“Aisyah, tungguu!”
Jeritan itu
membuatkan langkah Aisyah terhenti. Dia berpaling dan melihat Adelia yang berlari
ke arahnya. Aisyah menggeleng kepala melihat kawannya berhenti di hadapannya,
termengah-mengah.
“Apasal kau berjalan
laju sangat?” rungut Adelia.
“Nak balik cepat.
Kenapa?”
“Jadi, kau tak join
study group hari ni?”
Aisyah menggeleng.
“Tak. Kan aku dah bagi tahu dalam group Whatsapp.”
“Kan aku dah
cakap telefon aku tertinggal kat rumah.”
“Ooh, lupa.”
Aisyah menayang sengih.
“Tentu Irfan frust
kau tak ada petang ni.”
“Yang lain semua
ada, kan? Aku je tak ada petang ni,” balas Aisyah endah tak endah.
“Bukannya kau tak
tahu, Irfan join study group kita sebab kau. Dia tu tak join pun
tak apa, family dah cari cikgu tuisyen datang ajar kat rumah.”
“Bukan kita paksa
dia join pun.” Aisyah menjeling mata ke atas.
Adelia tersengih
melihat reaksi Aisyah itu. Dia tahu Aisyah tidak sukakan Tengku Irfan itu, tapi
Irfan sukakan Aisyah; sampai cikgu pun tahu.
“Kau nak balik
awal hari ni, kenapa?” tanya Adelia
“Tok ayah dan
opah aku datang hari ni. Jadi, aku nak balik jumpa merekalah.”
“Ala ... kalau
kau balik lambat pun tak apa. mereka faham, kan? Kau kan nak SPM tahun ni, kena
study.”
“Tapi, aku ni
yang tak okey. Dah hampir setengah tahun tak jumpa mereka, rindulah dengan tok
ayah dan opah aku tu. Tu yang aku tak sabar nak balik.”
Adelia terdiam.
“Kau rapat dengan
mereka?”
Aisyah mengangguk.
“Masa kecil dulu mereka yang jaga aku. Masa tu mama aku tak habis belajar
lagi.”
“Aku balik
dululah. Kirim salam dekat kawan-kawan. Minta maaf sebab tak dapat join
hari ni. Insya-Allah esok aku join study group,” ujar Aisyah apabila
melihat Adelia diam.
Adelia mengangguk.
“Bye.”
Mereka saling
melambai tangan.
******
“Assalamualaikum!”
“Waalaikumussalam.”
Tubuh tua Hajah
Bidah dipeluk erat. Mata Aisyah berkaca-kaca.
“Kakak rindu
sangat kat opah.” Dua belah pipi Hajah Bidah dikucup.
“Opah pun
rindukan kakak.”
Pelukan
dileraikan tetapi Aisyah tidak melepaskan tubuh opahnya. Pinggang Hajah Bidah
dipeluk.
“Tok ayah mana?”
“Ada dalam bilik
tu, tertidur selepas solat zuhur tadi. Pergi kejut.”
Pelukan
dilepaskan dan Aisyah terus berjalan menuju ke bilik khas yang disediakan untuk
tok ayah dan opah bila mereka datang ke sini.
Krek ... pintu
dibuka perlahan. Aisyah melihat tok ayah yang tengah tidur. Akan tetapi, bukan
itu yang menarik perhatiannya; sebaliknya gadis berbaju putih yang duduk
bersimpuh di atas sejadah.
“Anum?”
“Aisyah.” Dang
Anum senyum apabila melihat Aisyah.
“Awak ikut mereka
datang?”
Dang Anum mengangguk.
Dia tersenyum tetapi matanya berkaca-kaca.
“Saya rindukan
awak. Dah lama awak tak balik kampung.”
“Tahun ni saya
bakal ambil SPM. Jadi, saya sibuk belajar. Tak sempat nak balik kampung.
Maafkan saya Anum.”
Dang Anum menggeleng
kepala. Dia menarik Aisyah duduk di sisinya.
“Awak semakin
cantik,” pujinya.
Aisyah tunduk
melihat diri sendiri yang masih berpakaian sekolah.
“Mana yang
cantiknya. Saya baru balik sekolahlah. Muka berminyak dan berpeluh ni.”
“Awak cantik dan
menawan bila memakai pakaian putih.”
Mengekek Aisyah
ketawa mendengar pujian itu.
“Saya tahu, mesti
wajah saya nampak berseri-seri, kan?” usik Aisyah.
Bukan dia tidak
tahu, Dang Anum suka melihat dia memakai baju putih. Katanya putih melambangkan
kesucian dan kemurnian, membuatkan gadis yang memakai pakaian putih nampak
polos dan suci.
“Aisyah...”
mereka terdengar suara garau tok ayah memanggil.
Aisyah bingkas
bangun. Dihampiri tok ayah di atas katil. Tangan tok ayah disalam dan dicium.
“Tok ayah dah
bangun? Baru kakak nak kejutkan.”
“Hmm...”
“Dengar suara
kamu berbisik dan ketawa tu mananya tok
ayah tak terjaga.”
Aisyah mengetap
bibir. Dia menjeling Dang Anum di tepinya.
“Tok ayah bawa
kawan kakak sekali, mestilah kakak suka.”
“Dia nak ikut.
Katanya dah lama tak jumpa kamu.”
“Mak dan ayah dia
tak marah ke tok ayah?” soal Aisyah.
“Mak saya
bagilah. Dia tahu saya rindukan awak.”
Tok ayah diam.
Dia tidak boleh nampak tetapi boleh dengar suara Dang Anum.
“Kamu
berbual-buallah, tok ayah keluar dulu.”
Aisyah mengangguk.
“Berapa lama Anum
singgah kat sini?”
“Tak tahu ... kalau
ayah panggil balik, saya baliklah,” balas Dang Anum sambil tersenyum.
“Jom, masuk bilik
sayalah. Saya nak mandi dan solat dulu. Nanti kita sembang.”
“Okey.”
Sementara itu di
ruang tamu, keluarga Aisyah rancak bersembang.
“Tok ayah, ada
kawan bunian Kak Cah datang ke?” soal Izwan ingin tahu. Dia tahu tok ayahnya
mampu mendengar suara dari alam ghaib.
Dia mendengar
kakaknya bercakap-cakap dan ketawa seorang diri, terus bulu romanya berdiri.
Selain Aisyah dan Fatimah, tok ayahnya juga mempunyai keistimewaan itu.
“Hmm ... kawan
dari kampung. Ikut tok ayah dan opah sekali datang. Katanya lama tak jumpa
Aisyah.”
Dup dap, dup dap
hati Izwan mendengarnya. Pasti malam ini dia tidak dapat tidur. Seram sejuk
kaki tangannya.
“Kenapa tok ayah
bagi kawan Kak Cah ikut sekali? Aara takutlah,” rungut Aara, adik bongsu
Aisyah.
“Mana tok ayah
boleh halang dia datang. Ayah Dang Anum tu datang ke rumah tok ayah, bagi izin
tok ayah bawa Anum ke mari. Dia datang dengan baik, jadi kita kena terima,”
beritahu tok ayah.
“Kamu ni ... cuba
jadi berani sikit. Mereka tu makhluk Allah juga. Bila kita buat baik, mereka
akan berbuat baik dengan kita. Cuba jadi macam Kak Cah dan Kak Timah kamu tu,
sedikit pun tak takut. Siap boleh berkawan baik lagi dengan mereka.”
“Mereka boleh
nampak. Tapi Aara dan Abang Iwan ni, mana boleh nampak tok ayah. Tengok Kak Cah
ketawa dan bercakap dengan mereka pun kami dah takut,” ngomel Aara lagi.
“Rupa mereka sama
macam kita. Cantik dan kacak macam manusia jugak. Cuma, asal kejadian mereka
daripada api, kita daripada tanah.”
Aara menggeleng
kepala. Biarlah dia tidak nampak dan tahu. Itu lagi baik.
Dalam rancak
mereka bersembang, Aisyah keluar dari biliknya dengan senyuman terhias di
wajahnya. Wajahnya ceria dan berseri.
Aara mengeluh
dalam hati.
“Kak Cah, tak
takut ke?” buat sekian kali, itulah soalan yang ditanya setiap kali kawan
bunian Aisyah bertandang.
“Takut apa?
Mereka pun makhluk Allah juga. Bukan makhluk jahat pun.”
“Tapi ada jugak
yang jahat,” bangkang Aara.
“Setakat ni, Kak
Cah tak jumpa lagi yang jahat. Kawan-kawan Kak Cah semua baik-baik. Mereka juga
selalu ingatkan Kak Cah berbuat kebaikan. Memberi amaran kalau ada yang tak
kena.”
“Tapi Kak Cah...”
“Tak ada
tapi-tapi lagilah. Mama, Kak Cah nak pergi kampung sebelah sekejap. Nak bawa
Anum jumpa Siti Hajar. Nak tumpangkan dia bermalam kat rumah Hajar,” Aisyah
meminta izin.
“Pergilah. Tapi,
jangan pergi lama sangat. Dah petang sangat ni. Mama takut Kak Cah tak jumpa
jalan pulang pulak. Esok sekolah,” pesan Puan Habsah penuh peringatan.
Pernah terjadi
sekali. Aisyah pergi ke perkampungan bunian. Dia terlupa masa dan lama berada
di alam sana. Mereka sekeluarga panik. Takut orang bunian tidak bagi Aisyah pulang.
Aisyah menayang sengih.
Dia faham kerisauan mamanya.
“Sekejap je mama.
Lagipun, hari ni Kak Cah tak study pun lagi. Study group pun skip
petang tadi,” jelas Aisyah meyakinkan mamanya yang dia tidak akan berlama-lama
di sana. Pelajaran tetap diutamakan.
“Okey, pergilah.”
“Terima kasih
mama. Tok ayah dan opah rehat dulu ya. Nanti malam, nanti kita sembang.”
“Ya ... pergi
cepat, balik pun cepat,” pesan tok ayah pula.
Aisyah senyum.
“Anum, jom kita
pergi,” ajak Aisyah sambil berpaling ke belakang, melambai dan senyum.
Ahli keluarganya
melihat tanpa menegur lagi. Mereka tahu ada makhluk lain bersama mereka.
“Ayah harap
Aisyah akan jumpa lelaki yang faham keadaannya ini,” ujar Haji Yaakob. Ekor
matanya terus memerhati gerak langkah cucunya. Wajahnya ceria dan berseri.
Pipinya kemerah-merahan.
Aisyah Humaira...
Boleh follow pages penulis di facebook
https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom
Instagram; shima.rostambs
Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.