Jumaat, 5 April 2019

Bab 2 Aku Bukan Penggoda





“Seriuslah kak.. Encik Nik tu tengah usha akak. Tiap-tiap hari belanja makan,” bisik Nadya. 

Zura jeling. “Buat kerja. Jangan buat gossip pulak.” Rimas pulak dia. Tiap hari ada saja alasan diberikan supaya mereka ikut lunch. Ingat senang ke nak memikat dia dengan hanya belanja makan. Dia tahu Nik Rizal ada niat lain. Cuma Nadya tak tahu. 

Nadya ketawa tutup mulut. “Bukan buat gossip kak. Cakap yang betul je.” 

“Dengar dek bakal tunang dia, kita yang kena halau nanti. Tak ada masalah cari masalah,” Zura memberi amaran. Ada dia terdengar Clarice bercerita, anak saudara Encik Ali itulah kekasih hati Nik Rizal. Jangan nak main mata, perempuan itu cantik dan tahap cemburunya boleh tahan juga. Setiap gadis yang cuba menggoda Nik Rizal, selalu dapat habuan. Kena viral, kena diberhentikan kerja dan macam-macam lagi Nik Sooraya akibat cuba menggoda bakal tunangnya. 

Nadya mencemik. “ Takkanlah time kerja pun bakal tunang datang berumah tangga kat sini. Tak kerja ke?”

“Mana tahu. Clarice cakap bakal tunang Encik Nik, anak saudara Encik Ali, anak Tan Sri Nik Salim. Katanya lagi model muslimah, sambilan,” cerita Zura. Tak sengaja dia ajak Clarice bergossip semata-mata mahu mengorek rahsia. 

Zura terangguk-angguk. “Baguslah, sepadan.”

Tok..tok..”

Keduanya angkat muka. Nik Rizal senyum kacak. “Jom dah waktu lunch.” 

“Tak apalah Encik Nik. Kami lunch dekat- dekat ni je,” tolak Zura secara baik. 

Nadya tunduk sembunyi senyum.

“Bila lagi you all nak merasa I belanja. Lagipun I tak ada selera makan sorang. Ada gadis cantik teman selera sikit I makan.”

“Kami kenyang lagi ni. Mungkin lewat sikit keluar. Nak settlekan kerja dulu,” Zura memberi alasan lagi. 

“Kerja boleh tunggu. Perut lama mana boleh tunggu. Nanti kena gastrik pula. Tak payah segan-segan dengan I.” Beriya-iya Nik Rizal memujuk. dia memandang Nadya meminta pertolongan. Harapnya gadis itu faham. 

“Nad laparlah Kak Zura. Bila lagi nak merasa Encik Nik belanja kan? Jomlah,” pujuk Nadya. 

Zura jegilkan mata. Kalau boleh dia tidak mahu kerap sangat dilihat bersama dengan Nik Rizal. Hatinya tak enak. 

“Hari ni je. Esok I tak ada kat pejabat. Ada kes di mahkamah Pekan,” beritahu Nik Rizal. 

“Haaa.. Esok pula kita dah last. Lepas ni tak merasa Encik Nik belanja lagi..” sampuk Nadya. 

Zura pandang Nadya. Hatinya tak setuju. Tetapi Nadya sengaja kelip-kelipkan matanya. Memujuk. 

“Okey... Sebagai tanda menghormati keikhlasan Encik Nik.” Zura mengalah. 

Nik Rizal tersenyum lebar. Hatinya bukan main gembira lagi. Peluang yang ada mesti digunakan sepenuhnya. 

Berjalan seiringan ke kereta, tanpa sedar ada mata memerhati. Ada hati dimamah cemburu. Ada hati berbekam dendam. 

*****

“Bie.. you kat mana?” Lunak manja suara Nik Sooraya bercakap dengan bakal tunangnya. Tapi mata tajam memerhati langkah tiga manusia sambil berbual mesra itu ke kereta. Bukan main lagi bercanda di tengah panas. Hatinya hangat apabila melihat si lelaki dengan penuh budiman membuka pintu kereta kepada si cantik seksi itu tadi.

Jadi sengaja dia ingin menduga jawapan si bakal tunang. 

“I ada lunch meeting dengan client. Why?” si bakal tunang menyoal penuh mesra. 

Dapat dilihat gelagatnya, sedang melihat jam di pergelangan tangan kemudian mata melilau ke sekitar kawasan, bagaikan mencari sesuatu. Nasib baik kedudukan terlindung.

“Owwh.. I ingat nak ajak you lunch sekali. I on the way ke pejabat you ni.” 

“Lunch meeting I kat bandar, baby. Apa kata malam ni I datang ambil you. Kita dinner bersama,” pujuk si bakal tunang di dalam talian. 

“I dah lambat ni.. Client tengah tunggu. Kita jumpa malam ni ya. Muaah..” talian diputuskan sebelum sempat Nik Sooraya membalasnya. 

Bibir diketap kuat. Sakit hati melihat kereta Nik Rizal berlalu pergi. Terpandang sekilas bukan main lebar senyuman lelaki itu. Si gedik di sebelahnya pun apa kurangnya. Tak sedar diri! Laju kakinya melangkah ke pejabat Nik Rizal. Dia yakin Azie tidak keluar makan tengahari. 

Pintu kaca ditolak kuat. Azie terdongak memandang ke pintu utama pejabatnya. Nik Sooraya melangkah dengan wajah merah dan berwajah ketat. Air mukanya menakutkan. Azie cuba senyum namun jelas dibuat-buat. Nik Sooraya melangkah mendekati meja penyambut tetamu itu. Mata tajam bak mahu membunuh itu membuatkan mulut Azie terkunci untuk menyapanya. Dia terkebil-kebil memandang Nik Sooraya di hadapannya. 

“Encik Nik mana?” nadanya mendatar, menelan amarah di hati. Dia cuba bertenang. Tapi mata tajam menatap wajah pekerja Nik Rizal itu. 

Azie hilang suara. Dia gugup. Selama ini dia selalu melihat senyum mesra dan peramah Nik Sooraya. Bila berubah macam ni hilang seri cantik di wajah itu. Nampak macam singa betina tengah tunggu nak melahap mangsa. Dan kenapa pula dia yang terasa bakal menjadi mangsanya.

“Dia ke mana?” Nik Sooraya menekan suara. Diri semakin hilang sabar. Azie nampak kecil besar kecil besar di matanya. Entah-entah mereka ini berpakat untuk menipunya. 

“Er.. Er..”gulp. Hilang suara, hilang kata. Terkebil-kebil memandang wajah singa Nik Sooraya. 

“Dia keluar dengan perempuan mana!” tidak mendapat jawapan untuk soalan pertama. Soalan lain pula diajukan. 

“CAKAPLAH!!” tengking Nik Sooraya. 

Wajah Azie berubah. Tergambar ketakutan di wajah itu. 

“Dia keluar lunch dengan auditor Cik Soraya.” 

“Auditor ke kekasih baru dia?” hatinya tidak mahu percaya. Faham sangat dengan perangai pantang melihat perempuan cantik seksi Nik Rizal. 

Azie angguk kemudian geleng. Dia salah tingkah. 

“Me.. memang betul Cik Zura auditor. Dia datang buat audit seminggu kat sini,” terang Azie. 

“Yang mana satu? Bertudung ke tak bertudung?”

“Tak bertudung,” jawab Azie. 

Nik Sooraya mendengus tak puashati. Dia jeling tajam Azie. “Dia tu datang buat audit ke sengaja datang nak menggatal pikat Rizal?” 

Azie angkat bahu. Kepalanya tergeleng-geleng. Tak tahu dan tak ambil tahu. Selama 3 hari Zura dan pembantunya datang audit, mereka fokus kepada kerja. Sesekali datang bertanyakan dokumen kepadanya. Selain itu mereka langsung tak keluar bilik mesyuarat yang digunakan. Bosnya sahaja yang rajin menjenguk mereka buat kerja. Dan bukan main lama lagi berada di dalam bilik itu.

“Mereka dari firma audit mana?” 

“Tetuan Ibnu, Ali & Co, Cik Soraya.” 

Dan tanpa sebarang soalan lain, Nik Sooraya berpaling mahu keluar dari situ. Tetapi sampai ke pintu langkah terhenti. Dia menoleh. 

“Jangan bagi tahu Encik Nik I datang hari ini,” mata tajam memberi amaran juga. 

Azie angguk. Dia angkat tangan kanan separas bahu, seolah-olah bersumpah. Spontan tingkahnya. Gerun dengan sikap Nik Sooraya yang berubah menjadi singa betina itu. 

“Weh.. perempuan tu kenapa?” tiba-tiba beberapa orang staff yang tidak keluar makan tengahari mengerumuninya. 

“Meroyan... ternampak Encik Nik keluar makan dengan Cik Zura kot.” 

Mereka sengih. “Tapi cantik giler kan Cik Zura tu. Padanlah Encik Nik nak himpit.” 

“Dia tu rasa tergugatlah tu. Harapkan cantik dengan tepek mekap tebal je,” selamba sahaja mereka berkumpul mengutuk. Terus bergossip tentang bos kasanova mereka. Faham sangat. Azie lah selalu menjadi mangsanya. 

“Ni perempuan yang entah ke berapa. Kalau aku jadi Cik Soraya dah lama tinggalkan Encik Nik. Bukan stok boleh dibuat suami.” 

“Cik Soraya pun bukan stok boleh buat isteri juga. Untuk perhiasan boleh.”



“Bukan main korang eh. Anak Tan Sri tu. Tak pasal kena saman!” 




Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan