' Sahabat' pena bab 3




Hawa membuka pintu kondonya. Kosong dan sepi. Diletakkan sandal di tempat letak kasut sebelum melangkah ke ruang tamu. Lantas direbahkan badannya di sofa berbentuk L berwarna merah terang itu. Ada lelah dan letih membaluti dirinya. Seharian bekerja kemudian menghadiri majlis di Palace Hotel amat meletihkan. Namun keletihan itu tidak sebanding dengan kesepian hatinya. Hawa menutup matanya seketika. Ada rasa sendu di hati. Patutnya di saat ini dia ada seseorang untuk berkongsi perasaan dan hidup. Namun sejak awal tahun, semuanya kosong. Dia kini sendirian.
Menerima khabar dari bekas adik iparnya tentang abangnya bakal mendirikan rumahtangga tidak lama lagi, sedikit sebanyak hatinya tersentap, ada pilu datang mengusik hati. Tempoh perpisahan tidak sampai setahun, bekas suaminya telah pun bertemu jodoh semula. Kesangsian dulu kini terbukti. Bukan salah dirinya yang mempunyai kerjaya yang lebih tinggi daripada Sabri. Hatinya memang telah berubah. Percintaan yang terjalin lebih lima tahun dan perkahwinan selama lima tahun, rupa-rupanya bukan jaminan untuk hidup bahagia. Tidak memberi sebarang erti jika tiada usaha mencari kebahagiaan itu. Jangka masa yang panjang juga tidak dapat menghalang hati seseorang daripada berubah dan berpaling kepada yang lain.
Hawa tidak ingin menyalahkan sesiapa, mungkin juga perpisahan ini berpunca daripada kelemahan dirinya yang tidak pandai mengambil hati suaminya. Keterbatasan waktu bersama juga mungkin salah satu puncanya. Ada air di tubir matanya yang terpejam. Sendirian begini... membuatkan hatinya rapuh. Kesedihan mula bertandang. Kenangan hidup bersama dulu diulang tayang di dalam mindanya. Hawa berusaha menenangkan hati sendiri. Namun hatinya tetap degil mahu mengingati  setiap perbualannya dengan Sarina.
"Kalau Ina beritahu Kak Chik, jangan terkejut ya"
"Apa dia?"
"Abang Chik nak kawin bulan depan"
"Ooooo dah sampai dah jodoh dia. Alhamdulillah. Abang Chik Ina bukan boleh tahan lama-lama tinggal sorang"
"Kak Chik tak terkejut?"
"Kak Chik dah agak perkara ini bila kami memutuskan untuk berpisah dulu. Dia nak kawin dengan kawan tempat kerja diakan?"
"A'aah mana kak Chik tahu?"
"Kak Chik pernah terbaca sms romantik mereka"
Lama mereka terdiam selepas itu. Sememangnya ada rasa sebak di hati. Perkara dah berlaku buat apa ada rasa marah kan? Cuma terkilan itu tetap hinggap di hatinya.
"Tapi bakal isteri abang Chik tak adalah lawa sangat. Nampak macam lebih tua dari abang Chiklah. Tapi hairan macam mana abang Chik boleh terpikat dan tinggalkan kak Chik. Padahal kak Chik lebih segala-galanya dari perempuan tu"
"Dah jodoh mereka dan setakat ini jodoh kak Chik dengan abang awak."
"Entah-entah abang Chik kena guna-guna kat perempuan tu tak!"
"isyyyyy.. tak baik menuduh. Tak baik berburuk sangka. Kak Chik tengok, abang awak sedar apa yang dia buat. Hatinya dah berubah. Mungkin salah kak cik jugak"
"Abang tu bodoh. Tak sedar dia dah lepaskan permata di dalam genggaman untuk kaca yang berkilau indah di depan matanya. Ina percaya lepas ni, Abang Chik pasti menyesal"
"Tak baik Ina cakap macam tu. Kata-kata itu sebagai doa tau. Kak Chik tak nak abang awak menyesal dan kalau boleh lepas ni kak chik tak nak ada kaitan langsung dengan abang awak"
"Habis tu Ina pun kak chik tak nak ada kaitan jugaklah"
"Isyyy.. tak adalah. Awak, kak chik anggap sebagai kawan dan adik kak chik. Cuma kalau boleh, selepas ni kak chik tak nak tahu apa-apa pun pasal abang awak. Bila-bila masa awak nak cakap dengan kak chik, telefonlah. Tapi dengan syarat jangan sentuh pasal abang awak, boleh"
Kemudian masing-masing terdiam.
"Ok..Ina janji"
Bibir Hawa terus menguntum senyum. Walaupun hambar namun bibirnya tetap tersenyum. Inilah dugaan hidup yang paling hebat yang perlu dihadapinya. Hawa membuka matanya kembali dan memandang siling pastel kondonya. Hidup perlu diteruskan. Ya Allah, aku ingin terus tersenyum. Aku ingin membuang jauh-jauh rasa iri hati melihat dan mendengar kebahagiaan dirinya dan juga kawan-kawanku yang lain. Aku ingin bahagia dengan caraku. Aku ingin bahagia dengan kehidupan yang aku lalui kini. Aku ingin bahagia seperti mana mereka sedang berbahagia. Ya Allah, jauhkan perasaan cemburu dan iri hati di dalam hatiku ini. Kosongkanlah fikiranku dari berfikir perkara yang negatif. Aku tahu, disebalik dugaan ini, ada hikmah di sebaliknya.
Kemudian di bawa diri ke dalam bilik tidurnya. Jam di dinding menginjak ke dua belas tengah malam. Malam kian sepi. Sesekali sayup-sayup kedengaran salakan anjing liar dan juga ngauman kenderaan di jalan raya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan