Jumaat, 8 Oktober 2021

Raikan Cinta Kita - 4


(Novel -Berikan Aku Peluang Mencintaimu)

“Selamat hari raya, sayang..”

“Selamat hari raya juga abang..”

Dan bibir itu jatuh ke dahi Riya. Syahdu.. Tahun ke dua meraikan hari raya aidilfitri bersama-sama.  Saat yang satu ketika dulu sikit pun tidak pernah terlintas akan dilaluinya. Cinta alam maya yang telah dinoktahkan, siapa sangka masih ada jodoh lagi di antara mereka.

“Abang minta maaf andai selama Riya menjadi isteri abang, ada kekurangan dari segi layanan dan perhatian abang,” bisik Syed Al Aiman.

Riya angkat ke dua tangannya memeluk suaminya. Kepalanya bergerak mendongak wajah kacak itu.  Lelaki ini tak pernah ada salah dengannya. Dia yang patut minta maaf. Banyak songeh dan ada kala sengaja menguji kesabarannya. Lelaki ini terlalu sabar dan setia. Malah terasa tidak layak untuknya.

“Sikit pun tak ada. Riya yang patut minta maaf. Riya selalu merajuk dan degil. Selalu bantah cakap abang.  Selalu juga sakitkan hati abang.” Matanya dah berkaca. Sejak menjadi isteri Noble-Man ini dia jadi besar kepala. Sebab tahu lelaki ini amat mencintainya. Sanggup buat apa sahaja untuk dia. Dia isteri yang tidak tahu bersyukur.

“Setiap hari abang dah maafkan. Kesudian Riya jadi isteri abang pun dah besar rahmatnya. Kalau tak, jadi bujang tualah abang.”

“Bujang tua genteng,” usik Riya.

Syed Al-Aiman ketawa. Pelukan diketatkan.

“Riya bertuah tau, sebab dapat teruna abang,” kemudian Riya ketawa dengan kata-katanya sendiri. Muka dah memerah.

Syed Al-Aiman angkat kedua keningnya, terlukis riak nakal di wajahnya.

“Tapi teruna pun, abang hebatkan?” bisiknya. Tangannya dah menjalar ke tubuh isterinya.

Pantas Riya menolak. “Eh kejap lagi nak ke masjid. Riya nak tengok Zara dan Ali kejap.” Dia bangun. Segan. Bila encik suami buat aksi menakal di siang hari, dia selalu salah tingkah. Tapi tangannya ditahan oleh Syed Al-Aiman.

“Hahaha... Sayang.. Sayang..”

“Riya siap je. Biar abang yang tengokkan mereka.” Kucupan hinggap lagi di dahi Riya sebelum lelaki itu keluar dari bilik mereka.

Bibir Riya menguntum senyum, bahagia.

“Zara..”

Dilihat gadis kecilnya diam di atas katil. Muka masam.

“Kenapa ni?”

“Nak ikut mama dan papa,” rengeknya.

“Mama dan papa nak pergi umrah sayang. Sepuluh hari je kami pergi,” pujuk Syed Al-Aiman.

“Lama.. mati rindulah Zara dan adik nanti,” Zara dah teresak. Takut kena tinggal. Selepas solat sunat hari raya nanti mama dan papa angkat berangkat ke Mekah. Dia mahu ikut sekali.

Syed Al Aiman geleng kepala. “Zara tahu ke makna mati tu apa?”

Zara geleng kepala. Dia ikut apa yang orang dewasa cakap kat dalam tv tu.

“Mati tu maknanya kembali ke sisi Allah taala. Zara tidak akan dapat berjumpa lagi mama dan papa.”

Terus Zara meraung. “Tak nak. Nak mama dan papa.”

Syed Al-Aiman tarik Zara ke atas ribanya. Pipi basah anaknya dikesat. Tersengguk-sengguk Zara menangis.

“Kenapa pulak ni?” Riya menjenguk ke dalam bilik.

“Nak ikut sekali...”

“Kan mama dan papa nak pergi umrah. Zarakan dah janji nak jaga Ali.” Riya melangkah masuk. Dia duduk berlutut di depan anak dan suaminya.

Zara geleng kepala. “Nak ikut..”

“Tak boleh sayang. Kan papa dah janji, cuti sekolah bulan 9 nanti nak bawa Zara dan adik ke Disyneyland.”

“Alaa.. Disneyland lain, ini lain..” balas Zara membentak.

“Dah sudah.. jangan nak mengada. Mama dan papa pergi kejap je. Zara pun nanti akan ikut Uncle Fatah pergi holiday. Nanti terus lupakan mama dan papa,” tegas Riya.

Terus Zara terdiam. Dia sengih. Drama sebabak airmatanya tak pernah berjaya kalau dengan mama. Papa je. Nyaris tadi papa nak cair. Kalau tak hooreyy boleh ikut sekali.

“Cepat siap. Kejap lagi Abang Alif sampai.”

“Baik mama..” terus Zara terjun turun dari riba papanya. Dicapai tangan papanya.

“Selamat hari raya papa. Maaf zahir batin. Zara nak duit raya tahun ni lebih banyak dari tahun lepas tau. Lepas tu nak koleksi Princes Elsa yang kita tengok hari tu.” Sempat lagi dia mengpau papanya.

“No, young lady. Jangan berangan nak semua tu.”

Masam terus muka Zara mendengarnya. Dengan mamanya semua tak boleh. terus dia hentak kaki, protes.

“Salam dulu dengan mama,” arah Riya tegas. Geram. Ada gadisnya ini makin banyak perangai.

Dengan separuh rela, Zara mendekati mamanya. Tangan dihulurkan, “selamat hari raya mama,” ucapnya tanpa ikhlas.

“Lagi..” tangan kecil anak itu dipegang kemas.

“Lepas solat raya baru Zara minta maaf. Nak merajuk sat,” bersahaja saja balasan Zara.

Syed Al Aiman hampir ketawa. Riya juga tahan senyum. Boleh jugak macam tu.

“Mama sentiasa maafkan Zara walaupun Zara tak minta maaf lagi. Now, go.. Abang Alif tengah tunggu.”

“Sayang garang sangat dengan Zara tu. Dia kecil lagilah.”

Riya jeling. “Dah abang manjakan dia. Riya kenalah tegas. Nanti naik lemak pulak anak dara tu. Abang tu yang cepat cair. Jangan biasakan diri termakan rajuk dia tu. nanti susah dia nak dengar cakap kita lagi.”

“Sesekali sayang. Bukan selalu.”

Riya mendengus. “Selalu. Bukan sesekali abang,” balas Riya.

Syed Al-Aiman sengih. Dia gosok kepalanya.  




Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom 
Instagram; shima.rostambs 
 Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. 
Terima kasih di atas sokongan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan