Sabtu, 27 Ogos 2022
Sekadar coretan.
Sabtu, 13 Ogos 2022
Bukan Sekadar Mimpi 5
Bab 5
“Kak Anna teman sampai sini je. Nanti adik
masuk sendiri kat dalam tu. Bila dah habis, call akak. Kak Anna ada
dekat NU Sentral.”
Azim mengangguk faham, padahal dia tidak
mendengar pesanan Anna. Dia ralit membaca mesej Jinyung.
+Dekat lobi, staf hyung tunggu Azim.
-OK hyung. Saya dah sampai kat lobi.
+Wait a minute.
“Dengar tak Kak Anna pesan ni?”
“Hah? Dengar. Kejap lagi ada orang datang
jemput adik. Kak Anna jangan risaulah. Tahulah orang jaga diri.”
Anna menarik nafas panjang. Jangan risau ...
jangan risau! Hatinya memang tengah risau. Mana pernah dia meninggalkan Azim
sendirian di tempat awam. Belum pernah.
Lainlah kalau di rumah, ada jiran-jiran tolong
tengokkan. Pak Mid juga turut memerhatikan agar Azim tidak keluar dari kawasan apartment.
“Awak tu baru 10 tahun, macam mana Kak Anna
tak risau.”
“Kalau gitu, baik Kak Anna ikut adik sekali.
Tak adalah risau sangat, kan?” Azim memberi cadangan bernas.
Anna mencebik. “Tak kuasa akak nak bersesak
kat dalam tu. Macam-macam bau ada.”
Azim buat memek muka, mengajuk Anna membebel. Bosan
apabila Kak Anna membebel macam mak nenek. Macam-macam yang dipesannya, padahal
dia mahu berjumpa dengan Jinyung hyung sahaja.
Anna menjegil ke arahnya, cubitan keras
dihadiahkan di lengan Azim. Azim menjeling geram, tetapi dia tidak berani
mengajuk lagi, takut kena heret balik.
“Hello, Azim.” Tiba-tiba datang seorang
lelaki Korea menegur mereka. Wajahnya tidak kelihatan kerana ditutupi dengan hoodie
dan cermin mata hitam besar.
“Yes, I am...” Bulat mata Azim
melihatnya. Dia dapat mengecam lelaki itu. Jinyung.
“Hyung ... Jin ...” belum sempat dia
menyebut nama lelaki tu, Jinyung memberi isyarat supaya Azim diam.
“Nice to meet you, Azim.” Sempat Jinyung
melirik ke arah gadis manis di sebelah Azim. Berdepan begini, Anna nampak lebih
cantik.
“Kak Anna ... tengok! Betulkan? Adik cakap
betulkan selama ini adik berDM dengan Jinyung hyung,” bisik Azim
teruja.
Anna melirik senyum paksa. Dia melihat Jinyung
membongkokkan separuh tubuhnya, tanda memberi salam dan hormat.
“Hyung, meet my sister ... Anna. She’s a
number one fan of Korean drama.”
Merah muka Anna mendengar pengenalan adiknya.
“But she’s not interested in K-pop Idol, but
the strange thing is she’s good at K-Pop dance,” usik
Azim.
Kononnya berbisik, padahal semeter boleh
dengar suaranya.
“Azimmm!”
Jinyung tersenyum-senyum mendengar kata-kata
Azim itu.
“Come on, we have to go now. We are going
to start in ten minutes.”
“Jaga diri dan jangan menyusahkan orang lain.
Dah habis nanti call akak,” pesan Anna.
Berat hatinya mahu melepaskan Azim, tetapi
dalam masa yang sama dia faham dengan keterujaan Azim yang mahu menghabiskan
masa bersama idolanya.
“You’re not coming?”
“No. I have something else,” balas Anna.
“Take care of my brother, please. Make sure
he doesn’t mess up your program. I’ll pick up him later,” pesan Anna tanpa memandang Jinyung.
Dia berasa malu.
“Don’t worry about it. I’ll look after him
like my own brother.”
Azim tersenyum lebar mendengar kata-kata Jinyung
itu. Bangga hatinya apabila dirinya dianggap seperti adik sendiri oleh idolanya.
Keningnya tergedik-gedik sambil memandang Anna, bangga.
Anna mengangguk dan melepaskan mereka pergi.
Manakala dia pula bergerak keluar menuju ke NU Sentral.
*****
Jinyung, Dan Kim, Beak Yun, Jong Kok dan Si
Won menghembuskan nafas kelegaan apabila event tamat. Mereka keletihan
melayan para peminat, namun berpuas hati dapat memenuhi permintaan peminat di
Malaysia.
Mereka sepatutnya datang pada tahun lepas,
namun terpaksa menunda hasrat tersebut disebabkan masalah kesihatan Jinyung dan
Beak Yun. Bagi mereka, tanpa sokongan peminat mereka tidak akan popular.
Azim
turut sama menyertai permainan yang telah diaturkan. Dia juga penat, tetapi
perasaan teruja dan gembiranya membuatkan keletihan itu seolah-olah tidak
terasa.
“Seronok?”
“Seronok sangat. Hyung semua memang sporting
habis,” puji Azim.
Dia tidak menyangka, melayan peminat boleh
sepenat ini. Namun, sikap ramah artis Korea itu membuatkan rata-rata yang
datang, pulang dengan senyuman lebar. Dia pula semakin dapat menyesuaikan diri
bersama mereka.
“Dah mesej Kak Anna?” Jinyung bertanya
tiba-tiba. Prihatin. Tidak mahu Anna menganggap dirinya seorang yang tidak
bertanggungjawab.
“Kak Anna??”
Serentak empat pemuda Korea yang sedang duduk
melepaskan penat itu bersuara dengan nada terkejut.
“Lawa tak?”
“Comel tak?”
“Cantik tak?”
Serentak mereka bertanya ... teruja!
“Cantik, lawa, comel dan pandai menari, pandai
memasak dan tak suka K-pop, tapi suka menonton drama Korea dan Cina,” jawab
Azim dengan bangga.
Memang betul pun Kak Anna cantik. Tidak pernah
jemu dia memuji kakak kesayangannya itu.
Notifikasi WhatsApp telefon pintar Azim
berbunyi. Sibuk mamat K-pop mendekatinya, mahu membaca juga.
“10 minit lagi Kak Anna sampai,” beritahu
Azim.
Jinyung menjeling memberi amaran kepada ahli
kumpulannya. Serta-merta mereka berundur dan tidak jadi menyibuk. Namun, mata
dan telinga tetap dipasang untuk melihat dan mendengar perbualan atau WhatsApp
daripada Anna.
“Jom, kakak mesti dah sampai kat lobi,” ajak Jinyung.
Dia tidak mahu Anna menunggu lama.
Azim tersengih. Walaupun dia tidak faham mengapa
mereka tiba-tiba diam dan berundur, Azim suka dengan sikap Jinyung yang
melindunginya.
“Kami ikut sekali.”
“Apa kata kita keluar bersiar-siar?” Beak Yun
memberi cadangan. Lagipun, masa lapang mereka hanya petang ini sahaja.
Mereka datang mengadakan konsert di sini,
dalam masa yang sama mereka akan merakamkan muzik video untuk lagu terbaru
mereka. Ada lirik dalam bahasa Melayu. Sebab itulah rakaman muzik videonya
dilakukan di Malaysia.
“Yes ... aku setuju. Lagipun, petang ni
kita free. Boleh kita melihat-lihat Kuala Lumpur. Kakak Azim boleh jadi tour
guide kami, kan?” Dan Kim bertanya.
“Boleh. Sebut je ke mana nak pergi kat KL ni,
Kak Anna tahu.” Azim terus menjual nama kakaknya.
“Dia setuju tak?” Jinyung menyoal tiba-tiba. Bimbang
menyusahkan gadis itu. Bukan dia tidak tahu sikap nakal ahli kumpulannya, mahu
nanti kakak Azim menjadi mangsa usikan mereka.
“Mestilah setuju. Kak Anna takkan tolak
permintaan artis idola adiknya,” balas Azim, yakin.
“Kak Anna!.”
Anna berpaling ke arah suara itu. Azim berlari
mendekatinya dengan senyuman lebar. Mengekori di belakangnya, lima orang lelaki
Korea berpakaian low profile, tetapi cara pemakaian mereka itu tetap
menarik perhatian orang ramai.
Anna melihat ke ruang lobi hotel, masih ada
peminat kumpulan ini yang belum balik. Mujurlah mereka tidak menunjukkan sikap
teruja melampau. Hanya melambai-lambai dari jauh sahaja. Anna lega. Kalau
tidak, dia akan terus menarik tangan adiknya balik. Tidak mahu dia dihimpit
oleh peminat mereka.
“Hai, Kak Anna.” Serentak empat lelaki Korea
itu menyapa dan membongkokkan tubuh mereka separuh, tanda hormat.
Anna terkejut. Seperti tidak percaya pula melihat mereka berlima di hadapannya dan
memanggilnya ‘Kak Anna’ walaupun usianya lebih muda daripada mereka.
“H-e-l ... hello...” Anna tunduk membalas. Dadanya
berdebar-debar.
‘Kenapa pulak mamat Korea ni ikut Azim. Aku
tak minat pun nak kenal,’ rungutnya dalam hati.
“Kak, mereka nak jalan-jalan tengok KL. Jadi,
nak minta Kak Anna jadi tour guide,” beritahu Azim.
Kecut juga perutnya, takut kakaknya marah.
Dalam hati Azim tidak putus-putus berdoa agar kakaknya setuju.
Wajah Anna berubah. Geram pun ada.
Pandai-pandai Azim membuat keputusan sendiri tanpa memberitahunya terlebih
dahulu. Kecil besar, kecil besar dilihatnya Azim. Mengapa pula namanya dipetik,
padahal ramai peminat mereka yang sanggup menjadi tour guide mereka.
“Kak Anna sudi tak? Ini kali pertama kami
sampai ke Malaysia. Tentu Kak Anna tahu banyak tempat menarik di KL ni, kan?” tanya
Beak Yun.
Dia berharap Anna akan bersetuju. Sempat lagi
matanya mengerling Jinyung. Rakannya itu diam sahaja. Sikapnya tidak pernah
berubah. Bukan dia tidak perasan air muka Jinyung berubah lembut apabila
memandang Anna tadi. Sorotan matanya pun lain macam. Jadi, sebab dia baik hati,
dia membuka peluang Jinyung mendekati Anna.
Anna menjeling.
“Siapa kakak awak!” marah Anna, garang.
‘Suka hati dia panggil orang kakak,’
gerutunya.
Beak Yun terkejut. Dia berundur setapak dan menundukkan
pandangan.
“Uish, garangnya kakak Azim!” bisiknya, tetapi
jelas kedengaran suaranya.
“Kak Anna, bolehlah kak. Diorang nak kenal KL
ni. Siapa lagi nak bawak kalau bukan kita,” rayu Azim, cuba meraih simpati.
Padahal dia mahu bersama idolanya lagi. Tidak
puas hanya dua jam sahaja. Banyak lagi yang dia hendak tahu tentang mereka.
Anna menunjukkan wajah garang, tetapi hati
tercuit apabila melihat muka kasihan lima orang mamat K-pop di hadapannya. Dia
mengeluh. Jari menyisir rambut hitam separas bahu itu. Terasa panas, dia menarik
scruncies di pergelangan tangan untuk mengikat rambut.
“Bolehlah kak. Hari ni je diorang free.
Esok dah sibuk dengan program lain.” Tangan Anna diayun. Azim terus mempamer muka
kasihan.
Anna tidak sampai hati mahu menolak. Dipandang
mamat Korea di hadapannya, satu per satu. Hanya wajah Jinyung sahaja yang jelas
di matanya. Melihat pemakaian mereka, kalau keluar dari hotel ini, tentu akan
menarik perhatian orang ramai. Lebih-lebih lagi warna rambut mereka. Dari jauh
mereka sudah boleh dikenali, apatah lagi kalau peminat fanatik mereka. Tidak
sanggup Anna mahu membayangkan kekecohan yang akan terjadi.
Anna memandang mereka; otaknya ligat
memikirkan pakaian yang sesuai untuk mamat berlima itu, supaya tidak menarik perhatian
orang.
“Baik, tapi dengan syarat mereka kena ikut
cakap Kak Anna,” tegas Anna.
Dia dan Azim akan terdedah kepada bahaya kalau
ada paparazi mengambil gambar mereka. Mereka mungkin akan menjadi mangsa buli
siber peminat kumpulan ini.
Bukan Anna tidak tahu, ramai yang kena buli
gara-gara sikap fanatik peminat K-pop Idol ini. Bukan hanya peminat, malah ada
artis K-pop itu sendiri pun dibuli sehingga mereka bertindak membunuh diri.
“Yeay!! Mesti mereka akan ikut cakap Kak Anna.
Kan ... kan?” Azim terlebih gembira.
Dan Kim cepat mengangguk sebab dia faham apa
yang Anna katakan. Yang lain pun turut sama mengangguk. Walaupun lambat mahu
menangkap kata-kata Anna, mereka juga memahami apa yang dikatakan. Terima kasih
kepada Dan Kim yang selalu berbahasa Melayu.
“Pertama kali, tanggalkan segala mak nenek subang
dan cincin tu. Togelkan muka tu dulu. Basuh muka, buang mekap. Takut kulit
terbakar, pakai sunburn lotion je. Pakai T-shirt jangan warna
terang-terang sangat, hitam putih or warna gelap-gelap. Jeans biru atau
hitam je. Warna lain tak boleh.”
Dan Kim mengembungkan pipi, menahan tawa sebaik-baik
sahaja mendengar perkataan ‘togelkan muka’ itu. Dia segera memandang ke arah
lain. Yang lain pula, tercengang-cengang mendengar kata-kata Anna itu.
Selesai Anna bercakap, barulah Dan Kim
melepaskan tawanya.
“Kali pertama saya dengar perkataan togel,” ujar
Dan Kim di hujung tawanya dalam bahasa Melayu yang fasih.
Anna terkejut. “Awak tahu cakap Melayu?”
“Sikit-sikit.” Dia mengigit bibir bawah.
Tersasul pula bercakap Melayu. Kantoi.
Azim tersengih melihat gelagat Dan Kim. Dia tahu
Dan Kim pernah tinggal di Malaysia dan boleh bercakap dalam bahasa Melayu.
“Jadi, mesti awak tahu kan selok-belok KL ni;
boleh bawak kawan-kawan awak jalan-jalan, kan?”
“Err ... tak. Tak tahu. Dulu saya tinggal di
JB,” Dan Kim memberi alasan. Terasa peluh sejuknya keluar. Sempat dijeling Jinyung
seketika.
“Cepat naik tukar baju. Nanti kang Kak Anna
tukar fikiran,” Azim memberi amaran.
Dan Kim menarik rakan-rakannya pergi sebelum
sempat Anna berkata-kata lagi.
Sabtu, 6 Ogos 2022
Bukan Sekadar Mimpi Bab 4
Bab 4
“Welcome to Malaysia.”
“So hot.”
“Panas.”
Mereka segera masuk ke dalam Toyota Alphard
yang akan membawa mereka ke hotel penginapan. Ketibaan mereka disambut oleh Kevin
Lim, bos Ryshah Entertainment; syarikat yang menjadi penganjur konsert mereka
di Kuala Lumpur.
Dan Kim melihat ke luar tingkap kenderaan.
“Petang nanti mesti hujan ni,” ujarnya
perlahan.
“Mana kau tahu akan hujan?”
“Aku tahulah. Aku kan, pernah tinggal lama kat
Malaysia. Sekarang dah bulan September, musim hujan tak lama lagi. Jadi, cuaca
tak menentu.”
Rakan-rakannya mengangguk faham. Udara sejuk
daripada alat pendingin hawa, membuatkan badan terasa segar.
Sewaktu mereka tiba tadi, ramai peminat setia yang
sudah menunggu mereka di situ. Mujur juga keadaan terkawal dan mereka tidak
digasak oleh peminat fanatik.
“Bila kau janji nak jumpa Azim?”
“Pertemuan tertutup nanti.”
“Dia tak pergi ke konsert ke?”
“Tak. Kakaknya tak bagi.”
“Kakak? Dia tinggal dengan kakak? Orang
tuanya?”
“Dah tak ada.”
Yang lain hanya mendengar perbualan di antara
Dan Kim dan Jinyung. Walaupun begitu, mereka tidak sabar mahu berjumpa dengan
Azim.
******
“Azim, kami dah sampai Malaysia. Tengok ni...”
beritahu Jinyung sambil menunjukkan pemandangan dari bilik hotelnya.
Dia sedang membuat video call dengan
Azim. Mendengar nama Azim, yang lain pun ikut menempel sekali.
“Wow!” Azim teruja. Dia tidak pernah melihat pemandangan
malam di tengah bandar raya Kuala Lumpur. Tentunya pemandangan dari Hotel
Hilton yang mereka diami.
“Hai, Azim.” Jinyung menghalakan iPhonenya kepada
ahli kumpulannya yang lain. Mereka sangat teruja melihat Azim.
“Come here,” ajak Beak Yun.
“Kalau boleh terbang, sekarang jugak saya
terbang ke sana,” jawab Azim, ketawa.
Seronok dapat bercakap dengan idolanya. Tidak disangka,
mereka semua peramah.
“Eh ... eh ... Azim pusing telefon tu ke kanan
sikit,” tiba-tiba Dan Kim membuat permintaan. Dia ada melihat sesuatu.
Azim melihat ke kirinya. Kelihatan Anna sedang
menari. Itu rutinnya setiap malam selepas isyak, exercise katanya.
“Eh, bukan lagu kita ke tu?” celah Beak Yun. Dia
diam dan cuba mendengar rentak lagu dari telefon Azim.
“Aah, betul. Kak Anna memang akan buka lagu ni
bila menari untuk exercise.”
“Dance kami jugak?”
Azim mengangguk, mengiakan
“Tunjuk sikit lagi,” pinta Beak Yun pula.
“Tak boleh. Nanti Kak Anna marah. Dia pakai
singlet hari ni,” bantah Azim. Masakan dia hendak menunjukkan kepada mereka Kak Anna yang
sedang seksi begitu.
“Why not. Kami tengok je,” soal Beak
Yun tidak puas hati.
“She is Muslim,” beritahu Dan Kim.
Dia faham aurat orang Islam. Semasa bersekolah
di Malaysia dahulu, dia ada mengikuti kelas Pendidikan Islam. Tambahan pula, dia
selalu mendengar ceramah Mak Rose -
orang gaji dan juga pengasuhnya - tentang agama Islam. Jadi, dia tidak pelik
kalau Azim enggan menunjukkan Kak Annanya menari.
Azim mengangguk. Pasti Kak Annanya akan marah
kalau dia tahu.
“Dulu Kak Anna dan Kak Ain suka upload video
mereka menari dalam TikTok. Tapi selepas Kak Ain tak ada, Kak Anna delete semua
video. Akaun TikTok pun dia delete dah.”
“Sayanglah,” keluh Beak Yun. Baginya, satu
kerugian tidak memperlihatkan bakat mereka. Mungkin mereka ada peluang untuk
menjadi artis juga.
“Kak Ain tu siapa?” soal Si Won ingin tahu.
“Kakak sulung kami. Tapi telah meninggal dalam
accident sekali dengan mama, abah dan Kak Aida.” Sayu suara Azim memberitahu
tentang tragedi pahit menimpa keluarganya.
“I’m sorry.”
“Tak apa. Lagipun, dah dua tahun berlalu.
Mereka masih hidup dalam sini.” Azim menepuk dadanya.
Hidup mesti diteruskan. Alhamdulillah, dia dan
Kak Anna sudah lama menerima takdir ini. Mereka akan hidup sebaik-baiknya.
Anggota Hot-5 itu terkedu mendengarnya.
Rupanya, Azim dan Anna kehilangan seluruh keluarganya. Hanya tinggal mereka
berdua sahaja. Mereka saling berpandangan.
Jinyung yang hanya mendengar sejak tadi berasa
serba salah, namun dalam masa yang sama, dia semakin tertarik mahu mengenali
Azim dan kakaknya.
“Tapi ada satu video Kak Anna menari saya upload
dalam TikTok. Boleh tengok video tu. Kak Anna memang berbakat menari. Dia sama
lincah dengan Kak Ain,” Azim bersuara, memecah suasana suram tadi sambil
tersenyum.
“Kejap ... kejap, hyung cari,”
bersungguh pula Si Won mahu melihat video tersebut. Cuba mengalihkan perhatian
dan topik sedih yang dia cetuskan tadi.
“Wah, dia pandai menari! Lincah. Dia boleh
ikut rentak tari kitalah,” ujar Beak Yun teruja.
“Azim ... hyung nak kenallah kakak kau,”
Dan Kim terus menyuarakan keinginannya.
Azim sengih. “Cantik tak Kak Anna?”
“Tak nampak muka. Tapi body cantik.
Seksi,” komen Beak Yun.
Hahaha ... mengekek Azim ketawa. Kalaulah Kak
Anna dengar ni, mesti dia kena sekeh kepala. Entah-entah telefon bimbitnya pun
kena sita!
“Azim ... confirm tak nak ke konsert
kami? Kalau nak, hyung boleh bagi tiket VIP. Try ajak Kak Anna sekali
lagi,” pujuk Beak Yun.
Manalah tahu rezeki terpijak, dapatlah mereka
berkenalan dengan kakak Azim yang cantik itu.
Azim menggeleng kepala. “Jauh, lagi pun
malam.”
Dia
tidak mahu menyusahkan kakaknya. Lagipun, aspek keselamatan juga perlu
diutamakan. Balik berdua jauh malam, takut pula perkara tidak diingini berlaku.
Lainlah kalau dia sudah besar dan boleh melindungi kakaknya.
“Betul tu, tapi kalau Azim nak datang juga,
kami akan hantar kereta untuk ambil Azim dan hantar balik.”
Mendengar kata-kata Dan Kim itu, hati Azim
kembali teruja.
“Cakap dengan siapa?” soal Anna tiba-tiba. Dia
baru selesai menari. Peluh dikesat dengan tuala kecil. Sempat ditegur Azim yang
sedang membuat video call.
“Dengan hyung. Hot-5,” balas Azim
sambil tersengih bangga. Sungguh dia tidak menyangka dapat berbual dengan
kumpulan terkenal itu. Semuanya bermula
daripada TikTok.
Anna mencebik. Tidak percaya.
“Betul, Kak Anna. Tak percaya mari sini
tengok.”
“Okey ... okey ... Kak Anna percaya.” Malas hendak melayan si adik.
“Hyung tanya nak tak ke konsert mereka
hujung minggu ni? Diorang nak hantar kereta ambil kita nanti.”
“No! Jangan nak menyusahkan orang. Kan
akak dah cakap, boleh pergi ke perjumpaan tertutup tu. Konsert tak boleh,”
tegas Anna.
“Tahuu...” balas Azim dalam nada merajuk.
Mereka di hujung sana diam mendengar perbualan
Azim dan kakaknya.
“Kak Anna tu garang, kan?” tanya Dan Kim,
berbisik.
Azim mengangguk.
“Garang macam kakak tiri!” balas Azim, siap dengan
gaya sekali.
Hahahaa ... mereka yang di hujung talian,
ketawa.
Jinyung menggeleng kepala melihat telatah ahli
kumpulannya bersama Azim.
“Sudahlah. Dah lama bergayut ni.” Telefonnya
diambil.
“Bye, Azim.”
Yang lain mula melambai tangan dan berpecah
membuat hal masing-masing. Ada yang terus mencari bantal, ada yang bermain game
dan makan.
“Bye.” Azim mengekek ketawa.
“Azim ... kita
stop dulu. Nanti selepas konsert hyung call balik,” ujar
Jinyung.
“Okey. Azim tahu, mesti hyung busy
dengan persiapan untuk konsert nanti.”
Jinyung mengangguk.
“Pssst! Hyung nak tengok Kak Anna tak?”
sempat lagi Azim mahu ‘menjual’ kakaknya.
“Tapi...”
“Hyung je,”
Jinyung menggeleng kepala dengan sikap nakal
Azim. Namun, dalam masa yang sama, dia teringin hendak mengenali Anna.
“Boleh juga.”
Azim sudah mengagak, mesti Jinyung hyung
akan menyukai Kak Anna. Siapa yang tidak suka dengan Kak Anna?
Azim terus menukar hala kamera telefonnya,
kemudian memfokus ke arah Anna. Mujur juga Anna sudah membalut tubuhnya dengan
tuala. Jadi, tidak nampak seksi.
“Kak Anna, pandang sini kejap.”
Anna mengangkat muka. “Apanya?” Malas bunyi
suaranya.
Wajah Anna terus dizum dekat.
Jinyung terpegun.
‘Beautiful,’ desis
hati kecilnya.
“Kak Anna cantik.”
Anna membuat muka ‘tidak makan dipuji’. Tidak
kuasa melayan, dia kembali tunduk melihat telefon bimbitnya.
“Cantik tak?”
“Cantik,” jawab Jinyung sepatah. Timbul
keinginan untuk mengenali Anna dengan lebih dekat.
“Kalau nak kenal kak Anna, Azim boleh tolong,”
kata Azim dengan kening terangkat-angkat. Suaranya perlahan sahaja, takut didengari
oleh si kakak.
“Ehem...” Jinyung membetulkan suaranya.
“Nanti hyung fikir dulu.”
Takkanlah terus setuju, kan? Nampak sangat dia
tidak sabar berkenalan dengan Anna.
“Okey ... okey.”
Beberapa minit kemudian, mereka mengucapkan
selamat malam dan berjanji akan berhubung lagi selepas konsert nanti.