Cinta Bawah Sedar Bahagian Empat



Petang itu, baru aku hantar Hasif. Itu pun setelah mak membebel-bebel dekat aku. Mulanya aku minta mak je hantar. Entahlah kaki ni masih lagi berat nak melangkah ke rumah sebelah. Lebih-lebih lagi mak boleh baca apa yang ada dalam hati aku ni. Malu weh.
“Pergilah. Mak tak larat nak jalan ni,” sambil tangannya urut lutut. Tahu dah alasannya. Padahal jarak rumah mak dan rumah Mak uda, berapa langkah je. Tak sempat nak sakit dah sampai ke pintu rumah Mak uda tu.
“Za pun dah lama tak jumpa mak uda kan? Bila lagi nak tunjuk mukanya.” Mak dah mula masuk bab membebel dah.
“Banyak masa nak jumpa mak uda lepas ni mak. Za kan dah balik sini terus. Jaga mak,” jawabku beralasan.
Aku pandang Hasif yang ralit melukis di atas kertas yang aku berikan. Hasif cuba tiru ikan yang aku lukis tadi, hampir berjaya dia tiru walaupun tak secantik yang aku lukis. Kira okeylah bagi anak seusia Hasif ini. Aku gosok kepalanya.
“Pandailah Asif ni,” pujiku. Hasif tak banyak ragam. Ikut je ke mana aku pergi. Masuk bilik, dia masuk. Aku ke dapur, dia pun ke dapur. Nasib baik mandi, tak ikut. Itu pun sebab aku mandikan dia dulu. Langsung tak mahu berenggan denganku.
“Asif nak pandai macam mak long,” jawabnya polos. Aku senyum sampai ke telinga mendengar jawapannya. Mak long mana ada pandai Hasif. Baba Hasif  lagi pandai, bisikku sendiri.
Tak sempat nak berangan panjang lagi, kakiku dah sampai di laman rumah Mak uda. Kemas dan terjaga. Pokok bunga kertas Mak uda berbunga warna warni, menjadikan laman rumah berseri dan cantik. Spontan aku ukir senyum. Suasana macam ni pernah aku lakarkan dalam novel ke dua tu, mertua sebelah rumah.
“Along..” suara kecil Hasif mengembalikan aku ke alam nyata. Seorang budak perempuan bercekak pinggang di atas tangga. Mata tu tajam dan bibir dikemam pandang Hasif. Dia pula dijeling.
Aku senyum. Ini sudah tentu anak sulung Abang Zaid.
“Asif ni kalau tak menyusahkan baba tak boleh ke?” Along Hasif dah membebel. Ditarik tangan Hasif kuat.
“Eh, sakit tangan adik tu. Jangan kuat sangat along,” spontan aku menegur dan menahan.
Along jeling aku tajam. Macam marah sangat pada aku.
“Mak cik jangan masuk campur. Hasif ni adik saya, tahulah saya nak ajar dia.” Kasar suara along Hasif membalas.
Aku geleng kepala.
“Along.. baba tak pernah ajar anak baba cakap kasar dengan orang tua. Minta maaf.” Abang Zaid muncul di muka pintu. Aku mendongak tengok seketika sebelum beralih tengok Hasif.
Hasif tarik lengannya sehingga terlepas dari genggaman along. Kemudian datang peluk kaki aku. Wajahnya dah merah. Matanya pun berkaca, tunggu masa kaca itu pecah dan luruh.
Along mendengus kuat. Dia jeling aku lagi. Aku buat-buat tak ambil kisah.
“Along tak suka Hasif baik dengan perempuan luar yang entah mana datangnya. Tak tahu malu. Nak pikat baba, ambil hati Hasif dulu. Ingat along tak tahu ke?” sinis balasnya.
Hatiku terguris. Air mukaku berubah. Aku langsung tak pandang Abang Zaid dan anak perempuannya itu. Sebaliknya aku tunduk pandang Hasif
“Masuk!” tinggi suara Abang Zaid arahkan anak sulungnya masuk.
Along hentak kakinya kuat dan mendengus geram sebelum masuk ke dalam. Dia tak perlukan kata ke dua dari babanya.
“Hasif masuk dulu ya. Mak long nak balik dulu.” Tangan kecil yang memeluk aku cuba rungkaikan. Tapi Hasif tidak mahu lepas.
Laju kepalanya bergerak kiri kanan. “Tak nak. Nak ikut Mak long,” tercebik-cebik Hasif menjawab.
“Dah nak malam ni. Esok pagi Hasif boleh jumpa mak long lagi.” Hasif tetap geleng.
“Nak mama long..” Dan aku terus terkedu bila Hasif terus sembamkan mukanya di kakiku.
Aku pandang Abang Zaid. Dia tengah dukung anak bongsunya. Tangan Atia terkapai-kapai kepadaku.
“Ma..ma..” wajah Atia juga dah tercebik-cebik. Aku terkelu sekali lagi. Mataku memandang si kecil. Dan tanpa sedar aku hulur tangan. Dalam sekejapan, si kecil melontarkan badannya ke dalam pelukanku. Atia paut leherku. Disembamkan mukanya di dadaku. Aku hilang kata. Naluri keibuan meresap ke seluruh tubuhku.
Abang Zaid kaku berdiri, memandangku. Aku turut pandangnya. Pandangan kami bertaut lama. Kedua orang anak kecilnya terus bergayut pada tubuhku.
Ehemm.. Aku tersedar. Wajahku memerah. Pantas aku alihkan wajahku. Cium pipi Atia. Tangan kiriku pula usap kepala Hasif yang masih memeluk kakiku.
“Asif..” Abang Zaid duduk bertinggung. Sama tinggi dengan Hasif.
“Lepaskan kaki mak long tu. Mak long nak balik dulu. Esok Hasif boleh jumpa lagi mak long,” pujuknya.
Kepala Hasif laju geleng. “ tak nak. Nak ikut mama long. Tak nak balik,” suara kecil Hasif membantah. Dia tidak mahu lepas kakiku.
“Tadi Along beli aiskrim,” Abang Zaid pancing Hasif lagi.
“Tak nak. Aiskrim kat rumah mama long lagi cedap,” balas Hasif laju.
Aku ketap bibir, menutup bibir yang nak sengih ini. Mulut kecil Hasif ni kalau bab menjawab dan bagi alasan memang juara. Tadi pun semasa pujuk nak balik, macam-macam alasan dia bagi. Sampaikan aku tak sampai hati nak hantar pulang. Itu pun mak dah tunjuk rotan suruh Hasif balik. Jadi tercebik-cebik si kecil ni mengikutku. Dan di depan rumah mak toknya pun dia buat hal lagi.
Abang Zaid garu kepala. Mati kutu agaknya. Wajahnya merah. Mungkin tahan marah. Ataupun segan dengan kelakuan anak-anaknya.
“Mak long janji, esok pagi mak long datang ambil Hasif.”
“Baik Hasif duduk rumah mama long terus, tak yah balik,” polos Hasif menjawab dengan wajah disembunyikan di lututku.
Dan tiap kali nama mama disebut, hatiku bergetar indah. Naluriku tersentuh. Tak sampai hati nak halang anak yatim ini memanggilku mama. Mujurlah tak ketara sangat, sebab ada long di belakang mama tu.
“Biarlah malam ni Hasif tidur dengan Za je,” putusku tanpa fikir panjang lagi.
Keadaan ini aku tak pernah jangka sama sekali. Tanpa aku sedari drama sebabak ini ditonton oleh tiga pasang mata tua. Mata ke tiga-tiganya berkaca.
“Laa.. buat apa berbual dekat tangga tu. Zaid, ajak Za tu masuk dulu.” Mak uda muncul di pintu rumah. Sebelahnya along dengan wajah masam. Siap dijeling aku lagi.
“Allah.. lupa mak. Naik dulu Za,” ajak Abang Zaid.
“Asif lepas dulu. Bagi mama masuk,” Dan kata-kata itu menghantar rasa yang tak pernah aku mimpikan untuk bertandang di hati.

Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan