Isnin, 4 April 2022

Kembalinya Cinta Ramadan Bab 1

Assalamualaikum semua and good day. 

Sempena bulan Ramadan kali ini sebuah cerita bersiri akan bersiaran di blog ini... 




Wardah cuba menghidupkan keretanya, namun sia-sia. Dia cemas apabila memikirkan kereta di kawasan masjid wilayah persekutuan semakin berkurangan biarpun masih lagi kedengaran suara imam mengimamkan solat sunat terawih. Sebenarnya setelah selesai mengerjakan solat sunat terawih lapan rakaat dan diikuti dengan sunat witir tiga rakaat, Wardah mengambil keputusan untuk pulang ke rumah yang terletak di Selayang. Jauhkan dia bersolat terawih sedangkan masjid berhampiran rumahnya ada. Tetapi itulah dia Wardah , setiap kali bulan ramadhan, setiap malam dia akan berterawih di sini.

Wardah cuba sekali lagi menghidupkan enjin kereta kelisanya, namun sia-sia. Dilihat petunjuk minyak, masih ada lagi separuh. Dilihat pula petunjuk untuk enjin dan juga bateri, tidak ada satu pun yang menyala menandakan bahagian tersebut bermasalah. Tetapi kelisa kesayangannya ini, tidak mahu hidup.

Kemudian dia memandang kiri dan kanannya, tuan punya kereta disebelah masih lagi belum keluar dari masjid. Jika tidak, pasti dia menebalkan wajah meminta bantuan. Wardah sebenarnya tidak tahu langsung bab-bab kereta ini walaupun sudah tiga tahu dia membeli kelisa. Sebaliknya dia tahu, cukup masa kelisa perlu diservis, dia akan menghantarnya ke bengkel servis produa berhampiran. Diserah bulat-bulat kepada pekerja bengkel servis itu untuk menyelenggarakan keretanya.

Dia membebel dalam hati, menyesal kerana tidak pernah mengambil tahu tentang keadaan keretanya. Nak periksa sendiri pun tidak tahu apa yang perlu diperiksa, Jadi duduklah Wardah diam-diam di dalam kereta sementara menanti tuan kereta sebelah datang dan barulah dia dapat meminta tolong.

Dilihat kereta BMW series terbaru sebelah kanannya.

‘Mesti orang yang bawa kereta ni dah berusia 40an dan datang bersama anak bininya. Harap-harap dia tak sombong nak bantu aku yang cikai pakai kelisa je,’ bisik hati kecil Wardah.

Tidak lama menunggu, seorang lelaki menghampiri kereta BMW itu dan membuka pintu kereta. Cepat-cepat Wardah keluar dari keretanya. Malu dibuang ketepi.

“Assalamualaikum,” Salam diberikan.

Lelaki tadi mengangkat wajah memandangnya. Mujurlah keadaan di sini agak kelam.

“Minta maaf encik, saya nak minta tolong tengokkan kereta saya ni. Dari tadi tak boleh hidup,” Laju Wardah berkata-kata. Di dalam hati dia berdoa agar lelaki ini baik hati menolongnya.

Pintu kereta BMW di tutup kembali dan lelaki itu datang menghampiri Wardah dan Kelisanya. Tanpa suara, lelaki itu cuba menghidupkan enjin kelisa tetapi tidak berjaya. Lalu dia menekan punat untuk membuka penutup enjin kelisa.

Wardah melihat kerja lelaki itu tanpa sebarang kata. Diakui di dalam hati, salahnya kerana memandang remeh pengetahuan menjaga kereta ini. Jika tidak, pasti dia tidak akan menyusahkan orang lain.

“Lama dah bawa kereta ni?” Soalnya buat pertama kali.

“Sudah tiga tahun”

“Bila last services?”

“Bulan lepas”

“Hmmmm… bateri bila tukar?”

“Erk… tak tahu.”

Pantas lelaki itu memandang wajah Wardah. Terus Wardah menunduk dan melarikan wajahnya. Segan dan malu.

“Mungkin baterinya kena tukar. Tinggalkan kereta awak di sini, nanti saya minta kawan saya datang baiki. Mari saya hantar awak balik,” Lelaki itu menutup enjin dan Wardah terkial-kial seketika.

Segan menenggelamkan dirinya dan dia memandang sahaja lelaki itu.

“Ambil barang-barang awak,” Arahnya.

Wardah seperti terpukau dan dia mengikut sahaja. lagipun jika dia menolak pelawaan itu, bagaimana pula dia mahu pulang nanti. Sudahlah rumahnya jauh di Selayang sana. Kalau dekat, bolehlah dia berjalan kaki sahaja. itupun jika dia beranilah.

Di dalam kereta tidak suara kedengaran beberapa minit pertama.

“Nak saya hantar awak kat mana ni,” Soalnya.

“Selayang Indah.”

“Tinggal dengan family?”

“Tak… menyewa dengan kawan-kawan.”

Sepatah lelaki itu tanya sepatah yang Wardah jawab. Dia bukan seorang peramah. Lebih-lebih lagi dengan lelaki. Pengalaman dilukai lima tahun lalu membuatkan dia menjadi seorang yang sombong dengan lelaki.  Tetapi malam ini, Wardah cuba meramahkan diri kerana lelaki di sebelahnya bersusah payah membantunya. Hatinya tidak pula ragu-ragu dengan keikhlasan lelaki ini kerana mungkin kelisanya rosak dikawasan masjid di bulan puasa. Jadi anggapannya lelaki ini seorang yang baik.

Setelah hampir setengah jam perjalanan, mereka sampai di hadapan rumah sewa Wardah. Kereta dihentikan.

“Kunci kereta awak, saya pegang. Bagi nombor telefon. Apabila siap saya akan telefon.”

“Tapi encik. Lama ke kereta nak siap?” Soal Wardah risau. bagaimana mahu ke pejabat nanti sedangkan kawasan perumahan tempat tinggalnya, bas tidak masuk.

“Awak kerja kat mana?”

“Jalan Yap Ah Seng”

“Pukul 7.30 tunggu saya. Nanti saya datang ambil awak pergi kerja.”

“Ek? Tak apa- tak apa encik. Saya boleh pergi kerja tumpang kawan saya nanti.” Cepat-cepat Wardah menolak. Isy… Sudahlah tadi dah menyusahkan dia, sekarang nak susahkan dia lagi? Bukan cara akulah dan aku tak terfikir pun untuk memanjangkan pertemuan secara tak langsung ini.

“Saya Hariz. Tak perlu berencik-encik.” Lelaki yang baik hati ini memperkenalkan diri. Senyuman sekilas di bibirnya apabila dia menoleh memandang Wardah di sebelah.

“Terima kasih sebab menolong saya encik Hariz,” Hendak juga Wardah adakan perkataan encik di hadapan namanya. Segan dan dia bukanlah seorang yang peramah.

“Pasal kereta saya nanti, tak perlulah susahkan encik Hariz. Nanti saya minta tolong sepupu saya tengok” Wardah menolak secara baik.

Bukan apa, dia tidak mahu terhutang budi. Dia tidak mahu suatu hari nanti dia terpaksa membayar budi lelaki ini walaupun pertemuan ini ditempat yang baik. Mana tahukan hati manusia lain-lain, walaupun rambut sama hitam.

“Perkara kecil saja. Saya boleh tolong uruskan bagi pihak cik,” Jawab lelaki itu dalam nada tegas. Wardah terdiam.

Lupa seketika bahawa mereka telah sampai di hadapan rumahnya.

“Bagi nombor telefon dan nama cik?”

Wardah serba salah. kunci kereta telah berada di dalam genggaman lelaki itu dan nampaknya dia terpaksa mengikut kerana melihatkan tingkah lakunya, sudah pasti dia mahu menguruskan kereta Wardah.

“016-3354 xxx, Wardah,” Beritahu Wardah.

Pintu kereta dibuka apabila Wardah melihat pintu rumahnya dibuka oleh kawannya. Mungkin kerana mereka tertanya-tanya kereta siapalah yang berhenti di hadapan rumah mereka, BMW pula tu. Siapa yang tak teruja ingin tahu.

“Ok.. jumpa esok 7.30,” Hariz berkata pada Wardah dan senyuman ikhlas diberikan.

Wardah terpegun seketika. Barulah dia perasan Hariz seorang lelaki yang sangat-sangat kacak dan tentunya di dalam lingkungan 30an. Kematangan jelas di wajahnya, apatah lagi dengan sikap tenangnya membuatkan hati Wardah mula berlari laju.

“Haa.. erk.. Terima kasih encik Hariz.” Pintu ditutup dan kali terakhir Wardah memberikan senyuman segan dan bersalahnya kerana menyusahkan Hariz. 




Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan