Cinta Bawah Sedar Bahagian Dua


Akhirnya aku kembali ke desa. Rumah kampung separuh kayu dan batu ini bakal aku huni kembali. Jendela bilik, aku buka luas. Kicauan burung dan ayam itik ternakan mak bagaikan muzik indah di halwa telinga ku. Tenang. Damai. Itulah yang aku rasakan saat ini. tak pernah lagi jiwanya setenang ini. melihat kehijauan pokok buah-buahan yang arwah ayah tanam di tepi rumah, aku senyum sendiri. Kali ini musim buah-buahan aku tidak akan terlepas untuk menikmati lagi.
Uwa..Uwaa...
Tiba-tiba terdengar suara kanak-kanak menangis. Dahiku berkerut. Setahuku, rumah sebelah hanya tinggal Pak Uda dan Mak Uda sahaja. Anak-anak dan cucunya hanya berkumpul di hujung minggu ataupun cuti sekolah sahaja. Pantas mataku melilau mencari suara tangisan itu.
Di tepi pagar, seorang anak kecil jatuh terduduk, memegang kaki. Segera aku capai tudung lalu turun menuju ke tempatnya.
“Kenapa ni?”
Aku duduk bertinggung di depannya. Mukanya basah dengan air mata. Tangan pula pegang kaki. Nampak ibu jari kakinya terluka.
“Atuh. Akit...” kemudian dia menangis.
Comel. Aku tak mampu nak tahan senyum. Wajah comel menangis di depanku membuatkan naluri keibuan di dalam hatiku tersentuh.
“Meh Mak long tengok. Bangun dulu.” Aku pegang tubuhnya supaya berdiri.
“Akit..” adunya.
Terus aku angkat dukung.
“Hasif, kenapa ni?” suara garau yang menegur membuatkan tubuhku kejung seketika. Hati berdetak laju. Rasa yang terkurung di sudut paling dalam di dalam hatiku terlepas. Wajahku pucat. Aku tak suka dengan perasaan ini. bertahun-tahun berlalu, aku mengelakkan diri dari berdekatan dengannya, hari ini entah dari mana malangnya, dia berada dekat denganku.
“Atuh. Akit baba..” Adu si kecil yang berada di dalam dukunganku.
“Sini baba tengok.”
Terpaksalah aku berpaling mengadapnya. Senyum kekok campur segan aku hulurkan. Rasanya lebih sepuluh tahun kami tidak bersua. Kali terakhir aku melihatnya ketika dia bersanding di atas pelamin dengan pasangannya.
Tanpa kata aku hulurkan anak kecil itu kepadanya. Tapi si kecil dalam dukunganku memelukku erat. Tidak mahu lepas.
“Tak nak..” si kecil gerakkan kepala kiri kanan laju. Pelukan tangan kecil itu semakin erat.
“Biar saya tengokkan luka dia, Abang Zaid,” akhirnya suaraku keluar juga.
“Tak apa ke? Hasif ni lain sikit. Takut susahkan Za pulak.”
Aku geleng kepala. “ Tak susahlah. Lepas saya sapu ubat, nanti saya hantar dia ke rumah mak uda,” jawabku.
“Kalau macam tu abang ucapkan terima kasih Za,” dia senyum. Dan senyuman itu meluluhkan rinduku selama ini.
Tapi hati kecil terus memberi amaran. “ Jangan nak simpan perasaan lagilah. Suami orang tu. Ingat sikit. Jangan nak terhegeh-hegeh pula, nanti di cop andartu gatal.”
“Sama-sama.” Hanya sepatah jawapan tanpa melihat wajah kacak itu, aku berpaling dengan Hasif di dalam dukunganku.
“Bila Za balik? Cuti lama ke?” Si dia ajak berbual pula. Aku hentikan langkah yang baru selangkah itu.
“Malam tadi sampai. Aah cuti lama,” balasku tanpa mahu meneruskan perbualan. Aku mahu cepat masuk ke dalam rumah dah ubati luka Hasif dan menstabilkan jantungku kembali.
“Patutlah tak nampak. Dah lama sangat abang tak nampak Za.” Dia kelihatan masih mahu mengajakku berbual-bual. Hasif pula semakin melekat di tubuhku. Kepalanya dijatuhkan di atas bahuku. Begitu manja anak ini, hatiku tersentuh. Jika aku kahwin, tentu anakku juga manja begini, getus hatiku.
“Erk.. Saya nak sapu ubat dekat luka Hasif ni. Abang jemputlah ke rumah. Mak ada dekat dapur tu. Tengah buat nasi lemak,” pelawaku. Tidak betah berlama. Aku mahu melarikan darinya seketika sebelum hatiku meletup ni.
Dia senyum. Kakinya mula melangkah mengekoriku. Aku masuk melalui pintu dapur.
“Mak, Abang Zaid datang ni,” beritahuku.
“Laa kenapa pulak Hasif berdukung pagi-pagi ni,” mak datang dekat dengan aku dan Hasif.
“Jatuh dekat tepi pagar tadi. Luka ibu jari ni. Za nak sapukan ubat kejap. Dia tak nak baba dia ambil.”
“Alahai kasihannya cucu nenek ni. Pergilah masuk sapu ubat dulu,” arah mak.
“Masuklah Zaid. Kenapa tercegat di muka pintu tu.”
Aku dengar suara mak menegur Abang Zaid. Aku pula terus menghilang ke dalam bilikku. Aku letakkan Hasif di atas katil. Dettol yang berada di dalam almari diambil bersama kapas. Kemudian aku duduk di sebelahnya. Kaki kanan yang terluka itu aku angkat dan letakkan di atas pahaku.
“Pedih sikit ni. Tahan ya. Mak long tahu Hasif anak lelaki yang kuat,” pujukku.
 Hasif angguk laju.
Aku senyum melihat telatahnya. Naluri keibuanku tersentuh lagi. Aku gosok kepalanya. Selesai sapu ubat, aku dukung dia ke dapur.
“Carilah ibu baru Zaid. Anak-anak kau ni kecil lagi, perlukan ibu. Dah setahun Aisyah tu pergi.”
“Saya belum bersedia lagi Mak Cah. Saya rasa Aisyah masih lagi bersama kami. Biarlah dulu.. Saya mampu jaga anak-anak saya Mak Cah.”
Langkah kakiku perlahan. Telingaku menangkap butiran perbualan mak dan Abang Zaid. Ada tanda tanya di hati. Ke mana Kak Aisyah pergi?
“Dah siap.” Aku berjalan mendekati meja makan.
Hasif aku letakkan di atas kerusi. “ Hasif nak makan nasi lemak tak?” soalku lembut.
Kepala Hasif angguk laju. “Lapar.” Ucapnya sepatah. Aku senyum lebar. Kepalanya aku usap penuh kasih.
Tanpa sebarang kata aku ambil pinggan dan mengisi nasi lemak untuk Hasif. Hanya telur rebus dan ikan bilis sahaja aku letakkan di dalam pinggan itu.
“Nak cuap,” minta Hasif. Aku senyum lebar. Tangan kiri naik mengusap kepala Hasif. Aku dah jatuh sayang pada lelaki kecil ini. wajahnya saling tak tumpah babanya. Menatap lama-lama wajah itu seakan meleraikan rindu bertahun yang terhimpun di dalam hati.
“Biar baba suapkan. Mak long Za nak makan tu,” Abang Zaid bersuara. Namun Hasif cepat geleng kepala. Mukanya masam. Tangan pula bersilang di dada. Matanya tajam jeling babanya.
Hampir tergelak aku tengok gelagat merajuk Hasif ini.
“Nak Mak long cuap. Baba cuap tak cedap,” tegasnya. Aura Abang Zaid menurun kepada si anak. Dan aku terus terpesona. Jatuh cinta dengan Zaid Junior ini.
“Okey mak long suapkan. Tapi kena makan habis satu pinggan ni. Tak habis lain kali mak long tak mahu siapkan dah,” pujukku.
Abang Zaid pula geleng kepala. Tangan naik gosok rambut sendiri. Aku tahu dia tengah mengumpul sabar dengan Hasif ini.
“Tengok tu Zaid, kasihan kat anak. Nak rasa air tangan ibu. Fikirkanlah apa yang mak cah cakap tadi,” ujar mak. Aku diam tak tahu hujung pangkal perbualan mereka. Tumpukan perhatian kepada Hasif. Laju anak itu makan, makan dah seharian tak makan.
“Hasif tak makan lagi ke pagi ni?” tanyaku lembut. Jam di dinding dapur aku kerling. Sudah hampir sebelas pagi. Takkanlah Abang Zaid tak bagi anak makan lagi.
“Dah tapi apar lagi. Cedap.”
Aku sengih. Sempat aku jeling Abang Zaid yang nampak serba salah.
“Abang minta maaf Za, kalau Hasif ni susahkan Za.”
“Tak susah manalah Zaid. Za ni pun tak ada kerja juga. Terperuk dalam bilik tu. Ni baru keluar.” Tak sempat aku nak jawab, mak dah mencelah. Jadinya aku tersenyum nipis. Biarlah mak yang layan Abang Zaid tu.
Seketika kemudian, telefon pintar Abang Zaid berbunyi.
“Assalamualaikum umi. Haa dah jaga. Zaid balik sekarang.”
Telefonnya dimatikan. Abang Zaid pandang aku dan Hasif yang masih lagi tadah mulut untuk disuapkan.
“Abang baliklah dulu. Nanti dah habis makan, Za hantarkan Hasif balik,” ujarku. Riak wajahnya serba salah.
“Betul tu Zaid, pergi balik tengok Atia dulu. Tinggal je Hasif kat sini. Za ni ada, boleh jaga,” mak pula menyokong kata-kataku.
“Terima kasih Mak Cah, Za. Maaf sebab pagi-pagi lagi susahkan Za.”
“Sama-sama. Tak susah pun. Hasif ni budak baik. Kan Hasif?” rambut Hasif aku usap penuh kasih.
Laju Hasif angguk.
“Hasif nak mak long jadi mama baru.” Laju mulut mungil itu meluahkan perasaannya.
Aku tergamam.

***** 

Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan