Selasa, 4 Oktober 2022

Teaser Kembali 1



“Sampai bila kita akan berada di sini Cik Tipah. Aku penat. Aku dah bosan,” luahnya lagi. Hilang pasal Aisyah timbul pula persoalan tentang diri mereka. Sudah lama mereka berkeliaran di sini.  

“Sabarlah. Mungkin suatu hari ni akan ada orang jumpa jasad kita.” Memujuk Cik Mun sama seperti memujuk diri sendiri.

Kemudian, mereka sama-sama merenung malam. Stesen minyak sibuk dengan kenderaan keluar masuk seperti selalu. Suasana biasa setiap hari.

“Orang lain mana?” sunyi pula malam ini. Tidak ada orang bermain-main di dalam stesen minyak itu.

“Malam ni mereka menyorok, hari nak hujan. Mereka tak nak basah.” Cik Mun sengih menampakkan dua gigi taring tajam berdarahnya.

“Hahaha... wei.. hantu mana boleh basah.” Cik Tipah ketawa mengilai-ngilai.

“Ahh... sudah, dia buat hal lagi,” Imah mengeluh. Malam semakin gelap. Guruh mula kedengaran. Angin agak kuat di luar meniup angin sejuk. Sejuk sampaikan bulu romanya berdiri.

“Kak, dengar tak tu, bunyi pontianak mengilai?”

“Ishh kau ni, tengah bandar mana ada pontianak sesat. Kalau tengah hutan, adalah,” nafi Imah. Pura-pura tidak tahu.  

“Tapi kak, cuba kau dengar tu.” Mazira diam apabila terdengar lagi hilai tawa menyeramkan itu.

Imah mengeluh. Sejak Aisyah tidak ada, ‘kawan-kawan’ Aisyah selalu mengusik pelanggan dan pekerja di sini. Sampai dia naik buntu memikirkan masalah pekerja asyik berhenti setelah seminggu bekerja. Sudah berpuluh staf keluar masuk.

“Biasalah bunyi orang ketawa tu, malamkan.” Imah jawab endah tak endah. Masih lagi mahu menafikan walaupun dia turut mendengar dengan jelas.

“Tapi kak, memang bunyi pontianak mengilai tu. Bulu roma aku ni dah berdiri.” Mazira gosok lengan kanannya. Seram dan takut.

Bukan malam ini sahaja dia mendengar tawa mengilai itu, sudah beberapa kali tidak diendahkan tapi malam ini terasa lebih seram. Angin agak kuat bertiup. Daun-daun kepala meliuk-liuk ditiup angin. Pokok ketapang di belakang stesen lagilah menyeramkan. Dia seolah-olah dapat melihat bayangan putih bertenggek di atas pokok tersebut ketika pergi ke tandas tadi.

 “Kau ni, hari nak hujankan, mestilah sejuk. Berdirilah bulu roma tu.” Imah geleng kepala.

“Bukanlah. Orang kata kalau dengar dekat, dia jauh. Malam ni dengar mengilai tu jauh, maknanya dia ada dekat sinilah kan? Kak Imah... tadikan masa saya ke tandas, saya nampak benda putih atas pokok ketapang tu,” cerita Mazira.

Imah geleng kepala. Dia tahu semua itu. Dia tahu stesen minyak ni ramai penunggu. Tapi mereka tidak akan menganggu mereka. Usik sikit-sikit tu adalah, mungkin hendak hilangkan bosan. Tapi kalaulah dia cerita hal sebenar, mesti orang tidak mahu bekerja di situ. Dia juga yang susah.

“Kalau takut bacalah ayat quran yang kau ingat tu. Jangan nak fikir yang bukan-bukan. Hantu ni semua mainan syaitan yang hendak menakutkan kau je.”

“Tapi kak, saya takutlah,” luah Mazira lagi. Tidak mungkinlah dia ke tandas lagi selepas nampak bayangan putih di atas pokok tadi.

“Buat-buat beranilah. Lagi takut, lagi seronok mereka usik kau,” ujar Imah biasa.

“Akak nak pergi toilet jap.”

“Kak... Takkan tinggal saya sorang-sorang kat sini.” Dia takut sendirian.

“Kejap je. Takkan kau nak akak terkencing kat sini?”

“Tapi.. Alah, kejap je. Tu orang datang nak isi minyak tu.” Imah terus pergi tanpa berlengah lagi. Lama menahan kencing, tidak pasal kena batu karang nanti.

Mazira mahu memanggil tapi tidak jadi kerana kena melayan pelanggan datang.

“50, pam 2.”

“Baik. Terima kasih.” Duit diterima pam 2 dibuka. Kemudian dia tunduk melihat telefon pintarnya. Kereta tadi terus pergi sebaik sahaja minyak di sini tetapi Imah masih belum balik dari tandas lagi. Dia gelisah, terasa seolah-olah ada yang sedang memerhati.

Ada sesuatu melintas di hadapannya, dia terus mengangkat muka dan terpaku. Matanya tidak berkelip-kelip. Telefon pintarnya terjatuh ke lantai. Di hadapannya ada perempuan cantik berkebaya merah, tersenyum manis memandangnya. Bulu romanya terus tegak berdiri.

‘Bila pulak perempuan ni masuk, tapi bukan ke pintu berkunci ke?’ sempat lagi Mazira bersoal jawab dalam hati.

“M-a-c..Macam mana cik boleh masuk?” tergagap-gagap Mazira bertanya.

Perempuan cantik itu tidak menjawab sebaliknya senyumannya semakin melebar dan rupanya berubah perlahan.

Mata Mazira terbeliak melihatnya. Dia terkejung kaku tidak mampu berbuat apa. Peluh dingin membasahi bajunya.  

“CIK TIPAH!” jerit Imah. Dia nampak perempuan berkebaya merah di hadapan kaunter. Tidak ada kerja lainlah makhluk tu sekor, hendak jugak mengacau orang. Sudah budak penakut.

Cik Tipah ketawa mengilai. Dia berpaling melihat Imah sebelum menghilang dengan wajah asalnya. Yang tertinggal adalah bunyi hilaian tawanya sahaja.

“Mazira..”

Panggilan Imah tidak bersahut. Berbakul-bakul marah tersusun dalam hatinya.

Celaka betul hantu Cik Tipah ni!

“MAZIRA!” Imah menguatkan suaranya.

“Kak Imah!” wajah pucat Mazira kembali berdarah.

“T-a-d-i..” Mazira tergagap-gagap.

“Mengucap dulu. Tenangkan diri.” Pujuk Imah.

“Cik Ponti datang Kak Imah..” mata Mazira berair.

Imah tepuk belakang Mazira, berkali-kali, cuba menenangkannya.

“Tak ada apalah. Cik Tipah tadi tu, dia saja nak usik kau,” beritahu Imah tenang.

Dulu dia pun takut jugak tapi sejak Aisyah memperkenalkan mereka, dia jadi berani dan tidak takut lagi. Kata Aisyah di sini ada dalam empat atau lima ekor penunggu. Memang sini tempat mereka. Jadi kena biasakan diri bekerja dan hidup bersama mereka.

“Cik Tipah? Ponti tu nama Cik Tipah?” soal Mazira tergagap.

Imah angguk.

“Jadi Kak Imah tahu kat sini ada  Cik Ponti?”

“Tahu. Sini tempat mereka.” Imah berterus terang. Tidak guna dia menafikan kalau Cik Tipah sendiri menunjukkan diri.  

“Kau takut?” Imah melihat Mazira.  Pucat muka gadis itu.

Imah mengeluh lagi. Confirm lepas ni Mazira akan minta berhenti.

“Dulu akak pun macam kau jugak, penakut. Tapi Aisyah cakap, mereka tu makhluk Allah jugak. Mereka masih ada kat sini mungkin atas sebab tertentu, bukan mereka nak pun.”

“Aisyah tu siapa? Hantu juga ke?”

“Eh bukan. Aisyah dulu pernah kerja kat sini. Dia boleh nampak hantu. Dialah cakap ada penunggu kat sini.”

Mazira geleng kepala. “Tapi kak tadi tu pontianak kak. Bukan manusia,” tekan Mazira.

“Akak tahu, Makhluk Allah jugak tapi dia tak kacau kita pun. usik sikit-sikit je.” Lemah alasan Imah itu. Walau apa pun dia cakap, kemunculan pontianak Cik Tipah itu telah menakutkan stafnya.  

“Apa pulak kak.. tadi tu?”

“Alaa... Nak bergurau je tu.”

Mazira geleng kepala. Esok dia nak resign. Tidak sanggup lagi kerja kat sini. 

Pembelian di kedai online

Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan