Sabtu, 30 Julai 2022

Bukan Sekadar Mimpi Bab 3


Bab 3

Take 5.” Jinyung memberi isyarat kepada ahli kumpulan Hot-5 untuk berehat.

Nafasnya termengah-mengah kerana berlatih menari tanpa henti selama dua jam. Langkah tarian mereka masih lagi pincang dan tidak seiring. Banyak masa diperlukan, sebelum semua ahli grup mahir dengan tarian baru mereka.

Telefon pintar Samsung diambil bersama botol mineral. Diteguk rakus sambil tangan membuka aplikasi TikTok.

“Jinyung, tengok ni ... budak ni buat duet challenge dengan kau. Tariannya lebih bagus daripada kau,” kata Beak Yun,  dalam bahasa Korea, sambil mengunjukkan telefon pintarnya.

“Dia hebat. Rentak tarinya tak canggung dan temponya sama,” komen Jinyung.

Beak Yun dan Dan Kim mengangguk setuju.

“Umurnya baru 10 tahun dan dia sudah mahir menari tarian kita yang sukar tu. Dia sangat berbakat.”

Jinyung senyum, tanpa ragu dia menjadi follower AzimXY yang mendapat perhatian ahli grupnya. Dilihatnya satu per satu video yang telah dimuat naik oleh budak lelaki itu. Semakin menarik. Dia mempunyai bakat yang diperlukan untuk menjadi seorang idol.

Malaysia - banyak didengari tentang Malaysia, namun mereka belum pernah menjejakkan kaki ke negara itu.

“Dan ... kau pernah tinggal di Malaysia, kan?”

Dan Kim yang baru hendak duduk, tersentak. Nasib baik air yang sedang diminum tidak tersembur apabila bahunya tiba-tiba ditepuk kuat.

“Malaysia? Kuala Lumpur? Sangat menarik dan aku rindukan makanan enak di sana,” terus Dan Kim menjawab.

“Tapi di sana panas, kan?”

“Panas dan hujan. Just nice weather,” jelas Dan Kim lagi. Dia dilahirkan dan dibesarkan di sana sebelum bapanya mengambil keputusan kembali menetap di Seoul. Bahkan, dia masih lagi warganegara Malaysia. Omma mahu dia terus menjadi warganegara Malaysia.

“Kau sebut tentang Malaysia, buatkan aku teringatkan kawan-kawan kat sana. Selepas konsert kita di sana nanti, aku mahu tinggal lama sikit. Rindu makanan Malaysia yang enak.”

Dan Kim memejamkan mata. Dia membayangkan asam laksa yang sedap. Baunya membangkitkan selera. Nasi lemak dan nasi kerabu paling dia suka. Hari-hari bersarapan nasi pun tidak mengapa. Dia tidak pernah jemu.

Pap!

Lengan Dan Kim ditampar oleh Beak Yun.

“Kau terlelap ke berangan? Siap meleleh air liur.”

“Hehe ... aku terbayangkan keenakan asam laksa, nasi lemak dan nasi kerabu,” kata Dan Kim sambil mengusap perutnya yang terasa lapar tiba-tiba.

“Kau ni, tak habis-habis pasal makan dan makan. Patutlah berat naik,” sindir Jong Kok.

“Eh, mana ada? Berat aku maintainlah. Makan banyak untuk tenaga dan stamina. Kita akan menjelajah Asia mulai bulan depan. Prinsip aku; eat hard and work hard.” 

Orang lain buat muka tidak kuasa hendak melayan. Bukannya mereka tidak perasan, tubuh Dan Kim semakin berisi sejak kebelakangan ini. Stamina dia pun kurang berbanding orang lain. Akan tetapi, masih lagi bercakap besar; eat hard work hard konon!

“Aku rasa kau kena cermin dulu dan timbang berat kau. Baru boleh cakap eat hard work hard!” sindir Si Won pula.

Jinyung hanya diam mendengar perbualan kawan-kawannya. Tumpuannya masih lagi kepada video AzimXY di TikTok. Tanpa berfikir panjang dia meninggalkan komen di video tersebut.

Jinyung#

Good job!

“Time’s up.” Jinyung bingkas bangun, diikuti yang lain untuk meneruskan latihan regim mereka. Mereka perlu menguasai langkah tarian baru ini sehingga mahir sebelum rakaman muzik video nanti.

******

“Kak Anna!” Azim berlari ke dapur mencari Anna.

“Kak Anna! Hahaha ... tengok ni. Jinyung komen, kak. JINYUNG!” Azim menjerit gembira.

Tidak disangka Jinyung melihat video duet tarian yang dimuat naik secara suka-suka itu.

Anna menjeling mata ke atas. Apa yang suka sangat? Jinyung? Siapa Jinyung? Entah siapa ... dia tidak kenal.

“Apa yang specialnya? Jinyung? K-pop Idol?” tanya Anna sambil lewa.

Beras yang baru dibasuh dimasukkan ke dalam periuk elektrik. Dimasukkan santan, air, daun pandan, sedikit garam dan halia. Dikacau sedikit kemudian ditutup. Suis ditekan dan ditinggalkan.

“Kau tak kenal kak? Bukan kau juga peminat K-pop? Eh, wajah dialah yang Kak Anna selalu tenung kat billboard tu. Kak Anna jugak yang cakap, hanya wajah Jinyung yang Kak Anna boleh lihat jelas.”

“Ooo,” bulat mulut Anna menjawab.

Rupanya nama dia Jinyung. Sungguh dia tidak tahu nama mamat Korea yang selalu dilihatnya di papan iklan itu.

“Kak Anna minat lagu dan tarian, tak minat orangnya. Lagipun, akak bukan fanatik sangat dengan K-pop ni,” kata Anna menutup malunya.

Azim sengih menyindir. “Ialah tak minat, tapi drama Korea layan pulak!”

“Drama lain. K-pop Idol lain.”

“Eleh, sama je ... dari Korea jugak.” Azim tersengih-sengih.

“Tak sama.”

Bekas ikan bilis dihulurkan kepada Azim. “Kopek ikan bilis kemudian goreng. Hari ni kita makan nasi lemak.”

Mendengar nasi lemak, semakin lebar senyuman Azim. Nasi lemak makanan kegemarannya. Hari-hari makan nasi lemak pun dia sanggup, tetapi itulah, Kak Anna tidak suka masak nasi lemak hari-hari. Katanya boleh gemuk kalau makan setiap hari.

Akan tetapi, dia budak tengah membesar, mestilah makan banyak. Lagipun, dia lelaki, seleranya tinggi berbanding perempuan.

Namun, Kak Anna tetap tidak membenarkan dia makan nasi lemak setiap hari. Seminggu sekali boleh. Jadi, terpaksalah dia mengikut cakap Kak Anna dengan rela paksa.  

“Kak Anna masak lebih tak?” soal Azim.

“Mestilah masak lebih. Nak bagi kat Pak Mid dan Aunty Mei.”

Azim tayang gigi. Dia gembira Kak Anna tidak pernah melupakan Aunty Mei dan Pak Mid.  

“Terima kasih Kak Anna.”

Anna menggosok kepala Azim. Hatinya tersentuh. Azim tidak pernah lupa mengucapkan terima kasih apabila permintaannya ditunaikan. Berkat didikan mama dan abah.

Hati  diselubungi rindu kepada mama dan abah. Kalaulah mereka masih ada, tentu rumah ini penuh dengan gelak tawa. Kak Ain yang suka menyakat. Aida yang suka berebut remote tv dengan abah dan Azim yang suka merajuk. Dia pula, suka terperap dengan mama di dapur, menolong sambil belajar memasak. Rumah ini tidak akan sunyi kerana hujung minggu biasanya hari mereka berkumpul bersama-sama.

“Cepat kopek. Kak Anna nak buat sambal.”

“Jap. Nak balas komen Jinyung hyung.”

Anna menjegilkan mata. Mulutnya mencebik. Tidak habis-habis dengan mamat Korea tu. Macamlah si artis ada masa sangat melayani peminat cilik seperti Azim. Mahu dilarang, takut pula Azim tersinggung. Mahu dibiarkan, takut orang lain pula yang menyamar menjadi Jinyung dan mengambil kesempatan. Bukannya boleh percaya sangat, banyak akaun fake diwujudkan untuk berbagai tujuan negatif.

“Jangan taksub sangat. Minat boleh tapi jangan sampai terbawa-bawa.”

“Adik tahulah. Tak rugi pun layan. Lagipun, dia suka video yang orang buat tu.” Azim tidak mahu mengalah.

Anna mengangkat bahu. Harapnya, Azim tidak tertipulah.

Jinyung#

Good job!

Like by creator

     AzimXY

     Thank you. Xoxo. Are you really Jinyung hyung?

Sebaik habis membalas komen, Azim terus log keluar daripada TikTok dan mengopek ikan bilis. Kalau lambat, pasti dia akan menerima ‘jelingan maut’ daripada kakaknya. Lagipun, jika dia lambat menyiapkan tugas yang diberikan, lambat pula dapat makan nasi lemak.   

Oleh sebab sudah biasa menolong Anna di dapur, Azim tidak mengambil masa yang lama untuk mengopek semua ikan bilis tadi. Ikan bilis yang sudah siap dikopek itu dibawa ke singki untuk dibasuh dan disejat.

“Aku kena goreng ke kak?”

“Tak payah. Nanti terpercik minyak. Buat air teh O.”

Azim menayang sengihan mendengar jawapan kakaknya. Kak Anna still the best sister ever. Hati dijentik sayu; kalaulah kemalangan itu tidak berlaku, tentu rumah mereka masih meriah dengan suara mama dan kakak-kakaknya di dapur.

Hujung minggu, ruang dapur paling meriah dengan suara mereka. Dia pula akan bermain PS5 dengan abah. Mata yang berkaca-kaca, cepat dilarikan melihat ke tempat lain. Tidak mahu Kak Anna perasan. Kalau dia bersedih, Kak Anna turut bersedih. Mereka hanya berdua, bergantung antara satu sama lain. Jadi adik lelaki, walaupun masih kecil, dia perlu kuat untuk Kak Anna.

Tanpa Azim sedari, manik-manis jernih jatuh setitik dua di pipi Anna.

Mama ... Anna rindu mama.

“Haaa ... aku ada idea kak!” tiba-tiba Azim bersuara sambil memetik jari.

“Apa dia?” Air mata laju dikeringkan, tidak mahu Azim perasan.

“Apa kata kau jual nasi lemak?”

Anna mencebik. Tak kuasa dia bangun pagi-pagi memasak. Anna menggeleng kepala.

“Nasi lemak kau sedap kak. Pak Mid selalu puji. Kak Jiji rumah atas tu pun puji nasi lemak kau sedap. Dia pernah tanya adik, Kak Anna tak nak meniaga nasi lemak ke? Kalau jual nasi lemak, dia orang pertama nak booking jadi pelanggan tetap,” cerita Azim.

“Ingat senang ke masak ni? Penat ... akak tak mampulah nak masak sorang-sorang. Lepas tu, jual pulak.”

“Kak Anna masak, biar aku jual.” Bersemangat Azim memberikan cadangan.

“Tengoklah ... nanti akak fikir dulu.”

“Kita tak perlu bukak gerai, kak. Ambil order dan buat delivery je. Kita jual di kawasan apartment kita ni, dahlah. Setakat seratus dua sehari, boleh dapat. Dah cukup untuk kita belanja hari-hari.”

Mereka sebenarnya tidak kesempitan wang pun. Duit insurans, hibah, KWSP dan PERKESO peninggalan mama dan abah cukup untuk menampung kehidupan mereka sehingga Azim habis belajar. Anna pun boleh menyambung pelajarannya sampai tamat. Nasib baik keluarga belah mama dan abah tidak gelap mata dengan wang peninggalan mereka. Namun, dia tidak mahu meninggalkan Azim di rumah saudara mereka. Susah senang,  mereka mesti bersama-sama tanpa menyusahkan sesiapa.

“Kak...”

“Hmmm...”

“Kak...”

“Hmmm...”

“Tengoklah sini!” dengus Azim, geram.

Anna mengangkat muka memandang Azim di hadapannya.

“Jinyung DM aku kak.”

“Entah penipu mana DM kau dik. Jangan nak beranganlah, mana dia ada masa DM kau.”

“Betullah. Tengok ni ... official akaun dia,” balas Azim, tidak berpuas hati dengan si kakak yang tidak mahu percaya cakapnya.  

Official akaun ni pun, mungkin manager dia atau orang lain yang uruskan. Dia mana ada masa nak layan medsos ni.” Anna buat tidak endah lagi. Dia sibuk mencari kerja kosong di JobStreet.

“Betullah dia,” tekan Azim dengan suara stres. Mengapa Kak Anna tidak percaya cakapnya. Padahal ada bukti.

“Siapa yang DM dulu?”

“Adik. Adik perkenalkan diri dan beritahu yang adik pemilik akaun TikTok tu.”

“Dia terus balas ke?”

“Tak ... lepas seminggu baru dia balas. Video terbaru pun dia ada like dan komen jugak.”

“Hurmm ... mungkin dia kot,” kata Anna sambil lewa.

Confirm dialah.” Azim yakin Jinyung yang membalas DMnya.

“Ialah dia. Jadi, apa yang suka sangat? Bukan adik sorang yang DM dia. Berjuta-juta follower dia di Instagram tu.”

“Betul. Bulan September nanti mereka akan mengadakan konsert di Stadium Bukit Jalil. Ada pertemuan bersama peminat di KLCC dan ada sesi tertutup perjumpaan bersama peminat di Hotel Hilton. Ada rakaman muzik video jugak untuk lagu terbaru mereka. Dia bagi special invitation kad kat adik tau. Nanti adik nak jumpa dia.”

“Bila?” Anna menjeling Azim yang terlebih suka kerana bakal bertemu dengan idola pujaannya.

“Bila apa? Konsert?”

“Konsert, Kak Anna tak nak pergi. Tapi perjumpaan tertutup tu boleh.”

Yess! Thank you Kak Anna.” Azim melompat kesukaan. Tidak pergi ke konsert pun, tidak mengapa. Dia boleh menonton secara live di YouTube nanti.  

“Tapi, adik masuk jumpa mereka sendiri. Akak hantar sampai pintu hotel je. Nanti nak balik, telefon.”

“Baik bos!” tabik Azim, teruja.

Dia terus menerkam memeluk Anna. Matanya basah. Anak lelaki pun adakalanya berhati tisu juga, apatah lagi ini kali pertama dia akan berjumpa dengan artis K-pop Idol kegemarannya. 


Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Sabtu, 23 Julai 2022

Bukan Sekadar Mimpi Bab 2





Bab 2

Setiap hari, sejak setahun lepas, wajah itu yang sering dilihat dan ditenungnya. Satu-satunya wajah yang dapat dilihat dengan jelas walaupun hanya melalui poster pada dinding ataupun billboard.

Buat sekian kalinya, dia mendongak melihat iklan kerusi urut Korea. Wajah model lelaki itu ditatap lama.

‘Kak Ain pernah cerita pasal awak, dia peminat fanatik awak. Katanya, awak seorang yang gentleman. Tidak pernah mengambil kesempatan memegang atau memeluk artis wanita. Setiap kali kalau bergambar, akan ada sedikit jarak antara awak dan artis wanita itu, betul ke?’

‘Sebab selalu mendengar Kak Ain puji-puji awak, saya tertarik nak tengok rupa awak. Pelik bukan, wajah awak satu-satunya yang saya dapat lihat dengan jelas selain wajah adik saya.’

‘Awak memang kacak. Orang Korea ni kulit putih susu, tapi kulit awak tan sikit. Mungkin itu yang membuatkan awak nampak maskulin. Bila Kak Ain tidak ada, Azim pula asyik sebut pasal awak. Jadi, awak tidak asing buat saya, walaupun saya selalu lupa nama awak. Saya tak minat awak pun, tapi suka dengar suara awak.’

Lama Anna melihat gambar iklan itu dan berbicara sendiri. Dia senyum.

Yeah, mungkin sebab awak sudah lama berada di dalam hati saya membuatkan wajah awak nampak jelas.’

‘Selamat tinggal awak. Lepas ni, saya akan jarang-jarang tengok awak kat di sini lagi.’

Dia kembali meneruskan perjalanannya. Tentu Azim terkejut melihat dia balik awal hari ini. Mesti budak itu gembira dia berhenti kerja. Bukannya Anna tidak tahu, Azim tidak suka dia balik malam-malam apabila bekerja syif petang.

“Anna!” Tiba-tiba ada suara lelaki memanggilnya.

Tidak disahut, malah dia mempercepat langkahnya.

“Anna!”

Terdengar derap kaki orang berjalan laju mengejarnya. Anna kecut perut. Dipandang kiri dan kanan, mujur juga laluan pejalan kaki yang dilaluinya ramai orang.

“Anna!”

Sreett!! Anna berhenti mengejut untuk mengelakkan daripada terlanggar orang yang tiba-tiba muncul di hadapannya. Dia memejamkan mata.

“Anna! Hey, abanglah ... Muiz,” lelaki itu memperkenalkan diri.

Barulah Anna membuka matanya, melihat lelaki di hadapannya. Muiz? Rasanya seperti pernah mendengar nama itu, tetapi dia tidak ingat di mana dia mengenali lelaki tersebut.

“Tak ingat?” soal lelaki itu.

Anna menggeleng kepala.

Muiz tersenyum kelat, segan pun ada apabila Anna tidak mengenalinya. Namun, kebetulan ini sayang untuk dilepaskan.

“Abang anak Cik Zaimah, sebelah rumah tok ma Anna.”

“Ooo... ,” hanya itu sahaja balasan Anna. Sungguh dia tidak ingat dan wajah lelaki itu tiada langsung dalam ingatan.

“Maaflah, saya susah nak cam rupa orang,” beritahu Anna, supaya lelaki itu tidak menganggapnya sombong.

“Tak apa. Anna nak ke mana ni?” soalnya ramah.

“Balik,” jawab Anna sepatah. Dia tidak mahu berlama di tengah laluan pejalan kaki itu.

“Temankan abang makan dulu, boleh?” ajak Muiz.

Anna terkebil-kebil melihat lelaki di hadapannya.

“Awak tak kerja ke?” soalnya pelik. Sekarang waktu kerja.

“Abang kerja luar hari ni. Jadi lewat sikit lunch.”

Anna mengangguk lagi.

“Mungkin tak dapat nak temankan awak, saya nak balik cepat,” Anna menolak secara terus terang.

Muiz mengeluh hampa.

“Mungkin lain kali boleh?” dia tidak berputus asa.

Anna senyum serba salah. Dia tidak mengenali lelaki ini dan tidak berniat mahu kenal pun.

“Insya-Allah,” balasnya sepatah.

“Boleh abang minta nombor telefon Anna?”

Anna serba salah.

Muiz senyum. Wajah Anna sangat comel, nampak sangat dia berat hati mahu memberinya.

“Mungkin lain kali. Bila kita jumpa sekali lagi, boleh Anna berikan?” Muiz mengalah.

Dia kena banyak bersabar kalau mahukan Anna. Gadis ini bukan seperti gadis lain yang selalu ditemuinya.

Anna mengangguk. “Insya-Allah.”

‘Harapnya kita tidak akan berjumpa lagi,’ bisik hati kecil Anna.

“Saya pergi dulu,” Anna meminta diri.

“Okey. Assalamualaikum,” Muiz memberi salam sebelum melepaskan Anna pergi.

“Waalaikumussalam.”

*****

Kreek!

Azim mengangkat muka melihat ke pintu. Kemudian beralih melihat jam di dinding, baru pukul 3.00 petang.

‘Takkanlah Kak Anna balik,’ gumam hatinya, namun terjawab apabila pintu ditolak dan Anna muncul dari belakang pintu.

“Kak Anna tak kerja ke hari ini?” ringan mulut Azim bertanya Anna.

“Dah berhenti,” balas Anna sambil menghempaskan tubuhnya ke atas sofa.

Penat berjalan tengah panas tadi. Dari stesen LRT, dia perlu berjalan kira-kira 20 minit untuk sampai ke rumah mereka. Hari ini panas membahang, sama seperti hatinya. Namun begitu, dia tidak menyesal berhenti kerja. Sudah tersurat, setakat hari ini rezekinya bekerja di situ.

“Patutnya, lama dah Kak Anna berhenti kerja situ. Tak berbaloi,” balas Azim, tidak kisah pun Anna berhenti kerja.

Mendengar jawapan si adik, Anna menjeling tajam.

“Huh, tak membantu langsung!” dengusnya.

Sejak mula dia bekerja di KLCC, si adik sudah memberitahu yang dia tidak suka Anna bekerja syif. Tidak selamat balik lewat malam, kalau bekerja syif petang.

 Namun, itulah kerja pertama yang dipohon dan terus pula diterima. Mereka perlukan duit belanja untuk meneruskan kehidupan.

“Kalau akak tak kerja, kita nak makan apa?” sindir Anna.

“Jadi YouTuber, lagi banyak dapat duit.”

“Tak pandai. Tak ada orang nak tengok,” balas Anna, malas. Dia tidak suka menjadi perhatian. Dalam keluarga mereka, dialah yang paling pendiam dan tidak menonjol.

Azim menggeleng kepala. Siapa kata Kak Anna Humaira tidak cantik dan tidak ada peminat; kalau jadi YouTuber mesti ramai follower.

“Belum cuba belum tahu. Try  Kak Anna upload video tarian tu, mesti ramai yang suka tengok,” pujuk Azim. Ditunjukkan video yang diambil curi-curi, ketika Anna menari tarian Blackpink.

Kata Kak Anna, dia menari sebab mahu mengeluarkan peluh. Dia tidak ada masa untuk berjoging memandangkan dia bekerja syif. Tambahan pula, keadaan negara masih belum pulih sepenuhnya daripada wabak COVID-19.

Delete video tu. Jangan gatal nak upload!” keras suara Anna memberi amaran. Dia sudah berbaring di atas sofa dengan mata terpejam. Peluh telah kering, namun penat berjalan tadi membuatkan matanya semakin layu.

Azim tersengih jahat.

Sorry ... dah terupload dalam TikTok.”

Dummm! Azim terus menghilangkan diri di sebalik pintu bilik.

Anna tiada tenaga mahu marah lagi. Mujurlah uniform sehariannya di rumah adalah T-shirt dan seluar track. Jadi, tidaklah kelihatan seksi ketika dia menari. T-shirt pula besar dan longgar, diikat di tepi pinggang.

Beli ebook


Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.