Tunggu Awak Datang - Bab 7

 “Awak duduk di tempat yang sama, stail yang sama tentu saya perasan. Lagipun selalu juga saya lalu di hadapan awak” Sambung Aazad.
Oooo..patutlah. Kesangsian di hati telah terjawab tanpa perlu bertanya. Auni tidak terkata apa. Jika hatinya boleh menggeleng-geleng pasti saat ini ia sedang tergeleng-geleng sambil ketawa kecil.
“Tetapi dari jauh, awak takkan nampak wajah saya. Stail yang samapun, rasanya ramai yang pakai seperti saya,” Balas Auni tidak puas hati.
Aazad menarik senyum kacaknya.
Sungguh kacak!
Auni tergoda lagi. baik lelaki ataupun perempuan, apabila terpandang sesuatu yang indah ataupun cantik, reaksi spontan di dalam hati, pastinya memuji. Itulah yang berlaku di dalam diri Auni. Tanpa sempat otak berfikir, hati mula memuji dan terpikat. Bukankah digalakkan menghargai benda-benda menarik ini?
“Saya tahu, tapi percaya atau tidak, saya dapat cam awak dari sana.” Tegas Aazad. Lagipun mana boleh saya lupakan wajah awak sejak kali pertama pertemuan kita. Terkenangkan awak, terkenangkan perjanjian saya dengan Johan.
Auni tersenyum kecil. Tak sangka dirinya boleh menarik perhatian orang lain di sini. Dan mujurlah dia masih lagi mengenalinya.
‘ Nampak pelik sangat ke kalau dia selalu keseorangan?’ Auni menyoal hatinya.
Mungkin kot, sebab kiri dan kanannya berpasangan ataupun bersama keluarga masing-masing. Cuma dia yang kelihatan janggal sedikit kerana bersendirian.
“Awak suka membaca?” Soal Aazad setelah melihat Auni mendiamkan diri.
“Suka. Inilah hobi saya. Buku dan saya tidak dapat dipisahkan,” Jawab Auni. Dia tersenyum. 
Bercerita pasal hobinya yang satu ini membuatkan jiwanya hidup. Dia amat mencintai buku. Sangat gemar membaca. Seolah-olah tanpa membaca buku walaupun sehelai sehari, hidupnya tak lengkap.
“Ooooo..buku apa yang awak suka baca?”
“Saya tak memilih. Asalkan yang menarik minat saya. Itulah yang saya baca. Jadi macam-macamlah. Awak pula?” soal Auni sambil menutup majalah yang sedang dibaca.
Tidak elok diteruskan bacaannya jika ada orang datang mahu bersembang-sembang dengannya. Pembawaan diri Aazad membuatkan rasa sangsi tadi mulai menghilang. Takut pun sudah ghaib. Ada rasa senang mula bertapak di hati. Dilarikan pandangan ke hadapan. Air pancut sudah mula dimainkan. Seolah-olah konsert muzikal air. Auni teramat suka menghayati tarian dan lirikan mainan air pancur itu. Dia tersenyum. Aazad juga.
“Awak suka?” Serentak mereka bertanya. Lalu masing-masing menarik senyuman dan mengangguk.
Kelihatan orang ramai mula duduk bersantai mengelilingi kolam air pancut di sini. Masing-masing kagum dengan persembahan air pancut itu. Air pancut merupakan senibina yang mengeluarkan air kedalam tadahan atau memancut ke udara samaada bagi membekalkan air minum atau sebagai kesan hiasan.
Air pancut pada asalnya bersambung dengan mataair atau akuedok "aqueducts" dan digunakan untuk membekalkan air bersih bagi tujuan kegunaan harian seperti minum, mandi, membasuh kepada penduduk. Sehingga akhir abad ke-19 kebanyakan air pancut beroperasi melalui graviti, dan memerlukan sumber air lebih tinggi berbanding air pancut, seperti takungan atau akueduk, bagi menjadikan air mengalir atau memancut ke udara. Air pancut yang tertinggi di buat ialah air pancut Raja Fahd, dibina pada tahun 1985 di Jeddah, Arab Saudi. Air pancut ini setinggi lebih 853 kaki (260 meter) dari aras laut Merah.
“Awak tinggal di mana?”soal Aazad setelah sekian lama mereka menikmati pertunjukkan air pancut itu.
“Bandar Tasik Selatan.” Auni menjawab tanpa menoleh. Dia seronok sebenarnya menikmati keindahan air pancut ini. Rasa kagum terbit di dalam hatinya dengan kreativiti perekanya.
“Balik nanti?”
“Naik LRT Putra kemudian tukar tren kat Masjid Jamek ambil LRT Star ke Bandar Tasek Selatan” terang Auni.
“Sorang-sorang?”
Auni mengangguk.
“Berani awak jalan sorang-sorang, malam-malam pula tu?”
“KL kan sentiasa sibuk, awal malam tu masih lagi penuh tren LRT tu. Lagipun saya bukannya balik lewat tengah malam” Terhenti seketika. Dijeling sekilas Aazad yang sedang membuang pandang ke arah air pancur. Apabila melihat Aazad mahu memandangnya, Auni terus mengalihkan pandangan sebelum menyambung kata.
“Selalunya sebelum pukul sepuluh saya sudah sampai ke rumah. Masa tu pun orang masih lagi ramai. Dan saya tidak ada pula berjalan di tempat sunyi”
Aazad mengangguk faham.
“Awak pula tinggal kat mana?”
“Saya tinggal dekat area-area sini je. Selalu jalan kaki datang ke sini,” terang Aazad. Senyum lagi.
“Berapa umur awak?” soalnya lagi.
“25.”
“Biar betul. Nampak macam budak baru lepas SPM je.”
Aazad terkejut. Dipandang Auni beberapa kali seolah-olah tidak percaya. Tadi diagak-agak, Auni di dalam lingkungan paling tua pun dua puluh tahun, bukan dua puluh lima tahu.
“Awak tak tipukan?” Tanya Aazad lagi, inginkan kepastian.
Auni tergelak mendengarnya. Dah selalu sangat dia mendengar komen seperti itu. Berbadan kecil molek. Ditambah pula berpakaian ringkas seperti itu, rata-rata menyangka dia baru sahaja menamatkan alam persekolahan. Padahal dia kini telah bekerja di sebuah syarikat pembungkusan makanan mentah di ibu kota. Ada juga rasa bangga kerana wajahnya awet muda tanpa perlu mengeluarkan belanja yang banyak untuk kelihatan muda.
Seketika mereka terdiam. Aazad memandang Auni sekilas. Kalau boleh hari ini dia ingin mengenali lebih rapat dengan Auni. Rasa senang yang hadir membuatkan hatinya terasa ingin berlama-lama bersama dengannya.
“Jom ke sana. Saya belanja awak minum.” Ajak Aazad. Menunjukkan ke arah Suria KLCC.
“Tak apalah, lagipun tak lama lagi dah nak maghrib. Lepas solat saya nak balik dah,” jawab Auni.
Hmmm.. Hampa. Cepat sangat Auni hendak balik sedangkan dia masih lagi mahu bersama-sama dengannya. Tak apa-tak apa, esok-esok masih ada.. bisik hati kecilnya.
“Lainkali boleh kita jumpa lagi?” Soal Aazad inginkan kepastian.
Auni tersenyum kemudian berkata “InsyaAllah... awak selalu melihat saya lepak di sinikan?”
“Jadi tegurlah... Seronok juga ada teman melepak sama,” ujar Auni mengambil hati.
Aazad tersenyum sedang sambil memerhatikan Auni yang sedang memasukkan majalah yang dipegang tadi ke dalam beg. Kemudian dia berdiri. Aazad turut sama berdiri.
Auni memandang Aazad sambil tersenyum. Aazad pula setia memandang perbuatan Auni itu. Dalam masa yang sama kedengaran azan maghrib berkumandang. Mereka sama sama terdiam. Usai azan berbunyi, Auni mengangkat tangan berdoa seketika. Aazad leka memandang tingkah laku Auni. Dia bagaikan terpesona seketika. Ralit Aazad memandang tanpa menyedari Auni perasan dengan tingkahnya.
“Awak tak mahu ke masjid?” Soal Auni tiba-tiba
“Hah....” Aazad terkejut. Tersedar dari kealpaannya. Aazad tersenyum menutup getaran di hati. Wajah Auni pula mula kelihatan merah. Aazad mula kalut memandang ke tempat lain. Sedikit sebanyak dia kelihatan gelabah.
Auni pula tanpa sedar tertawa kecil. Cute dan kelakar dengan kekalutan Aazad.
Aazad tersengih-sengih.
“Tak, saya solat kat rumah je. Lagipun saya pun nak balik jugak ni,” balas Aazad beralasan.

Auni hanya tersenyum. Lalu dia mengucapkan salam dan beransur menuju ke masjid As-Syakirin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan