'Sahabat' Pena Bab 2

Assalam....

Bab 1 boleh baca di pages FB saya ya. Klik di sini untuk baca

Bab 2

 "Hmmmm.. biarlah. Aku pun tak fikir dah. Yang penting aku fokus pada kerja aku ni. Lagi bahagia. Tapi aku jeles dengan kau. Senang hidup," usik Hawa. Dia mahu lari dari topik tentang dirinya. Jika boleh dia tidak ingin terus membicarakan tentang kegagalannya dalam mencari kebahagiaan.
"Senang apanya? Nak melayan kerenah anak-anak dan suaminya, teruk juga. Lagi penat dari orang kerja pejabat ni," sangkal Nina. Namun jelas di wajah Nina, dia bahagia dengan kehidupannya kini.
"Eh.. dah ada orang datang cari aku ni. Aku kena pergilah. Nanti ada masa kita sembang-sembang lagi ek. Kau masih guna nombor lama kan?"
"A'aaah. Insyaallah. Seronok sangat jumpa kau. Aku bangga tengok kau dah berjaya."
"Aku pun seronok jugak jumpa kau. Tak adalah rasa boring kat sini," balas Hawa dan mereka berpelukan seketika sebelum Hawa membawa diri ke arah golongan korporat di hadapan sana.
"Seronok jumpa member lama yang?" usik Badrul. Sengaja dia menjarakkan diri untuk memberi peluang kepada isterinya bersembang dengan teman lama.
"Aaah seronok sangat. Tapi abang lagi seronokkan dihimpit oleh gadis-gadis seksi tadi," perli Nina.
Badrul menggelengkan kepala sambil memeluk erat bahu isterinya. Perasan ada nada cemburu di dalam suara itu. Tetapi tidak dihiraukan kerana dia tahu Nina amat memahami dirinya yang sangat cintakan dia dan anak-anak. Baginya keluargalah yang paling penting sekarang. Masa berpoya-poya telah lama tamat. Fokusnya kini pada keluarga. Memberi kesenangan dan kemewahan adalah matlamat utamanya. Nina mencebik. Nak membodeklah tu. Namun tidak lama, dia tersenyum juga apabila sebuah ciuman terasa di ubun-ubunnya.
" Tak sia-sia ayang ikut abang malam ni. Hawa tetap seperti dulu. Sikapnya sikit pun tak berubah walaupun dah berjaya. Eh bukan ke abang pernah berurusan dengan dia? Kenapa tak cakap?"
"Memang ada. Masa syarikat abang nak masuk tender hari tu, adalah juga dua tiga kali jumpa dia. Patutlah dia cakap macam familiar je dengan rupa abang. Abang pun perasanlah, yalah abang kan hensem siapa yang tak familir dengan muka abang ni. Rupanya dia familiar sebab abang ni laki sayang."
Nina mencebik. Tak ada maknanya. Familiar bagi Hawa bila orang tu pernah berurusan dengannya atau ada berkaitan dengan orang yang dia kenali. Jika familiar sebab orang tu kacak, tak ada maknanya. Setahunya, Hawa seorang pencinta yang setia. Cinta matinya adalah Sabri. Namun sayang, cinta itu tidak kekal sehingga akhir hayat.
"Hawa cakap gitu? Tak maknanya gimik-gimik. Dia tu lurus je. Apa yang dia rasa itulah yang dia cakap. Memang dia pernah lihat gambar abang kat dalam FB ayang tu"
Badrul tersenyum.
"Tapi aku rasa dia tak gembira dengan kehidupannya sekarang kan?" Celah Zakwan setelah sekian lama menjadi pendengar.
"Ermmm..dia dah berpisah dengan suaminya" Perlahan suara Nina memberitahu.
Zakwan tersenyum.
"Alhamdulillah akhirnya datang peluang aku" spontan dia mengucapkannya.
Badrul dan Nina saling berbalas pandang. Pelik dengan kata-kata yang keluar dari mulut Zakwan.
“Kau kenal dia? Sejak bila?”
"Kau sukakan dia?"
Spontan Badrul menyoal. Nina pula memandang sahabat suaminya dengan rasa ingin tahu.  Bila pula Zakwan ni kenal Hawa. Mungkin baru-baru ni kot. Telah hatinya.
Zakwan mengulum senyum. Manakala wajah Badrul dan Nina terlukis perasaan ingin tahu. Namun rasa ingin tahu Badrul lebih kuat berbanding isterinya. Selama ini mana pernah ada Zakwan menunjukkan minatnya pada kaun wanita sehinggakan dia hampir-hampir tersilap faham.
"Aik takkanlah kau terjatuh cinta pandang pertama?" Dek rasa ingin tahu Badrul membuat spekulasi .
Zakwan tersengih. "Jika ya, takkanlah tak boleh, bro!"
"Bukan tak boleh, selepas kau kononnya frust dengan sahabat pena kau dulu, mana pernah kau pandang perempuan lain dah. Hidup kau dengan buku dan buku. Habis belajar, kau bercinta pula dengan kerja,"sindir Badrul mengingatkan sahabatnya tentang sikapnya dulu dan sekarang.
“Bila masa kau sempat bercintanya. Dan kau bukannya selalu ada di Malaysia ni. Asyik pergi ke tempat jin bertendang pulak tu.”
Zakwan sengih. Dia tidak menafikan apa yang Badrul katakan itu. Buat pertama kalinya hatinya digaru rasa indah yang telah kian lama pupus di hati. Wajah lembut tapi tegas itu benar-benar memikat hatinya. Ada keinginan kuat untuk mendekatinya. Matanya masih lagi mengekori lengguk badan Hawa yang sedang berbual-bual dengan tetamu yang hadir.
"Nina, kau boleh tolong aku?" Soal Zakwan, namun matanya tetap menyoroti langkah Hawa. Tanpa segan sila, dia meminta pertolongan dari isteri Badrul. Dia tidak harus melepaskan peluang ini. Bukan senang hatinya terbuka untuk menyukai seseorang. Jadi kesempatan ini mesti digunakan sepenuhnya. Hatinya juga punya keinginan dan impian hidup bahagia seperti yang dimiliki oleh Badrul
Nina dan Badrul saling berpandangan. Lain macam je bunyinya.
"Tolong apa?"Soal Badrul bagi pihak isterinya.
"Tolong jadi orang tengah kenalkan aku dengan Hawa," pinta Zakwan.
"Nak pikat awek kenalah macho, tak mainlah orang tengah ni,"sinis Badrul.
"Ni bukan sebarang awek tahu. Tak kena cara, pandang pun tak boleh!"
"Tapi Hawa tu baru je...."
"Bercerai? Aku tak kisah Nina. Apa pun status dia. Bila hati telah berkenan semuanya takkan jadi masalah lagi."
"Memanglah kau tak kisah. Mak ayah kau mesti kisahkan?" Balas Nina. Bimbang juga hatinya jika tersilap menjalinkan hubungan, Hawa kian merana. Hawa walaupun sen tiasa tersenyum, namun senyuman itu kurang perisa. Tubuhnya pula semakin kurus berbanding dulu. Ada derita terbias dari sinaran mata beningnya.
"InsyaAllah.... Apa yang kau fikirkan itu tidak akan terjadi. Aku susah nak jatuh cinta Nina, tapi sekali aku kata cinta, selamanya aku cinta dan aku akan pertahankan cinta itu selagi masih bernafas. Aku akan berusaha bahagiakan orang yang aku cinta. Paling penting sekarang ini, aku mahukan Hawa... Jadi sahabat dulu pun tak apa, asalkan aku dapat mendekati dengannya."
Badrul geleng kepala melihatkan kesungguhan Zakwan. Tidak pernah-pernah lagi Zakwan merayu begini. Biasanya dia tenang dan pandang sepi saja setiapkali ingin diperkenalkan dengan perempuan. Mungkin Hawa orangnya yang dapat memberikan getaran di hati seperti mana yang dia rasa ketika mula mengenali Nina dulu.
Melihat wajah bersungguh Zakwan dan sikapnya yang tidak pernah dia lihat selama ini, mengundang tawa Badrul.
‘Agaknya, rupa aku masa terpandang wajah Nina dulu pun begini jugak kot’
Badrul tidak dapat menahan ketawanya. Nina siku pinggang suaminya supaya jangan ketawa lebih-lebih. Mereka masih lagi di dalam majlis. Sudah tentu dia tidak ingin mereka menjadi perhatian ramai.
“Tak kisahlah kau nak ketawakan aku pun Bad. Yang penting korang kena tolong aku dapatkan Hawa,” tekan Zakwan.
Dia tidak mahu menunggu lagi. Hawa tidak akan dilepaskan kali ini.
Buat pertama kalinya, Zakwan resah. Terbayang wajah manis Hawa yang sedang tersenyum. Pertama kalinya hatinya bergetar lagi setelah sekian lama. Sesekali matanya mengintai-intai ke arah Hawa. Dia tidak kisah Badrul mentertawakannya asalkan Nina mahu menolongnya. Usianya telah 33 tahun. Sudah sampai masanya dia memikirkan soal hati ini.
"Kau serius? Dia tu janda. Kau patut dapat orang yang lebih muda dan cantik darinya".
"Hawa baru 30 tahun dan bukan salahnya dia menjadi janda. Dia seorang wanita yang baik. Nina tak rasa jika diberi pilihan dia nak bercerai!" tegas Nina mempertahankan Hawa.
Dia tidak suka Badrul memperkatakan seolah-olah janda ni tak layak untuk bahagia. Lagipun perempuan mana yang mahu menjadi jandi. Jika boleh bertahan, pastinya mereka akan mempertahankan rumahtangga mereka sehingga ke akhir hayat.
"Abang tak kata dia tak baik. Cuma abang tak yakin Zack ni pilihan terbaik. Bukannya aku tak tahu reputasi kau, Zack". Jawab Badrul sambil memandang sahabatnya, serious.
“Kali ini lain Bad. Aku mahu dia jadi isteri aku.!” Tegas Zakwan. Terus terang.  
Bulat mata Badrul dan Nina memandang Zakwan inginkan kepastian. Berkerut dahi Badrul memikirkan sesuatu? Adakah apa yang terlintas difikirannya adalah perkara yang dimaksudkan oleh Zakwan? Matanya terlebih dulu menyoal sebelum bibirnya bersuara.
Zakwan tersenyum sambil menepuk bahu Badrul. Belum masanya dia membuka kisah semalam walaupun pintu hati yang tertutup bertahun lamanya kembali terbuka.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan