Jumaat, 8 April 2022

Kembalinya Cinta Ramadan Bab 3

Wardah & Hariz kembali... 



Tepat pukul 7.30 pagi hon kedengaran di hadapan rumah sewa Wardah. Hati Wardah terus berdebar-debar. Tepat pada masanya seperti yang dijanjikan. Kawan-kawan serumah Wardah menjengah halaman rumah.

“Siapa tu Wardah? Kereta kau mana?” Soal Mimi.

Dalam terburu-buru Wardah menjawab “Kereta aku rosak kat Masjid Persekutuan semalam. Mujur dia ada tolong aku. Kalau tak menapaklah aku balik malam-malam.”

“Dia tu kau kenal ke?”

“Kenal semasa dia tolong akulah. Oklah… aku pergi dulu,” terburu-buru Wardah melangkah mendapatkan Hariz.

Hari ini dia memakai jubah biru tua dan bertudung polka dot warna biru juga. Walaupun hatinya berdetak laju, namun Wardah sedaya upaya menahan diri agar kakinya tidak melangkah laju selaju jantungnya. Terasa bagaikan dirinya diperhatikan. Wardah beristiqfar di dalam hati agar darah gemuruhnya hilang sebaik sahaja dia membukakan pintu BMW itu.

“Assalamualaikum…” Salam diberikan.

“Waalaikumussalam,” balasan diterima.

Sebaik sahaja Wardah melabuhkan punggung di tempat duduk, dia terus menutup pintu. Salamnya dijawab diiringi dengan sebuah senyuman. Dan Wardah dapat melihat dengan jelas wajah Hariz yang sebenar. Jika di dalam kelam malam hatinya telah terpesona, apatah lagi di kala pagi hari ini. Wajah segarnya membuatkan Wardah tidak mampu memandangnya lama. Takut hatinya terjatuh di situ juga. Sedangkan dia telah berjanji pada diri dan pada hatinya, cinta bukan lagi didambakan. Cinta itu musuhnya. Cinta itu memusnahkan dirinya.

Wardah mahupun Hariz tidak bersuara selepas itu. Kereta yang dipandu Hariz bergerak menuju ke destinasi. Kereta di atas jalan raya semakin banyak. Keadaan ini amat biasa dilalui oleh Wardah, sebab itulah seawal jam 7.30 pagi dia telah berada di atas jalan raya. Hari ini, sama seperti hari-hari yang lalu. Cuma hari ini dia mempunyai seorang pemandu yang kacak, sedang tenang memandu di sebelahnya. Sipi-sipi Wardah mencuri pandang, dalam kata hati melarang kuat, kuat lagi keinginan untuk memandang wajahnya. Cuma dia tidak tahu memulakan perbualan. Pengalaman lalu telah mematahkan lidahnya dari seorang yang gemar bercakap kepada seorang yang pendiam. Daripada seorang gadis yang ceria dan talkative, dia menjadi seorang pendiam.

“Hari ini sahur makan apa?” Hariz  bersuara. Wardah tersentak dari khayalannya. Dia menoleh.

“Air suam dan buah kurma”, jawabnya ringkas.

“Boleh tahan ke kalau tak makan? Nanti gastrik.” Hariz bersuara lagi, prihatin.

Wardah membalas dengan gelengan.

“Sudah biasa. Kalau makan sakit perut. Cirit birit,” Balas Wardah lagi.

Rasulullah s.w.t pun bersahur dengan kurma sahaja. Dan baginda dapat bertahan sehingga waktu berbuka. Kurma itu banyak khasiat dan kelebihannya. Kurma kaya dengan protein, serat, gula, vitamin A dan C serta zat galian seperti besi, kalsium, sodium dan potasium. Kandungan protein didalam kurma lebih kurang 2 %, serat hampir 4 % manakala kandungan gulanya 50 hingga 57 % glukosa. Ini menunjukkan kandungan gula didalamnya telah ditukar secara semulajadi. Kurma diakui sebagai buah berkhasiat dan sebagaimana Firma Allah s.w.t. dalam surat al_Mukminah ayat 19, "Kemudian Kami tumbuhkan kerananya kebun kurma dan anggur untuk kamu. Disana kamu peroleh buah-buahan yang banyak dan sebahagiannya kamu makan".

“Kalau saya, tak dapat bertahan bersahur dengan kurma je. Perut orang melayu. Nak juga makan nasinya,” ramah Hariz bercerita.

Wardah tersenyum mendengarnya. Hatinya pula ketawa kecil. Memang pun. tak semua yang mampu bertahan tanpa makan makanan berat ketika bersahur.

Selepas itu suasana di dalam kereta sepi lagi. Wardah melemparkan pandangannya ke luar tingkap. Kiri dan kanan penuh dengan kereta yang turut sama menuju ke pusat bandar. Waktu – waktu begini adalah waktu puncak warga kota keluar menuju ke tempat kerja. Jalan-jalan utama menuju ke pusat bandar semuanya sesak. Jadi menghabiskan masa sejam ke dua jam di atas jalan raya adalah rutin harian penghuninya.

“Awak kerja apa?” Soal Hariz lagi.

“Kerja bahagian pentadbiran,” ringkat seringkasnya jawapan Wardah. Dia tidak berapa suka orang bertanyakan perihal kerjanya. Bukan kerana dia malu, tetapi dia takut andainya dirinya riak apabila bercerita tentang jawatan yang disandangnya kini. Jadi sebab itu, setiap kali orang bertanya tentang kerjanya, dia hanya menjawab, kerja di bahagian pentadbiran sahaja.

“Oooo…. Lama dah bekerja kat syarikat tu?” Hariz menyambung lagi.

“Adalah dalam setahun.”

“Erk.. kereta saya tu macam mana? Bila saya boleh dapat balik?” Soal Wardah ingin tahu. Dia berhasrat pulang ke kampungnya hujung minggu nanti. Jadi seboleh-bolehnya dia mahukan keretanya siap sebelum jumaat.

“Mungkin seminggu kot. Lepas hantar awak ni baru saya tengokkan kereta awak tu.”

“Lamanya,” tanpa sedar Wardah mengeluh. Dia perlukan keretanya. Tanpa kereta dia susah bergerak. Nasib baiklah pekerjaannya tidak memerlukannya selalu keluar.

“Kenapa? Kalau awak nak guna kereta, saya boleh pinjamkan kereta atau nak saya hantarkan pun boleh,” Ujar Hariz prihatin.

Pantas Wardah menggelengkan kepalanya. cukuplah dia menyusahkan Hariz dengan menghantarnya ke pejabat. Inikan pula meminjam keretanya. Wardah tahu mesti keretanya bukan kereta buatan Malaysia seperti kelisanya. Cukuplah. Wardah tidak mahu terhutang budi.

“Tak apa. Terima kasih,” Balas Wardah.

Akhirnya mereka sampai di Menara Maxis.

“Awak balik pukul berapa,” soal Hariz lagi.

“Pukul 4.30”

“Ok then.. tunggu saya kat sini pukul 4.30 ya,” arah Hariz.

“Tak apa.. tak apa Encik Hariz. Saya boleh balik sendiri nanti,” Buru-buru Wardah menolaknya.

Hariz geleng kepala dan mengangkat tangannya supaya Wardah berhenti berkata.

“Saya tunggu kat sini 4.30!” Tegas Hariz menuturkannya.

Wardah tak mampu berkata apa-apa lagi melainkan melihat BMW Hariz meluncur meninggalkannya.

“Morning kak Wardah. Wah driver hantar hari ni ya. Pakai BMW plak tu” Usik Fatin yang dari tadi memerhati gelagat Wardah dengan pasangannya.

“Yalah awak. Pandai nak cipta gossip panas pagi-pagi ini,” cebik Wardah seraya melangkah seiringan dengan Fatin menuju ke lif.

“Siapa tadi kak? Boyfriend ek. Ooo diam-diam berisi. Saya gembira untuk kak Wardah. Tutup buku lama, buka buku baru kak,” Ujar Fatin panjang.

Wardah menggelengkan kepalanya. Hendak marah, tak patut pula tetapi dia tidak suka orang memerhati dan mengambil tahu tentang halnya.

“Jangan sibuk pasal kak Wardah, Fatin. Kak Wardah tahu apa yang terbaik untuk diri akak,” Balas Wardah tegas.

Fatin terkedu apabila mendengar suara ketuanya itu. Wardah sebenarnya pengurus bahagian pentadbiran, merangkap ketuanya. Namun hubungan mereka mesra. Wardah tidak pernah membataskan kemesraan mereka. Tetapi soal kerja dia seorang yang tegas. Bertambah tegas apabila melibatkan hal peribadinya. Dia tidak suka orang bergossip tentang dirinya walaupun hakikat mereka mengambil berat tentangnya.

“Maafkan Fatin kak Wardah,” Fatin meminta maaf.

Segera Wardah tersenyum. Bukan niatnya mahu memarahi Fatin tetapi pantang baginya apabila ada orang lain terlebih tahu tentang dirinya sedangkan mereka tidak tahu penderitaan yang ditanggungnya.



Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan