Sabtu, 23 Julai 2022

Bukan Sekadar Mimpi Bab 2





Bab 2

Setiap hari, sejak setahun lepas, wajah itu yang sering dilihat dan ditenungnya. Satu-satunya wajah yang dapat dilihat dengan jelas walaupun hanya melalui poster pada dinding ataupun billboard.

Buat sekian kalinya, dia mendongak melihat iklan kerusi urut Korea. Wajah model lelaki itu ditatap lama.

‘Kak Ain pernah cerita pasal awak, dia peminat fanatik awak. Katanya, awak seorang yang gentleman. Tidak pernah mengambil kesempatan memegang atau memeluk artis wanita. Setiap kali kalau bergambar, akan ada sedikit jarak antara awak dan artis wanita itu, betul ke?’

‘Sebab selalu mendengar Kak Ain puji-puji awak, saya tertarik nak tengok rupa awak. Pelik bukan, wajah awak satu-satunya yang saya dapat lihat dengan jelas selain wajah adik saya.’

‘Awak memang kacak. Orang Korea ni kulit putih susu, tapi kulit awak tan sikit. Mungkin itu yang membuatkan awak nampak maskulin. Bila Kak Ain tidak ada, Azim pula asyik sebut pasal awak. Jadi, awak tidak asing buat saya, walaupun saya selalu lupa nama awak. Saya tak minat awak pun, tapi suka dengar suara awak.’

Lama Anna melihat gambar iklan itu dan berbicara sendiri. Dia senyum.

Yeah, mungkin sebab awak sudah lama berada di dalam hati saya membuatkan wajah awak nampak jelas.’

‘Selamat tinggal awak. Lepas ni, saya akan jarang-jarang tengok awak kat di sini lagi.’

Dia kembali meneruskan perjalanannya. Tentu Azim terkejut melihat dia balik awal hari ini. Mesti budak itu gembira dia berhenti kerja. Bukannya Anna tidak tahu, Azim tidak suka dia balik malam-malam apabila bekerja syif petang.

“Anna!” Tiba-tiba ada suara lelaki memanggilnya.

Tidak disahut, malah dia mempercepat langkahnya.

“Anna!”

Terdengar derap kaki orang berjalan laju mengejarnya. Anna kecut perut. Dipandang kiri dan kanan, mujur juga laluan pejalan kaki yang dilaluinya ramai orang.

“Anna!”

Sreett!! Anna berhenti mengejut untuk mengelakkan daripada terlanggar orang yang tiba-tiba muncul di hadapannya. Dia memejamkan mata.

“Anna! Hey, abanglah ... Muiz,” lelaki itu memperkenalkan diri.

Barulah Anna membuka matanya, melihat lelaki di hadapannya. Muiz? Rasanya seperti pernah mendengar nama itu, tetapi dia tidak ingat di mana dia mengenali lelaki tersebut.

“Tak ingat?” soal lelaki itu.

Anna menggeleng kepala.

Muiz tersenyum kelat, segan pun ada apabila Anna tidak mengenalinya. Namun, kebetulan ini sayang untuk dilepaskan.

“Abang anak Cik Zaimah, sebelah rumah tok ma Anna.”

“Ooo... ,” hanya itu sahaja balasan Anna. Sungguh dia tidak ingat dan wajah lelaki itu tiada langsung dalam ingatan.

“Maaflah, saya susah nak cam rupa orang,” beritahu Anna, supaya lelaki itu tidak menganggapnya sombong.

“Tak apa. Anna nak ke mana ni?” soalnya ramah.

“Balik,” jawab Anna sepatah. Dia tidak mahu berlama di tengah laluan pejalan kaki itu.

“Temankan abang makan dulu, boleh?” ajak Muiz.

Anna terkebil-kebil melihat lelaki di hadapannya.

“Awak tak kerja ke?” soalnya pelik. Sekarang waktu kerja.

“Abang kerja luar hari ni. Jadi lewat sikit lunch.”

Anna mengangguk lagi.

“Mungkin tak dapat nak temankan awak, saya nak balik cepat,” Anna menolak secara terus terang.

Muiz mengeluh hampa.

“Mungkin lain kali boleh?” dia tidak berputus asa.

Anna senyum serba salah. Dia tidak mengenali lelaki ini dan tidak berniat mahu kenal pun.

“Insya-Allah,” balasnya sepatah.

“Boleh abang minta nombor telefon Anna?”

Anna serba salah.

Muiz senyum. Wajah Anna sangat comel, nampak sangat dia berat hati mahu memberinya.

“Mungkin lain kali. Bila kita jumpa sekali lagi, boleh Anna berikan?” Muiz mengalah.

Dia kena banyak bersabar kalau mahukan Anna. Gadis ini bukan seperti gadis lain yang selalu ditemuinya.

Anna mengangguk. “Insya-Allah.”

‘Harapnya kita tidak akan berjumpa lagi,’ bisik hati kecil Anna.

“Saya pergi dulu,” Anna meminta diri.

“Okey. Assalamualaikum,” Muiz memberi salam sebelum melepaskan Anna pergi.

“Waalaikumussalam.”

*****

Kreek!

Azim mengangkat muka melihat ke pintu. Kemudian beralih melihat jam di dinding, baru pukul 3.00 petang.

‘Takkanlah Kak Anna balik,’ gumam hatinya, namun terjawab apabila pintu ditolak dan Anna muncul dari belakang pintu.

“Kak Anna tak kerja ke hari ini?” ringan mulut Azim bertanya Anna.

“Dah berhenti,” balas Anna sambil menghempaskan tubuhnya ke atas sofa.

Penat berjalan tengah panas tadi. Dari stesen LRT, dia perlu berjalan kira-kira 20 minit untuk sampai ke rumah mereka. Hari ini panas membahang, sama seperti hatinya. Namun begitu, dia tidak menyesal berhenti kerja. Sudah tersurat, setakat hari ini rezekinya bekerja di situ.

“Patutnya, lama dah Kak Anna berhenti kerja situ. Tak berbaloi,” balas Azim, tidak kisah pun Anna berhenti kerja.

Mendengar jawapan si adik, Anna menjeling tajam.

“Huh, tak membantu langsung!” dengusnya.

Sejak mula dia bekerja di KLCC, si adik sudah memberitahu yang dia tidak suka Anna bekerja syif. Tidak selamat balik lewat malam, kalau bekerja syif petang.

 Namun, itulah kerja pertama yang dipohon dan terus pula diterima. Mereka perlukan duit belanja untuk meneruskan kehidupan.

“Kalau akak tak kerja, kita nak makan apa?” sindir Anna.

“Jadi YouTuber, lagi banyak dapat duit.”

“Tak pandai. Tak ada orang nak tengok,” balas Anna, malas. Dia tidak suka menjadi perhatian. Dalam keluarga mereka, dialah yang paling pendiam dan tidak menonjol.

Azim menggeleng kepala. Siapa kata Kak Anna Humaira tidak cantik dan tidak ada peminat; kalau jadi YouTuber mesti ramai follower.

“Belum cuba belum tahu. Try  Kak Anna upload video tarian tu, mesti ramai yang suka tengok,” pujuk Azim. Ditunjukkan video yang diambil curi-curi, ketika Anna menari tarian Blackpink.

Kata Kak Anna, dia menari sebab mahu mengeluarkan peluh. Dia tidak ada masa untuk berjoging memandangkan dia bekerja syif. Tambahan pula, keadaan negara masih belum pulih sepenuhnya daripada wabak COVID-19.

Delete video tu. Jangan gatal nak upload!” keras suara Anna memberi amaran. Dia sudah berbaring di atas sofa dengan mata terpejam. Peluh telah kering, namun penat berjalan tadi membuatkan matanya semakin layu.

Azim tersengih jahat.

Sorry ... dah terupload dalam TikTok.”

Dummm! Azim terus menghilangkan diri di sebalik pintu bilik.

Anna tiada tenaga mahu marah lagi. Mujurlah uniform sehariannya di rumah adalah T-shirt dan seluar track. Jadi, tidaklah kelihatan seksi ketika dia menari. T-shirt pula besar dan longgar, diikat di tepi pinggang.

Beli ebook


Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan