Jumaat, 21 Januari 2022

Cinta November Bab 2




PA tahu nama aku?

Baru terlintas dalam fikiran tentang perkara itu selepas keluar dari lif. Macam mana dia tahu nama aku, tak mungkin PA big bos ingat nama semua pekerja di syarikat ini. bukan sedikit staff syarikat. Mahunya beribu termasuk dengan cawangan di negeri lain. Semakin kuat perasaan ingin tahu timbul dalam hati.

Kalau ikutkan ini kali ke dua aku terjumpa bos ketika waktu pagi. Aku tahu dia tu bos sebab Rafidah yang maklumkan. Kalau tak, sampai bila-bila pun aku takkan kenal kerana aku kerani yang bertugas di tingkat tiga, pejabat big boss pula di tingkat 20 pula. Memang jaraknya tinggi sangat. Aku tak mungkin menjejakkan kaki ke tingkat 20 itu.

“Sampai pun kau. Aku ingatkan lambat lagi kau boleh naik lif,” sapa Rafidah, lega.

Aku sengih. Tidak pula aku memberitahunya yang aku tertumpang lif big bos tadi.

“Tak merahkan punch kad kau hari ni?”

“Tak. Ngam-ngam pukul sembilan pagi.”

“Alhamdulillah. Kalau tak singa tua dalam tu mesti bagi amaran kat kau,” ujar Rafidah.

Singa tua tu dia merujuk kepada Pengarah Jabatan Sumber Manusia syarikat kami, Cik Salwa. Sudah berumur 32 tahun dan masih bujang. Orangnya cantik dan anggun. Menurut cerita Rafidah sebenarnya Cik Salwa tu sebenarnya bakal tunang big bos. Dah bertahun jadi bakal tunang tu, namun entah sampai sekarang masih lagi menyandang title bakal tunang. Tak naik jadi tunang atau isteri pun. Jadi ramailah yang sok sek, sok sek cakap Cik Salwa tu yang perasan nak jadi pasangan big bos, padahal big bos tidak pernah memandangnya pun.

Aku geleng kepala. Aku angkat bahu. Entah kenapa sejak aku masuk kerja ke syarikat ni, Cik Salwa pandang aku macam aku ni musuhnya, perampas kekasihnya. Padahal aku kenal dia masa hari pertama datang lapor diri ke syarikat nilah.

Oooh ya lupa nak perkenalkan diri, nama aku Siti Mariam. Aku berasal dari negeri Kelantan. Berumur 21 tahun dan baru tamat diploma pengurusan sumber manusia dari politeknik. Ini adalah kerja pertama aku. Mulanya aku tidak mahu pun cari kerja di Kuala Lumpur ni. Aku mahu cari kerja di Kota Bharu saja. tapi sebab covid-19 aku tidak dapat mencari kerja pun. Jadi aku tolong mok dan ayah di kebun mereka dan mengambil upah menjahit baju. Alhamdulillah berkat tinggal bersama orang tua, rezeki aku tidak pernah putus sehinggalah Ayah Su balik kampung dan dia ajak aku ikut dia.

Berat hati aku ni, maklumlah Ayah Su pun belum kahwin, takkanlah aku kena tinggal dengan dia pulak. Jadi bibik dia di KL tu. Tapi mok dan ayah sokong ayah su, terpaksalah aku ikut. Tidak sampai seminggu di KL, memang tinggal di rumah ayah su pun, eh kondo dia di tengah KL ni, ayah su kata dia telah dapat kerja untuk aku. Esok kena pergi interview, sekadar prosedur biasa dan lusa aku terus masuk lapor diri masuk kerja. Jadi sudah sebulan aku bekerja di sini.  

“Siti, Cik Salwa panggil kau ke bilik dia,” beritahu Jenny, setiausaha Cik Salwa.

“Kenapa Jenny?” soalku. Aku rasa tidak sedap hati. Berdebar-debar pula bila teringat Cik Salwa nampak aku keluar dari lif khas big bos.

“I pun tak tahu. Cepatlah, mood dia swing pagi ni, lagi lambat you jumpa dia lagi berapi singa tu,” gesa Jenny.

Aku sengih mendengar katanya. Mahu ketawa tidak mampu ketawa saat bersedia kena marah ni.

“Kalau dia marah you, you diam je. Angguk apa yang dia cakap. Lagipun dia tidak boleh buat apa-apa kat you. Berani dia nak naik tangan kat anak saudara bos.”

Aku geleng. Jari telunjuk aku letakkan dibibir, tidak mahu Jenny bercakap banyak. Di sini tidak ada siapa pun yang tahu hubungan aku dengan Naib CEO syarikat. Awal-awal lagi aku cakap dekat ayah su, aku tidak mahu orang tahu hubungan sebenar kami. Cik Salwa pun tak tahu, hanya Jenny saja yang tahu sebab dia yang aku jumpa semasa interview tempoh hari.

“Iya, betullah cakap you tu tapi you jangan terlepas cakap pula. Nanti I tak nak kawan dengan you lagi.

“Aayoo... you ni kan, suka ugut-ugut I.” Aku tertawa. Hilang sikit gerun dalam hati hendak berjumpa dengan Cik Salwa tu.

Tok..

“Masuk.”

“Cik Salwa nak jumpa saya?”

“Habis tu saya panggil awak buat apa kalau tak nak jumpa awak?” Sedas kau kena sindir dengan Cik Salwa.

Aku tunduk, tidak membalas. Nanti silap cakap lagi, hati aku juga yang koyak.

“Nampak fail tu?” Cik Salwa tunjuk lima fail besar di atas mejanya.

Aku angguk.

“Ambil fail tu dan buat report. Esok petang saya nak.”

“Report apa?” Aku blur. Fail sudahlah besar dan tebal. Apa laporan yang aku kena buat. Bukan ke syarikat guna sistem HRpos?

“Tak reti nak baca ke?” kena sindir lagi.

“Ambil fail ni dan keluar. Petang esok saya nak report siap,” tegasnya.

Terkejut aku. Jadi aku angkat semua fail tebal tu, memang berat. Rasa mahu patah lengan bawa semuanya keluar. Fail tersebut aku letakkan di atas meja. Penuh jadinya meja aku tu. Aku duduk melepaskan lelah dan menarik salah satu fail tersebut. Aku buka dan baca, semuanya mengenal training, seminar dan kursus yang telah dijalankan pada tahun 2019, sebelum wabak covid-19 melanda.

Jadi aku kena buat apa sebenarnya ni?

“Pssst.. kenapa Cik Singa panggil kau ke bilik dia?” Rafidah menarik kerusi mendekati aku.

“Ni.. dia suruh buat report. Tapi aku tak tahu report apa aku kena buat.”

“Owh.. Ini bukan patutnya kerja Zana ke? Semalam aku ada terdengar Zana cakap big bos nak tengok summary report pasal training course sebelum covid-19 dan planning untuk 2022.

“Jadi patutnya kerja eksekutif laa kan? Aku kerani je, mana faham nak buat report macam mana.”

Rafidah angguk. “Cik Singa tu memang sengaja nak kenakan kau,” bisiknya.

Cik Singa ni memang cari pasallah! Getus hatiku geram. 


Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan