.

Auni tersenyum. Malu pula apabila apa yang ada di dalam fikirannya dapat dibaca oleh lelaki kacak ini. Bertuah pula hari ini kerana dia yang kadang-kala dilihat-lihat gambarnya telah muncul di hadapan mata. Jika tidak, hanya dalam mimpi pertemuan ini. Auni mendongak ke langit biru. Kelihatan sepasang burung terbang bersama-sama. Adakah ini petanda dia juga akan berpasangan seperti itu?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan