Isnin, 18 April 2022

Kembalinya Cinta Ramadan Bab 7

Tujuh jam memandu, akhirnya Hariz sampai juga ke kampung. Enjin dimatikan dan dia terus keluar, mengeliat sekejap untuk melegakan ketegangan tubuhnya kerana memandu jauh.

“Sampai pun.” suara tua menegur, Hariz berpaling. Terus Hariz melangkah mendekati lelaki tua itu.

“Assalamualaikum tok ayah.” Dia tunduk mencium tangan tok ayah.

“Waalaikumussalam.” Bahu Hariz ditepuk mesra beberapa kali. Dia pandang cucu sulungnya atas bawah beberapa kali kemudian angguk

“Dah dekat pukul enam petang. Mari kita pergi bazar beli makanan untuk berbuka.”

“Mak aji tak masak ke?”

“Ariz tu baru sampai, penat memandu, boleh pulak ajak ke bazar. Biar dia naik berehat dulu. Esok-esok boleh pergi.”

Hariz sengih melihat wajah tok ayah berubah apabila mendengar suara mak aji di muka pintu. Dia segera mendapat mak aji dan bersalam.

“Mak aji sihat? Masak apa hari ni?”

“Mak aji tak larat nak berdiri lama masak. Adah yang masakkan,” beritahu mak aji.

Dahi Hariz berkerut. Adah? Siapa? Tak ada pula sepupunya nama Adah. Ini kali pertama dia mendengar nama itu disebut.

“Adah?”

“ Owh.. kamu tak kenal. Anak saudara mak ngah kamu yang duduk sebelah ni,” jelas mak aji.

Hariz angguk walaupun tidak kenal orang yang menjadi topik perbualan mereka dulu.

Tok ayah melihat isterinya berbual mesra dengan cucu mereka. Sedikit rasa tidak puashati kerana Hariz sudah tidak menghiraukannya lagi. Enjin motosikal dihidupkan dan tanpa menegur dua beranak itu, tok ayah pergi ke bazar Ramadan.

Mak aji geleng kepala.

“Makin tua makin menjadi perangai tok ayah kamu tu. Sikit-sikit nak dengki bila cucu tak pedulikan,” bebel mak aji.

Hariz ketawa. Orang tua ni apabila semakin tua mereka lebih sensitif dan sikap mereka pun akan kembali seperti budak-budak kembali.

“Masuk rehat dulu Ariz, tak usah nak pedulikan tok ayah kamu tu. Lepas beli apa yang dia nak pandailah balik ke rumah,” ajak mak aji. Sempat lagi dia mengata suaminya sendiri.

Mereka telah hidup bersama lebih setengah abad, jadi sudah masak dengan sikap rakan serumah sebantal dan sebiliknya. Kalau ada ada atau cucu melebihi dia sikit, mulalah tunjuk muka masam. Mahu juga perhatian sama macam isterinya.

Hariz tidak membalas. Beg pakaian diambil dari bonet kereta dan mengikut mak aji masuk ke dalam rumah.

“Bilik kamu, Adah dah tolong kemaskan. Sapu habuk dan tukar cadar. Berapa lama kamu cuti kali ini?”

“Sampai raya. Tok ayah suruh cuti sampai raya.”

“Baik pula kamu nak ikut cakap tok ayah kali ini. Baguslah. Boleh bawak kami ke masjid berterawih setiap malam.”

Hariz garu kepala yang tidak gatal. Dia sengih. Selepas dua tahun baru solat terawih dibenarkan. Tentulah ramai yang mengambil kesempatan ini untuk mengimarahkan masjid.

“Ok mak aji. Ariz pun sudah lama tak ke masjid. Dah dua tahun dah tak berterawih ni.”

“Iyalah.. rehatlah dulu. Mak aji nak ke dapur. Sebelum kamu sampai tadi Adah dah hantar lauk pauk. Siap dengan kuih sekali. Jadi tak tahulah apa lagi yang tok ayah kamu nak cari kat bazar tu. Merayap saja. Orang larang tak mahu dengar, degil.” Tak habis lagi mak aji leterkan tok ayah.

Suaranya masih lagi kedengaran walaupun pintu bilik telah ditutup. Hariz merebahkan tubuhnya ke atas katil.

“Sedapkan?”

Hariz angguk. Mulut penuh dengan makanan. Kerabu terung, pari bakar, sayur lemak rebung dan ayam pandan.

“Itulah tok ayah kamu, lauk sedap kat rumah, nak jugak cari lauk kat bazar. Apa yang sedap sangat selain cari penyakit.” Sempat lagi mak aji menyindir suaminya.

“Adah tak datang berbuka sekali hari ni?”

“Tak. Katanya bagi peluang dekat tok ayah dan mak aji berbuka dengan cucu jauh,” beritahu mak aji.

Adah ni baik budaknya. Tapi kasihan tiga tahun lepas dia kemalangan, hilang ingatan. Sudah tiga tahun berlalu, ingatan tidak pulih-pulih. Jadi doktor cakap mungkin seumur hidup dia tidak akan ingat lagi tentang hidupnya sebelum kemalangan.

Tanpa sedar mak aji mengeluh mengenangkan nasib Adah.

“Kenapa mak aji?”

Mak aji merenung seketika wajah cucunya.

“Bila kamu nak kahwin?”

Uhuk.. koh..koh..

Hariz tersedak air terus terbatuk mendengar soalan cepumas dari mulut mak aji. Dia geleng kepala, ke mana pun dia pergi soalan cepumas tu memang menjadi kegemaran orang tua.

“Belum jumpa jodoh mak aji. Lagipun Ariz baru 30 tahun. Muda lagi,” balas Hariz perlahan.

Dia mati kutu mahu menjawab soalan itu setiap kali berdepan dengan orang tuanya dan juga datuk neneknya. Berdepan ke dalam telefon, soalan itu tidak ketinggalan setiap kali mereka berhubung.

“Tok ayah umur 18 tahun dah kahwin dengan mak aji kamu ni. umur 30, pak long kamu dah umur 11 tahun. Umur 40 dah dapat cucu.” Mulalah tok ayah membuka hikayat kisah dia zaman muda-muda dulu.

“Zaman dah berubah tok ayah. 30 tahun muda lagi. kawan saya ada yang umur 40 tahun baru nak kahwin.”

“Jadi kamu nak ikut jejak kawan kamu tu? Nanti menyesal tak sudahlah, 40 tahun baru nak rasa nikmat hidup,” sindir tok ayah.

Hariz sengih.

“Jangan biasakan diri dengan yang haram. Nanti kamu tidak dapat merasai itu keindahan berumahtangga,” sambung tok ayah memberi nasihat pula.

“Tak pernah dan tak terlintas pun hendak melanggar apa yang haram tu tok ayah.”

“Jadi cepat cari isteri. Mak aji pun nak jugak tengok anak kamu nanti.”

Hariz mengeluh.

“Tiga tahun lepas Ariz jumpa dah calonnya. Tapi seminggu kemudian dia hilang sampai sekarang. Jadi tunggu Ariz cari dia sampai jumpa, baru cakap pasal kahwin.” Suara Hariz serius membuatkan tok ayah dan mak aji saling berpandangan.

Selepas itu mereka tidak lagi memanjangkan isu itu lagi. Mak aji juga tidak jadi mahu menjodohkan Hariz dengan Adah. Takut pula dia terberi harapan dekat Adah. Mujur juga dia tidak menyampaikan hasratnya lagi dekat Adah.




Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan