Isnin, 9 Ogos 2021

Beautiful Jodoh; Bab 6

Boleh follow pages penulis di facebook Pages FB

 Instagram; shima.rostambs 

 Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. 
Terima kasih di atas sokongan.

Pra Tempahan akan dibuka pertengahan Ogos ini. Nantikan...



“Ada orang kat sini?” suara lelaki menegur.

“Tak ada,” balas Haura Nur tanpa melihat. Dia tengah fokus mengira. Tak mahu nanti kiraannya salah dan dia kena kira balik. Dah 2 kali dia kita, akaunnya masih lagi tak balance. Geram. Tak tahu di mana lagi silapnya.

Orang yang menegur tadi, tarik kerusi dan duduk di sebelahnya. Haura Nur perasan dia tengok apa yang sedang dilakukannya, namun dia malas nak ambil tahu. Bukan tak biasa dengan keadaan ini, akan sentiasa ada siswa yang peramah mahu mendekatinya. Tapi dia tak minat untuk beramah-tamah atau menambahkan kawan berlawanan jenis. Dia tak suka. Dia tidak mahu ketenteraman hidupnya terganggu. Sekarang bukan masanya mencari kawan lelaki.

Lelaki tadi tak menegur lagi. Dia melakukan kerjanya. Hati Haura Nur tenang. Kalau tak mahunya dia cari tempat duduk lain pula. Tapi..

“Satu untuk Ara.”

Haura Nur terus berpaling melihat ke sebelah.

“Awak?” jantung berubah tempo.

“Buat apa kat sini?” Haura Nur tanya soalan bodoh. Dah sini study room sudah tentu datang belajar. Rasa nak tampar mulut sendiri je.

“Teman awak study,” jawapan Ferran Atiq itu membuatkan Haura Nur terkebil-kebil memandangnya, terkejut.

Salah dengar kot.

“Minum dulu..” arah Ferran, bibir atasnya ternaik melihat reaksi Haura Nur itu. Cute. Melihat Haura Nur dalam jarak dekat kali ke dua membuatkan dia dapat melihat dengan jelas wajah naked tanpa sebarang calitan bedak namun kulitnya bersih tanpa sebarang noda jerawat. Malah nampak jelas saluran darah di bawah kulitnya. Cantik.

“Kau dekati dia dan kau akan tahu dia seorang gadis yang baik dan manja. Clumsy juga dan akan menceriakan hari kau.” Ferran Atiq teringat saranan Imran Iman. tak habis-habis dia gesa Ferran Atiq memulakan langkah.

Ferran Atiq membuka penutup botol dan dihulurkan kepada Haura Nur.

Macam robot Haura Nur mengambilnya dan minum sampai habis kemudian diletakkan kembali ke tangan Ferran Atiq yang setia menadah.

Good.. boleh sambung study,” arahnya.

Haura Nur berkerut kening. Dia masih lagi memandang Ferran Atiq. Mereka bukannya rapat pun. Tapi kenapa tiba-tiba Ferran Atiq melayan dia macam mereka dah lama rapat.

“Pelik!” getusnya sebelum berpaling kertas assignment di atas meja.

“Imran suruh saya jaga awak. Jadi saya ikutlah apa yang dia suruh,” selamba Ferran Atiq memberi jawapan budak sekolah.

“Kalau Imran suruh awak terjun bangunan, awak pun terjunlah?” bidas Haura Nur berbisik.

“Kalau saya terjun, belum kahwin lagi dah jadi balu awak nanti,” selamba Ferran Atiq membalasnya.

Bulat mata Haura Nur mendengarnya. Apa pulak dia yang terkait. Darah panas menyerbu ke muka, apabila faham apa yang Ferran Atiq maksudkan. Segan. Dia tidak membalas, sebaliknya tunduk menjawab soalan tutorialnya.

Manakala Ferran Atiq melihatnya dengan hati tersenyum. Memang betul kata Imran Iman, reaksi Haura Nur nampak comel di matanya membuatkan dia mahu mengusik lagi. Tapi ditahan hati sebab tidak mahu Haura Nur terkejut lagi. Menyesal pulak dia tidak mendekati Haura Nur lebih awal, walaupun masih belum terlambat.

Haura Nur tidak menghiraukan Ferran Atiq lagi. Dia tekun membuat tutorialnya. Namun hati masih juga tidak tenteram. Dia rasa ada yang tak kena. Lalu dijeling Ferran Atiq dengan hujung mata. Lelaki itu sedang mengadap laptopnya dan menaip dengan laju. Haura Nur melihat skrin laptop, penuh dengan kod-kod yang tidak difahaminya. Niat hati mahu menegur tidak diteruskan dan dia kembali fokus melakukan kerjanya.

Bukan Ferran Atiq tidak perasan tapi dia tidak mahu Haura Nur terkejut lagi dengan sikap mesranya. Bukan dia tak tahu banyak gosip muncul tentang dirinya. Mereka satu sekolah dulu, jadi tentunya Haura Nur tahu sikapnya sebelum ini. Jadi bila dia terlebih peramah nanti dikata buang tebiat pulak.

Dua jam bertapa di dalam study room, akhirnya siap juga tutorialnya. Haura Nur melihat jam di dinding, dah 1.30 tengahari. Perut pun dah berbunyi. Sarapan pagi tadi cuma roti dengan air milo dan tambah yakult yang Ferran berikan tadi sahaja. Tentu di kafe sekarang penuh. Jadi dia tak nak membuang masa. Solat dulu baru makan dan terus ke dewan kuliah.

“Dah siap kerja?” tegur orang di sebelah.

Baru Haura Nur teringat, Ferran Atiq masih lagi ada di sebelah. Dia angguk.

“Pukul 3 nanti ada kuliah,” jawabnya ringkas.

Ferran Atiq angguk dan dia turut mengemaskan barang-barangnya.

“Kuliah dekat mana?”

“Dewan kuliah pusat.”

“Okey kita solat dan makan dulu. Saya hantar Ara ke sana nanti,” kata Ferran Atiq.

Tangan Haura Nur berhenti mengemas buku-bukunya.

“Saya tahulah Imran suruh awak jaga saya. Tapi tak payahlah baik sangat. Saya tak suka. Boleh tak kita macam dulu. Awak dengan cara awak, saya dengan hidup saya. Hanya kenalan yang tidak mesra,” saran Haura Nur. Dia tak biasalah bila ada orang tiba-tiba baik ni.

“Saya jalankan amanah yang Imran berikan. Tak salahkan?” Ferran Atiq buat tak faham bahasa.

Beg Haura Nur yang telah siap dikemas, ditarik dan disangkutkan ke bahunya. Haura Nur tarik tali begnya, tak lepas.

“Saya boleh bawak sendirilah,” getus Haura Nur geram.

“Okey. Bagi saya buku tu, biar saya bawakan,” balas Ferran Atiq.

Haura Nur kacip gigi geram. Bila pula Ferran Atiq ni jadi manusia tak faham bahasa. Tadi dia dah cakap, buat hal masing-masing. Tak payah nak ikut sangat cakap Imran Iman tu.

Haura Nur tak puashati. Dia telefon abangnya.

“Assalamualaikum. Abang suruh Ferran buat apa?”

“Waalaikumussalam.. buat apa, apa?” Imran Iman tak faham dengan soalan adiknya. Dia terlupa perjumpaan dia dengan Ferran hujung minggu lalu.

“Jangan pura-pura tak tahulah. Cakap dengan dia jangan kacau hidup Ara. Ara tak ada hutang pun dengan dia,” marah Haura Nur.

“Dia..” tak sempat nak sambung Ferran Atiq dah tarik Vivonya. Talian diputuskan.

Haura Nur tergamam dengan sikap Ferran Atiq itu.

“Boleh kita keluar dulu,” bisik Ferran Atiq sambil memberi isyarat mata supaya Haura Nur melihat sekitar.

Baru Haura Nur teringat di mana mereka berada. Dia tunduk dan tak menunggu lagi, dia segera melangkah keluar. Malu usah cakaplah apabila menjadi perhatian banyak mata di dalam study room itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan