Rabu, 23 Februari 2022

Tips Menulis bahagian 1






Hi semua


Assalamualaikum dan selamat tengahari.


Tips menulis.


Bagaimana hendak mula menulis sebuah cerita.


Saya ni sebenarnya tidak berapa pandai juga hendak berkongsi ilmu penulisan ini. Tapi saya cuba ya.


Yang penting, ada idea. Bila ada idea cuba kembangkan idea itu. Sebelum itu tetapkan dulu tema dan genrenya. Dah tetap genrenya, draft dulu plot kasar. Setengah penulis contoh sayalah, saya tulis dulu bab-bab awal kemudian baru buat plot kasar. Sebab baru nampak ke mana arah ceritanya. Tak pun saya jump tu ending dulu kemudian barulah merangka bab-bab sebelumnya.


Yang penting tulis dulu. Ada orang buat plot dulu supaya nampak susunan ceritanya dari awal hingga ke akhir.


Jenis saya pulak, plot kasar memang buat. Ada tu dah susun cantik-cantik tapi bila time menulis plotnya bertukar. Ikut idea baru datang. Jadi jangan hadkan imaginasi kita kepada plot yang kita tulis itu sahaja. Mungkin idea yang muncul selepas itu lagi menarik dan
hebat
.


Semasa menulis saya akan menggunakan minda separa sedar. Seolah-olah kita berada di dalam cerita yang saya tulis itu, Jadi ia akan bergerak spontan ikut naluri saya.


Contoh mungkin ketika menulis saya teringat movie yang saya tonton atau berita yang saya baca atau status FB ke, tik tok ke, youtube ke atau cerita jiran sebelah rumah. Jadi separa sedar tercetus idea baru dari flash back dari sumber-sumber tadi. So saya tulislah ikut cara saya. gabungan-gabungan itu menghasilkan cerita saya tersendiri. Ini bukan tiru tau. Ini imaginasi separa sedar saya.


Sebab semuanya bersumberkan benda yang sama, mungkin sebab itulah ada tersama babak dalam sebuah novel itu.


Oklah itu saja tips menulis saya hari ni.. Jumpa lagi.


Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Isnin, 21 Februari 2022

Beautiful Jodoh bab 8

Saya sharekan di sini bab 8 




“AKU nampak Haura dengan Ferran tadi, keluar dari study room sama-sama,” beritahu Eilla.

Wajah Anis Syatilla terus berubah. Hatinya dirasuk cemburu. Tidak sampai sebulan dia mengumumkan perpisahan mereka, Ferran Atiq telah mendapat penggantinya. Usahanya mendekati lelaki itu selama ini, ternyata sia-sia. Haura Nur yang entah dari mana munculnya menjadi penghalang. Bucu meja digenggam kejap, cemburu dan marah bersatu di hati.

“Iya ... patutlah aku nampak mereka makan berdua dekat kafe tadi,” sambung Mazni pula.

Anis Syatilla, Eilla dan Mazni adalah rakan sebilik. Mereka bertiga tidak terlalu rapat tetapi ada kepentingan masing-masing dan sentiasa berbaik demi kepentingan diri sendiri.

“Mereka bercinta ke?” teka Mazni lagi.

Eilla angkat bahu. “Takkanlah Ferran pandang Haura tu, bukan cantik mana pun. Tak secantik Anis. Kalau iya pun nak cari pengganti, carilah yang lebih cantik,” dia menyuarakan pendapatnya.

“Entah-entah Ferran nak buat Anis cemburu kot. Mengalah dan cari balik dia,” ujar Mazni cuba mengambil hati Anis Syatilla

Wajah Anis Syatilla berubah lagi. Dia senyum nipis, seolah-olah terpujuk dengan kata-kata Mazni itu. Hanya dia sahaja yang tahu perasaan sebenar Ferran Atiq.

“Betul tu, aku rasa macam tu jugak. Kau mengalahlah Anis, dia masih sayangkan kau lagi tu,” sambung Eilla.

“Betul ke? Tapi, aku...” Anis Syatilla menggigit bibir.

“Alaaa ... tak salah pun kau mengalah. Kau sayangkan dia kan? Tak rela berpisah kan?” tanya Mazni.

Anis Syatilla mengangguk, malu-malu. Sejak kali pertama melihat Ferran Atiq ketika minggu orientasi dahulu, hatinya sudah terpikat dengan ketampanan Ferran Atiq. Dia juga seorang yang berwibawa dan menjadi pengarah minggu orientasi. Malah, disebabkan Ferran Atiq juga dia melibatkan diri dalam majlis perwakilan pelajar dan menyertai setiap program yang disertai Ferran Atiq.

Soo ... tak perlu fikir lagi. Kau kena pujuk dia dulu. Biar dia tersentuh hati dengan kesungguhan kau nak rujuk balik. Rugilah beb, kau lepaskan Ferran Atiq tu,” Eilla memberi galakan.

Mazni mengangguk, setuju. Anis Syatilla diam berfikir.

“Tapi, dia dah ada pengganti,” ujar Anis Syatilla lemah, padahal dia sendiri tahu Ferran Atiq tidak pernah menyukainya.

“Alaa ... setakat Haura tu, bila-bila masa Ferran boleh tinggalkan. Aku yakin dia pilih kau!” Mazni memberikan kata-kata semangat.

“Aku sokong. Aku yakin Ferran akan terima kau balik,” sambung Eilla pula memberi sokongan.

“Terima kasih roommate,” ucap Anis Syatilla kepada Mazni dan Eilla, menghargai sokongan mereka walaupun dia tahu sokongan itu hanya sia-sia. Namun, egonya tinggi. Mahu sentiasa dipandang dengan pandangan kagum dan cemburu oleh kawan-kawannya.

SAMPAI sahaja Haura Nur di bilik, tiga orang rakan sebiliknya telah bersiap sedia mahu menyoal siasat. Akan tetapi, dia buat-buat tidak faham dan melangkah masuk dengan selamba tanpa sedikit pun menghiraukan mereka bertiga. Dia membuka tudung dan menyangkutnya pada pintu almarinya. Diambilnya tuala, baju dan raga berisi alat mandian kemudian menuju ke pintu bilik semula. Namun, saat tangannya memegang tombol pintu, tubuhnya ditarik. Tuala, pakaian dan raga mandian diambil. Haura Nur kaget. Dia sudah cuba mengelak tetapi nampak gayanya tidak berjaya. Dia berpaling sambil tersengih-sengih seperti kerang busuk.

“Kau ada buat hutang dengan kami hari ni!” Zakiah jadi kepala. Sengaja wajah dibuat garang dan serius. 

Haura Nur menggeleng kepala. Selama hidupnya, dia tidak pernah berhutang!

“Tak ada. Semua aku dah bayar!” balas Haura Nur buat-buat tidak faham.

“Bukan hutang duit. Hutang penjelasan. Macam mana kau boleh bersama dengan Ferran tadi?” Naemah pula bersuara. Dia memegang bahu Haura Nur, takut gadis itu melarikan diri. Biar nampak gengster sedikit.

Haura Nur diam. Dia mengeluh. “Dia tiba-tiba muncul sebelah aku dalam study room. Kemudian ikut aku makan, itu je.”

“Itu je?” serentak tiga suara berkata dalam nada tidak puas hati.

Haura Nur mengangguk dengan dahi berkerut. Apa yang tidak kena dengan jawapannya?

“Bukan dating?”

“Dating apa ke bendanya. Dia muncul tiba-tiba sebelah aku. Dia buat kerja dia, aku buat kerja aku. Kami bercakap, boleh kira berapa patah. Lepas tu aku nak keluar, dia tanya aku nak pergi mana? Aku cakaplah ada kuliah pukul 3.30. Lepas tu dia cakap, kita solat dan makan sama-sama dulu. Aku cakap tak payahlah. Bukannya kita kenal rapat pun. Tapi, dia tu diktator, paksa aku ikut dia, ambil buku aku. Jadi, nak tak nak kena ikutlah. Sebab buku tu aku kena bawa ke kuliah,” jelas Haura Nur panjang lebar. Tidak mahu kawan-kawannya salah faham.

Apabila terasa pegangan mereka longgar, Haura Nur terus mengambil kesempatan melepaskan diri. Baru hatinya lega.

“Aku yakin Ferran nak memikat Ara,” Latifah mengeluarkan pendapatnya.

“Aku setuju,” sokong Naemah.

“Yeahhh! Pssst ... aku ada rahsia nak cakap kat korang,” bisik Zakiah pula, cuba menarik minat mereka semua.

Haura Nur angkat bahu, tidak berminat. Sekarang dia mahu mandi, solat dan berehat.

“Jadi, boleh aku pergi mandi sekarang?”

Ketiga-tiga mereka mengangguk, masing-masing tidak sabar hendak tahu rahsia yang ingin Zakiah kongsikan. 

Pintu ditutup. “Cepatlah. Apa rahsianya?”

Zakiah sengaja berjeda. Kedua-dua belah kening digedik-gedikkan.

“Apa dia?” Naemah menampar lengan Zakiah, tidak sabar.

“Sebenarnya Ferran dah lama sukakan Ara. Sejak sekolah lagi.” Zakiah membongkar cerita yang diperoleh tengah hari tadi.

Naemah dan Latifah diam mencerna kemudian memandang Zakiah kembali, seakan-akan kurang percaya. Bukan sebab Haura Nur itu tidak cantik tetapi personaliti dan kehidupan  kedua-dua mereka sangat berbeza. Masakan Ferran Atiq memandang Haura Nur.

“Kau dan Ara satu sekolah. Jadi, Ferran pun sekolah yang sama?”  Naemah cuba mengaitkan Haura Nur dengan Ferran Atiq.

Yes betul. Kami berempat; aku, Haura, Ferran dan Zarif satu sekolah. Ferran dan Zarif senior kami. Sejak sekolah dulu, Ferran ni terkenal dengan gelaran pelajar pintar dan  pengawas. Masa tingkatan 5 dia jadi ketua pengawas. Sejak dulu dia memang suka meronda di blok tingkatan 1. Setiap hari tak pernah miss; tak pagi, tengah hari. Dia memang popularlah. Ramai yang minat dia dan nak jadi adik angkat dia. Sampailah tersangkut dengan kawan sebelah Ara. Selama ini aku ingat dia suka kat Shidah, rupa-rupanya dia suka dekat orang sebelah Shidah.”

“Orang sebelah Shidah? Maksudnya Haura? Jadi, Ferran dah lama sukakan Ara?” teka Latifah. Bab-bab begini otaknya cepat menangkap.

Zakiah mengangguk. “Bijak kau. Zarif best friend

Ferran pun baru tahu.”

Mereka terdiam.

“Tapi, kenapa baru sekarang Ferran nak usha Ara?”

Zakiah angkat bahu. “Entah, aku pun tak tahu.” 

Boleh dapatkan novel dah ebook di kedai online : https://wasep.me/shima-rostam-book-sandwich


Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.