'Sahabat' pena bab 6



Nina tersenyum manis di pintu utama rumahnya menyambut kedatangan Hawa. Hawa membalas senyuman itu. Ditangannya dijinjit plastik berisi buah-buahan. Adat bertandang ke rumah orang, tidak manis jika datang berlenggang tanpa sebarang buah tangan.
"Assalamualaikum...."
"Waalaikumussalam.. akhirnya sampai jugak kau... Ingatkan dah makan buah langsat tadi" Seloroh Nina sambil menyambut huluran tangan Hawa. Ditarik Hawa ke dalam pelukannya.
"Makan jugak dua tiga biji tadi, berpusing-pusing jugak tadi sebab tak nampak nombor jalannya" Beritahu Hawa.
"Jom masuk.." Ajak Nina sambil menyambut huluran plakstik buah-buahan yang dihulurkan oleh Hawa.
"Susah-susah je kau bawak buah ni" Ujar Nina berbahasa.
"tak susah pun, aku berhenti tepi jalan je beli buah ni. Bukan buat pun" balas Hawa.
"Bawak ke kau masak ni?" Soal Hawa lagi.
"banyak tu tak, tapi penuh gak meja tu..." Jawab Nina sambil tersenyum-senyum.
"Sejak jadi bos kat rumah ni, macam-macam jenis masakan aku cuba. Kau cakap je nak makan apa.. Insyaallah aku boleh buat"
"Hmmm.. aku jugak yang tak pandai masak. Mana ada masa nak masak-masak ni, banyak makan kat luar je" Akui Hawa. Dia terasa kagum dengan perubahan hidup yang dialami oleh Nina. Dia pula tetap seperti dulu. Terasa dia kini ketinggalan jauh dari segi kesempurnaan kehidupan seorang wanita.
Hawa cuba mengikhlaskan senyuman. Sepatutnya dia gembira melihat kebahagiaan yang dikecapi oleh Nina dan berdoa agar dia bisa diberi peluang
Dalam masa yang sama seseorang memberi salam dan berjalan mendekati mereka
"Waalaikumussalam.. panjang umur kau.. abang ada sebut-sebutkan bila nak sampai ni, janji nak datang awal"
"Aku terpaksa masuk pejabat sekejap... ada hal penting pulak kena siapkan" Balas Zakwan sambil menjeling dan menghadiahkan senyuman kepada Hawa.
Nina memahami isyarat secara tak langsung Zakwan itu lalu..
"Kenalkan Hawa, kawan aku semasa kerja dulu"
"Hawa... ini Zakwan kawan baik Badrul semasa di Universiti dulu"
"Hai... apa khabar?" Soal Zakwan sambil menundukkan sedikit tanpa berkenalan. Hawa membalas, juga membongkokkan badannya.
"Alhamdulillah sihat..."
"Mari masuk... takkan nak sembang depan pintu pulak" Ajak Nina.
Zakwan dan Hawa saling berbalas senyuman sebelum melangkah masuk.
Di meja makan terhidang pelbagai jenis makanan air tangan Nina. Hawa kagum dengan perubahan Nina. Dulu boleh dikatakan Nina seorang gadis yang suka bersosial. Tidak suka memasak dan lebih suka menghabiskan masanya di luar bersama kawan-kawan. Berbanding dengan dirinya, jika bercuti atau masa lapang dia lebih suka menghabiskan masanya di rumah ataupun keluar bersama-sama Sabri.
Dipandang wajah Nina dengan senyuman kagum.
"Kau masak ni Nina?"
"Yelaa habis tu siapa pulak yang nak masakkan? Laki aku tu bukannya suka makan kat luar. Dia cakap apa gunanya ada isteri di rumah kalau terpaksa makan kat luar lagi"
Hawa tersenyum. Berbeza dengan bekas suaminya yang lebih suka makan di luar dari memakan masakannya. Katanya konon takut dia kepenatan setelah seharian bekerja, padahal Hawa tahu Sabri tidak suka makan makanan yang dimasakkan kerana tidak kena dengan seleranya.
"Dah ada isteri kat rumah kan. Mestilah nak makan masakan rumah. Dulu bujang-bujang terpaksa makan kat luar. Takkanlah bila dah kawin kena tukar seleralah" Sampuk Badrul yang berjalan seiringan dengan Zakwan menuju ke meja makan.
"Jemput duduk.. " Pelawa Badrul dengan senyuman manisnya. Hawa duduk bersebelahan dengan Nina dan bertentangan dengan Zakwan. Manakala Badrul pula mengambil tempat di kepala meja. Disisinya anak sulung mereka, Syuhada. Doa makan dibawa oleh Syuhada. Mereka makan sambil berbual-bual.
Selesai makan, Hawa menolong Nina mengemas. Tanpa ditanya Nina bercerita mengenai Zakwan.
"Zakwan tu selalu juga datang sini. Mereka sahabat baik sejak zaman belajar lagi. kalau kau nak tahu Zack tu masih solo lagi tau. Entah siapa yang ditunggunya, tak tahulah aku"
"Diorang sebaya ke?" Soal Hawa pula. Takkanlah tidak memberi respon sedangkan kelihatan Nina beriya-iya bercerita mengenai sahabat baik suaminya.
"A'aah tiga puluh lima tahun"
"Hmmm... kau tak nak cari pengganti ke Hawa? Dengar cerita si Sabri tu dah kahwin lain?" Perlahan Nina bertanya. Cuak juga dia kot-kot soalan itu membuatkan hati Hawa sedih.
Senyuman tawar dilepaskan. " Aku tak terfikir lagi Nina. Aku hendak mencari diri aku yang hilang dulu. Menstabil balik jiwa aku ni dan baru fokus dan rancang masa depan. Tapi aku tak terfikir pun tentang pengganti Sabri"
Nina memandang Hawa dengan wajah simpati. " Kau kena kuat Hawa. Sabri bukan jodoh kau dah. Dan aku tahu dia bukan lelaki terbaik untuk kau. Ada lagi diluar sana seseorang yang merupakan jodoh kau. Jangan berserah je. Dan jangan fikir ini penamat dalam mengejar kebahagiaan diri."
Hawa tersenyum-senyum. " Aku baru terfikirkan perkara ini. Aku baru nak cakap aku tak nak kawin lagi dah. Kau pulak cakap macam ni"
"Isyyy... kau masih mudalah. Kita sebaya. InsyaAllah jodoh kali ke dua akan ada"
"Hahaha.. Ada orang nak ker janda macam aku ni?" Soal Hawa lagi.
"Ada... dan aku tau pasti ada" Nina menekan suaranya.
"Kau tak takut dengan aku ni?" Soal Hawa senada. Cuba untuk menguji.
"Takut apa pulak?" Soal Nina pelik.
"Manalah tahu takut kot-kot aku tergoda lelaki kau. Sedangkan kawan-kawan lain, dengar je aku jadi janda, hendak dengan tak hendak je kawan dengan aku. Seolah-olah aku ni buat silap besar dengan mereka. Atau aku ni pernah menyakitkan hati mereka" Balas Hawa panjang lebar.
"Kau tak cakap macam ni aku tak terfikir pun Hawa. Orang yang fikir macam kau cakap tu, orang yang cetek pemikiran. Belajar je tinggi-tinggi tapi tertutup minda. Tak payah kau ambil kisah sangat. Lagipun aku tahu kau siapa dan laki aku macam mana orang. Keyakinan dan kepercayaan itu penting dalam mana-mana perhubungan. Asas kebahagiaan dan persahabatan." Terang Nina.
Hawa kagum dengan kematangan pemikiran Nina. Tersenyum mendengar olahan kata Nina. Nina yang dikenali dulu dan sekarang jauh bezanya. Mungkin kerana factor usia mematangkan pemikirannya. Tiada lagi sikap gila-gila semasa di zaman bujang dulu. Nina telah menjadi seorang wanita yang bersikap keibuan. Tutur katanya tersusun dan lembut. Tiada lagi sindir-sindiran seperti dulu. Nina kini amat menyenangkan hatinya. Walaupun dulu mereka tidak berapa rapat biarpun pernah di bawah syarikat yang sama, namun tidak pula mereka bermasam muka. Ada juga mereka bertegur sapa dan berbual mesra.
Hawa akui, dia dahulu bukanlah seorang yang peramah.. Bertegur sapa hanya apabila orang lain memulakan dulu. Bercakap bila perlu dan fokusnya lebih pada kerja daripada berbual tanpa faedah. Mungkin kerana sikapnya itu membuatkan dia tidak ramai sahabat dan jika ada pun sahabat tidaklah rapat mana. Sekadar kenal mengenali dan berbual sepatah kata. Sebetulnya dia tidak pandai bergaul mesra, jiwanya terasa kosong dan merasakan mereka tidak kena jiwa dengannya. Begitu juga hubungannya dengan Nina. Namun sebagai teman yang pernah bekerja sama dulu, Hawa tidak pernah lupa. Semuanya disimpan kemas dalam lipatan memorinya.
"Kalau aku ikutkan rasa cemburu aku ni Hawa, dah lama aku pergi serang gadis-gadis gedik yang berurusan dengan suami aku tu. Tapi satu je, aku pegang kata-katanya, asas perhubungan suami isteri adalah kepercayaan. Jika kepercayaan itu tiada, goncanglah rumahtangga. Bercerai berailah keluarga bahagia. Jadi aku kena percayakan suami aku tu. Apa yang dia buat adalah untuk aku dan anak-anak juga. Jadi jika ada perkara yang aku musykil dan was-was, terus tanya., Jangan sesekali percaya cakap orang. Sebab tidak semua orang gembira dengan kebahagiaan kita. Jadi bagi aku percaya kepada suami adalah asas kebahagiaan kami sekarang. Aku tahu setiap pergerakan Badrul. Projek apa yang dia tengah buat, dengan siapa dan ke mana dia pergi, semua aku tahu. Aku pun tak adalah hendak menyibuk sangat. Sesekali lelaki ni kena diberi kebebasan juga. Tidak boleh terikat dengan kita dua puluh empat jam," Jelas Nina panjang lebar.
Hawa kagum mendengarnya.
"Kau telah banyak berubah Nina, lebih matang dari dulu. Kagum aku dengarnya"
Nina ketawa kecil. Hawa ... Hawa....
"Takkanlah aku nak kekalkan sikap aku masa bujang dulu. Ikut kepala aku nak buat apa pun," gelak Nina.
Dia turut sama tergelak. Gembira melihat kebahagiaan Nina walaupun ada rasa berbekam di dalam jiwa. Terhembus angin cemburu di hati. Mengapa dia tidak menggapai bahagia sepertinya? Mengapa dia perlu melalui saat-saat perpisahan dengan suaminya. Adakah aku yang bersalah? Tidak menjadi isteri sempurna seperti Nina? Adakah kerana sikapnya yang mementingkan kerja yang membuatkan Sabri beralih arah sedangkan semua yang dilakukan adalah untuk keluarganya juga.
"Setiap orang akan berubah apabila tiba masanya Hawa. Aku pun kagum dengan kau, berjaya menjawat jawatan tinggi di dalam MNC company. Calang-calang orang yang dapat duduk di kerusi kau sekarang ni," terselit pujian di dalam kata-kata Nina.
Ikhlas dari hatinya, dia bangga dengan kejayaan yang dicapai oleh Hawa. Tentunya dia Hawa bekerja keras untuk mencapai kedudukan seperti sekarang.
"Hmmm.... Aku tak sedar pun semua itu, yang aku tahu kerja ... kerja dan kerja, sampailah ke tahap sekarang. Bila aku sedar diri, rupanya ada sesuatu yang perlu dikorbankan di dalam hidup aku ni" Kata Hawa perlahan.
‘Dan kerana kerja juga aku kehilangan suami,' bisik hati kecilnya.
Andai dapat diputarkan masa kembali, dia rela berhenti kerja dan berbakti pada suaminya seperti Nina. Biarlah tidak kaya asalkan mencukupi keperluan asasnya. Biarlah mereka hidup sederhana tetapi hati bahagia. Kini segalanya sudah terlambat. Di kala dia tersedar kekhilafannya, Sabri telah menemui cinta baru.
"Peluang sentiasa ada apabila kau bukakan minda kau. Yang lepas biarkan ia berlalu dan pandang ke hadapan serta perhatikan sekeliling kau. Berikan peluang apabila ada seseorang ingin mengetuk pintu hati kau" Nasihat Nina lagi.
"Aku suka dengan maksud ayat al-quran ni, Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. Tak silap aku surah Al-Baqarah ayat 286."
"Kau kena yakin, setiap musibah yang berlaku pada diri kau ada hikmah yang tersembunyi. Macam aku juga. nampak bahagia tapi ada juga duka. Hidup manusia ni tak pernah lagi dari musibah dan masalah. Terpulang pada diri kita bagaimana hendak menghadapi dan menerimanya."


Tiada ulasan:

Catat Ulasan