Selasa, 30 April 2019

Review 2 Aku Bukan Penggoda


Oleh Nurul Anisah..

I'm done reading this book.. Wahhhh!!! Tajuk buku nmpak macam mengancam tapi isinya memang superB sangat.. Baca time dialysis BP memang tinggi and setiap pages mesti rasa goosebumps and still nak turning pages nak tahu apa yang berlaku.. Okey the story begin with Baizura yang kehilangan keluargannya sejak dia berumur 13 tahun.. Kematian keluarganya berpunca kerana kuasa dan ketamakkan seorang manusia.. I pernah cakap manusia akan gelap mata dan hati jika ia melibatkan wang dan kuasa.. Bukan wang dan kuasa yang bodoh tetapi manusia itu sendiri yang bodoh.. Tidak tahu untuk menggunakkan ia dengan betul.. Bukan keluarga Zura shja terlibat dalam kemalangan tragis tapi ade lagi 2 buah keluarga yang lain terlibat juga.. 

Puan Aminah yang baik hati mencari waris mangsa yang terlibat dan menolong mereka.. Walaupun Zura kehilangan keluarganya ia sedikit pun tidak pernah hilang kasih sayang keluarga.. Bergantung kasih pada pakngah & makngah, Abg Zam dan Busu Ibnu(adik arwah papa Zura).. Disebabkan peristiwa pahit yg berlaku, Puan Aminah terus berubah watak.. Mengeluarkan arahan demi arahan untuk menuntut bela atas kematian anak sulungnya.. Pakngah & Makngah terpaksa PJJ & Abg Zam terpaksa menukar pengajian daripada doctor kepada peguam..Atas rancangan Puan Aminah bertemu lah Nurul & Aizat.. Zura & Zamri diarahkan untuk berbaik & berkawan sebab mereka dalam situasi yg sama..

One day, Zura ditukarkan ke Kuantan untuk mengaudit salah satu syarikat dan sambil2 tu belajar untuk jadi lebih baik.. Silap pengiraan I sebenarnya Zura lebih bijak mengatur strategi untuk menjatuhkan musuhnya sendiri tetapi actually dalam diam Aizat pun sama jugak.. Ohh sebelum tu Aizat & Zamri ini kawan baik + business partner.. Actually Aizat pun keliru kenapa buah hatinya, Baizura ni selalu sibuk dan cuba mengelak untuk beritahu hal sebenarnya yang mengganggu emosinya.. Bila tanya Zamri dia kata nak tahu apa kau jumpa Puan Aminah.. Dia lebih berhak bercerita.. Yer dengan keberanian Aizat dia bersemuka dengan Puan Aminah.. Dan disitu Puan Aminah menceritakan Apa yang berlaku 12 tahun yang dulu.. Apa yang berlaku sebenarnya?? 

Siapa dalang disebalik kemalangan itu berlaku?? 

Dapatkan Puan Aminah membalas dendam?? 

Adakah berbaloi pengorbanan yang dilakukan oleh Aizat & Baizura?? 

Semuanya terjawab dalam novel ni.. Sila dapatkan buku ni dikedai buku berhampiran you. Rugi kalau buku ni tiada dalam koleksi almari you.. 

Tahniah buat penulis novel ni Shima Rostam 
dan jugak penerbitnya Kak Peah Love Novel Wan Love Novel.

Buku yang terbaik untuk dibaca sebab jalan ceritanya pun tak membosankan tapi lebih mendebarkan.. Bukan cerita cinta tapi lebih kepada sifat seorang manusia.. Setiap buku ade penganjarannya dan tak terlepas buku ni juga ade pengajaran yang tersendiri...Renungan bersama supaya tidak berulang malah I sebagai pembaca beringat untuk tidak melakukan apa yg berlaku dalam cerita tersebut.. Setiap kejahatan akan dibalas kelak.. Salute sebab buku ni menceritakan apa2 yang berlaku family comes first.. So jangan lupa dapatkan buku ni tau..

Notes : Terima kasih Nurul Anisah... Saya doakan awak akan terus berjuang melawan sakit dan sentiasa positif.  

Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Khamis, 11 April 2019

Review Aku Bukan Penggoda..

Salam semua...
Good Day..

Ramai dah dapat dan baca Aku Bukan Penggoda. Ada yang PM saya personal cakap best... hehehe.. Alhamdulillah. Sebagai penulis mestilah sukahati kan... tapi nak bagi kritikan dan cadangan pun boleh. Nanti inshaallah saya cuba perbaiki corak penulisan saya....

Dan di sini saya nak kongsikan review oleh Zura Mohd...


Dari pandanga mata kasar dia memang pengoda dgn gaya yg agak menonjol buat Zura sentiasa menjadi tumpuan mata lelaki ..

Melepaskan Zura untuk sendiri bukan mudah bagai Aizat ..Hati Aizat sering tak tenang .. namun dia tahu sapa Zura ,sapa yg ada dalam hati gadis yg juga jadi intaian Akasyah dan Nik Rizal ..

Demi sebuah harga dan pembalasan Zura akur hidup terpisah dgn cinta hati ...pesanan nenek dan Zamri sering tersemat dalam fikiran .. apa yg pernah jd miliknya harus dimiliki semula ..

Aku Bukan Penggoda bukan lah kisah yg hanya bertunjang pembalasan dan godaan ..kisah ili lebih pada rapatnya sebuah keluarga , kasihnya seorg ibu dan nenek ..akurnya seorg suami , taanya seorg isteri ...

Tahniah kak Shima Rostam naskah menarik dan buat ku x sabar cari perkataan tamat ...

psstt kak Yong Rose Sharifuddin n Alida Love Novel kita dah habis baca Zura Gedik yer ...hehehe ..

#aiikanHeroin
#zuragedik



Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Jumaat, 5 April 2019

Bab 3 Aku Bukan Penggoda




“Terima kasih Cikgu..”

Nurul melangkah keluar dari kelas tingkatan 3. Kelas terakhirnya untuk hari ini. penat tetapi hatinya senang. Melihat wajah polos anak-anak didikannya seakan memberi kepuasan kepada dirinya. Ini adalah cita-citanya sejak kecil. Dia kagum dengan Cikgu Bedah. Walaupun air muka Cikgu Bedah garang, namun hatinya baik. Sentiasa mengambil berat tentang masalah pelajarnya. Dia masih ingat saat dia kehilang ayah kemudian ibu. Cikgu Bedahlah yang memujuk dan berada di sampingnya. Di sekolah, dia selalu berada di dalam pemerhatian Cikgu Bedah. Sikap keibuan Cikgu Bedah membuatkan dia memasang impian untuk menjadi seorang guru. Kini impiannya telah tercapai.

Baru saja punggungnya berlabuh di atas kerusi, telefon pintarnya berbunyi. Senyum merekah di bibir. yatim piatu ketika berusia 10 tahun, hidupnya tak pernah susah dan kekurangan. Dia dikurniakan pula keluarga angkat yang baik.

“Assalamualaikum kak ngah.”

“Waalaikumussalam Nurul. Dah habis kelas ke?”

“Aah.. baru habis kak ngah,” balasnya.

“Balik nanti singgah rumah. Mak rindu. Kata dah lama Nurul tak datang rumah.” Senyum melebar di bibirnya. Lama apa, padahal baru dua hari lepas dia bermalam di rumah keluarga angkatnya.

“Baik.. Nanti Nurul singgah. Kirim salam dekat mak. Kak ngah ada nak pesan beli apa-apa tak?” soalnya prihatin.

“Tak ada. Semua cukup. Kau tu yang tak ada. Mak suruh tinggal di sini tak mahu. Nak juga duduk menyewa.” Kak ngah dah masuk mood membebel. Tak pernah jemu mengulang cerita yang sama.

Dia segan. Budi baik mak dan kak ngah sekeluarga tidak mampu dibalasnya. Lagipun bukan jauh sangat dia menyewa, jalan kaki pun sampai. Sekurang-kurangnya dia masih ada ruang sendiri apabila anak cucu mak balik melawat nanti. Tidaklah dia macam kera sumbang. Walaupun semua ahli keluarga angkatnya melayannya dengan baik. Sepintas lalu terlintas satu wajah. Sebenarnya sebab pemilik wajah itulah yang membuatkan dia segan dan malu. Hati walaupun dicuba menyahkan putik-putik bunga rindu berkembang, tertumbuh juga benih cinta dalam diam.

“Okey kak ngah. Assalamualaikum..”

“Waalaikumussalam.”

*****

“Balik sekolah nanti Nurul singgah mak.”

Hmm... itu sahaja reaksi Puan Aminah. Zuliana pula diam memerhati. Jika mak diam begitu dia sedang berfikir. Mungkin ada kaitannya dengan Nurul.

“Mak nak Zamri kahwin dengan Nurul hujung tahun ni.”

Zuliana tersentak. Dia mengamati raut wajah maknya. Ada kesangsian dalam hati. Cadangan mak itu bagus tetapi sudikah mereka berdua disatukan? Setahunya Zamri dan Nurul tidak pernah berhubung selama ini. Walaupun mereka berdua tahu kewujudan masing-masing di dalam keluarga ini.

“Kena tanya mereka dulu mak. Jangan paksa. Mana tahu Zam dan Nurul ada pilihan masing-masing,” saran Zuliana. Memaksa tidak akan memberi bahagia melainkan menyeksa hati.

“Cipta peluang untuk mereka saling mengenali. Mak yakin mereka berdua mampu hidup bahagia bersama,” tegas Puan Aminah. Dia sayangkan Nurul seperti anaknya sendiri. Nurul tabah mengharungi kehilangan demi kehilangan ahli keluarganya. Biarpun matanya selalu basah namun dia tidak pernah mengalah. Wajahnya lembut, hatinya kental. Inilah calon isteri sepadan untuk Zamri.

Zuliana pula terdiam. Mencipta peluang? Bagaimana? Sedangkan Nurul di sini, Zamri di Kuala Lumpur. Aah payah pula... Menyesal pula cakap jangan paksa tadi. Sekarang dia pula kena terlibat untuk mencipta peluang mereka berkawan. Serasi berkahwin.

“Mak tak nak Nurul jadi menantu keluarga lain. Mak nak Nurul jadi menantu mak. Mak nak dia menjadi ahli keluarga ini yang sebenarnya.”

“Tapi mak..” Zuliana buka mulut untuk menyuarakan pendapatnya, namun termati kata bila mak terus menyambung cakap.

“Nurul hatinya kental. Wajahnya lembut mampu melenturkan hati Zamri. Dan dia juga tidak terlibat dalam dunia perniagaan. Mak mahu dia menjadi tonggak kekuatan Zamri. Biar ada tempat yang boleh dia melarikan diri seketika dari dunia perniagaan. Jadi Nurul paling sesuai. Dan mak tak restui hubungan Zamri dengan Hasya. Gadis itu tak ikhlas sayangkan anak mak.”

Dahi Zuliana berkerut. Dalam matanya ternampak tanda soal. Mana mak tahu tentang Hasya. Siapa dia? Sedangkan dirinya sendiri pun tak tahu apa-apa pasal kisah cinta adiknya.

“Mana mak tahu tentang Hasya?”

Puan Aminah diam tak menjawab soalannya.

“Kami dah balikkk...” dua suara menjerit nyaring mengejutkan mereka berdua.

Zulaikha sengih-sengih menuncul bersama Zarul. Mereka baru pulang dari Kota Bharu. Jam di dinding di pandang sambil angkat ibu jari.

“Tengok mummy, kami ngam-ngam sampai pukul 2.” Dia berhenti di belakang Puan Aminah. Dilingkarkan tangan ke leher Puan Aminah. Wajah tunduk nak mencium pipi tua itu. Puan Aminah larikan kepalanya. Tangan tepuk manja lengan Zulaikha di lehernya.

“Busuk-busuk peluh ada hati nak cium mak tok. Lepas. Lemas mak tok dengan bau peluh kamu ni.”

Zulaikha sengih. sikit pun dia tak terasa. Namun dilepaskan juga pelukan itu.

“Mak tok dengan mummy cakap pasal siapa? Serius je muka,” Zulaikha mula menyibuk ingin tahu.

Zarul pula telah menghilang ke biliknya.

“Jangan nak menyibuk. Budak-budak tak perlu ambil tahu tentang orang tua.”

Dia cemik bibir. tak puashati.

“Assalamualaikum..”

“Haa.. mak su datang..” sengih Zulaikha sampai ke telinga. Dia berkejar ke pintu depan.

“Mak su?” Zulaina dah pelik. dipandang wajah selamba maknya. Bila pula Nurul naik pangkat jadi mak su?

“Walaikumussalam.. Kak Nurul. Masuk.. Masuk.. Mummy dan mak tok ada kat dapur,” ramah dia mempelawa masuk. Sampai je Nurul di muka pintu, Zulaikha terus menyauk lengannya, lalu mereka berjalan bergandingan menuju ke dapur.

“Bila balik? Cuti lama ke?” Nurul menyoal. Dia telah biasa dengan Zulaikha. Setiap kali Zura pulang ke kampung, Zulaikha akan jadi peneman Zura ke mana saja dia pergi. Jadi dia kenal baik dengan sepupu Zura yang seorang ni.

“Petang semalam. Seminggu je. Lepas tu balik KL praktikal di pejabat pak su.”

“Kenapa pejabat pak su pulak? Kenapa tak praktikal kat syarikat papa je?” soal Nurul hairan. Penuntut bidang pemasaran kena praktikal di pejabat peguam?

“Mak tok suruh jadi mata-mata dia,” bisik Zulaikha.

*****

“Beb.. tak keluar lunch hari ni?” Aizat jenguk kepala ke bilik Zamri.

“Aku ada kerja nak selesaikan sikit. Kau dah lunch?”

Aizat geleng. Dia melangkah masuk ke dalam. Melabuh punggung sofa di sudut bilik. Dua butang baju teratas dilepaskan. Penat.

“Aku makan nasi lemak pagi tadi.”

“Anak tengku tu tak merengek ajak lunch dating ke?” sinis Zamri menyoal. Kadang kala tu berbulu matanya pandang gelagat si anak tengku itu.

Aizat ketawa segaris. “ Aku cakap ada lunch date dengan kau hari ni.”

Kening Zamri terangkat. Jari telunjuk dituding ke dada sendiri.

“Tak ada orang lain ke kau nak jadikan kambing hitam bro?” Zamri geleng kepala.

Aizat tidak menghiraukan rungutan Zamri itu. Hati ini hatinya lapang. Usaha selama dua tahun mula menampakkan hasilnya. Tak lama lagi tempoh 2 tahun bakal berakhir. Dan dia berjaya melaksanakan kerjanya tanpa sebarang masalah.

“Pagi tadi aku pergi jumpa Lilian Yeoh,” Aizat buka cerita. Dipandang wajah Zamri, dia senyum. Senyum kemenangan.

“Lilian Yeoh? Setiausaha syarikat tu?”

Aizat angguk. “ Kena gertak sikit dah kecut. Dia bongkar cerita 10 tahun lalu. Dokumen asal masih dia simpan. Jadi senang kerja aku nanti.”

Zamri angguk. “Apa langkah kau seterusnya?”

“Syarikat tu masih lagi hak milik pemilik asal. Jadi aku nak pemilik asal hadir ke mesyuarat agung pemegang saham pertengahan tahun ni. Aku akan bongkarkan segala penipuan tengku itu nanti.”

“Aku nak jemput dia balik ke sisi aku.”

Zamri ketawa. “Aku rasa kau perlu tengok ini dulu.” Dia bangun dan melangkah mendekati Aizat. I-phone bertukar tangan.

“Bila masa pulak aku bercinta?” hati panas.

Zamri angkat bahu. “Dia tahu?”

“Mungkin.. bekas kawan baik ni.. Haa.. ada follow,” beritahu Zamri selepas dia tekan-tekan I-phonenya.

“Giler perasan..”

“Baru kau tahu? Bermain dengan api, tanggunglah akibatnya. Sepupu kau tu bila-bila masa tunggu nak masuk line..”

“Esok hari jadi Zura. Jangan lupa pulak..” peringat Zamri.

Kening Aizat ternaik sebelah. dia bangun. “Esok aku cuti!”

Dan tanpa menunggu jawapan balas dari Zamri dia melangkah keluar.





Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Bab 2 Aku Bukan Penggoda





“Seriuslah kak.. Encik Nik tu tengah usha akak. Tiap-tiap hari belanja makan,” bisik Nadya. 

Zura jeling. “Buat kerja. Jangan buat gossip pulak.” Rimas pulak dia. Tiap hari ada saja alasan diberikan supaya mereka ikut lunch. Ingat senang ke nak memikat dia dengan hanya belanja makan. Dia tahu Nik Rizal ada niat lain. Cuma Nadya tak tahu. 

Nadya ketawa tutup mulut. “Bukan buat gossip kak. Cakap yang betul je.” 

“Dengar dek bakal tunang dia, kita yang kena halau nanti. Tak ada masalah cari masalah,” Zura memberi amaran. Ada dia terdengar Clarice bercerita, anak saudara Encik Ali itulah kekasih hati Nik Rizal. Jangan nak main mata, perempuan itu cantik dan tahap cemburunya boleh tahan juga. Setiap gadis yang cuba menggoda Nik Rizal, selalu dapat habuan. Kena viral, kena diberhentikan kerja dan macam-macam lagi Nik Sooraya akibat cuba menggoda bakal tunangnya. 

Nadya mencemik. “ Takkanlah time kerja pun bakal tunang datang berumah tangga kat sini. Tak kerja ke?”

“Mana tahu. Clarice cakap bakal tunang Encik Nik, anak saudara Encik Ali, anak Tan Sri Nik Salim. Katanya lagi model muslimah, sambilan,” cerita Zura. Tak sengaja dia ajak Clarice bergossip semata-mata mahu mengorek rahsia. 

Zura terangguk-angguk. “Baguslah, sepadan.”

Tok..tok..”

Keduanya angkat muka. Nik Rizal senyum kacak. “Jom dah waktu lunch.” 

“Tak apalah Encik Nik. Kami lunch dekat- dekat ni je,” tolak Zura secara baik. 

Nadya tunduk sembunyi senyum.

“Bila lagi you all nak merasa I belanja. Lagipun I tak ada selera makan sorang. Ada gadis cantik teman selera sikit I makan.”

“Kami kenyang lagi ni. Mungkin lewat sikit keluar. Nak settlekan kerja dulu,” Zura memberi alasan lagi. 

“Kerja boleh tunggu. Perut lama mana boleh tunggu. Nanti kena gastrik pula. Tak payah segan-segan dengan I.” Beriya-iya Nik Rizal memujuk. dia memandang Nadya meminta pertolongan. Harapnya gadis itu faham. 

“Nad laparlah Kak Zura. Bila lagi nak merasa Encik Nik belanja kan? Jomlah,” pujuk Nadya. 

Zura jegilkan mata. Kalau boleh dia tidak mahu kerap sangat dilihat bersama dengan Nik Rizal. Hatinya tak enak. 

“Hari ni je. Esok I tak ada kat pejabat. Ada kes di mahkamah Pekan,” beritahu Nik Rizal. 

“Haaa.. Esok pula kita dah last. Lepas ni tak merasa Encik Nik belanja lagi..” sampuk Nadya. 

Zura pandang Nadya. Hatinya tak setuju. Tetapi Nadya sengaja kelip-kelipkan matanya. Memujuk. 

“Okey... Sebagai tanda menghormati keikhlasan Encik Nik.” Zura mengalah. 

Nik Rizal tersenyum lebar. Hatinya bukan main gembira lagi. Peluang yang ada mesti digunakan sepenuhnya. 

Berjalan seiringan ke kereta, tanpa sedar ada mata memerhati. Ada hati dimamah cemburu. Ada hati berbekam dendam. 

*****

“Bie.. you kat mana?” Lunak manja suara Nik Sooraya bercakap dengan bakal tunangnya. Tapi mata tajam memerhati langkah tiga manusia sambil berbual mesra itu ke kereta. Bukan main lagi bercanda di tengah panas. Hatinya hangat apabila melihat si lelaki dengan penuh budiman membuka pintu kereta kepada si cantik seksi itu tadi.

Jadi sengaja dia ingin menduga jawapan si bakal tunang. 

“I ada lunch meeting dengan client. Why?” si bakal tunang menyoal penuh mesra. 

Dapat dilihat gelagatnya, sedang melihat jam di pergelangan tangan kemudian mata melilau ke sekitar kawasan, bagaikan mencari sesuatu. Nasib baik kedudukan terlindung.

“Owwh.. I ingat nak ajak you lunch sekali. I on the way ke pejabat you ni.” 

“Lunch meeting I kat bandar, baby. Apa kata malam ni I datang ambil you. Kita dinner bersama,” pujuk si bakal tunang di dalam talian. 

“I dah lambat ni.. Client tengah tunggu. Kita jumpa malam ni ya. Muaah..” talian diputuskan sebelum sempat Nik Sooraya membalasnya. 

Bibir diketap kuat. Sakit hati melihat kereta Nik Rizal berlalu pergi. Terpandang sekilas bukan main lebar senyuman lelaki itu. Si gedik di sebelahnya pun apa kurangnya. Tak sedar diri! Laju kakinya melangkah ke pejabat Nik Rizal. Dia yakin Azie tidak keluar makan tengahari. 

Pintu kaca ditolak kuat. Azie terdongak memandang ke pintu utama pejabatnya. Nik Sooraya melangkah dengan wajah merah dan berwajah ketat. Air mukanya menakutkan. Azie cuba senyum namun jelas dibuat-buat. Nik Sooraya melangkah mendekati meja penyambut tetamu itu. Mata tajam bak mahu membunuh itu membuatkan mulut Azie terkunci untuk menyapanya. Dia terkebil-kebil memandang Nik Sooraya di hadapannya. 

“Encik Nik mana?” nadanya mendatar, menelan amarah di hati. Dia cuba bertenang. Tapi mata tajam menatap wajah pekerja Nik Rizal itu. 

Azie hilang suara. Dia gugup. Selama ini dia selalu melihat senyum mesra dan peramah Nik Sooraya. Bila berubah macam ni hilang seri cantik di wajah itu. Nampak macam singa betina tengah tunggu nak melahap mangsa. Dan kenapa pula dia yang terasa bakal menjadi mangsanya.

“Dia ke mana?” Nik Sooraya menekan suara. Diri semakin hilang sabar. Azie nampak kecil besar kecil besar di matanya. Entah-entah mereka ini berpakat untuk menipunya. 

“Er.. Er..”gulp. Hilang suara, hilang kata. Terkebil-kebil memandang wajah singa Nik Sooraya. 

“Dia keluar dengan perempuan mana!” tidak mendapat jawapan untuk soalan pertama. Soalan lain pula diajukan. 

“CAKAPLAH!!” tengking Nik Sooraya. 

Wajah Azie berubah. Tergambar ketakutan di wajah itu. 

“Dia keluar lunch dengan auditor Cik Soraya.” 

“Auditor ke kekasih baru dia?” hatinya tidak mahu percaya. Faham sangat dengan perangai pantang melihat perempuan cantik seksi Nik Rizal. 

Azie angguk kemudian geleng. Dia salah tingkah. 

“Me.. memang betul Cik Zura auditor. Dia datang buat audit seminggu kat sini,” terang Azie. 

“Yang mana satu? Bertudung ke tak bertudung?”

“Tak bertudung,” jawab Azie. 

Nik Sooraya mendengus tak puashati. Dia jeling tajam Azie. “Dia tu datang buat audit ke sengaja datang nak menggatal pikat Rizal?” 

Azie angkat bahu. Kepalanya tergeleng-geleng. Tak tahu dan tak ambil tahu. Selama 3 hari Zura dan pembantunya datang audit, mereka fokus kepada kerja. Sesekali datang bertanyakan dokumen kepadanya. Selain itu mereka langsung tak keluar bilik mesyuarat yang digunakan. Bosnya sahaja yang rajin menjenguk mereka buat kerja. Dan bukan main lama lagi berada di dalam bilik itu.

“Mereka dari firma audit mana?” 

“Tetuan Ibnu, Ali & Co, Cik Soraya.” 

Dan tanpa sebarang soalan lain, Nik Sooraya berpaling mahu keluar dari situ. Tetapi sampai ke pintu langkah terhenti. Dia menoleh. 

“Jangan bagi tahu Encik Nik I datang hari ini,” mata tajam memberi amaran juga. 

Azie angguk. Dia angkat tangan kanan separas bahu, seolah-olah bersumpah. Spontan tingkahnya. Gerun dengan sikap Nik Sooraya yang berubah menjadi singa betina itu. 

“Weh.. perempuan tu kenapa?” tiba-tiba beberapa orang staff yang tidak keluar makan tengahari mengerumuninya. 

“Meroyan... ternampak Encik Nik keluar makan dengan Cik Zura kot.” 

Mereka sengih. “Tapi cantik giler kan Cik Zura tu. Padanlah Encik Nik nak himpit.” 

“Dia tu rasa tergugatlah tu. Harapkan cantik dengan tepek mekap tebal je,” selamba sahaja mereka berkumpul mengutuk. Terus bergossip tentang bos kasanova mereka. Faham sangat. Azie lah selalu menjadi mangsanya. 

“Ni perempuan yang entah ke berapa. Kalau aku jadi Cik Soraya dah lama tinggalkan Encik Nik. Bukan stok boleh dibuat suami.” 

“Cik Soraya pun bukan stok boleh buat isteri juga. Untuk perhiasan boleh.”



“Bukan main korang eh. Anak Tan Sri tu. Tak pasal kena saman!” 




Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Khamis, 4 April 2019

Bab 1 Aku Bukan Penggoda





Pintu pejabat Tetuan Aizat, Zamri & Co ditolak. Baizura melangkah masuk dengan yakin. Senyuman dihulurkan kepada orang pertama yang dilihatnya di kaunter penyambut tetamu. Kali pertama ke sini, dekorasi firma guaman ini mengagumkannya. Pemiliknya mempunyai standard yang tinggi dan berkelas. 

“Assalamualaikum. Saya dari Tetuan Ibnu, Ali & co. datang audit. Encik Nik Rizal ada?” Baizura senyum sambil memperkenalkan diri. 

“Waalaikumusalam. Cik Zura ya?” 

“Ya betul,” jawab Baizura mesra. 

“Encik Nik belum masuk lagi. Mari saya tunjukkan tempat dulu cik.” Gadis itu keluar dari kaunter penyambut tetamu. Senyumnya manis. 

“Baik. Siapa nama?” Ramah Baizura mahu berkenalan. Gadis itu mempersilakan dia mengikutnya masuk ke ruang pejabat. Mereka berjalan seiringan menuju ke bilik yang dikhaskan untuk Zura gunakan untuk melakukan kerjanya. 

“Azizah. Panggil Azie je.” 

“Okey Azie. Terima kasih. Ini Nadya, pembantu saya,” balas Zura sambil memperkenalkan teman di sebelahnya. Mereka berbalas senyum dan bersalam. 

“Ikut saya cik.” 

Baizura angguk. Kemudian mengikut Azie ke tempat kerja sementaranya nanti. Sempat lagi dia menjeling keadaan dalam pejabat itu. Rata-rata pekerjanya tekun melakukan kerja. tapi keadaan persekitaran kemas. Tidak seperti firma guaman milik bapa saudaranya, penuh dengan fail kes. 

“Sila masuk Cik Zura dan Nadya.”

“Terima kasih.” Baizura senyum. 

“Semua dokumen ini adalah mengikut senarai yang Cik Zura email tempoh hari. Jika ada lagi dokumen yang cik perlukan, cik panggil je saya. Interkom nombor 010,” jelas Azie sambil menunjukkan dokumen yang tersusun di atas meja. 

Baizura angguk. Dia belek dokumen di atas meja. 

“Nad, tolong check dulu fail ni. Mana yang tak ada senaraikan nanti kita minta.”

“Baik kak.” Tanpa membuang masa Nadya memulakan kerja. Kerja dengan Baizura tak adalah strict sangat. Cuma untuk permulaan dia kena memastikan setiap dokumen yang diperlukan ada untuk diperiksa nanti. Satu hal pula nak berulang kali minta. 

Baizura berpaling memandang Azie. “Terima kasih Azie. Nanti ada apa-apa lagi saya bagitahu.”

“Sama-sama,” balas Azie. 

“Biasanya Encik Nik Rizal masuk kerja pukul berapa?” tanya Zura sebelum Azie menutup pintu bilik mesyuarat itu. 

“Kalau tak ada kes di mahkamah dalam pukul sembilan dah sampai. Tapi hari ni ada sebut kes jadi mungkin tengahari baru masuk,” jawab Azie. 

“Okey.. okey.” Baizura angguk faham. 

Azie melemparkan senyuman sebelum meninggalkan mereka berdua. 

Baizura mengambil tempat. Kali pertama datang ke sini. Hatinya berkira-kira, adakah Nik Rizal seorang peguam seperti yang diperkatakan oleh orang atau hanya di permukaannya sahaja nampak berkarisma dan berwibawa. Dengar cerita panas, dia juga seorang playboy kacak. Itu diakuinya. Berbelas tahun berlalu, tentu dia semakin matang dan kacak. Baizura pejam mata. Teringat kenangan berbelas tahun dulu. Jika tidak kerana kemalangan itu, tentu jalan hidupnya berbeza. 

“Kak Zura, cantik pejabat peguam ni. Tengok dekorasi pejabat ni nampak ada class dan mewah kak. Tak macam pejabat peguam yang saya pernah pergi, bersepah dengan dokumen,” banding Nadya, mengejutkan Baizura dari lamunan.

Baizura angguk. Teringat pejabat guaman pak sunya. Bertimbun dokumen di setiap meja kerani dan pembantunya. Dia pernah bekerja sekejap di situ. Masa tu ada tikanya dia tak tahu mana nak cari letaknya dokumen yang diperlukan. Mujurlah ada Kak Jasmin yang arif dengan kedudukan dokumen di dalam pejabat itu. 

“Ikut citarasa pemiliknyalah Nad.”

“Untuk deko macam ni kak. Banyak duit keluar ni.” Nadya melihat ikut cermin kaca. Di luar sana terdapat 5 kubikel dengan 5 meja yang semuanya berpenghuni. Dinding pula dihias dengan lukisan asbtrak yang mempunyai kisah. 

“Tak kisahlah Nad. Mungkin banyak kes berprofile tinggi yang mereka dapat. Encik Nik tu pun bukan calang-calang orang juga. Peguam sedang meningkat naik. Setiap kes yang dia pegang, semuanya menang. Lagipun bapa dia peguam legend tau.” Bibir Zura senyum sinis. Masih belum ada peluang lagi dia bertemu dengan Nik Rashid. Setiap cerita tentang Nik Rashid masih kemas tersimpan di lipatan memorinya. Setiap momen manis terasa bagaikan menyindirnya. Semuanya palsu.

Nadya angguk. 

“Kak Zura.. baik dan kacak lagi tu… he he..” bisik Nadya. 

Baizura menjeling, Si Nad ni belum tengok lagi pak su dan kawan dia. Lagi kacaklah. 

“Dah pernah jumpa dia ke?” sengaja bertanya. Tak jumpa pun google dah boleh kenal orangnya. 

Nadya angguk. “Dalam selasa lepas dia datang pejabat, jumpa Encik Ali.” 

“Selasa? Kak Zura half day hari tu?” Zura berkira dalam hati. Hari tu dia ada hal dekat resort, jadi terpaksa ambil cuti separuh hari. 

“Iya kak. Dia datang bawak KFC belanja satu pejabat.” Bukan main lagi Nadya mencanang kemurahan hati Nik Rizal. Senyum-senyum dia membayangkan wajah kacaknya. Alahai kalau dapat pak we macam tu, puas hatinya. 

“Patutlah beriya puji baik.. kacaklah..” sindir Baizura. Orang belanja KFC dah melebih pujiannya. Kalau belanja makan hari-hari apalah lagi pujian muncul dari bibir Nadya tu. Materialistik betul minah ni. 

Nadya tersengih-sengih. “Kenyataan kak.” 

Baizura mencebik. Tak kisahlah kacak ke baik ke. Tujuan mereka datang ke sini adalah untuk melaksanakan kerja yang diamanahkan. Bukan nak mengorat ke apa. Tapi tak sabar juga nak berkenalan dengan peguam yang orang kata hensem ni. 

Sepit rambut di dalam beg diambil dan rambutnya disimpul lalu disepit. Sengaja dibiarkan rambut ditepi telinga terjuntai menyerlahkan batang leher putih mulusnya. 

“Seksilah Kak Zura,” komen Nadya apabila dia melihat leher dan dada Baizura yang terdedah. Baju kemeja yang dipakai pula sengaja di buka dua butang teratasnya. Sudahlah bajunya berwarna biru lembut, kainnya pula nipis sehingga menampakkan bayang bra merah yang dipakainya. 

Baizura pandang diri sendiri. “Apa yang seksinya?” pelik. dia geleng kepala. Baju ni dah selalu sangat dipakai ke pejabat. Selalunya dia sarung jaket, tapi hari ini terlupa pula bawa jaket. 

“Apa yang seksinya kak? Tu.. leher akak tu nampak menyelerakan. Baju pulak terbuka sampai ke pangkal dada, orang boleh bayangkan apa yang ada dalam baju tu. Boleh tahan mengkalnya.”

“Uishh.. Kau tu anak dara lagi Nad. Cakap bukan main,” Baizura membetulkan bajunya. Rambut dilepaskan. Dia geleng kepala. 

Nadya angkat bahu dan sengih. Dah terbiasa cakap lepas. Kalau dengan kawan-kawan lagi banyak kata-kata tidak ditapis. Biasalah zaman sekarang semuanya bersikap terbuka. Bercakap bercakap juga, tapi kerja pun kena jalan, lalu ditarik fail general ledger, bersedia untuk memulakan kerja. Fail-fail yang disenaraikan dan diminta semua ada. 

“Panaslah Nad. Kau tak panas ke?” 

Nadya pandang Baizura dengan wajah tak percaya. Dia punyalah sejuk tahap beku, Kak Zura cakap panas?

“Panas kak? Sejuklah,” rungut Nadya. 

“Akak panas.” Rimas dengan rambut panjangnya, disimpul dan disepit ditinggi mendedahkan lehernya. Yeah... masuk je ke pejabat ni diri terasa berbahang panas. Mungkin sebab hatinya tengah berdebar sakan. Mahu berjumpa dia setelah berbelas tahun tak jumpa. Tapi tentu sekali dia tu sudah lama melupakannya. 

“Berapa inci tebal kulit Kak Zura ni? Saya yang bertudung ni tak tahan sejuk.” Nadya geleng kepala. Dia tak bertudung panas? Aku yang bertudung ni sejuk. Terbalik pula. Nadya pandang seniornya ragu. Ada kata mahu diluahkan tapi ragu-ragu nak dizahirkan. 

Diperhatikan saja tingkah laku Baizura. Diteliti dari atas ke bawah. Dia kagum. Kak Zura cantik. Tak perlu mekap tebal, tak perlu pakai pakaian terdedah pun, dia nak nampak seksi dengan kemeja warna biru lembut dan seluar slack warna biru tu. Longgar tapi terletak elok di tubuhnya yang ketinggian sederhana itu. 

“Kenapa pandang akak macam tu?” tegur Baizura. Dia pandang dirinya. Ada yang tak kena ke?

Nadya geleng kepala. Matanya pandang wajah Baizura. “Kak Zura seksi. Pakailah apa pun memang nampak seksi. Silap hari bulan ada yang tergoda dan mahu mencuba.” Ngeri Nadya fikirkan. Sengih sendiri dengan olahannya. 

“Ishh.. mulut. Doa tu doa.. minta-minta dijauhkan semua tu,” marah Zura. 

“Sebab itulah lebih baik Kak Zura pakai tudung dan menutup aurat sepenuhnya,” nasihat Nadya. 

Baizura geleng kepala. Bukan saja Nadya menegur, ramai dah yang tegur. Buat masa ini hatinya belum terbuka untuk bertudung sepenuhnya. Mungkin suatu hari nanti, Mungkin selepas semuanya selesai. 

“Doakan Nad, hati Kak Zura terbuka untuk menutup aurat sepenuhnya..” Dia pandang Nadya lagi. Banyak Nadya tidak tahu kisah hidupnya. Masih banyak tanggungjawab dipikulnya. 

“Buat kerja. Cepat siap, cepatlah kita balik pejabat. Kak Zura tak nak berlama-lama di sini.” Nadya angguk. 

Tok.. tok.. 

Pintu ditolak dari luar. Muncul seorang lelaki tinggi lampai berbaju kemeja putih, tersenyum memandang mereka. 

“Assalamualaikum...” matanya terfokus kepada gadis yang tak bertudung. Rambut disepit tinggi menyerlah lehernya yang putih gebu. Dia menelan liur perlahan. Matanya bagaikan tergam untuk terus melihat di situ. Wajah itu sangat cantik, seperti pernah dilihatnya sebelum ini. Terasa sangat familiar. 

Huk..huk.. 

“Cik Zura?”

“Saya..” Baizura bangkit dan berjalan mendekati lelaki itu. Dia senyum.

“Everything okey?” lelaki itu bertanya, prihatin.

“So far okey. Encik Nik Rizal kan?” Baizura inginkan kepastian. Dahinya sengaja dikerutkan, seolah-olah teragak-agak dan kurang yakin tekaannya betul ke salah. 

Nik Rizal ketawa dan angguk. 

“Betullah tu. Saya.”

“Sorry.. Semasa Encik Nik datang pejabat hari tu saya half day,” ramah Baizura bercerita. Kacak. Tinggi. Patutlah Si Nadya ni puji melangit. Tarik bibir terjungkit sikit pun dah buat gadis-gadis terpukau. Wajahnya tak pernah berubah. Malah kematangannya membuatkan dia semakin kacak. Lain dari yang dilihat di dalam internet. 

“Dekat lunch hour ni, saya belanja makan..” pelawa Nik Rizal. Mahu mengambil kesempatan ini untuk mengenali dengan lebih dekat. Zura.. nama itu mengingatkannya tentang seseorang. Tapi tak mungkin. Seseorang itu telah lama meninggalkan dunia ini. 

Nadya yang mendengarnya tarik senyum lebar. Makan tengahari bersama dengan peguam kacak ni, siapa tak nak. Free pulak tu. Jimat duit belanjanya hari ini. 

“Nad?” 

“Okey je Kak Zura. Memang tengah lapar ni, pagi tadi breakfast dengan roti bakar 2 keping je.” 

Baizura jegilkan mata. Nadya tersengih-sengih. 

“10 minit lagi kita jumpa dekat bawah. Saya masuk pejabat kejap.” Putus Nik Rizal tanpa tunggu lama dia melangkah ke biliknya. Tidak mahu mendengar jawapan tidak dari mulut Zura. Rugi dia tak ambil kesempatan untuk berkenalan. Lagipun dia ada benda nak minta tolong. Harap-harap Zura boleh bertolak ansur dengannya. 

“Pandai-pandai je kau ni Nad. Akak tak cakap pun nak lunch dengan dia.” 

Nadya seringai.. “Orang nak belanja jangan ditolak kak. Jimat duit lunch hari ni. Hehehe”



Baizura geleng kepala. 







Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Aku Bukan Penggoda- Novel Terbaru

Cantikkan cover?

Ini adalah novel terbaru saya. Telah terbit sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 (PBAKL19) atau beli online di www.lovenovel.com.my atau di kedai-kedai buku berhampiran selepas pesta buku nanti.. 

Sebenarnya ini adalah novel bersiri yang pernah dipostkan di dalam blog ini. Saya tahu ramai follower Zura dan Aizat ini kan? Jadi jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan novel ini di pesta buku yang sedang berlangsung sekarang. Boleh dibeli dengan harga diskaun menarik di sana. 

Blurb

Dek ketamakan duniawi, satu kemalangan yang dirancang meragut beberapa nyawa tidak berdosa. Dek cemburu dan dengki sebuah kepercayaan dikhianati. Kerana dendam yang tersimpan lamanya, Puan Aminah telah merancang dengan teliti untuk merampas kembali hak anak, cucu dan insan yang tidak berdosa.
“Pastikan tahun depan juga syarikat tu jatuh ke tangan kita. Tengku Yahya dan Nik Rashid harus terima balasan atas setiap perbuatan mereka!” -Puan Aminah

Baizura...gadis berdikari, cantikdan sifatnya yang sangat ramah mengundang fitnah daripada pelbagai pihak. Dia punya aura tersendiri. Dituduh penggoda dan gadis yang tidak bermaruah kerana hubungan mesra di antara dia, Aizat dan Zamri. Namun, kerana tanggungjawab dan patuh dengan arahan neneknya, dihadap segala tohmahan dan sanggup mengetepikan cinta sejatinya.

“Tak apa. Lagipun rugilah Uya, tak boleh kumpul pahala free.” - Baizura

Aizat… demi cinta, kasih dan dendamnya, dia sanggup mengambil alih beban yang tergalas di pundak gadis kesayangannya. 

“Saya sangat cintakan Uya. Biar saya ambil alih tanggungjawab tu.” - Aizat

Segalanya terpaksa dikorbankan demi menjayakan rancangan yang diatur Puan Aminah. Sebuah rahsia indah terpaksa disimpan daripada pengetahuan orang sekeliling. 

Nik Rizal… lelaki kacukan Arab yang senantiasa berhidung tinggi dan perasan bagus. Menabur fitnah terhadap Baizura kerana tidak membalas cintanya. Namun di sebalik fitnah itu, dia tidak tahu kebenaran hubungannya dengan Baizura. 

Apakah hubungan sebenar antara Baizuradengan Nik Rizal? Bisakah segala rancangan yang diatur Puan Aminahberjaya dilaksanakan? Berapa banyakkah pengorbanan yang terpaksa dikorbankan demi menjayakan rancangan itu? Adakahdipenghujungnya pengorbanan Baizura dan Aizat berbaloi?

KAPSYEN:
Kerana cintaku hanya satu...


Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Sesi bertemu pembaca PBAKL 19

Assalamualaikum dan selamat tengahari..

Sabtu dan Ahad lepas saya telah turun bertemu dan beramah mesra dengan pembaca saya di reruai Penerbitan Love novel dan juga penerbitan Anaasa.

Ini saya kongsikan gambar-gambar yang sempat dirakamkan.



Bersama Zura dan Kak Syimah.

Lupa nama, maaf ya kak...


Sesi hari sabtu.. 


Hari sabtu juga, bersama Kak Niny, Kak Yong Rose dan juga bos LNP Kak Lid. 

Sesi hari ahad, bawak bodyguard kecik.. bersama staff LNP

Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.


Prolog Aku Bukan Penggoda - Novel PBAKL 19

Aku bukan penggoda kerana cintaku hanya satu


“Yeay... Abang hensem datang..” seorang gadis kecil berlari mendapatkan remaja lelaki keluar dari kereta. Bukan main gembira lagi dia melihat seorang remaja lelaki keluar dari kereta yang baru berhenti di halaman rumahnya.

“Adik comel..” pipi gebu adik comel dipicitnya. Rindu. Dia tidak ada adik perempuan. Sebagai anak tunggal tentunya dia mendambakan adik untuk dibuat kawan bermain.

“Abang bawa apa untuk adik hari ni?” Adik comel teruja nak tahu bila melihat abang hensemnya membawa plastik berisi mainan.

“Kapal terbang control.”

Mata adik comel membulat. Dia suka. Baru minggu lepas dia minta abang hensem bawakan kapal terbang control. Dia nampak dalam iklan tv. Permainan ini menyeronokkan. Lagi seronok kalau bermain dengan abang hensem.

“Jom kita main. Abang ajarkan.”

Gelagat mereka diperhatikan oleh orang tua mereka.

“Setiap hari Uya tanya bila abang hensem nak datang. Rindu katanya. Bila besar nanti dia nak kahwin dengan abang hensem,” mendengar cerita si ibu adik comel, yang lainnya ketawa.

“Kecil-kecil lagi dah pandai.”

“Itulah.. budak-budak zaman sekarang ni lebih terbuka. Kecil-kecil lagi dah tau sebut pasal kahwin.” Mereka semua ketawa.



“Kalau betul ada jodoh mereka bila dewasa nanti, kita restukan saja. Lagi bertambah rapat hubungan persaudaraan kita nanti.”



Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.