Abang Hensem Jihan! - Intro






Bab bagi tajuk hot untuk cerita saya tulis memang fail. Ingat nak bagi tajuk JIRAN DEPAN PINTU tapi macam tak best pulak tajuknya. Jadi tukarlah tajuk ABANG HENSEM, JIHAN!  Tapi kalau ada yang baca cerita ni nanti, nak cadangkan tajuknya, dialu-alukan. Cerita pendek je ni... Sudah 60% peratus siap. Tapi saya up part by part dalam blog ni sampai raya. Hari raya In Shaa Allah tamat.

---------@@@-----------



Langit malam yang indah. Seketika Tisya mendongak merenung langit. Bintang-bintang bertaburan, cantik sebagai penghias langit malam. Seketika bibirnya terukir senyum. Sayang sekali dia tidak tahu mengenal pasti buruj bintang di langit. Tidak tahu bagaimana bintang menjadi petunjuk kepada para pelayar. 

Mata melihat jam tangan,  sebelas setengah. Sudah lewat malam. Bukan tak biasa balik lewat malam, tapi ini kali pertama dia sendirian tanpa ditemani oleh abang ngah. Biasanya abang ngahlah yang mengambilnya. Tisya tarik nafas, rasa takut dan seram dalam hati dibenam dalam – dalam. Tali begnya di pegang kejap. Dia perlu membiasakan diri dengan keadaan ini. Sebab sampai bila dia nak mengharapkan abang ngah. Lagipun ini pilihannya, tidak mahu ikut berpindah ke Pasir Gudang. Mahu hidup berdikari.

Ting...

Lif sampai, dia terus masuk. Seorang lelaki tinggi lampai juga turut masuk. Tisya merapatkan badan ke penjuru lif. Rupanya dia tidak sendirian. Dan itulah juga membuatkan hatinya makin kecut. Entah-entah penjahat! Perogol bersiri!

Sekilas Tisya memandang butang lif. Tingkat 13. Dan lelaki itu tidak tekan pun mana-mana tingkat. Ah.. sudah! Dia ikut aku ke? Tisya mengagau di dalam beg. Mencari benda yang boleh dijadikan alat mempertahankan diri.

“Tak nak keluar? Dah sampai ni,” tegur lelaki itu tiba-tiba sambil melangkah keluar.

Tisya angguk. Dibiarkan lelaki itu berjalan ke depan. Senang dia memerhatikan tingkah lakunya. Senang juga dia mahu melarikan diri jika lelaki itu mahu mengapa-apakannya.

Lelaki itu berdiri di depan rumahnya. Sekilas dia menoleh memandang Tisya. Tisya buat-buat tidak peduli.

“Selamat malam,” ucap lelaki itu sambil membuka pintu rumahnya.

Tisya terhenti di depan pintu rumah lelaki itu. Sudah tertutup rapat.  Eh.. Rupanya mereka berjiran. 

Jiran depan pintu.

Tisya menarik nafas lega. Ingatkan penjahat!

Tisya membuka pintu rumah, serentak pintu rumah depannya terbuka kembali.

“Eh awak baru pindah sini ya?”

Tisya menoleh, lelaki tadi tercegat di depan pintu rumahnya.

Tisya angguk.

“Bila pindah?” Soalnya ramah.

Aik mamat ni, orang dah laa penat. Kaki ni sakit dan lenguh berdiri sepanjang hari, tak rajin pun nak beramah tamah dengan dia, rungut Tisya.

“Minggu lepas.”

“Patutlah.. saya tak ada minggu lepas. Out station.”

“Selamat berjiran ya. Jaga diri. Jangan terpengaruh sangat dengan perangai tak elok rakan serumah 
nanti,” pesannya sambil senyum. Dia terus menutup pintu rumahnya.

Tisya pula tercengang-cengang depan pintu. Apa maksud dia? 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan