Jumaat, 5 April 2019

Bab 3 Aku Bukan Penggoda




“Terima kasih Cikgu..”

Nurul melangkah keluar dari kelas tingkatan 3. Kelas terakhirnya untuk hari ini. penat tetapi hatinya senang. Melihat wajah polos anak-anak didikannya seakan memberi kepuasan kepada dirinya. Ini adalah cita-citanya sejak kecil. Dia kagum dengan Cikgu Bedah. Walaupun air muka Cikgu Bedah garang, namun hatinya baik. Sentiasa mengambil berat tentang masalah pelajarnya. Dia masih ingat saat dia kehilang ayah kemudian ibu. Cikgu Bedahlah yang memujuk dan berada di sampingnya. Di sekolah, dia selalu berada di dalam pemerhatian Cikgu Bedah. Sikap keibuan Cikgu Bedah membuatkan dia memasang impian untuk menjadi seorang guru. Kini impiannya telah tercapai.

Baru saja punggungnya berlabuh di atas kerusi, telefon pintarnya berbunyi. Senyum merekah di bibir. yatim piatu ketika berusia 10 tahun, hidupnya tak pernah susah dan kekurangan. Dia dikurniakan pula keluarga angkat yang baik.

“Assalamualaikum kak ngah.”

“Waalaikumussalam Nurul. Dah habis kelas ke?”

“Aah.. baru habis kak ngah,” balasnya.

“Balik nanti singgah rumah. Mak rindu. Kata dah lama Nurul tak datang rumah.” Senyum melebar di bibirnya. Lama apa, padahal baru dua hari lepas dia bermalam di rumah keluarga angkatnya.

“Baik.. Nanti Nurul singgah. Kirim salam dekat mak. Kak ngah ada nak pesan beli apa-apa tak?” soalnya prihatin.

“Tak ada. Semua cukup. Kau tu yang tak ada. Mak suruh tinggal di sini tak mahu. Nak juga duduk menyewa.” Kak ngah dah masuk mood membebel. Tak pernah jemu mengulang cerita yang sama.

Dia segan. Budi baik mak dan kak ngah sekeluarga tidak mampu dibalasnya. Lagipun bukan jauh sangat dia menyewa, jalan kaki pun sampai. Sekurang-kurangnya dia masih ada ruang sendiri apabila anak cucu mak balik melawat nanti. Tidaklah dia macam kera sumbang. Walaupun semua ahli keluarga angkatnya melayannya dengan baik. Sepintas lalu terlintas satu wajah. Sebenarnya sebab pemilik wajah itulah yang membuatkan dia segan dan malu. Hati walaupun dicuba menyahkan putik-putik bunga rindu berkembang, tertumbuh juga benih cinta dalam diam.

“Okey kak ngah. Assalamualaikum..”

“Waalaikumussalam.”

*****

“Balik sekolah nanti Nurul singgah mak.”

Hmm... itu sahaja reaksi Puan Aminah. Zuliana pula diam memerhati. Jika mak diam begitu dia sedang berfikir. Mungkin ada kaitannya dengan Nurul.

“Mak nak Zamri kahwin dengan Nurul hujung tahun ni.”

Zuliana tersentak. Dia mengamati raut wajah maknya. Ada kesangsian dalam hati. Cadangan mak itu bagus tetapi sudikah mereka berdua disatukan? Setahunya Zamri dan Nurul tidak pernah berhubung selama ini. Walaupun mereka berdua tahu kewujudan masing-masing di dalam keluarga ini.

“Kena tanya mereka dulu mak. Jangan paksa. Mana tahu Zam dan Nurul ada pilihan masing-masing,” saran Zuliana. Memaksa tidak akan memberi bahagia melainkan menyeksa hati.

“Cipta peluang untuk mereka saling mengenali. Mak yakin mereka berdua mampu hidup bahagia bersama,” tegas Puan Aminah. Dia sayangkan Nurul seperti anaknya sendiri. Nurul tabah mengharungi kehilangan demi kehilangan ahli keluarganya. Biarpun matanya selalu basah namun dia tidak pernah mengalah. Wajahnya lembut, hatinya kental. Inilah calon isteri sepadan untuk Zamri.

Zuliana pula terdiam. Mencipta peluang? Bagaimana? Sedangkan Nurul di sini, Zamri di Kuala Lumpur. Aah payah pula... Menyesal pula cakap jangan paksa tadi. Sekarang dia pula kena terlibat untuk mencipta peluang mereka berkawan. Serasi berkahwin.

“Mak tak nak Nurul jadi menantu keluarga lain. Mak nak Nurul jadi menantu mak. Mak nak dia menjadi ahli keluarga ini yang sebenarnya.”

“Tapi mak..” Zuliana buka mulut untuk menyuarakan pendapatnya, namun termati kata bila mak terus menyambung cakap.

“Nurul hatinya kental. Wajahnya lembut mampu melenturkan hati Zamri. Dan dia juga tidak terlibat dalam dunia perniagaan. Mak mahu dia menjadi tonggak kekuatan Zamri. Biar ada tempat yang boleh dia melarikan diri seketika dari dunia perniagaan. Jadi Nurul paling sesuai. Dan mak tak restui hubungan Zamri dengan Hasya. Gadis itu tak ikhlas sayangkan anak mak.”

Dahi Zuliana berkerut. Dalam matanya ternampak tanda soal. Mana mak tahu tentang Hasya. Siapa dia? Sedangkan dirinya sendiri pun tak tahu apa-apa pasal kisah cinta adiknya.

“Mana mak tahu tentang Hasya?”

Puan Aminah diam tak menjawab soalannya.

“Kami dah balikkk...” dua suara menjerit nyaring mengejutkan mereka berdua.

Zulaikha sengih-sengih menuncul bersama Zarul. Mereka baru pulang dari Kota Bharu. Jam di dinding di pandang sambil angkat ibu jari.

“Tengok mummy, kami ngam-ngam sampai pukul 2.” Dia berhenti di belakang Puan Aminah. Dilingkarkan tangan ke leher Puan Aminah. Wajah tunduk nak mencium pipi tua itu. Puan Aminah larikan kepalanya. Tangan tepuk manja lengan Zulaikha di lehernya.

“Busuk-busuk peluh ada hati nak cium mak tok. Lepas. Lemas mak tok dengan bau peluh kamu ni.”

Zulaikha sengih. sikit pun dia tak terasa. Namun dilepaskan juga pelukan itu.

“Mak tok dengan mummy cakap pasal siapa? Serius je muka,” Zulaikha mula menyibuk ingin tahu.

Zarul pula telah menghilang ke biliknya.

“Jangan nak menyibuk. Budak-budak tak perlu ambil tahu tentang orang tua.”

Dia cemik bibir. tak puashati.

“Assalamualaikum..”

“Haa.. mak su datang..” sengih Zulaikha sampai ke telinga. Dia berkejar ke pintu depan.

“Mak su?” Zulaina dah pelik. dipandang wajah selamba maknya. Bila pula Nurul naik pangkat jadi mak su?

“Walaikumussalam.. Kak Nurul. Masuk.. Masuk.. Mummy dan mak tok ada kat dapur,” ramah dia mempelawa masuk. Sampai je Nurul di muka pintu, Zulaikha terus menyauk lengannya, lalu mereka berjalan bergandingan menuju ke dapur.

“Bila balik? Cuti lama ke?” Nurul menyoal. Dia telah biasa dengan Zulaikha. Setiap kali Zura pulang ke kampung, Zulaikha akan jadi peneman Zura ke mana saja dia pergi. Jadi dia kenal baik dengan sepupu Zura yang seorang ni.

“Petang semalam. Seminggu je. Lepas tu balik KL praktikal di pejabat pak su.”

“Kenapa pejabat pak su pulak? Kenapa tak praktikal kat syarikat papa je?” soal Nurul hairan. Penuntut bidang pemasaran kena praktikal di pejabat peguam?

“Mak tok suruh jadi mata-mata dia,” bisik Zulaikha.

*****

“Beb.. tak keluar lunch hari ni?” Aizat jenguk kepala ke bilik Zamri.

“Aku ada kerja nak selesaikan sikit. Kau dah lunch?”

Aizat geleng. Dia melangkah masuk ke dalam. Melabuh punggung sofa di sudut bilik. Dua butang baju teratas dilepaskan. Penat.

“Aku makan nasi lemak pagi tadi.”

“Anak tengku tu tak merengek ajak lunch dating ke?” sinis Zamri menyoal. Kadang kala tu berbulu matanya pandang gelagat si anak tengku itu.

Aizat ketawa segaris. “ Aku cakap ada lunch date dengan kau hari ni.”

Kening Zamri terangkat. Jari telunjuk dituding ke dada sendiri.

“Tak ada orang lain ke kau nak jadikan kambing hitam bro?” Zamri geleng kepala.

Aizat tidak menghiraukan rungutan Zamri itu. Hati ini hatinya lapang. Usaha selama dua tahun mula menampakkan hasilnya. Tak lama lagi tempoh 2 tahun bakal berakhir. Dan dia berjaya melaksanakan kerjanya tanpa sebarang masalah.

“Pagi tadi aku pergi jumpa Lilian Yeoh,” Aizat buka cerita. Dipandang wajah Zamri, dia senyum. Senyum kemenangan.

“Lilian Yeoh? Setiausaha syarikat tu?”

Aizat angguk. “ Kena gertak sikit dah kecut. Dia bongkar cerita 10 tahun lalu. Dokumen asal masih dia simpan. Jadi senang kerja aku nanti.”

Zamri angguk. “Apa langkah kau seterusnya?”

“Syarikat tu masih lagi hak milik pemilik asal. Jadi aku nak pemilik asal hadir ke mesyuarat agung pemegang saham pertengahan tahun ni. Aku akan bongkarkan segala penipuan tengku itu nanti.”

“Aku nak jemput dia balik ke sisi aku.”

Zamri ketawa. “Aku rasa kau perlu tengok ini dulu.” Dia bangun dan melangkah mendekati Aizat. I-phone bertukar tangan.

“Bila masa pulak aku bercinta?” hati panas.

Zamri angkat bahu. “Dia tahu?”

“Mungkin.. bekas kawan baik ni.. Haa.. ada follow,” beritahu Zamri selepas dia tekan-tekan I-phonenya.

“Giler perasan..”

“Baru kau tahu? Bermain dengan api, tanggunglah akibatnya. Sepupu kau tu bila-bila masa tunggu nak masuk line..”

“Esok hari jadi Zura. Jangan lupa pulak..” peringat Zamri.

Kening Aizat ternaik sebelah. dia bangun. “Esok aku cuti!”

Dan tanpa menunggu jawapan balas dari Zamri dia melangkah keluar.





Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan