Uncle Doktor.. Nak tak jadi papa Niny? Bab 2


{tak edit}

Untuk order boleh tekan link bawah 👇
 Lini...

Malam itu aku cuma tidur-tidur ayam. Sekejap-kejap terjaga dan memeriksa suhu badan Niny. Walaupun aku tahu setiap 4 jam misi akan datang memeriksa tekanan darah dan suhu badannya. Namun sebagai ibu, hati aku tetap risau. Ini kali pertama Niny demam sawan. Tak terlintas di fikiranku, si kecil yang lincah bermain siang tadi, lesu berbaring di atas katil hospital.

Enam pagi, walaupun mata kelat pedih kerana tidak cukup tidur, badanku pula telah lama terjaga. Teringatkan yang aku datang sehelai sepinggang, tak mungkin aku boleh tinggalkan Niny sendirian. Jadi terpaksa aku susahkan rakan serumah baruku.
Telefon pintarku ambil dan harapnya Nida telah bangun ketika ini.

“Assalamualaikum, Nida..”
“Hurmm.. Waalaikumussalam. Lini? Kau tak balik ke semalam?” dari nada suara Nida, aku tahu dia baru terjaga.
“Tak. Aku kat hospital. Malam tadi Niny demam sawan.”
“Ya Allah. Habis tu Niny macam mana sekarang. Dah okey ke belum?” jelas dari nada suaranya Nida terkejut. Aku dengar dia bangun dan membuka pintu biliknya. Mungkin mahu memastikan kami betul tidak ada di rumah. Ketika Niny terkena sawan semalam, Nida belum balik lagi. Aku pula langsung tak terfikir hendak memberitahunya. Pagi ini baru teringat yang aku datang sehelai sepinggang.
“Masih lagi demam tapi dah okey. Kena tahan kat wad dulu. Doktor nak pantau dalam masa 24 jam ni. Kalau okey, lepas tu boleh balik. Aku.. Aku nak minta tolong ni,” jelasku.
“Apa dia?” cepat Nida membalasnya.
“Minta tolong kau hantarkan baju aku dan Niny. Semalam aku datang sehelai sepinggang. Kau just bawakan bagpack yang warna biru tepi katil dalam bilik aku tu. Dalam tu semua dah ada.”
“Okey. Ada apa lagi kau nak pesan? Kau nak aku belikan makanan? Minuman?” suara Nida prihatin.
 Aku terharu. Baru seminggu kami tinggal serumah. Layanan Nida sangat baik. Dia faham dengan situasiku.
“Tak apa. makanan dan minuman nanti aku boleh beli kat sini. Lagipun hospital ada sediakan makanan. Cuma kau tolong bawakan susu Niny. Ada kat atas meja tu. Dengan termos sekali.”
“Okey. Aku singgah sebelum pergi kerja nanti.”
“Terima kasih Nida. Nak sampai whatapps, nanti aku turun ambil.”
“Mama...” suara halus Niny menyapa telingaku.
“Niny dah sedar. Aku letak dulu.”
“Okey.. hope Niny cepat sihat.”
“Aamiin.. Inshaallah...”
Talian diputuskan dan aku mendekati anakku. Tanganku menyentuh dahinya. Suam-suam. Hati aku lega.
“Mama... Nak air.” terhenti tanganku yang hendak membetulkan selimutnya. Satu botol air mineral pun tak ada sekarang.

“Niny tunggu kejap, mama pergi beli air.” Sambil tu aku boleh ambil barang sekali dengan Nida.

Niny geleng kepala. Mulut tercebik-cebik mahu menangis. Tangan didepangkan. Mahu didukung dan tak nak ditinggalkan.
“Mama pergi sekejap je. Niny duduk kat sini. Kejap lagi misi dan doktor datang nak tengok Niny.”

Niny geleng kepala laju. “Nak ikut mama.” Matanya dah berkaca. Aku serba salah.

“Kenapa ni?” tiba-tiba suara garau Doktor Sam menyapa kami.

“Niny nak air, jadi saya nak tinggal kejap beli air,” jelas aku dengan senyum – senyum kelat. Segan dengan doktor yang baik hati ini. Teringat bagaimana Doktor Sam memujuk Niny semalam.

“Uncle doktor. Nak air,” celah Niny tiba-tiba. Aku jegil mata. Niny buat tak faham bahasa. Mata dikedip-kedipkan sambil pandang Doktor Sam. Niny buat muka comel. Hati aku dah naik geram. Hailaa anak. Apa pula perangai dia nak buat ni. Muka aku rasa dah nak berubah warna biru.

“Nak air? Kejap uncle doktor ambilkan air.” Tak sampai sesaat Doktor Sam menghilang di sebalik pintu.

Aku pula yang segan bila doktor pelatih yang muncul bersama Doktor Sam tadi senyum-senyum memandangku. Aku balas dengan senyum segan.

“Kan mama dah cakap mama pergi beli, kenapa minta lagi.” Aku cubit pipi montel Niny geram. Sebab Niny, Doktor Sam sanggup pergi belikan air. Mana aku nak sorok muka nanti.
“Nanti mama tinggalkan Niny,” muka Niny dah mencemik masam.
Aku terdiam. Rupanya dia risau aku tinggalkannya.
“Doktor Sam tu memang macam tu kak, dengan semua orang dia baik dan suka menolong. Memang selalu budak-budak dimanjakan,” jelas doktor pelatih itu. Dia cuba hilangkan resah dan segan di dalam hatiku.
“Owh ye ke? Baik Doktor Sam tu.”
“Memang baik. Ada yang kena tinggal lama kat dalam wad ni, tiap-tiap hari minta Doktor Sam dukung,” ceritanya lagi.
Aku senyum lega. Jadinya bukan Niny saja yang mendapat layanan istimewa dari Doktor Sam. Lima minit kemudian, Doktor Sam kembali dengan sebotol air mineral, sekotak susu segar dan roti sosej. Dan dia sendiri yang membukakan penutup air dan melayan Niny. Hatiku tersentuh. Teringatkan Niny yang kekurangan kasih sayang abahnya.
Wajah Niny mula memerah. Bibir tak segan silu tersenyum. Dia minum sambil dilayan oleh Doktor Sam. Aku hanya memerhati. Tak tahu nak cakap apa lagi walaupun hati telah berbukit segannya.
‘Beruntung anak Doktor Sam, ada ayah yang prihatin dan penuh kasih sayang ini,’ bisik hatiku.
Cup..
Bulat mataku melihat kelakuan anak daraku. Tak segan silu cium pipi Doktor Sam.
“Terima kasih uncle doktor,” berseri wajah Niny. Macam dah tak demam dan sakit. Mujarab betul layanan ikhlas Doktor Sam.
Doktor Sam senyum lebar. Tangannya naik mengusap rambut Niny. Kemudian dia mencium dahi Niny.
“Good girl. Meh doktor nak check Niny pula. Kalau sakit cakap kat Uncle Doktor,” bisiknya memujuk.
Niny angguk dan patuh. Tak banyak bunyi dan ikut apa yang Doktor Sam cakapkan. Aku hanya menjadi pemerhati. Hatiku tersentuh. Selesai pemeriksaan, Doktor Sam memandangku.
“Setakat ini tindakbalas dan respon Niny tidak ada masalah. Tapi sebab ini kali pertama dia kena demam sawan, jadi kita kena pantau 24 jam. Takut ada lagi sawan. Kalau tak ada esok dah boleh balik,” terangnya.
Aku angguk.
“Ada tak dalam keluarga yang ada sakit sawan?”
“Dalam keluarga saya tak ada. Sebelah abahnya saya tak tahu pulak.”
“Abahnya mana? Kerja?”
“Abah? Niny mana ada abah dah. Abah dah lari dengan Aunty Sue.”
Aku tergamam mendengar Niny mencelah. Rupanya selama ini Niny faham apa yang telah berlaku di antara aku dan abahnya. Berkaca mataku. Patutlah Niny tak banyak bertanya. Malah Niny lebih gembira dengan ketiadaan abahnya.
“Niny..” suaraku serak.
“Tapi Niny tak kisah pun abah lari dengan Aunty Sue. Niny benci abah. Dia selalu pukul mama,” mulut kecil itu terus berceloteh. Aku terdiam.
Doktor Sam, Doktor pelatih, misi dan juga mereka yang berada di dalam wad ini turut terdiam mendengar cerita Niny. Aku cuba tenangkan diri, menarik nafas panjang dan sedaya upaya menahan air mata keluar. Rupanya Niny memerhati dalam diam penderitaan aku selama ini. Entah sejak bila dia mengerti dan faham tentang apa yang terjadi.
Mata Doktor Sam berkaca. Dia usap kepala Niny dan dipeluknya.
“Uncle doktor, nak tak jadi papa Niny?” polos Niny bertanya, tiba-tiba.
Macamlah dia tidak bercerita apa-apa yang menyentuh emosi tadi. Suasana sedih bertukar ceria kembali. Ada mak-mak yang tersengih mendengarnya. Doktor pelatih lagi tersengih lebar. Aduhai Niny.. Mama tak tahu dah nak ajar awak macam mana ni. Awak dah terlebih bijak dan pandai. Tentunya ini kali pertama mereka dengar pesakit cilik melamar Doktor Sam jadi papanya.
“Aah uncle doktor pun single lagi ni. No hal, anytime boleh boleh jadi papa Niny,” usik misi.
Saat ini mahu aku sorok wajah ke dalam selimut. Mulut Niny tak demam, berkicau macam biasa membuatkan aku pula yang mahu demam mendengarnya.
Tak sempat aku nak jeling wajah Doktor Sam, berubah ke tidak. Saat ini aku mahu lari jauh. Malah nak juga ku jahit mulut Niny, tak nak bagi dia bercakap lagi.
“Ehemm.. Nanti uncle doktor pertimbangkan, okey sayang. Tapi untuk Niny rasanya sekarang pun boleh,” balas doktor Sam selamba.
“Uhuk.. huk...” hampir serentak mereka yang berada di dalam bilik medikal 1 ini terbatuk dan bertepuk tangan. Suka mendengar jawapan Doktor Sam itu.
Aku langsung tak angkat muka. Muka terasa pijar.
“Okey.. Janji tau uncle doktor. Jadi papa Niny.”
Ya Allah Niny, memang kau nak malukan mama ni, anak oi.
“Dengar tu uncle doktor...” usik misi lagi.
Ketika ini aku dah tak angkat muka lagi. ketap bibir dan berdoa agar cepat Doktor Sam pergi. Doaku termakbul. Selang beberapa minit selepas itu Doktor Sam dan doktor pelatih itu berlalu pergi.
Aku mengeluh lega. Tapi mataku tajam melihat Niny. Comel je dia tersenyum-senyum sambil makan roti yang Doktor Sam belikan tadi.
“Kenapa cakap macam tu tadi? Tak baik. Malu mama. Lainkali jangan cakap lagi.”
Dahi Niny berkerut. Mata pula terkebil-kebil memandangku. Tidak faham kenapa aku tiba-tiba memarahinya.
“Uncle doktor tu baik mama. Niny nak dia jadi papa Niny, ” ujar Niny dengan suara polosnya. Mengharap.
Aku tepuk dahi. Tak tahu dari mana pula Niny belajar minta papa ni.
Kata-kata Niny itu mengundang senyuman dari mereka yang berada di dalam bilik itu. Aku pula tak mampu nak jelaskan supaya Niny faham. Kata-kata dia telah mendedahkan statusku yang sebenarnya. Janda anak satu. Tentu bermacam-macam tanggapan negatif bermain di dalam fikiran mereka nanti. Aku senyum pahit. Walaupun sudah 6 bulan menjanda, aku masih lagi dalam proses menyesuaikan diri. Seboleh mungkin aku mahu menyembunyikan statusku dan mengelakkan orang memandang serong kepadaku.
“Aaah..betul. uncle doktor tu baik. Kalau Niny jadi budak baik tentu uncle doktor nak jadi papa Niny,” bisik misi.
“Misi...” Aku pula yang malu. Aku tak nak orang salah sangka dan pandang serong kepadaku.
Misi sengih.

“Tapi kan, memang Niny sorang yang dapat layanan istimewa dari Doktor Sam tu.” Misi pecahkan rahsia.

 Jadi tadi tu yang doktor pelatih cakap, tak betul ke?

Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan