Jumaat, 6 Ogos 2021

Beautiful Jodoh; Bab Lima



“Bila pulak aku ada skandalnya? Dia kawan Abang Im. Tadi makan sekali dengan Abang Imlah. Aku pun baru tahu,” balas Haura Nur setenang mungkin. Padahal hati dah dup dap dup dap takut rahsia hati terbongkar.  

“Oooo... ingatkan kau dating dengan dia tadi.”

Haura Nur pusing bola matanya ke atas. “Tegur pun tak selama ini. Tiba-tiba dating? Buang tebiat ke apa?”  

“Kah kah kah.. manalah tahu kan,” usik Zakiah.

“Cepat cerita, kau tanya dia direct ke?” gesa Latifah pula. Tak sabar nak tahu, tentunya mereka yang pertama tahu tentang cerita panas ini. Mana tahu selepas ini boleh jadi wartawan tak bertauliah group ‘Terkini dan Sensasi, jom kita terjah.’

Haura Nur angguk. “Aaah sebab Abang Im berkenalan dengan Anis semasa tunggu aku tadi. Aku cakap minah tu fake, jangan nak kawan dengan dia. Abang Im macam tak percaya. Jadi bila aku tengok kawan yang dia tunggu tu Ferran, directlah aku tanya dia.”

“Dia pun cakap Anis tu minah fake. Terkejut jugak aku dengar. Ingatkan sebab dia kecewa dengan Anis tu dia burukkan Anis. Tapi rupanya dia cakap tak pernah bercinta pun. Nak putus apa. Lepas tu aku soal siasatlah dia apa sebenarnya berlaku.”

“Dah tak bercinta kenapa tak cakap awal-awal. Ramai tahu yang frust sebab ingat dia bercinta dengan Anis ni,” bebel Naemah, tak puas hati.

“Betul tu. Ramai lagi yang suka dia, sepuluh kali lebih baik dari Anis tu,” sambung Latifah pulak.

‘Aku pun suka Ferran jugak. Dah lama,’ bisik hati kecil Haura Nur. tapi tak berani nak pecahkan rahsia hatinya. Sedar diri Ferran ni handsome dan tinggi. Hendak digandingkan dengan dia yang katik ni, tak sepadan langsung.

“Dia cakap, mula tu dia nafi jugak tapi tak ada orang nak percaya. Jadi dibiarkan sahaja, hidup dia pun tenang, tak ada kena kacau dengan lagi.”

“Laa.. ada pulak lelaki macam tu. Ambil mudah tentang perkara ni. Jodoh lari nanti baru tahu!” celah Naemah.

“Betul. Aku sokong. Confirm jodoh dia dah lari ni. boleh aku masuk jarum pulak.. kiki..” seloroh Naemah lagi.

“Si Rahman tu kau nak letak mana? Bukan ke kau dah declare dengan dia ke?” sindir Zakiah.

“Adoi... spoil mood aku. Baru declare minggu lepas, hari ni kami dah bergaduh besar,” ngomel Naemah.

“Laa sebab apa pulak. Kau ni perangai gengster tu kenalah ubah sikit. Nanti kang jodoh kau lari jugak.. hik hik,” usik Zakiah. Kemudian mereka bertiga bagaikan berpakat, ketawa.

“Dia suruh aku pakai tudung, labuhkan ke depan sikit lagi. Dalam erti kata lain pakai tudung labuhlah. Tudung bidang 45 ni kena tukar,” adu Naemah meluahkan rasa tidak puas hati.

Mendengar aduan Naemah, ketawa mereka mulai reda. Saling berpandangan, dalam hati masing-masing juga rasa tak puas hati. Baru bercinta, belum kahwin lagi dah tunjuk sikap dominan. Tudung bawal bidang 45 pun labuh juga jika tak disangkutkan ke bahu. Tapi Naemah ni jenis pakai tudung dia sangkutkan ke bahu bukan dipinkan dan dilabuhkan ke depan.

“Patutlah. Kau kan suka ikat tudung belakang. Manalah dia tak tegur. Rahman tu kan alim jugak orangnya. Takkan dia nak bagi orang tengok nasi lemak 3 ringgit kau tu,” Zakiah tergelak di hujung katanya.

“Aku pakai baju besar okey, tak nampak langsung bentuk nasi lemak 3 ringgit aku ni,” gerutu Naemah sambil mendada. Itu pula yang dikisahkan. Geram!

“Tapi tudung kau tak menepati syariah. Itu yang dia kisahkan,” sambung Haura Nur. dia pula memang pakai tudung instant je. Tak pun shawl yang dilabuhkan ke depan. Rasa janggal pula kalau tudung tak labuh ke depan.

Naemah tak puas hati. “Baru bercinta dia dah nak control aku. Baik aku putus awal-awal,” luahnya.

“Terpulanglah. Lagipun tak salah apa yang dia tegur tu. Untuk kebaikan kau juga,” ujar Latifah. Yang lain angguk setuju walaupun masa mula-mula tadi hati masing-masing juga ada sedikit tidak bersetuju dengan sikap Rahman itu.

“Sudahlah cerita pasal aku. Sambung kisah Ferran dan Anis tadi. Macam mana dia boleh tahu Anis tu fake?”

“Dia hack telefon Anis. Baca segala rahsia mak nenek Anis. Kemudian dia bersemuka dengan Anis. Disebabkan rahsianya dah terbongkar, jadi muncullah kisah sedih,” jawab Haura Nur. 

“Hahahaa.. kena beringat ni kalau nak bercinta dengan orang sains komputer,” balas Latifah pula.

“Eh kejap, dia berkawan dengan Abang Imran kau?” tanya Zakiah. Ini info baru.

Haura Nur angguk. “Aku pun baru tahu. Dah lama kot berkawan. Tapi abang aku baru je balik Malaysia.” Dia pun hairan, mana mereka jumpa.

“Abang kau gamer tak?”

Haura Nur angguk. Dia pernah menonton live abangnya. Tapi dia tak minat sangat games telefon ni. Hanya candy crush saja dia install dalam telefon buat hilangkan bosan.

“Ferran pun gamer juga. Dia atlet e-sport. Dia famous tau dalam e-sport ni. Ramai peminat dia tapi kat kolej ni tak ramai yang tahu. Dia selalu pakai mask bila live,” dedah Zakiah. Rahsia besar yang sepatutnya dia kunci dalam hati tapi lancar saja keluar dari mulutnya. Dah terlepas cakap baru dia gigit bibir sendiri. Menyesal.  

“Aku tak hairan pun sebab dia budak komputer sains. Komputer genius. Nama dia pernah beberapa Prof Nik sebut dalam kuliah. Prof. Nik ni pun suka e-sport jugak,” sambung Latifah pula tanpa menyedari perubahan Zakiah itu.

Mujur juga Naemah dan Haura Nur turut sama tak perasan. Zakiah menarik nafas lega. Rahsia ini hanya yang rapat dan dekat dengan Ferran Atiq saja yang tahu.

@@@@@

“So? Apa keputusan kau?” tanya Imran Iman tenang.

“Jadi selama ini kau maksudkan dialah?” Ferran bertanya pula. Tidak pernah ada keraguan di hati, malah itu juga pilihannya sejak dulu.

Imran Iman angguk.

“Dia dah tahu ke?”

Imran Iman geleng kepala. Masanya telah semakin suntuk.

“Kenapa aku?” Ferran Atiq ingin tahu. Selama mereka berkawan tak pernah masuk campur di dalam urusan peribadi masing-masing.

“Sebab aku tahu kau pilihan terbaik. Lagipun kau satu daerah dengan tok aku. Haura membesar di kampung. Jadi aku rasa kau calon paling layak dan dekat dengan dia.”

“Kalau dia menolak?” sengaja dicambah kesangsian dalam hati Imran Iman.

“Tak. Aku yakin dia akan terima pilihan aku ni. Sebab hanya aku faham dia. Adik aku tu dah lama terbuang. Aku mahu dia bahagia. Hanya dengan cara ini mampu membahagiakan adik aku.”

“Tapi dia tak sukakan aku pun,” tekan Ferran Atiq.

“Jadi kau buatlah dia jatuh suka dekat kau. Seingat akulah kau senior dia masa sekolah dulu kan?”

Ferran Atiq terdiam. Minda terus teringat kenangan ketika sekolah dulu. Dia telah lama perasan Haura Nur. Pelajar yang selalu sendirian yang sentiasa berada di hati.

“Mungkin dia dah sukakan orang lain. Aku tak nak dia rasa terpaksa nanti.” Ferran Atiq masih lagi berbelah bagi.

“Aku yakin dia tak ada sesiapa pun lagi. Lagipun adik aku tu banyak berubah. Sikap dia dah tak seperti dulu lagi.”

Kebahagiaan Haura Nur paling penting sekarang. Orang tua mereka telah lama tak mengambil tahu tentang hidup mereka terutama Haura Nur. Sejak orang tua mereka bercerai, Haura Nurlah paling terkesan sebab dia baru berumur 10 tahun, dia pula ketika itu telah berumur 15 tahun dan tinggal di asrama. Haura Nur kehilangan tempat bermanja dan perlu menjadi matang dalam masa singkat.

“Ara dulu seorang yang ceria dan suka tersenyum. Dia juga peramah dan ramai kawan. Tapi semuanya berubah apabila orang tua aku bercerai. Ara ikut mama aku dan aku pula ketika itu berada di asrama. Tak terjejas sangat. Habis SPM aku terus ke U.K. Ara pula kena tinggal dengan tok dan nenek aku kat kampung bila mama aku kahwin lain. Suami baru dia tak suka Ara. Begitu juga dengan papa aku, kahwin dengan anak dara berumur 25 tahun. Sejak itu dia berubah.”

Hati Ferran Atiq sakit. Tak sangka ada mak bapa yang mementingkan diri sendiri dan nafsu semata-mata. Sanggup buang anak sendiri selepas berkahwin lain. Patutlah Haura Nur selalu bersendirian dulu.

“Aku menyesal. Kalaulah aku tak ke UK dulu tentu Ara tak jadi macam ni. Tapi aku tengok sejak dia masuk kolej ni, dia banyak berubah. Dah ada kawan walaupun sikapnya masih lagi suka sendirian.” Imran Iman teringat Haura Nur pernah memperkenalkan dia dengan rakan sebiliknya.

“Aku setuju tapi biarlah keadaan menentukan. Kau tak boleh paksa dia. Dan jangan bagitahu dia.” Ferran Atiq tidak mahu orang lain campur tangan.

“Baik. Jadi kira kau setujulah ni.”

Ferran Atiq angguk. Mana boleh tak setuju walaupun terpaksa awalkan plan hidupnya. Tak apa asalkan dia dapat apa yang dia nak.

Imran Iman mengeluh lega. Dia yakin Ferran Atiq calon terbaik. 


Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom 
 Instagram; shima.rostambs

 Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan