Ahad, 24 April 2022

Kembalinya Cinta Ramadan Bab 9

Jangan marah tau... Ni last bab di blog.. 
Oleh sebab ramai permintaan, Saya akan bukan order ebook untuk cerita ini lepas raya nanti. Don't worry ready file. Jadinya korang akan dapat dalam masa 24 jam selepas pembelian.. Tunggu tau... 



“Kalau kamu belum jumpa lagi jodoh kamu, mak aji nak jodohkan kamu dengan Adah.”

Hariz terkejut. Dari cerita pasal Adah kemalangan, pusing ke soal jodoh pula membuatkan Hariz terkedu.

“Tapi..” Takkanlah sebab cakap-cakap masa kecil yang dia dah lupa tu, mak aji dan mak ngah nak paksa dia kahwin dengan Adah. Orangnya pun tidak kenal lagi.

“Jumpa dia dulu sebelum kamu nak tolak tu. Kalau memang tak tercuit langsung perasaan kamu tu, mak aji takkan paksa,” sambung mak aji tidak memberi peluang Hariz terus menolaknya.

Mak ngah angguk.

“Mak ngah dan mak aji bagi cadangan je. Adah pun tak tahu lagi rancangan kami ni. Kami bagi tahu Ariz dulu. Jumpa dia dan kenal dulu. Kalau rasa boleh terima Adah tu, kamu usahalah pikat dia.”

“Kalau rasa tak suka dan tak dapat terima, kami takkan paksa kamu. Lagipun kami faham, Adah tu bukan Adah yang dulu lagi,” ujar mak ngah pula.

Melihat wajah mak ngah dan mak aji penuh harapan itu, Hariz tidak jadi menolak lagi. Dia angguk.

“Ok baik, Ariz terima cadangan mak aji dan mak ngah. Tapi kalau Ariz rasa memang tak terbit langsung perasaan kat Adah ni, Ariz harap mak ngah dan mak aji jangan kecewa. Soal jodoh ni tak boleh nak paksa. Apatah lagi soal hati. Ini kebahagiaan Ariz.”

“Mak ngah faham. Kalau dah bukan jodoh kamu.”

Hariz lega. Jadi sekarang dia perlu kenal Adah dulu. Budak comel masa kecil dulu dia tidak ingat langsung dah.

“Tapi mak ngah, kenapa selama ini saya tak pernah jumpa Adah ni?”

“Mana nak jumpanya, dia balik sini, kamu tak balik. Sudahlah jarang balik, memanglah tak jumpa. Time raya pulak, kami balik raya ke kampung  mak ngah.”

Iya tak iya jugak.

Cuma Hariz tidak menyangka yang gadis yang ditunggu selama tiga tahun ni telah berada berhampirannya.

“Mak ngah balik dululah. Adah dan Nana tentu dah sampai rumah tu.”

“Terima kasih mak ngah untuk lauk pauk berbuka puasa ni.”

“Bukan mak ngah masak, Adah yang masak,” balas mak ngah sebelum berlenggang balik ke rumahnya.

Hariz memandang mak aji semula.

Mak aji senyum. Diambil bekas berisi lauk pauk yang mak ngah tinggalkan masuk ke dalam rumah.

Adah.. Ooo.. Adah..

Dia kena kenal Adah secepat mungkin. Hasrat orang tua ni kena cepat diselesaikan. Tidak mahu mereka terus berharap. Bila tak jadi berderai harapan, dia pula terasa bersalah.

Malam itu mereka bertiga pergi menunaikan solat terawih di masjid seperti biasa. Oleh kerana dua tahun tidak boleh berterawih di masjid, maka tahun ini masjid penuh sampai melimpah ke kawasan luar masjid. Masing-masing pakat mahu mengumpul pahala berterawih dan mengembalikan kemanisan bulan ramadan yang hambar tahun-tahun sebelumnya.

Selesai solat terawih, para jemaah menjamah moreh yang disediakan dan juga disedekahkan. Hariz tidak turut serta. Jadi dia mahu menunggu mak aji dan tok ayah di dalam kereta sahaja. Dia tidak memberi perhatian kepada keadaan sekitar tapi matanya tiba-tiba menangkap wajah yang terasa macam kenal. Sebab cahaya lampu yang samar-samar membuatkan Hariz mengambil masa untuk mengecam wajah manis itu.

Tumpuannya pada si dia yang bertelekung dan tengah melayan cakap teman di sebelahnya.

Wajah dan suara itu membuatkan Hariz berhenti melangkah menuju ke keretanya. Tiga tahun dia mencari dan menunggu, rupanya dia berada di sini.

“Abang Ariz,” tegur Nana gembira. Dia sengih nampak gigi.

Mata Hariz masih lagi memandang Wardah. Wajah gadis bertelekung putih itu nampak bercahaya. Cantik dan berseri. Terasa beban rindunya gugur.

“Nana?”

Nana sengih apabila Hariz menyebut namanya.

“Abang Ariz masih ingat lagi Nana?” soalnya teruja.

“Mak ada cakap Abang Ariz balik puasa kat rumah tok ayah.”

Hariz angguk. Matanya masih lagi melihat-lihat Wardah di depannya.

“Ha.. lupa pulak nak kenalkan. Kak Adah, ni Abang Ariz, cucu mak aji,” ramah Nana memperkenalkan mereka.

Adah senyum dan menundukkan kepalanya sedikit.

Lelaki ini macam asing dan tak asing baginya. Cucu mak aji dan tok ayah, jadi mungkin mereka sudah lama kenal.

Adah itu Wardah? Hariz terkejut. Gembira pun ya juga. Jadi selama ini Wardah menghilang sebab kemalangan. Hati terasa sebu bila kebenaran tentang kehilangan Wardah dulu terbongkar. Rupa-rupanya takdir yang memisahkan mereka. Namun takdir juga menemukan mereka sekali.

Hasrat mak ngah dan mak aji dengan sepenuh hati akan ditunaikan!

“Datang dengan apa tadi?”

“Dengan motor. Mak dan ayah pun naik motor jugak.”

Adah diam mendengar perbualan mereka. Manakala Hariz pula memerhatikannya dalam diam. Dia teringat satu ungkapan, ‘bila dah jodoh takkan ke mana. Akan bertemu juga.’

Ungkapan itu terasa sangat benarnya. Tiga tahun tanpa khabar berita, dia temukan Adah di sisi tok ayah dan mak aji. Terasa menyesal jugak kerana lama tidak balik kampung. Kalaulah dari awal dia rajin balik melawat, mungkin lebih awal lagi dia akan menemui Wardah.

“Ariz... tok ayah dan mak aji tunggu kamu kat depan masjid tu, patutlah tak nampak tadi,” tegur mak ngah.

“Nana pergi panggil tok ayah dan mak aji nuh.”

Nana angguk. Tidak tunggu lama dia telah berlari masuk ke dalam masjid mencari mereka.

“Ariz dah kenal dengan Adah ni?”

Hariz angguk dan senyum bermakna.

Mak ngah angkat kening.

“On mak ngah.” Balasan Hariz itu mengundang teka teki dalam hati Adah.

On apa?

Mak ngah pula angguk. Dalam masa yang sama dia nampak Nana bersama mak aji dan tok ayah mendekati mereka.

Wajah mak ngah berseri, dia tidak sabar hendak memberitahu mak aji jawapan Hariz tadi. Nampaknya rancangan mereka akan berjaya.

“Jomlah kita balik. Esok petang kita berbuka puasa bersama-samalah mak aji,” saran mak ngah.

“Molek jugak tu. Kita-kita je berbuka puasa dulu. Minggu depan yang jauh nak balik berbuka pulak.”

Adah tidak masuk campur dalam perbualan mereka. Dia tidak selesa kerana mata Hariz asyik singgah kepadanya.

Tidak lama berbual di situ, mereka berpamitan untuk pulang. Nana naik motor bersama Adah, mak ngah dengan pak ngah. Tok ayah dan mak aji naik kereta bersama Hariz. Hariz memandu perlahan, mengikut mereka di belakang.

“Ariz dah kenal Adah, macam mana orangnya? Okey tak?” suara mak aji memecah kesunyian dalam kereta.

Hariz memandu tetapi fikirannya melayan kepada Adah yang membawa motor di hadapan. Dia mengimbas kembali Wardah tiba-tiba menghilangkan diri dulu.

“Mak aji, selepas Adah keluar dari hospital, mak ngah terus jaga ke?”

“Ya. Semasa di hospital pun mak ngah sekeluargalah yang berulang alik dan bergilir-gilir melawat Adah. Keluarga sebelah bapak Adah tidak pedulikan Adah langsung. Kalau tak salah mak aji, sekali je bapak dia datang melawat. Lepas tu tak ada dah. Konon nak jaga hati keluarga dia tu.”

Hariz angguk. Timbul keinginan untuk menjaga gadis itu selepas ini. Tiga tahun dia menunggu, bertemu Wardah kembali ketika di bulan ramadan dan di depan masjid juga membuatkan hati Hariz tidak ragu-ragu menerima jodoh yang mak aji aturkan.

“Selepas ni Ariz nak jaga Adah mak aji. Ariz nak angkat dia sebagai isteri Ariz,” beritahu Hariz penuh yakin.

Mak aji memandang tok ayah. terkejut mendengar kata-kata Hariz itu tapi dalam masa yang sama dia gembira. Alhamdulillah rancangannya dengan mak ngah berjaya.

Tapi apa yang membuatkan Hariz tiba-tiba setuju?



Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Jumaat, 22 April 2022

Seindah Biasa Bab 1

Assalamualaikum semua... Maaf tak ada Bab baru Kembalinya Cinta Ramadan Hari ini. 
Atas permintaan ramai yang nakkan ebook. Jadi last bab kat blog pada 24hb ni.. 
Ebook Kembalinya cinta Ramadan akan dibuka order selepas raya. Ready file. Nak baca sampai habis kisah Hariz dan Adah boleh dapatkan ebook selepas raya nanti. 

Jadi saya up cerita baru. Kisah Office Romance.. 
Jom berkenalan dengan Kila & Daud pula. 



Hari ini seorang lagi kawan aku akan melangsungkan perkahwinan. Dah sampai jodoh rupanya dia. Dalam diam-diam berisi. Tertutup kemas rahsia hatinya. Dengan aku sendiri pun dia berahsia padahal akulah kawan baiknya. Kononnyalah. Kalau kawan baiknya pasti aku yang pertama tahu dia sedang asyik masyuk bercinta kan?  Tapi ok gaklah aku yang pertama tahu dia hendak kawin berbanding rakan-rakan kami yang lain.

    Hari ini rumah Pak Cik Din meriah sekali. Meraikan perkahwinan anak bongsunya itu. merangkap anak perempuan tunggal. Akulah yang menjadi tukang sibuk dan tukang menyemak kat situ. Hendak kata apa dah apabila aku secara automatik dilantik menjadi pengapit dan selaku ketua bridemaids. Jadi kenalah rela diri mengikut pengantin ke hulu ke hilir. Nasib baik anak Pak Cik Din ni kawan baik aku sehidup semati, kalau tidak, memang tidak kuasalah aku jadi pengapit.

    Mujur juga pengapit pengantin lelaki ni kacak. Ada ciri-ciri lelaki idamanku. Tapi 50 markah terpaksa ditolak, dia lebih muda banyak tahun dari aku. Tidak mahulah berkekasihkan lelaki muda. Taste aku ni mahukan lelaki lebih tua dan matang jadi kekasih dan bakal iman.

BUK...

“Aduh!” Macam nangka busuk aku terjatuh.

Mesti merah muka cantik aku ni. Aku gigit bibir menahan tangis. Sakit sangat bila terjatuh pakai high heel dan baju kebaya berkain sempit ni. Hati geram. Makhluk mana langgar aku ni. Tidak nampak ke aku yang cantik ni?

Aku mengangkat muka dan terpandang tubuh tinggi seorang pemuda tegap di depanku. Wajahnya cuak tapi air mukanya tidak menunjukkan perasaan bersalah pun. Sebaliknya matanya terus memandangku tanpa berkelip.

Aku mendesis sakit dan geram. Mata siap menjeling tajam. Kurang ajar! Mata keranjang! Bukannya mahu tolong tapi mata tu meliar tengok orang macam tidak pernah tengok! Tahulah aku ayu dan cantik hari ni. tapi coverlah sikit pandangan tu. Jangan pulak aku menjerit pencabul pulak!

     “Eloo saudara, boleh tepi sikit tak!” marahku. Aku jadi seram. Takut jika betul lelaki ni orang jahat. Tambah pula cara lelaki ini memandangku membuatkan bulu romaku  tegak.

Biar betul lelaki sekacak ni seorang perogol!

Aku memandang ke kiri dan ke kanan, mencari orang untuk meminta tolong. Aku sudah mula rasa takut.  

“Sorry..sorryYou lawa sangat,” ucapnya sambil tersimpul senyum. Malu-malu. Wajah dan telinganya dah memerah.

Aku geleng kepala. Apa punya oranglah. Tapi kembang jugaklah hidung aku yang sedia kembang ni. Nasib baik salah faham je. Dia bukan orang jahat.

“Sakit sangat ke?” suaranya bergetar risau bertanya. Barangkali baru perasan aku tengah tahan sakit ni.

Aku jeling. Dah jatuh macam buah nangka, boleh lagi tanya sakit ke tak? Bumper aku ni mesti dah senget, bebelku dalam hati.

“Eh mestilah sakit. Ingat perlahan ke jatuh tadi?” terus aku jerkah. Terkejut dia.

Sorry. I dah elak tadi, tapi you jalan tak tengok depan. Kalau I elak ke kanan confirm jatuh ke dalam tasik. Ke kiri kena tembok tu,”balasnya dia lembut siap dengan penjelasan.

Aku pula jadi malu. Tapi... memang salah aku ke? Namun aku tidak mahu mengaku salah.

“Habis tu kalau I jalan tak tengok ke depan? You jalan tengok ke belakang?”  balas aku semula. Tidak mahu mengalah. Pantang keturunan aku tau.

“Ok.. Okeyyy.. I yang salah. I minta maaf,” pinta mamat itu tanpa ingin memanjangkan cerita.

Aku mendengus. Kalau marah kang orang cakap aku ni cepat kecil hati pulak. Lagipun dia mengaku salah dan meminta maaf. Jadinya aku kenalah memaafkannya dengan hati terbuka. Nanti orang cakap aku ni sombong. Kedekut maaf.

 “Forget it. Salah I juga,” lembut aku membalas. Orang berbudi kita berbahasa kan. Kenalah mengaku salah juga.

    Aku memandangnya dengan sedikit senyum. Tengah sakit, tidak ada mood senyum manis. Dia pula tarik senyum menggoda gitu. Dan aku hampir-hampir tergoda.

Manis senyumannya. Bibirnya merah dan terdapat tahi lalat di atas bibir bawahnya. Sweet kan. Oooo no apasal aku ni, tiba-tiba puji mamat ni pula. Kenal baru beberapa minit. Eh dah terjatuh hati ke ni? Eh tiba-tiba..

“Kilaaa….” Terdengar satu suara dari jauh melaung namaku. Melilau mataku mencarinya. Hujung sana, Zana melambai-lambai. Turn aku kena ada sekalilah tu berpossing

Aku tidak ambil pusing dah pasal mamat tu lagi, aku melangkah cepat ke arah Zana.

Tiba-tiba suaranya menghentikan langkah ku.

“Nice to meet u Kila. I Daud.”

Pantas aku menoleh. Eh mamat nih, sempat lagi nak sesi perkenalan. Aku tak harap pun. tetapi sebuah senyuman dihadiahkan jugaklah. Tanda aku ni tak sombong dan berdendam.

Nice to meet u too. I kena pergi sekarang. Nanti habis satu taman tahu nama I “ rungutku. Langkahku laju menuju ke pasangan pengantin itu.

Aku dapat merasakan mamat itu terus memandang aku melangkah. Isyyyy..rasa segan lak. Nak jalan ganas-ganas ker atau alaa perempuan melayu terakhir. Ah..jalan jer seperti aku jalan macam biasa. Huh.. tak ada maknanya akan berjumpa lagi mamat tuh.


Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Rabu, 20 April 2022

Kembalinya Cinta Ramadan bab 8


Nama Adah meniti di bibir mak aji setiap hari. Adah masak ni, Adah pandai menjahit, Adah pandai buat biskut raya dan macam-macam lagilah. Kerja mengemas rumah pun Adah yang tolong sebab mak aji sudah tidak mampu lagi mengemas rumah besar itu.

Oleh sebab selalu sangat mendengar nama Adah, Hariz jadi tertarik hendak mengenali pemilik nama itu. Jadi dia sengaja tidak mengikut tok ayah ke bazar ramadan petang ini. Dia mahu berkenalan dengan Adah.

Tapi Adah ni seolah-olah tahu Hariz sedang menunggunya di rumah tok ayah, jadi petang itu dia tidak menghantar makanan seperti selalu, sebaliknya mak ngah yang datang hantar.

“Ariz.. lama betul mak ngah tak tengok kau. Makin segak,” ramah mak ngah menegur Hariz yang sedang menyapu sampai di laman rumah.

Mak aji pula sedang duduk di atas kerusi malas melihat Hariz menyapu, sambil-sambil berbual kosong dengan cucunya itu.

Hariz sengih. Setiap kali balik kampung dan berjumpa mak ngah, setiap kali itulah dia akan dipuji. Kata mak ngah kalau anak perempuannya dah besar mahu saja dijodohkan dengan Hariz.

“Biasa eh mak ngah. Mak ngah pun makin lawa nampak.”

Mak ngah ketawa. Hariz ni pandai bermulut manis dengan orang tua. Tidak pernah meninggi diri.

“Berapa lama kamu cuti ni?”

“Sampai lepas raya mak ngah.”

“Ooo.. jadi tak pergi sambut raya kat Mekah ke?”

“Tak. Tahun ni saya raya kat sini. Mak abah pun akan balik sebelum raya. Tak jadi sambut raya kat sana. Tok ayah suruh balik.” Hariz sengih.

Teringat maknya kena ceramah dek tok ayah. Sudahlah dua tahun tak boleh raya.

“Dapat raya pulak kamu lari beraya ke Mekah, macam tak ada saudara mara, orang tua kat kampung. Kalau tahun ni raya terakhir aku, kamu jangan menyesal kemudian hari.” Oleh sebab kata-kata tok ayah itulah orang tuanya memendekkan ziarah mereka di Mekah.

Hujung minggu ni pula anak cucu tok ayah akan balik berbuka puasa di kampung.

“Adah mana, tak datang pulak hari ni,” tanya mak aji.

“Si Nana tu ajak ke bazar ramadan. Nak makan somtam buat bukak puasa. Dua tiga hari dah merengek nak ke bazar.”

“Ooo...” Mak aji angguk.

Manakala Hariz pula sedikit kecewa.

“Adah tu lagu mana? Dah makin sihat ke dia? Dah ingat sikit-sikit?” mak aji bertanya.

Teringatkan gadis itu, hatinya jatuh kasihan. Tapi dalam masa yang sama dia kagum dengan semangat gadis itu. Tidak pernah mengeluh dan bersungut. Selangkah demi selangkah dia memulakan hidupnya kembali. Walaupun mungkin tidak seperti dulu tetapi semangat yang ada dalam jiwa gadis itu, mak aji yakin dia akan kembali seperti sebelum kemalangan itu.

Mak ngah geleng kepala. Dengan tubuh agak gempal dia melabuhkan punggung di atas tangga batu rumah tok ayah.

“Lagu tulah dia mak aji. Tak ingat sikit pun. Bila dia cuba nak ingat, terus sakit kepala. Jadi doktor cakap jangan paksa diri. Takut jadi lagu lain pulak.”

Mak ngah melepaskan keluhan. Dia kasihankan Adah tu, satu-satunya anak arwah kakak sulungnya. Dialah saudara paling dekat walaupun ayah Adah tu masih ada lagi. Tapi dia tidak suka dengan keluarga baru ayah Adah.

Jadi sebab tidak mahu kebajikan Adah terabai, dia mengambil keputusan untuk menjaga Adah sendiri. Dari gadis itu tidak dapat berjalan kerana ke dua belah kakinya patah, mereka sekeluargalah yang bersusah payah menjaganya.

Nana itulah yang mengajar Adah mengenal huruf dan membaca semula. Selepas kemalangan itu, Adah seperti bayi baru lahir, semuanya kena belajar dari mula. Sebab itulah Adah tidak pernah bersungut, melayan setiap permintaan Nana.

Perbualan mak ngah dan mak aji itu menarik perhatian Hariz. Dia semakin berminat hendak mengenali gadis itu.

“Adah sakit ke mak ngah?” soalnya ingin tahu.

“Tiga tahun lepas dia accident, patah kaki dua belah. Kepalanya terhantuk, ada pendarahan dalam kepala. Koma dekat sebulan. Bila sedar, dia hilang ingatan. Lupa terus kehidupannya sebelum kemalangan itu. Kena belajar dari mula balik.”

Terbit rasa simpati dihati Hariz.

“Orang tuanya meninggal dalam accident tu ke mak ngah?”

“Mak dia meninggal di tempat kejadian. Mak ayah dia dah lama bercerai. Dia tinggal dengan mak dia. Accident tu masa bulan puasa jugak. Mereka dalam perjalanan balik kampung. Lori terbabas langgar kereta mereka. Masuk paper jugaklah accident tu.”

Hariz angguk faham. Tercetus perasaan semakin ingin mengenali Adah itu.

Mak ngah pandang Hariz lama.

“Kamu tak kenal Adah tu?”

Hariz geleng kepala. Dia kenal ke? Pelik pulak bunyi soalan mak ngah ni.

“Tak ingat?” tanya mak ngah lagi.

“Tak ingat langsung?”

Hariz sengih. Tidak ada klu dalam kepalanya kawan atau kenalan bernama Adah. Dia geleng kepala.

Mak ngah pandang mak aji sambil geleng kepala.

Mak aji pun sama.

“Kamu dan Adah dulu macam kembar siam. Tidur sekali, makan sekali dan bermain sekali.” Mak ngah buka cerita lama.

Berkerut dahi Hariz mendengarnya. Dia tak ingat sungguh.

“Umur lima tahun mana nak ingat, Piah,” ujar mak aji.

Hariz garu kepala. Ketika dia kecil sampai umur lima tahun, dia tahu dia tinggal bersama dengan tok ayah dan mak aji kerana ketika itu kedua orangnya bertugas di luar negara dan tidak dapat membawanya bersama.

Mak ngah dan mak aji saling berpandangan. Ketawa apabila teringatkan gelagat Hariz ketika kecil.

“Masa tu mak Adah tinggalkan Adah dengan mak ngah. Dia baru saja bercerai. Mak ngahlah yang mengasuh Adah ketika itu sekali tengokkan kamu.”

“Kamu sayang sangat kat Adah ni. Setiap hari kamulah yang tolong jaga Adah. Tak nak berpisah langsung. Kamu sejak kecil dah pandai cakap dan bijak. Siap cakap lagi, bila besar nak kahwin dengan Adah.” Mak ngah ketawa.

Mak aji pun turut ketawa.

“Tapi itulah, bila dah ikut mak ayah kamu, terus lupakan Adah. Seminggu Adah menangis nak Abang  Ariz.” Mak ngah bongkar rahsia.

Hariz garu kepala.

“Umur lima tahun mana nak ingat semua tu mak ngah. Saya rasa Adah pun dah tak ingat saya. Cerita masa kecil kami.”

Mak ngah angguk.

“Aah.. Kalau dia tak hilang ingatan pun dia tak ingat pun kamu, Ariz. Lagipun masa tu umur dia baru tiga tahun. Tapi mak ngah tak boleh lupa seminggu dia demam, tidur pun peluk bantal kamu guna, lapik baju terakhir kamu pakai masa tinggalkan kampung dulu.”

Hariz diam. Dia cuba mencari di celah ingatannya tentang budak perempuan comel nama Adah ni. Tapi memang tidak ingat langsung.  

Mak ngah mengeluh. Dia memandang Hariz yang berdiri sambil memegang penyapu itu.

“Adah ni sebelum kemalangan dia kerja kat KL. Besar jugaklah jawatan dia. Tapi terpaksa dihentikan 



Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Isnin, 18 April 2022

Kembalinya Cinta Ramadan Bab 7

Tujuh jam memandu, akhirnya Hariz sampai juga ke kampung. Enjin dimatikan dan dia terus keluar, mengeliat sekejap untuk melegakan ketegangan tubuhnya kerana memandu jauh.

“Sampai pun.” suara tua menegur, Hariz berpaling. Terus Hariz melangkah mendekati lelaki tua itu.

“Assalamualaikum tok ayah.” Dia tunduk mencium tangan tok ayah.

“Waalaikumussalam.” Bahu Hariz ditepuk mesra beberapa kali. Dia pandang cucu sulungnya atas bawah beberapa kali kemudian angguk

“Dah dekat pukul enam petang. Mari kita pergi bazar beli makanan untuk berbuka.”

“Mak aji tak masak ke?”

“Ariz tu baru sampai, penat memandu, boleh pulak ajak ke bazar. Biar dia naik berehat dulu. Esok-esok boleh pergi.”

Hariz sengih melihat wajah tok ayah berubah apabila mendengar suara mak aji di muka pintu. Dia segera mendapat mak aji dan bersalam.

“Mak aji sihat? Masak apa hari ni?”

“Mak aji tak larat nak berdiri lama masak. Adah yang masakkan,” beritahu mak aji.

Dahi Hariz berkerut. Adah? Siapa? Tak ada pula sepupunya nama Adah. Ini kali pertama dia mendengar nama itu disebut.

“Adah?”

“ Owh.. kamu tak kenal. Anak saudara mak ngah kamu yang duduk sebelah ni,” jelas mak aji.

Hariz angguk walaupun tidak kenal orang yang menjadi topik perbualan mereka dulu.

Tok ayah melihat isterinya berbual mesra dengan cucu mereka. Sedikit rasa tidak puashati kerana Hariz sudah tidak menghiraukannya lagi. Enjin motosikal dihidupkan dan tanpa menegur dua beranak itu, tok ayah pergi ke bazar Ramadan.

Mak aji geleng kepala.

“Makin tua makin menjadi perangai tok ayah kamu tu. Sikit-sikit nak dengki bila cucu tak pedulikan,” bebel mak aji.

Hariz ketawa. Orang tua ni apabila semakin tua mereka lebih sensitif dan sikap mereka pun akan kembali seperti budak-budak kembali.

“Masuk rehat dulu Ariz, tak usah nak pedulikan tok ayah kamu tu. Lepas beli apa yang dia nak pandailah balik ke rumah,” ajak mak aji. Sempat lagi dia mengata suaminya sendiri.

Mereka telah hidup bersama lebih setengah abad, jadi sudah masak dengan sikap rakan serumah sebantal dan sebiliknya. Kalau ada ada atau cucu melebihi dia sikit, mulalah tunjuk muka masam. Mahu juga perhatian sama macam isterinya.

Hariz tidak membalas. Beg pakaian diambil dari bonet kereta dan mengikut mak aji masuk ke dalam rumah.

“Bilik kamu, Adah dah tolong kemaskan. Sapu habuk dan tukar cadar. Berapa lama kamu cuti kali ini?”

“Sampai raya. Tok ayah suruh cuti sampai raya.”

“Baik pula kamu nak ikut cakap tok ayah kali ini. Baguslah. Boleh bawak kami ke masjid berterawih setiap malam.”

Hariz garu kepala yang tidak gatal. Dia sengih. Selepas dua tahun baru solat terawih dibenarkan. Tentulah ramai yang mengambil kesempatan ini untuk mengimarahkan masjid.

“Ok mak aji. Ariz pun sudah lama tak ke masjid. Dah dua tahun dah tak berterawih ni.”

“Iyalah.. rehatlah dulu. Mak aji nak ke dapur. Sebelum kamu sampai tadi Adah dah hantar lauk pauk. Siap dengan kuih sekali. Jadi tak tahulah apa lagi yang tok ayah kamu nak cari kat bazar tu. Merayap saja. Orang larang tak mahu dengar, degil.” Tak habis lagi mak aji leterkan tok ayah.

Suaranya masih lagi kedengaran walaupun pintu bilik telah ditutup. Hariz merebahkan tubuhnya ke atas katil.

“Sedapkan?”

Hariz angguk. Mulut penuh dengan makanan. Kerabu terung, pari bakar, sayur lemak rebung dan ayam pandan.

“Itulah tok ayah kamu, lauk sedap kat rumah, nak jugak cari lauk kat bazar. Apa yang sedap sangat selain cari penyakit.” Sempat lagi mak aji menyindir suaminya.

“Adah tak datang berbuka sekali hari ni?”

“Tak. Katanya bagi peluang dekat tok ayah dan mak aji berbuka dengan cucu jauh,” beritahu mak aji.

Adah ni baik budaknya. Tapi kasihan tiga tahun lepas dia kemalangan, hilang ingatan. Sudah tiga tahun berlalu, ingatan tidak pulih-pulih. Jadi doktor cakap mungkin seumur hidup dia tidak akan ingat lagi tentang hidupnya sebelum kemalangan.

Tanpa sedar mak aji mengeluh mengenangkan nasib Adah.

“Kenapa mak aji?”

Mak aji merenung seketika wajah cucunya.

“Bila kamu nak kahwin?”

Uhuk.. koh..koh..

Hariz tersedak air terus terbatuk mendengar soalan cepumas dari mulut mak aji. Dia geleng kepala, ke mana pun dia pergi soalan cepumas tu memang menjadi kegemaran orang tua.

“Belum jumpa jodoh mak aji. Lagipun Ariz baru 30 tahun. Muda lagi,” balas Hariz perlahan.

Dia mati kutu mahu menjawab soalan itu setiap kali berdepan dengan orang tuanya dan juga datuk neneknya. Berdepan ke dalam telefon, soalan itu tidak ketinggalan setiap kali mereka berhubung.

“Tok ayah umur 18 tahun dah kahwin dengan mak aji kamu ni. umur 30, pak long kamu dah umur 11 tahun. Umur 40 dah dapat cucu.” Mulalah tok ayah membuka hikayat kisah dia zaman muda-muda dulu.

“Zaman dah berubah tok ayah. 30 tahun muda lagi. kawan saya ada yang umur 40 tahun baru nak kahwin.”

“Jadi kamu nak ikut jejak kawan kamu tu? Nanti menyesal tak sudahlah, 40 tahun baru nak rasa nikmat hidup,” sindir tok ayah.

Hariz sengih.

“Jangan biasakan diri dengan yang haram. Nanti kamu tidak dapat merasai itu keindahan berumahtangga,” sambung tok ayah memberi nasihat pula.

“Tak pernah dan tak terlintas pun hendak melanggar apa yang haram tu tok ayah.”

“Jadi cepat cari isteri. Mak aji pun nak jugak tengok anak kamu nanti.”

Hariz mengeluh.

“Tiga tahun lepas Ariz jumpa dah calonnya. Tapi seminggu kemudian dia hilang sampai sekarang. Jadi tunggu Ariz cari dia sampai jumpa, baru cakap pasal kahwin.” Suara Hariz serius membuatkan tok ayah dan mak aji saling berpandangan.

Selepas itu mereka tidak lagi memanjangkan isu itu lagi. Mak aji juga tidak jadi mahu menjodohkan Hariz dengan Adah. Takut pula dia terberi harapan dekat Adah. Mujur juga dia tidak menyampaikan hasratnya lagi dekat Adah.




Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Sabtu, 16 April 2022

Kembalinya Cinta Ramadan Bab 6



Tiga tahun berlalu.....

Esok, umat islam akan menyambut bulan Ramadhan. Terimbas kenangan Ramadhan tahun lepas. Perkenalan singkat dengan gadis bernama Wardah  meninggalkan kesan yang sukar dipadamkan dalam hatinya. Seminggu mereka bersama dan tika itu hatinya telah pun memasang angan – angan agar seminggu itu berlanjutan sehingga hatinya menemui rentak berirama dengan hatinya.

Pertemuan mereka amat indah. Di kala orang bertasbih di dalam masjid, mereka ditemukan. Singkatnya masa bersama tidak menjadi ukuran. Namun mungkin pertemuan itu sebuah ujian buat hatinya, bukannya jodoh buatnya.

“Jauh termenung encik Hariz” teguran dari Wahida, setiausahanya mengembalikan Hariz ke alam sedar. Senyuman nipis diukir dan dia menyambut fail yang dihulurkan.

“Hari ini berbuka di mana?” Soal Wahida berbasa basi. Dia tahu kedua orang tua bosnya berada di Mekah. Khabarnya tahun ini mereka mahu menghabiskan masa beribadat dan menyambut raya di sana. Bosnya pula akan berangkat menyertai kedua orang tuanya seminggu sebelum aidilfitri. Heran juga Wahida. Apa hebatnya sambut puasa dan raya di mekah? Ada beza sangatkah?”

Hariz mengangkat kening.

“Entah... mungkin di kedai mamaklah.” Balasnya sambil menghulurkan kembali fail setelah disemak dan ditandatangan.

“Hurmmm... Apa kata kita berbuka puasa sama-sama? Saya pun sorang juga,” pelawa Wahida.

Sudah lama dia mencari peluang untuk berdua-duaan dengan ketuanya. Hari pertama bertentang mata, hatinya telah jatuh. Segala-galanya tentang Adnan Hariz amat berharga buatnya. Dua tahun menjadi setiausahanya, menjadi kelebihannya untuk lebih mengenali Adnan Hariz.

Hariz diam seketika. Bukan dia tidak tahu perasaan Wahida padanya. Tapi hatinya telah terikat pada Wardah  yang dikenali setahun lalu. Pertemuan singkat tidak bermakna, apa yang dirasakannya itu singkat juga. Sebaliknya sehingga ke hari ini, perasaan itu tumbuh subur seiringan dengan doa yang dipanjatkan agar mereka dipertemukan kembali dan bersama.

“Elok juga. Nanti awak ajak mereka kat luar tu sekali. Lupa sebenarnya saya dah janji hendak belanja berbuka semalam.”

Berubah air muka Wahida mendengarnya. Sentiasa ada alasan. Jika tak sudi, terus teranglah.

Sebaik sahaja Wahida melangkah keluar, Hariz menarik nafas lega. Wahida cantik dan bergaya. Boleh dikatakan menepati ciri-ciri wanita idamannya tetapi hatinya tidak terpikat. Tiada irama lagu yang mengujakannya setiap kali memandang wajah cantik setiausahanya. Sebaliknya Wardah juga yang membuatkan hatinya berirama lagu jiwa.

Wardah... saya tidak tahu apa berlaku sebenarnya. Tapi saya berharap walau di manapun awak berada, semoga Allah s.w.t melindunginya.

Sebenarnya dia hilang punca. Selepas seminggu kereta Wardah siap dan dipulangkan, Wardah sudah tidak ditemui lagi. menurut teman serumahnya Wardah balik kampung. Dicari juga di pejabat Wardah, kata pembantunya, Wardah tiba-tiba menghantar surat perletakan jawatan 24 jam kerana masalah peribadi. Selepas itu dia terus hilang. Namun nama Wardah tidak pernah hilang dari hatinya.

Tiba-tiba telefon pintar di atas mejanya bergetar dan berbunyi. Ada panggilan masuk.

“Assalamualaikum tok ayah.”

“Waalaikumussalam. Tok ayah mengganggu kamu ke ni?” tanya Haji Zakaria di hujung sana.

“Tak. Ariz pun tengah teringatkan tok ayah ni. Mummy dan daddy dah berangkat ke Mekah. Puasa dan raya kat sana,” beritahu Hariz.

“Dah tu, teringat tok ayah tapi tak reti balik kampung jenguk tok ayah.”

Hariz sengih sendiri. Dia garu kepalanya yang tidak gatal.

“Tahun ni semua dah boleh. Dah tak ada PKP lagi. Jadi tok ayah mahu kamu cuti sebulan puasa ni. balik berpuasa di kampung.”

“Tapi tok..”

“Syarikat kamu tu, tanpa kamu pun boleh beroperasi seperti biasa. Bukan tak ada internet atau telefon kat kampung ni. Semua di hujung cari. Jadi jangan cari alasan. Tak guna kamu bayar gaji beribu tapi tanpa kamu mereka tak boleh buat kerja.” Sebelum memberi alasan, Hariz dulu kena basuh dengan tok ayahnya.

Jadi dia tidak ada alasan untuk menolak lagi.

“Okey tok ayah. Bagi Ariz masa dua hari nak settlekan urusan syarikat. Lepas tu Ariz balik kampung temankan tok ayah sampai raya.”

“Hummm.. tok ayah tunggu kamu balik dua hari lagi,” tegas Haji Zakaria sebelum mematikan panggilan mereka.

Selepas panggilan diputuskan, Hariz termenung seketika. Dia mengeluh dalam diam. Sejak dunia dilanda covid-19 ni, prestasi syarikat terjejas. Mereka kehilangan hampir 30 peratus pendapatan dua tahun berturut-turut, walaupun begitu kewangan syarikat masih lagi stabil. Awal tahun ini syarikat sudah kembali on track.

Tok..

Tok..

Hariz melihat ke pintu pejabatnya. Teringatkan perbualan tok ayah dan sikap Wahida yang semakin berani, ada baiknya dia mengambil cuti lama menemani tok ayah di kampung. Soal syarikat tidak perlu dirisaukan kerana Luqman boleh menguruskannya sepanjang ketiadaannya nanti.

“Kontrak yang Encik Hariz minta tadi.” Wahida meletakkan kontrak yang baru dicetak sekejap tadi.

Hariz angguk.

“Saya akan ambil cuti panjang mulai Rabu ini. Jadi segala urusan syarikat nanti Luqman akan uruskan.

Wahida terkejut. Takkanlah kerana kata-katanya menyebabkan Hariz mengambil cuti lama tiba-tiba. Bibir diketap, dicuba menahan air mata dari jatuh. Sungguh dia kecewa dan terasa. Hina sangatkah cintanya.

“Encik Hariz akan bercuti sampai bila?” tanya Wahida dengan nada suara dikawal supaya tidak terkeluar perasaannya sebenar.

“Sampai seminggu selepas raya.” Selepas diteliti kontrak tersebut, diserahkan kembali kepada Wahida.

“Boleh proceed dan lepas tu serahkan kepada Luqman,” arahnya.

Kontrak tersebut disambut dan Wahida masih lagi tidak beredar.

“Ada apa lagi?”

“Petang ni jadi tak berbuka puasa Encik Hariz.”

“Jadi. Nanti awak uruskan. Beritahu semua staf saya belanja hari ini.”

Wahida angguk dengan perasaan bercelaru. Mahu saja dia booking berbuka puasa berdua dengan Encik Hariz sahaja tetapi kalau dia bertindak begitu sudah tentu Encik Hariz tidak suka dan imej baiknya akan rosak serta akan menutup peluangnya mendekati lelaki itu. Jadi dia kena sabar. Dia yakin suatu hari nanti Encik Hariz akan menerimanya. 


Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Khamis, 14 April 2022

Kembalinya Cinta Ramadan bab 5


+Saya dah ada kat bawah

Whatapps ringkas diterima di saat Wardah bersiap-siap untuk pulang. Saat matanya meneliti pesanan ringkas itu, bibirnya tanpa sedar mengeluh. Wardah sebenarnya tidak berharap Hariz datang menjemputnya walaupun itulah pesanan yang diberikan ketika menghantarnya pagi tadi. Ada rasa bersalah menyelubungi hati Wardah apabila merasakan dia menyusahkan lelaki itu. Mungkin kerana dirinya, Hariz terpaksa membatalkan rancangan atau program yang telah dirancang sebelum ini.

Namun begitu, jemari Wardah tangkas membalas pesanan ringkas tersebut.

Ok, tunggu jap, saya on da way turun

Fatin tersenyum-senyum apabila melihat ketuanya tergesa-gesa keluar dari biliknya.

“Kak dating ke hari ni?” Tanyanya dalam nada berbaur usikan.

“Isyy.. sibuklah budak nih. Tak adanya dating,” Cepat-cepat Wardah membalas.

Namun Fatin masih dengan senyum simpul yang bermaksud tak percaya, tetapi dia tidak pula menyoal lagi. Mereka berjalan beriringan menuju ke lift.

“Dating pun apa salahnya kak. Mana tahu berkat bulan puasa ni, dialah yang Allah hadirkan untuk jadi teman hidup akak,” Bisik Fatin ke telinga Wardah apabila mereka sama-sama berada di dalam lift.

Wardah menjeling. ‘Pepandai je budak ni buat spekulasi’

“Amin.. masin mulut awak nanti,” Ringkas Wardah menjawabnya. Jika dia menafikan atau berkata negatif, pastinya Fatin tidak akan terima dan akan sentiasa menggiatnya. Jadi untuk mengelakkan perkara ini menjadi usikan yang berpanjangan, Wardah mengiyakan saja.

“Amin.. saya akan sentiasa doakan akak bertemu dengan jodoh yang baik, sebab akak pun seorang yang baik”

“Aik.. tu bukan ayat membodek ke? Jangan risau akak dah submit proposal untuk duit raya nanti,” balas Wardah senyum.

“Eh.. iya ke kak Wardah… Alhamdulillah,” Rupanya ada orang lain yang turut memasang telinga di dalam lift ini.

“Iya.. doalah banyak-banyak agar bos luluskan proposal itu. Sebelum raya dapat”

“Amin” Bergema di dalam kotak lift dengan gabungan suara 5 orang di dalamnya. Wardah tersenyum nipis.

Keluar sahaja daripada lift Wardah terus ternampak Hariz sedang bersandar di keretanya mengadap ke dalam bangunan. Sebaik sahaja nampak kalibat dirinya, Hariz terus menghulurkan senyuman. Wardah dalam segan-segan turut membalasnya, manakala Fatin dan dua tiga orang yang melangkah beriringan turut tersenyum-senyum dan mendehem perlahan. Wajah Wardah perlahan-lahan menjadi merah.

Senyuman Hariz semakin lebar. Wardah segan memandangnya dan dia berjalan dengan menunduk sedikit.

“Maaf lambat”

“Tak apa, saya tunggu pun tak sampai sepuluh minit,” Balas Hariz.

“Jom,” Ajak Hariz sambil membukakan pintu untuk Wardah.

Tergamam Wardah seketika. Perbuatan Hariz itu menyentuh hatinya. Dalam teragak-agak Wardah menempatkan diri di dalam kereta. Pintu kereta terus ditutup dan Hariz juga turut mengambil tempatnya. Sekilas Hariz melihat Wardah dan tersenyum sebelum kereta dipandunya meluncur pergi.

Celoteh DJ radio mengisi ruang sepi di antara mereka.

“Hari ni nak buka puasa kat mana?” Soal Hariz memecahkan suasana sepi di dalam keretanya.

“Makan kat rumahlah” Jawab Wardah ringkas.

Hariz berkerut dahi.

“Bukan ke kita nak berbuka puasa bersama?” Soalnya lagi.

“Haa.. bila pula?” Soal Wardah pula. Kalutlah hatinya. Dia dah janji dengan housematenya.

“Kan tengahari tadi saya hantar sms, ajak berbuka sama dan awak jawab ok,” Beritahu Hariz.

Wardah berpaling melihatnya. Seketika dia berfikir. Memang tengahari tadi ada sms masuk, ajak berbuka dan dia telah menjawab ya tanpa melihat siapa pengirimnya.

 Pantas Wardah menyelongkar beg tangannya, telefon bimbit ditarik keluar dan terus dicari sms yang diterima tadi. Jumpa dan dia memandang wajah Hariz. Rasa malu dan segan bercampur aduk.

‘Duhai mata, kenapalah tak tengok betul-betul dulu kemudian baru balas.’

“Maaf, saya ingatkan sms tadi dari kawan saya. Silap saya,” Pohon Wardah.

Hariz tersenyum nipis.

“Jadi kita nak buka puasa kat mana? Awak nak makan apa hari ni?” Soal Hariz lembut.

“Tak kisahlah makan apa pun, asalkan halal,” Balas Wardah ringkas.

“Thai food awak suka?” Soal Hariz lagi.

“Suka”

“So kita berbuka dengan makanan Thai lah hari ni, esok kita makan western food pula,” Putus Hariz.

Kepala Wardah terus menegak apabila mendengar olahan Hariz itu. Esok? Takkanlah esok pun berbuka sekali juga? Alahai… makan tak kenyanglah aku nanti, keluh Wardah.

“Kenapa? Awak tak suka ke?”

“Tak.. eh bukan.. suka”

“Habis tu kenapa mengeluh?” Soal Hariz inginkan kepastian.

“Tak ada apa. Cuma rasa bersalah kerana menyusahkan awak. Kenapa awak tak hantar je saya balik rumah. Tak adalah awak susah macam ni,” Terang Wardah. Dia terasa ada bebanan besar di dalam hatinya apabila menerima pertolongan Hariz ini.

“Tak ada yang susah pun Wardah. Saya gembira melakukannya. Ada juga teman saya berbuka nanti. Jika tidak saya sorang-sorang berbuka kat pejabat ataupun masjid. Ada awak ni, senang hati saya. Jangan fikir awak menyusahkan saya. Saya yang besar hati menolong,” Jelas Hariz panjang lebar.

“Terima kasih Encik Hariz.” Wardah terharu. Hatinya tersentuh. Diam Wardah menyulam senyum. Hariz menggelengkan kepalanya.

“Tak perlu berterima kasih Wardah. Saya berbesar hati awak sudi meminta pertolongan dari saya malam tadi. Sekurang-kurang pagi ini, saya berteman ke pejabat,”

Ada getaran sedang menghubungkan dua hati. Ada satu rasa cuba bersatu. Wardah terdiam, semoga kebaikannya mendapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah s.w.t.

*****

Restoran Pha-Pha Tomyam.

Dalam diam Wardah memandang dan menganalisa wajah Hariz di hadapannya. Wajahnya bersih dan tenang, turut mengundang ketenangan di hati Wardah.

Siapakah dia?

Apakah pekerjaannya?

Sudah berpunyakah?

Hati kecilnya nakal menyusun soalan demi soalan berserta jawapannya. Ada rasa ingin tahu. Tapi...

Wardah sedarlah.. luka lama masih berdarah, kau tak serikkah?

Dia tampak kacak di matamu, namun adakah budi bahasa dan hatinya juga sekacak penampilannya?

Jangan mudah terpikat Wardah? Ambillah iktibar dari sejarah silam. Jangan sesekali mudah terpesona dan terperangkap di dalam cinta seorang lelaki tanpa mengetahui lebih jelas latar belakang. Hati ini sudah tidak tertahan menahan tusukan sembilu duka, Wardah. Jangan disakiti lagi.

“Tidak.. takkan sakit lagi...” Tanpa sedar Wardah terlepas bicara hati di mulut.

“Sakit apa?” Soal Hariz dengan dahi berkerut.

Wardah tersentak. Merah mukanya. Rupa-rupanya bicara hatinya terlahir di bibirnya.

Dia menyimpul senyum.

“Tak.. tak ada apa, tengah fikirkan benda lain tadi,” jelas Wardah.

Hariz senyum lembut.

“Apa yang Wardah fikirkan? Jika tak keberatan boleh kongsi dengan saya,” lembut tutur bicara Hariz.

Wardah ketawa kecil menutup kegugupan hatinya. bagaimana mungkin berkongsi cerita luka dengan seseorang yang baru dikenali. Apatah lagi lelaki yang melukai hatinya.

“Saya terfikirkan mak ayah di kampung. Sepatutnya minggu ini saya balik. Nampak gayanya terpaksa batalkan. Minggu depan baru balik,” beritahu Wardah. Matanya memandang keadaan di sekeliling restoran tersebut. Segan untuk bertentang mata dengan Hariz kerana tidak jujur menyatakan perkara sebenarnya.

Rahsia hati ini akan tersimpan rapi. Dalam asyik melihat-lihat sekeliling, mata tertangkap kehadiran dia yang pernah menghancurkan hatinya dulu. Keadaan mereka sungguh intim dan mesra. Wardah terkedu lagi.

“Mak ayah awak sakit ke?” Soal Hariz ingin tahu. Namun soalan itu terbiar sepi.

Hariz memerhatikan wajah Wardah yang berubah. Dia ingin tahu siapa yang dipandangnya, lalu dia Hariz turut sama memandang ke arah tersebut seketika sebelum kembali memandang Wardah. Wardah masih lagi tidak mengalihkan pandangannya.

“Wardah..”

“Wardah..”

Dua kali Hariz memanggil Wardah barulah dia mengalihkan matanya. Wardah menarik nafas seketika sebelum memberi senyuman tawar. A’aah hati kenapa masih lagi ingin menangis, sedangkan kisah duka itu telah tiga tahun berlalu.

Hariz memandangnya dengan penuh tanda tanya. Wardah terus memberikan senyuman.

Namun siapa sangka, seminggu berbuka puasa bersama, selepas itu Wardah hilang tanpa dapat dikesan.



Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Selasa, 12 April 2022

Kembalinya Cinta Ramadan bab 4

Salam Ramadan semua.. 




Seawal tujuh pagi Hariz telah bergerak menuju ke rumah Wardah. Dia tidak mahu terlewat walaupun seminit. Malam tadi, dia tidur lena bertemankan Wardah di dalam mimpi. Dasyat sungguh penangan Wardah, pertama kali bertemu, dia telah pun muncul di dalam mimpinya. Mereka bahagia. Wardah dan dirinya berkongsi hidup dan mempunyai empat orang anak. Wardah seorang isteri yang amat romantik. Memanjai dirinya dengan penuh cinta dan kasih sayang. Oleh sebab itu selesai bersahur dia terus bersiap ke masjid menunaikan solat subuh. Dipanjatkan doa agar pertemuan demi pertemuan tercipta nanti. Dipinta juga agar mereka ditakdirkan hidup bersama.

Jadi tepat jam 7.30 pagi dia membunyikan hon di hadapan rumah Wardah. Saat gadis itu muncul di sebalik pintu rumahnya, Hariz tidak berganjak memandangnya. Dia dapat merasakan Wardah merasainya. Langkahnya teratur menghampiri Hariz. Saat pintu kereta di buka, wangiannya terlebih dahulu menyapa Hariz. Wangian yang tidak keterlaluan dan dia menyukainya.

“Assalamualaikum.” Wardah memberi salam.

“Waalaikumussalam.” Hariz membalasnya dengan senyuman. Saat wajah itu dipandang dari dekat, hati Hariz berdengup kencang. Ya Allah… cantiknya ciptaan-Mu. Di matanya, Wardah kelihatan amat cantik sekali. Jika boleh dia tidak ingin berganjak memerhatikannya. Namun air muka juga harus dijaga. Maruahnya perlu diletakkan di tempat paling tinggi. Dia akan bertindak sebagai seorang lelaki sejati apabila benar-benar pasti Wardah itu wanita terpilih untuknya.

Suasana sepi di dalam kereta terisi dengan celoteh Dj di corong radio. Sesekali dia menjeling ke sebelahnya. Wardah kelihatan asyik melihat keluar. Seolah-olah berada di dalam dunianya tersendiri. Terpisah daripadanya yang duduk di sebelah.

“Hari ini sahur makan apa?” Soalnya memulakan perbualan mereka. Hariz teringin mendengar suaranya. Dia mahu mengambil kesempatan ini untuk mengenali dirinya.

“Air suam dan buah kurma.” Ringkas sahaja jawapan Wardah.

Ingat dia akan makan lauk yang sedap-sedap. Bolehlah Hariz memanjangkan perbualan mereka dan pura-pura meminta Wardah masakkan untuknya. Nampaknya tindakannya tidak menjadi.

Boleh tahan ke kalau tak makan? Nanti gastrik.” Hariz bersuara lagi cuba memanjangkan topik perbualan mereka.

Wardah membalas dengan gelengan.

“Sudah biasa. Kalau makan sakit perut. Cirit birit,” Jelas Wardah

“Kalau saya, tak dapat bertahan bersahur dengan kurma je. Perut orang melayu. Nak juga makan nasinya,” ramah Hariz bercerita. Dia berharap agar Wardah juga akan ramah membalasnya.

Namun harapannya tinggal harapan. Wardah Cuma tersenyum sedikit tanpa membalas kata-katanya.

‘Pendiam sungguh ke atau dia tak suka bersama dengannya. Pertama kali seorang gadis tidak teruja apabila bersama dengannya’ Hatinya berkata.

‘Mungkin dia telah mempunyai kekasih kot, sebab itulah tak suka berbual-bual dengannya’ Bisik hatinya lagi.

Harapan yang tinggi tadi mula jatuh merudum. Mungkinkah cinta yang dirasai semalam hanyalah biasan hati yang inginkan seseorang untuk disayangi? Namun hatinya tidak ingin berputus asa lagi.

“Awak kerja apa?” Soal Hariz lagi.

“Kerja bahagian pentadbiran,”

Susahnya nak buat dia buka mulut. Sepatah yang ditanya, sepatah juga yang dijawabnya.

“Oooo…. Lama dah bekerja kat syarikat tu?” Hariz menyambung lagi.

“Adalah dalam setahun.”

“Erk.. kereta saya tu macam mana? Bila saya boleh dapat balik?” Soal Wardah ingin tahu.

Nasib baiklah dia menyoalnya. Lebar senyumannya di dalam hati. Berbicara tentang kereta, semalam Husin beritahu, hari ini sudah boleh ambil. Tetapi dia masih lagi ingin memanjangkan pertemuannya dengan Wardah. Akalnya licik sedikit. Dia tidak mahu pertemuan ini singkat. Jika boleh dia ingin selamanya menatap wajah mulus itu.

Rasa ingin tahu tentang diri Wardah membuak-buak. Wardah lain dari mereka yang pernah dia kenal. Wardah bukan peramah. Wardah pandangnya dengan sebelah mata. Wardah tidak teruja apabila bersama dengannya sebaliknya dia semakin teruja.

“Mungkin seminggu kot. Lepas hantar awak ni baru saya tengokkan kereta awak tu.”

“Lamanya,” tanpa sedar Wardah mengeluh.

Mendengar keluhan itu membuahkan simpati di dalam hati Hariz. Tetapi sikap mementingkan diri sendiri melebihi rasa simpati itu.

“Kenapa? Kalau awak nak guna kereta, saya boleh pinjamkan kereta atau nak saya hantarkan pun boleh,” ujar Hariz prihatin.

Ditawarkan bantuan tetapi Wardah pantas menggelengkan kepalanya tanda dia tidak perlukan bantuan. Isyy… kenapalah aku rasa perempuan ni tak ada perasaan? Soal hati Hariz. Kemudian mereka sama-sama terdiam sehinggalah sampai di hadapan bangunan pejabat Wardah. Kenapa hari ini terasa cepat sangat sampai ke destinasinya, padahal hatinya masih lagi belum rela melepaskan Wardah.

“Awak balik pukul berapa,” soalnya.

“Pukul 4.30”

“Ok then.. tunggu saya kat sini pukul 4.30 ya,” arah Hariz.

“Tak apa.. tak apa Encik Hariz. Saya boleh balik sendiri nanti,” Jelas di wajah Wardah, dia amat keberatan.

Hariz geleng kepala dan mengangkat tangannya supaya Wardah berhenti berkata.

“Saya tunggu kat sini 4.30!” Tegas Hariz. Auranya sebagai pengarah syarikat jelas kelihatan. Jika sebagai ketua, dia tidak inginkan jawapan negatif, begitulah rasanya bila bersama Wardah. Dia Cuma inginkan jawapan positif tanpa sebarang bantahan.

Tanpa menunggu lama, kereta yang dipandu Hariz meluncur pergi. Namun sempat lagi dia memandang cermin pandang belakangnya. Dia dapat melihat Wardah memerhatikannya seketika tanpa perasaan. 


Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Ahad, 10 April 2022

Kembali Bab 2 (belum edit )


“Aisyah..” bisiknya perlahan.

Seakan mendengar panggilan gadis itu berpaling melihatnya. Adrian  tergamam.

Wajah itu?

Aisyah ..

Namun gadis itu hanya melihatnya sekilas sebelum kembali melangkah. Seolah-olah mereka tidak pernah kenal. Adrian tergamam seketika sebelum berlari mengejar gadis itu. Wajah itu wajah Aisyah. Dia yakin itu Aisyah . Aisyah  telah kembali. Hati mula dipenuhi puing-puing kegembiraan. Namun gadis itu telah menghilang. Puas dia mencari sekeliling namun bayang-bayang gadis itu sudah tiada. Adrian berhenti berlari dan mencari. Dia terduduk kelelahan. Dia seolah-olah menafikan kenyataan yang Aisyah  telah pergi tiga tahun lepas.

“Aisyah.. Saya sangat rindukan awak,” rintih hati Adrian . Matanya merah. Dia tunduk menyembunyikan wajahnya dari tatapan orang ramai. Kembali ke Malaysia seolah-olah kembali ke dalam kenangannya bersama Aisyah . Nama yang tak pernah hilang dari jiwanya. Sentiasa di sebut di antara lena dan terjaga.

“Abang Ryan?” tiba-tiba ada suara garau menegur dengan nada tak percaya.

Adrian  angkat wajahnya. Izwan tercegat di hadapannya dengan wajah terkejut juga gembira..

“Wan dah agak tadi Abang Ryan,” sengihnya. Dia ambil tempat di sebelah Adrian . Hampir 3 tahun mereka tidak bertemu setelah pemergian Aisyah .

“Abang bila balik?” ramah Izwan bertanya. Dia memerhati Abang Ryan, tidak banyak berubah, masih lagi kacak dan tinggi seperti dulu. Cuma dia nampak sedikit kurus dan senyumnya tidak lagi seperti dulu. Kerana pemergian Aisyah  bukan sahaja memberi tamparan hebat kepada keluarga tetapi juga kepada Adrian .

“Dah hampir seminggu,” jawab Adrian .

“Buat apa kat sini? Shopping? Tengok wayang?” tanya Adrian . Dia telah dapat menstabilkan emosinya. Wajahnya pun sudah kembali seperti sediakala.

“Temankan Ana dan Fatimah shopping tetapi fahamlah kalau perempuan ni bershopping, satu shopping mall ni mereka tawaf. Wan malas nak follow dah, penat kaki jalan, tapi belinya satu pun tak lagi. Jadi Wan suruh dia orang jalan sendiri. Dah siap baru call,” jelas Izwan. Tapi kalau Ana tahu dia terjumpa Adrian  ni, pasti tak jadi shopping.

Adrian  angguk.

“Abang Ryan balik bercuti ke balik terus?” Seminggu selepas pemergiaan Aisyah, Adrian mendapat berita bapanya terkena strok. Ayahnya meninggal dunia dua minggu selepas itu.  Jadi dia terpaksa balik mengambil alih syarikat keluarganya yang sedang mengalami masalah kewangan.  

“Kerja sambil bercuti,” beritahu Adrian. Tidak ada siapa pun tahu status dirinya. Adrian mengerling ke sebelah kanan, memberi isyarat mata supaya tidak menonjolkan diri.  

“Berapa lama?” soal Izwan sedikit hampa. Namun dia faham tidak ada sebab untuk Adrian  tinggal di Malaysia lagi. Keluarganya menetap di Korea Selatan.

“Belum tentu lagi Wan. Mungkin seminggu atau lebih dari sebulan. Kerja abang tak tentu,” balas Adrian sambil menepuk mesra bahu Izwan.

Dia tahu Izwan kecewa kerana dia terpaksa balik ke Seoul tergesa-gesa dulu.

“Okeh. Tengah dahaga jugak ni. Nanti saya whatapps Ana bagitahu. Tentu dia pun gembira bila tahu abang balik,” cadang Izwan. Sengaja dia menukar topik lain, tidak mahu Adrian mengingati keisah lalu.

Adrian  angguk setuju. Adik-adik Aisyah  telah dianggap seperti adik-adiknya sendiri. Ketika Aisyah masih ada mereka selalu mengisi waktu di hujung minggu dengan aktiviti riadah bersama. Aisyah  seorang yang sangat mengambil berat dan menjaga adik-adiknya. Sebab itulah dia menjadi kakak kesayangan malah gadis kesayangan juga. Kalaulah Aisyah  masih ada.

“Anna tadi jadi sekali dengan Fatim. Fatim sepupu kami yang tinggal di Johor Bharu. Sekarang dia sambung belajar dekat Uitm, Shah Alam,” Izwan berhenti seketika menarik nafas. Dipandang wajah Adrian, mahu melihat jika ada perubahan. Namun dia hampa kerana wajah Adrian tenang dan tidak berubah.

“Abang jangan terkejut melihat Fatim nanti.” Saat ini baru Adrian memberi reaksi kepada kata-kata Izwan.

Keningnya terangkat, menyoal dalam diam.

“Wajah Fatim saling tak tumpah wajah Kak Aisyah.”

Air muka Adrian berubah. Jadi gadis yang dilihat tadi Fatim? Soalnya pada diri sendiri.

Adrian  menarik nafas panjang. Dada masih lagi sesak dengan rindu kepada Aisyah . Di Mall ini mereka selalu menonton wayang dan membeli belah bersama. Di sini terlalu banyak memorinya bersama Aisyah. Rupa-rupanya selama rindunya kepada Aisyah  tidak pernah hilang. Masih lagi subur mekar di hati.

“Kejap lagi Ana dan Fatimah sampai. Bila saya cakap terjumpa dengan abang terus Ana tak sabar nak jumpa abang jugak,” beritahu Izwan sambil ketawa.

Adrian  menepuk bahu Izwan. Teringat Ana yang comel. Selalu malu-malu ketika berjumpanya.

“Ana masih pemalu lagi ke?”

Cepat Izwan geleng kepala. “Pemalu apanya bang, minah kepoh dan Kpop sekarang ni. Siap ada tik tok dan dah jadi instafamous. Tak ada dah budak pemalu dulu bang,” rancak Izwan bercerita.

Adrian  angguk. Tiga berlalu, banyak yang telah berubah. Cuma dia masih lagi hidup dalam bayangan Aisyah . Saat mereka melintas kedai kasut berjenama Bata, memori bersama Aisyah  mengetuk hatinya.

Aisyah berhenti di hadapan kedai bata. Hasratnya mahu mencari kasut kerja. Yang dia guna selama ini kasut sekolah dulu. Tapaknya dah haus. Kalau lantai basah dan licin, nauzubillah lah.. tak banyak fikir dia terus melangkah masuk. Melihat satu demi satu kasut dan sandal yang dipamerkan. Jumpa yang berkenan di hati terus dipanggil jurujual meminta saiz kasutnya.

“Hai..”

Aisyah  terus berpaling. Tergamam.

My prince charming.

“Alone?” suara garau Adrian  bertanya.

Aisyah  kelu nak bersuara. Dekat pam minyak ramahlah sebab kerjanya dan juga Kak Noza ada kat situ. Di sini dia sendirian dan tak pernah mimpi pun terjumpa dengan Mr prince charmingnya. Dia angguk laju.

Terus hati Adrian  tenang.

“Shopping?” ramah dia bertanya tapi dahinya berkerut.

Manakala Aisyah  sibuk menenangkan hati sendiri. Tidak mahu terus memalukan diri sendiri. Tak nak tunjuk sangat bahawa dia sangat teruja berjumpa Mr prince charming di sini.

“Saya temankan boleh?”

Bulat mata Aisya  mendengarnya. Teman dia shopping? Biar betul?

“Boleh tak? Ke ada yang marah nanti?” duga Adrian, mahu tahu status gadis itu. Mana tahu dah berpunya dia takkan kacau.

Aisyah  geleng kepala. “Siapa nak marah?” soalnya kembali.

“Boyfriend awak,” Adrian bercakap terus terang.

“Saya tak ada boyfriend pun,”tulus saja Aisyah  tanpa menyedari jawapannya memberikan harapan di hati Adrian .

“Cik.. kasut cik.” Jurujual menghulurkan kasut yang Aisyah  minta tadi.

Aisyah  duduk mencuba kasut tersebut. Adrian  memerhati tingkah lakunya. Sempat dijeling kaki Aisyah  sekilas sebelum dilarikan matanya. Dia  menelan liur.

“Saya tunggu awak kat kaunter,” beritahunya.

“Ok.”

“Saya ambil kasut ni,” beritahu Aisyah  sebelum mengikut Adrian  ke kuanter pembayaran.

“Saya belanja awak sempena perkenalan rasmi kita hari ini,” ujar Adrian  tanpa memberi Aisyah  kesempatan menolaknya.

Terkebil-kebil Aisyah  melihat juruwang menerima wang daripada Adrian .

“Tapi saya tak ta..”

“Terima kasih..” ucap Adrian  kepada juruwang di kaunter.

Aisyah  tak jadi nak sambung ayatnya. Dia mengekor Adrian  keluar dari outlet Bata itu.

“Kita pergi dating?” saran Adrian . Sengaja mengambil kesempatan. Selepas malam itu dia sibuk di studio, tak keluar selama 2 minggu. Jadi bila kerjanya dah habis dan kebetulan berjumpa pula Aisyah  di sini, baik ambil kesempatan ini. Boleh berkenalan lebih dekat lagi.

“Tak apa ke? Girlfriend awak tak marah?”

Laju Adrian  geleng kepala. Dia senyum.

“Girlfriend saya ada depan mata. Saya ajak dialah dating ni.”

Perrh.. Aisyah  terus hilang kata, pipinya bertukar warna pink.  

Kenangan itu datang lagi. Adrian memejam mata seketika. Mengusir bayangan Aisyah jauh. Tiga tahun tapi setiap kenangan bersama Aisyah masih segar dalam ingatannya.


Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.