Selasa, 29 Mac 2022

Kembali bab 1 (belum edit)



Aisyah selamat dikebumikan. Ramai rakan kuliah dan pensyarahnya datang melawat. Aisyah memang disenangi ramai. Pelajar yang sentiasa mendapat anugerah dekan sejak dari semester pertama lagi. Jadi sudah tentu mereka terkejut dengan pemergian tidak diduga ini.

Fatimah memandang ke arah mak longnya. Namun matanya bukan mak long tetapi bayangan yang duduk bersimpuh di belakang mak long. Wajah bayangan itu sama dengan wajahnya. Dia ingin dekat tapi dia takut mengejutkan orang ramai. Jadi ditahan hati agar tidak melakukan sesuatu yang membuatkan orang terkejut.

“Ramai yang datang melawat mak,” bisik Fatimah kepada ibunya.

“Siapa?”

“Orang bunian ramai kat luar tu. Sedang baca yassin,” beritahu Fatimah lagi.

Puan Hashimah angguk. “Aisyah, anak yang baik. Sudah tentu dia disenangi ramai. Ramai yang mendoakan arwah. Mudah-mudahan syurga buatnya,” bisiknya.

“Aisyah pun masih ada lagi kat sini. Tentu dia pun terkejutkan,” beritahu Fatimah lagi. Dia baru berumur 17 tahun. Tapi kerana kelebihan yang dimilikinya dia mampu melihat apa yang mata kasar orang tidak dapat melihat.

“Dia ada kat mana?”

“Belakang mak long. Dia menangis. Fatim nak pergi dekat dia tapi takut pulak orang tengok.”

“Tak apa. Biar dia teman mak long. Nanti dia datang dekat Fatim. Tunggu dia datang.”

Fatimah angguk. Tapi nampaknya Fatimah kena menunggu sehingga tiga tahun barulah Aisyah datang kepadanya.

*****

Sinar mata Adrian kosong. Sekosong jiwanya. Pemergian Aisyah memberi tamparan hebat buatnya. Kejutan yang mahu diberikan, kejutan juga yang Aisyah berikan kepadanya. Dia menahan pedih kehilangan.

“Ryan..” sapaan Angel menyedarkan Adrian yang dia tidak sendirian.

“Kau kena kuat, Aisyah mesti tak nak tengok kau bersedih macam ni,” pujuknya.

Andrian tersenyum tawar.

Thanks. Please leave me alone. Aku nak bersendirian sekejap.”

Adrian berdiri, pegangan tangan Angel di bahunya dileraikan. Dia bergerak masuk ke dalam rumah keluarga Aisyah.

Angel berdiri kaku melihat Adrian melangkah masuk ke dalam rumah. rahangnya bergerak menahan perasaan geram dan cemburu. Orang mati buat apa bersedih lagi. Diakan ada, sentiasa ada di sisi tanpa jemu mencintainya.

‘Kenapa Ryan kau tak pernah nampak aku? Kenapa kau tak pernah memandang aku yang sentiasa berada di sisi kau?’ rintih hati kecil Angel. Tangan dikepal kuat sehingga nampak urat tangannya, cuba menyabarkan hati sendiri.

She gone. Kau patut mengambil kesempatan ini menemani Ryan. Aku yakin lambat laun dia akan memandang kau juga.,” pujuk Isaac.

Gadis itu telah tiada. Minda yang berkabut tadi kembali terang. Dipandang Isaac dengan mata bersinar-sinar. Betul cakap Isaac itu, Ryan akan nampak kesetiaan dan cintanya juga nanti. Jadi dia akan sabar menunggu Adrian. Belakang Adrian dipandang lama, jiwanya beransur tenang.  

“Pak cik, saya balik dulu.”

Tuan Abdul Azim angguk. Dia peluk Adrian. “Walaupun Aisyah dah tak ada, kedatangan Ryan tetap kami alu-alukan. Ada masa nanti datanglah melawat kami.”

I will. Walaupun Aisyah tak ada, pak cik tetap saya anggap ayah saya. Cinta saya terhadap Aisyah takkan pernah hilang.” 




Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Khamis, 24 Mac 2022

Prolog Kembali (belum edit)

Assalamualaikum..
Cerita baru jugak 
Jika suka boleh komen & share ya



You..”

Bahu suaminya disentuh. Terasa tegang, mungkin kerana telah lama dia menyimpannya dalam hati. Dalam dia mengelamun memikirkan tentang suaminya, tangannya disentuh dan ditarik, membuatkan dia terpeluk belakang tubuh lelaki itu.

“I bersalah. Kerana I dia menjadi mangsa.” Mendengar lirih suara garau itu, dia tahu suaminya meletakkan segala kesalahan di atas pundaknya.

“Aisyah tidak pernah salahkan you. Mengenali you perkara paling membahagiakannya.”

Dia terasa gegaran tubuh suaminya. Pelukan dieratkan. Dia tahu cinta di hati suaminya tetap milik Aisyah walaupun dia isterinya.

“Aisyah mahu you teruskan hidup. Kita perlu teruskan perjalanan hidup ini hingga ke hujung jalan.”

*****

“Dia mengalami pendarahan serius. Kami telah melakukan sebaik mungkin untuk menyelamatkannya. Tetapi Allah taala lebih menyayanginya.”

Ucapan doktor itu bagaikan batu besar menghempap hati keluarga Aisyah. Ibunya hampir pitam kerana tidak mampu menerima berita buruk secara tiba-tiba ini.

“Apa sakitnya doktor?” Abdul Azim menyoal. Anak sulungnya sihat dan jarang sakit tiba-tiba jatuh dan mengalami pendarahan serius. Dia terkial-kial mahu memahami. Adakah selama ini Aisyah, menyembunyikan sakitnya?

Tak mungkin.

Dia masih lagi ingat senyuman manis Aisyah sebelum kembali ke kolej. Walaupun wajah itu nampak lesu, tapi tidak menunjukkan dia mengidap penyakit serius. Lagipun tentu Aisyah ada mengadu kepada maknya.

Doktor memandang wajah Encik Abdul Azim.

“Dia mengandung 8 minggu. Kandungannya luar rahim. Mungkin dia tidak tahu. Mungkin dia rasa sakit perut biasa. Sebab itulah dia lambat mendapatkan rawatan sehingga menyebabkan pendarahan dalaman teruk," jelas doktor punca sebenar kematian Aisyah.

Namun mereka sekeluarga tidak dapat menerimanya. Tidak masuk akal langsung. Aisyah bukan seorang gadis lepas laku dan suka berkawan ramai. Dan satu lagi mereka kenal semua kawan-kawan Aisyah. Jadi tidak mungkin Aisyah boleh mengandung.

“Aisyah tak mengandung. Tak mungkin... Tak mungkin.” Puan Siti Siti Habsah menafikan dengan suara serak.

Aisyah anak yang baik. Dijaga dan diasuh sendiri. Dia yakin tak mungkin Aisyah mengandung anak luar nikah. Namun dia tiba-tiba terdiam dan memandang tajam kepada Adrian. Doktor dan Encik Abdul Azim turut sama memanahnya.

Adrian faham pandangan itu dan dia tidak ada apa yang hendak disembunyikan. Kasih dan cintanya tulus buat Aisyah. Tidak pernah dia melanggar batasan setiap kali mereka keluar dating.

“Saya tak pernah sentuh dia, mak cik,” tegas Adrian. Aisyah gadis kesayangannya. Tidak mungkin dia melakukan sesuatu yang merosakkan dirinya. Mereka bercinta tapi ada batasnya.  

Adrian mengeluh kesal. Kalaulah dia lebih prihatin dan mengambil berat tentang Aisyah sudah tentu mereka tidak akan kehilangannya.

Apakah yang berlaku sebenarnya?

Kenapa Aisyah boleh mengandung?

Lingkungan sosial Aisyah hanya terbatas di kampus, dia dan rumahnya. Setiap pergerakannya dia tahu tapi di mana silapnya?

Adrian buntu.

*****

“Aisyah dah meninggal?”

“Meninggal? Semalam dia datang ke kelas. Nampak sihat je?”

“Itulah, semalam ada berbual-bual dengan aku. Kata hujung minggu nak keluar tengok wayang sama-sama.”

“Kau tahu tak dia meninggal sebab apa?”

“Tak tahu. Dalam group tak ada cakap pun. Tapi roommate dia cakap, Aisyah senggugut teruk. Darah keluar banyak sangat sampai dia pengsan.”

“Pssst.. Ada orang cakap dia mengandung, tumpah darah sebab Aisyah buat pengguguran haram.”  

“Mesti dia buat ‘projek’ dengan boyfriend hensem dia tu. Tahu mengandung dia tak nak bertanggungjawab. Sebab tak nak mak ayah tahu, Aisyah cuba gugur sendiri.”

“Mengarutlah kau. Baru semalam pak we dia call dia masa tengah cakap dengan aku. Aku dengarlah. Patutnya hari ni pak we dia datang jumpa dia.”

“Betul. Aku yakin Aisyah tak macam tu. Dia baiklah. Tak kedekut dan selalu tolong kita.”

“Betul tu. Tapi aku peliklah apa sebenarnya terjadi kat Aisyah.”

“Psst dahlah cakap. Siapa nak ikut melawat?”

“Aku.”

“Aku.”

“Aku pun.”

“Dina dan Sofea nak ikut tak?”

Teguran rakan sekelas membuatkan Wardina dan Sofea terkejut.

“Korang ni kenapa pucat muka?” tegur Aina.

“Ta..tak ada apa.” Gagap Wardina menjawabnya.

“Nak ikut tak? Korang dulukan kawan baik.”

“Ikut.” Cepat Sofea menjawab. Dia menarik hujung baju Wardina dalam diam, memberi isyarat.

“Ok, habis kuliah nanti kita terus pergi. Kuliah petang cancel. Dr Arsyad pergi melawat jugak.”

“Nanti aku buat kutipan sumbangan untuk keluarga arwah.” 


Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Jumaat, 18 Mac 2022

Bukan Sekadar Mimpi bab 1 (belum edit)

Assalamualaikum... 
Cerita terbaru dari saya... 
Semoga anda terus menyokong saya. 
Boleh komen dan share jika sukakan cerita ini... 



“Psst Anna,” panggil Xi Xi.

Anna angkat kening menyoal. Minah cina ni kalau panggil macam tu mesti pasal K-pop idol.

You tahu tak Hot-5 akan buat konsert di Malaysia bulan 9 ni?”

Anna geleng kepala tanda tidak tahu. Yang dia minat drama Korea. Tentang K-pop Idol pula dia tidak tahu sangat. Dulu Arwah Kak Ain yang minat K-pop Idol. Sebab itulah dia tahu perkembangan semasa dunia hiburan Korea. Malah dia juga turut diheret menari sekali setiap kali Kak Ain membuat content tik tok.

Tapi selepas Kak Ain pergi, tiada lagi sumber informasi tentang K-pop Idolnya. Ada tahu perkembangan K-pop Idol pun dari Azim yang mewarisi minat Kak Ain. Tapi apalah yang budak sepuluh tahun tahu sangat selain menari dan menghafal lagu mereka.

“I bagitahu you lah ni. Nak pergi tak? I belanja?” ajak Xi Xi berharap.

“Kalau I pergi, adik I tu mesti nak pergi sekali. Azim tu dahlah peminat nombor satu Hot-5 tu.”

“Bawaklah dia sekali. Mesti dia suka.” Makin tinggi harapan Xi Xi yang Anna akan setuju.

“Memang taklah Xi Xi. Ramai orang. Kena bersesak pulak tu. Lagipun Azim bukan sihat sangat. Mudah kena selesema. Balik nanti mesti lewat malam.” Anna tidak setuju. Dia lebih pentingkan kesihatan adiknya. Kalau Azim jatuh sakit dia yang susah nanti.

Cahaya di wajah Xi Xi terus malap.

“Apa kata you ajak Faezah tu. Dia pun peminat Hot-5 jugak. Mesti dia nak pergi.”

Xi Xi mencemik. Dia tidak suka dekat Faezah tu. Suka berlagak itu.

“Dari ajak dia, baik I pergi sendiri.” Dia serik. Pernah sekali mereka berteman pergi tengok wayang. Semasa di pawagam Faezah berjumpa dengan kawan lelakinya, terus dia tinggalkan sendirian. Tidak mahulah pisang berbuah sekali lagi.

Anna sengih.

“Kawan-kawan you yang lain?”

“Pergi dengan boyfriend masing-masing. Takkanlah I nak jadi third party pulak.” Xi xi buat muka tidak kuasa.

Anna ketawa.

Dalam rancak mereka berbual sambil tangan menyusun pakaian yang dilihat oleh pelanggan, tanpa mereka sedar Mr Wong memerhatikan mereka. Mata Mr Wong lebih lama terhenti di wajah manis Anna.

“Berkenan?” tiba-tiba Faezah muncul di sebelah.

“Anna manyak lawa loor.”

You pun manyak kacak lor. Sepadanlah dengan Anna tu,” ujar Faezah ambil hati.

“Tapi dia jual mahal.” Pernah Mr Wong menawarkan diri menghantar Anna balik. Tapi ditolak.

“Alaa.. dia sengaja jual mahal. You jangan putus asa, gadis macam Anna tu selalu macam tu, nak uji you. Padahal mahu.” Faezah cucuk jarum.

“Macam I dululah. Jual mahal, sekali terkena berkali-kali mahu,” bisik Faezah nakal di telinga Mr Wong

 Senyuman gatal muncul di wajah Mr Wong. Betul kata – kata Faezah itu. Jadi dia tidak boleh berputus asa selagi tidak dapat menakluki Anna. Lagipun gadis itu anak yatim piatu dan perlukan bantuan kewangan. Kalau dia membuat tawaran lumayan sudah tentu gadis itu tidak akan teragak-agak menerimanya.

“Panggil Anna. I nak jumpa dia di pejabat I.”

“Baik Mr Wong.” Terbit senyum jahat di wajah Faezah. Kali ini pasti Anna tidak boleh terlepas dari pelukan nafsu Mr Wong lagi. Sudah lama diperhatikan dalam diam sikap Mr Wong terhadap Anna. Dia cemburu. Kenapa selepas bersamanya Mr Wong tidak boleh melupakan Anna. Kerana itu dia akan memastikan hasrat Mr Wong itu tercapai.

“Anna, Mr Wong panggil ke pejabat dia,” beritahu Faezah. Dia senyum lunak.

“Dia nak apa?”

“Nak kau kot,” balas Faezah sambil lewa.

Xi Xi mendengus tidak suka mendengar kata-kata Faezah itu. Menyampah dengan sikap perasan cantik dan peramah dibuat-buat oleh minah itu.

Anna diam. Dia menyeluk poket seluarnya, surat perletakan jawatan dan pampasan sebulan gaji telah disediakan awal-awal. Setiap hari hatinya berdebar-debar takut dipanggil oleh Mr Wong. Dia serik kena panggil sekali bila tangan Mr Wong naik ke bahunya, mengelus nakal dan cuba menggoda nafsunya.

Walaupun dia anak yatim piatu tapi orang tuanya meninggal ketika dia berusia tujuh belas tahun. Masih terpahat kukuh pesanan dan didikan orang tuanya, sebagai seorang gadis yang hidup di dunia moden ini kena sentiasa ingat sebagai muslim kehormatan diri sangat penting. Kena jaga batas pergaulan dan biarkan orang bukan mahram menyentuh sesuka hati. Jadilah gadis yang terjaga keperibadian dan kesucian diri. Itulah hadiah paling bermakna buat suami nanti.

“Okey. Aku pun ada hal nak jumpa Mr Wong juga,” balas Anna penuh makna.

You kena hati-hati dengan Mr Wong buaya darat itu.” Xi xi memberi peringatan kepada Anna.

“Thanks Xi Xi. I tahu you jangan risau.” Anna tepuk bahu Xi xi supaya gadis itu tidak risau.

Faezah pula tarik senyum senget sambil berkata “tak rugi Anna kalau kau ikut apa yang Mr Wong nak tu. Nanti kau tak perlu bersusah-susah buat OT lagi.” dalam maksudnya.

Namun Anna memandangnya dengan sebelah mata dan terus melangkah menuju ke pejabat Mr Wong.

Tok

Tok

“Masuk.”

Terdengar suara Mr Wong, barulah Anna membuka pintu dan masuk. Sengaja dibiarkan pintu bilik Mr Wong terbuka luas.

“Tutup pintu tu Anna.”

“Tak apa Mr Wong. Saya lebih suka pintu itu terbuka,” balas Anna berani.

Wajah Mr Wong berubah. Nampak sangat Anna sangat berwaspada dengannya. Sangat berhati-hati dan tidak mahu berada di pejabat tertutup berdua-duaanya.

Jadi kalau Anna tidak mahu tutup, dia akan tutup sendiri. Dia bangun menutup pintu.

You takut dengan I kenapa? I tak makan orang pun,” ujarnya selamba.

“Saya tak pernah takut dengan sesiapa pun melainkan Allah, Mr Wong,” jawab Anna berani.

Mr Wong tajam melihat Anna. matanya melihat Anna ke atas ke bawah, matanya singgah lama di leher jinjang Anna itu. Terasa tekaknya kering.

“Ada apa Mr Wong nak jumpa saya?” soal Anna. dia tidak selesa dengan pandangan bernafsu Mr Wong itu.

“Owh.. I nak offer you tawaran sangat menarik. Confirm selepas itu you akan hidup selesa. Tak perlu penat bekerja lagi dan kalau you nak sambung belajar pun boleh. Asalkan you terima offer I ni.”

Tidak perlu meneka, Anna dapat agak tawaran menarik Mr Wong itu. Mungkin untuk gadis seperti Faezah sangat menarik dan sangat untuk dilepaskan. tapi tidak Anna.

“Saya pun ada tawaran untuk Mr Wong,” ujar Anna. Dikeluarkan sampul surat putih dari poket seluarnya. Agak tebal. Kemudian diletakkan di depan Mr Wong.

Dahi Mr Wong berkerut melihatnya. Dicapai sampul surat tersebut dan dilihat isinya. Wajahnya berubah apabila melihat sekeping surat dan wang kertas di dalamnya.

“Apa ni Anna?” suaranya berubah. Nadanya tegas.

“Surat resign saya dan pampasan sebulan gaji. Saya resign dengan notis 24 jam dan saya tolak tawaran menarik Mr Wong itu. Maruah diri saya tidak ternilai harganya. Bukan boleh dibeli dengan wang ringgit,” tegas Anna.

Wajah Mr Wong terus berubah. Egonya tercalar dan tersedar. Anna bukan seperti gadis lain yang boleh disogok dengan kemewahan.

Anna tidak tunggu lama. Dia terus keluar dari bilik itu tanpa memandang Mr Wong lagi.

Xi Xi segera mendekati Anna apabila melihatnya keluar.

“Mr Wong nak apa?” soalnya tidak sabar.

“Tidak tahu. I resign 24 hour notis,” beritahu Anna.

“Haaa..” Xi Xi terkejut.

“Kenapa nak resign. Kita boleh report ke jabatan buruh.”

Anna geleng kepala. Sempat dijeling Faezah. Selambanya sikap gadis itu apabila mendengarnya meletakkan jawatan.

“Biarlah. Lagipun I kerja di sini sebab nak cari pengalaman kerja. I bukannya susah sangat sampai perlu gadai diri,” jelas Anna.

Dia melihat Faezah. “Feaz. Usia muda kita tidak lama. Jadi jangan sia-siakan kecantikan diri demi kemewahan sementara. Jangan bila dah terlambat baru menyesal.” Dalam nasihatnya. Sebagai sahabat dia tidak mahu Faezah terus hanyut.

“Aku tahulah hidup aku. Kau tak payah tunjuk baiklah,” dengus Faezah sebelum berlalu dengan sengaja berjalan menghentak kaki.

“Alaaa Anna, you tak ada, tak seronoklah kerja kat sini,” keluh Xi Xi.

“You bukannya kerja full time pun. Parttime je. Bukan ke bulan depan you sambung belajar ke?”

“Aiya.. I lupa. Betul cakap you. Ok tak pe. I bertahan je kerja sini sampai hujung bulan ni.” Xi xi sengih.

Anna angguk. Dia peluk bahu Xi xi. Hati terasa berat tapi keputusan telah dibuat dan dia tidak akan menarik balik. 




Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Rabu, 16 Mac 2022

Bukan Sekadar Mimpi


Prolog

Mimpi tentang aku dan dia.

Pertemuan itu sangat manis seakan realiti.

Dia yang aku temui menghadirkan rasa ingin menyintai

Dia, lembut suara meresap ke dalam jiwa.

Dia yang melontarkan seribu rasa ingin memiliki.

Dia yang hadir dalam mimpi..

Bukan sekadar mimpi.

Bahkan ia satu impian yang perlu direalitikan.

Dia,

Akan kucari sehingga jumpa.

Kerana bersamanya aku merasa indahnya cinta

Mimpi ooo mimpi

Bukan sekadar bayangan ilusi

Dia.. Mimpi yang pasti.

Wujudnya ku nanti.

Dia...

Mimpi bukan sekadar mimpi..

Wujudnya ku nanti.









Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Rabu, 9 Mac 2022

Beautiful Jodoh bab 10

Bab 10 ni bab terakhir saya akan kongsikan di blog ini. 
Kalau nak baca kisah Haura dan Ferran sampai tamat, korang kena beli novel dan ebook. 
Ebook juga dijual di esentral.my dan juga play book google. Tak pun korang boleh klik kedai online kami 




HAURA NUR mendongak.

‘Dia lagi. Kenapa kerap sangat mamat ni muncul di depan aku. Kenapa tidak dulu?’ Haura Nur menjegilkan mata, sebagai isyarat menghalau Ferran Atiq.

Ferran Atiq berpura-pura tidak faham. Selamba dia duduk di hadapan Haura Nur.

Haura Nur ketap gigi kemudian kembali tunduk membuat kerjanya. Dia mahu cepat habis menyalin maklumat yang diperlukan dan balik ke kolej. Tidak guna dia memarahi Ferran Atiq yang tidak faham bahasa. Memang tebal sungguh kulit lelaki itu!

Ferran Atiq tidak mengacau Haura Nur, cuma sesekali pandangannya singgah di wajah gadis itu. Semakin dilihat, semakin yakin dengan perasaannya sendiri.

“Ferran, ada orang tak kat sini ... boleh I duduk?” Terdengar suara perempuan berbisik.

Anis Syatilla senyum menawan memandang Ferran Atiq, seolah-olah hanya ada Ferran Atiq di situ.

“Banyak lagi tempat kosong. Sini dah penuh,” balas Ferran Atiq perlahan, tidak mahu Haura Nur berasa terganggu.

Akan tetapi, Haura Nur sudah hilang tumpuan sejak Ferran Atiq duduk di hadapannya. Mujurlah rujukannya telah siap disalin, jadi tangannya cepat mengemas buku-buku dan barang-barangnya. Tidak mahu menjadi orang ketiga di situ.

“Duduk sini. Kerja saya dah siap.” Haura Nur bangun dan menyandang beg sambil mengelek bukunya. 

“Samalah. Kerja saya pun dah siap.” Ferran Atiq turut bangun, mengikut Haura Nur.

Air muka Anis Syatilla terus berubah. Ferran Atiq langsung tidak memandangnya. Dia pula yang menjadi perhatian pelajar yang ada di situ. Malu dan sakit hati bersatu.

Di luar perpustakaan, langkah Haura Nur terhenti. Dia berpaling memandang Ferran Atiq di belakangnya.

“Awak nak apa sebenarnya?” soal Haura Nur. Sudah dua kali Ferran Atiq mengacaunya.

“Saya nak berkenalan dan berkawan dengan awak,” balas Ferran Atiq bersahaja. Sedikit pun tidak terasa dengan sikap dingin Haura Nur.

Haura Nur memandangnya tidak puas hati. Geram! Rasa hendak ditarik pipi Ferran Atiq kuat-kuat.

Heii ... boleh serius sikit tak!

“Sebab Imran?” soalnya.

Ferran Atiq menggeleng kepala. “Sebab saya memang dah lama nak berkenalan dengan awak.”

Hati Haura Nur tersentuh tetapi dia tidak percaya. Ini tentu sebab Imran Iman. Tidak mungkin Ferran Atiq sukarela hendak berkawan dengannya. Dia mendengus kuat.

“Awak tak payahlah ikut sangat apa yang Imran cakap tu. Saya tak pandai berkawan dengan lelaki dan tak suka terlibat dengan lelaki,” tekan Haura Nur.

“Bagus. Itu lagi baik. Awak hanya boleh berkawan dengan saya saja,” balas Ferran Atiq lega, sambil menghadiahkan senyuman manis kepada Haura Nur.

“Awak dah makan?” Sengaja dia menukar topik, mahu berlama-lama dengan Haura Nur. Tidak dihiraukan wajah marah gadis itu.

Terkebil-kebil Haura Nur mendengar suara maskulin Ferran Atiq bertanya, prihatin. Hilang punca hendak marah. Mengapa lelaki itu seperti tidak faham yang dia tidak suka didekati?

 “Suka hatilah!”

Malas mahu melayan kerenah Ferran Atiq, Haura Nur segera berlalu.

          “Hati saya sudah lama sukakan awak,” balas Ferran Atiq perlahan, menyapa gegendang telinga Haura Nur.

Langkahnya terhenti seketika, namun cepat saja dia meninggalkan lelaki itu. Tanpa sedar bibir Haura Nur menguntum senyuman.

Tidak mengapa hari ini pelawaannya tidak disambut. Esok lusa masih ada. Mata Ferran Atiq setia mengikut langkah Haura Nur sehingga gadis itu menaiki bas.

“AYAH ada telefon Ara?” soal Imran Iman setelah menjawab salam Haura Nur.

“Ada. Dia suruh balik rumah dia hujung minggu ni. Abang Im?” tanya Haura Nur pula.

“Dia datang jumpa abang, hujung minggu ni ada majlis hari jadi anak perempuan dia. Ayah suruh kita ada sama,” beritahu Imran Iman.

Haura Nur mencemik kemudian tertawa menutup luka di hati. “Ara banyak kerja. Tak ada masa nak pergi rumah dia.”

Imran Iman diam. Dia memahami apa yang dirasainya adiknya saat ini. Akan tetapi, kalau difikirkan lebih mendalam, sampai bila mereka mahu mengelakkan diri. Lagipun, ayah mereka tetap wali Haura Nur. Haura Nur masih lagi di bawah tanggungjawab ayah mereka sehinggalah adiknya itu berkahwin.

“Ara ... sampai bila Ara mahu mengelak. Tak suka atau benci sekalipun, dia tetap ayah kita. Wali sah Ara nanti. Kita pergilah tunjuk muka sekejap, lepas tu balik,” pujuk Imran Iman.

Walaupun marahkan Encik Ismail tempoh hari, dia tetap tidak lupa tanggungjawabnya sebagai anak. Mana tahu, selepas majlis hari jadi nanti, hubungan mereka bertambah baik. 

Haura Nur menggigit kukunya. Hati terasa berat ingin memenuhi permintaan abangnya. Untuk apa? Menoreh luka di hati sendiri? Ayah? Sudah lama kasih ayah tidak dirasai sehingga dia sudah lali. Begitu juga kasih mama. Sudah lama hilang dari hati. Dahulu, dia sangat mengharapkan kehadiran orang tuanya. Namun, seiring dengan masa, harapan itu semakin menipis dan terus menghilang dari radar hati. Dia redha menerima takdir hidupnya. Dibuang oleh ayah dan mama. Dia bernasib baik kerana ada atuk dan mak tuk yang sanggup menjaganya dengan penuh kasih sayang.

Mak tuk pernah berpesan supaya dia tetap menghormati ayah dan mamanya, walaupun mereka membuangnya daripada hidup mereka. Kata mak tuk, tanpa mereka dia tidak akan wujud di dunia ini. Jadi, dia kena berterima kasih kepada mereka dan jangan sesekali hilang hormat terhadap mereka. Sakit hati itu simpan sahaja dan jangan berdendam, dan sentiasa berdoa agar Allah melembutkan hati mereka untuk kembali mencari dan mengasihi dirinya. 

“Ara ... dengar tak abang cakap ni?”

“Haa? Hmmm ... dengar.”

“Ara tak sendirian. Abang ada. Kita pergi ya?” pujuk Imran Iman.

“Hmm...” Tidak ada jawapan pasti daripada Haura Nur.

“Abang anggap Ara setuju ni. Sabtu ni pukul 11 pagi abang datang ambil.”

“Hmmm.”

“Oklah Abang Im tak kacau Ara dah. Abang WhatsApp bila sampai nanti.”

“Eh, Abang Im ... kejap!”

“Apa dia?”

“Abang Im cakap apa dekat Ferran sampai dia rajin sangat muncul depan Ara?” tanya Haura Nur.

Imran Iman ketawa kecil. Baguslah Ferran Atiq serius.

“Ara tak suka dia?”

Haura Nur diam. Bukan dia tidak suka tetapi terasa janggal apabila Ferran Atiq tiba-tiba muncul mengganggu hidupnya.

Imran Iman tersenyum di hujung talian apabila tidak mendengar balasan daripada adiknya. Dia tahu Haura Nur sukakan Ferran Atiq tetapi malu hendak mengaku.

“Abang Im cakap apa dekat dia?” tanya Haura Nur lagi tanpa memberi jawapan kepada soalan Imran Iman tadi.

“Abang cakap, abang Im suka kalau dia jadi adik ipar abang.”

“Buat malu je abang ni!” marah Haura Nur. Dia malu. Tidak sangka Imran Iman boleh pula berterus terang begitu dengan Ferran Atiq.

“Kalau dia tak suka, dia takkan mendekati Ara. Cuba fikir kenapa dia selalu muncul depan Ara selepas abang cakap abang suka dia jadi adik ipar abang.”

Haura Nur diam sambil menggigit bibir. Beberapa saat kemudian, baru dia menjawab.

“Sebab dia nak jaga air muka abanglah. Abang kan kawan dia. Dia tak sampai hati nak tolak niat baik abang tu sehingga terpaksa korbankan perasaan sendiri.”

Nonsense! Ferran tu bukannya orang yang tak ada pendirian. Dia tahu apa yang dia mahukan. Kalau dia tak nak, tak ada siapa pun yang boleh paksa dia,” jelas Imran Iman.

Kata-kata Imran Iman itu meresap masuk ke dalam hatinya.

“Saya sukakan awak” Haura Nur tidak pernah lupa bisikan Ferran Atiq itu.

“Ara pun sukakan dia juga, kan?” tekan Imran Iman di hujung talian.

Haura Nur diam, tidak mengaku atau menafikan.

“Diam tandanya suka. Jadi, Abang Im nak Ara bagi peluang kepada diri sendiri. Cuba berkawan dengan Ferran. Jika ada keserasian dan cinta dalam hati, teruskan. Jika tak serasi, tak apa, anggap je dia kawan,” Imran Iman memberi cadangan dan nasihat. Selebihnya terpulang kepada Haura Nur.

“Abang Im dah lama kenal Ferran ni. Kami samasama aktif dalam e-sport. Dia antara perintis e-sport ni. Bukan setakat bermain games, dia juga seorang leader yang baik. Dia mampu membawa pasukan negara ke peringkat antarabangsa. Dalam masa yang sama, dia juga buat business online dan seorang siswa. Selama abang kenal dia secara online dan offline, karakternya sama. Dia calon terbaik jadi suami Ara.”

Calon suami juga yang Imran Iman sebut. Wajah Haura Nur terasa panas.

“Tengoklah macam mana nanti. Ramai yang suka dia. Pilihan dia banyak. Cantik-cantik pulak tu. Ara ni gadis kampung. Asyik pakai baju kurung je. Manalah dia suka.” Haura Nur merendah diri.

Imran Iman ketawa. Terusik dengan sikap rendah diri si adik. Haura Nur sangat cantik di matanya. “Lagilah Ferran suka. Gadis Melayu berbaju kurung ni manis dan cantik.”

Haura Nur mencemik. Mata dijeling ke atas. Vivonya masih melekap di telinga. Dia terus memutuskan talian.



Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.