Saya kongsikan di sini BAB 3
“Aisyah, ini
untuk awak.” Sepinggan nasi ayam diletakkan di hadapan Aisyah.
Sofea menjeling.
Dia tunduk melihat pinggan nasi ayam yang Ahmad letakkan di hadapannya.
Adelia dan Norza
pula saling berbalas senyum. Dapat makan free, makan apa pun tidak kisah,
janji mengenyangkan. Mereka juga tidak lagi mengusik Aisyah. Hati Sofea juga
perlu dijaga.
Mata Irfan menyapa
wajah manis itu dengan penuh rasa cinta. Sejak kali pertama melihat Aisyah, dia
telah jatuh suka. Sangkanya, suka sekadar seorang kawan. Namun, dia sendiri
tidak menyangka perasaan suka di awal remaja membibitkan perasaan cinta. Lebih
setahun mengenali Aisyah, perasaan itu semakin kuat dirasakannya.
Wajah Aisya pula
beku tanpa senyuman. Dia berasa tidak selesa, namun terpaksa juga berlagak
biasa. Bukan dia tidak tahu perasaan Irfan, akan tetapi soal hati ini bukan
boleh dipaksa. Tambahan pula, dia tahu Sofea sukakan Irfan. Jadi, dia lebih
suka jika Irfan tidak memberikan perhatian yang lebih kepadanya.
“Terima kasih.
Esok saya pula belanja korang semua,” ucap Aisyah.
Kawan-kawan lain
saling berpandangan tetapi tidak menyampuk. Mereka tahu Irfan sukakan Aisyah
tetapi Aisyah menganggapnya kawan sahaja.
“Ala Syah, Irfan
belanja buah hati dan kawan-kawannya makan, takkan nak balas pula,” Ahmad bersuara
memecah suasana yang canggung itu. Dia menyokong Irfan memikat Aisyah.
“Makan. Orang tak
bercakap ketika makan,” Norza menegur Ahmad.
Dia tahu perasaan
Aisyah. Dia juga tahu Sofea sukakan Irfan, jadi dia tidak mahu hubungan baik
mereka terjejas kerana cinta budak sekolah ini. Perjalanan mereka masih
panjang. Masih banyak perkara belum mereka terokai.
Ahmad sengih.
Tanpa kata lagi, dia tunduk makan apabila melihat jelingan Norza. Seram! Minah
ni, jelingannya tajam sehingga membuatkan hatinya seriau.
Suasana riuh-rendah
di kantin seolah-olah tidak mengganggu mereka makan. Sambil makan, mereka
melayan perasaan sendiri. Namun, sesekali Irfan menjeling Aisyah, manakala
Sofea pula mencuri pandang ke arah Irfan.
Sofea menelan rasa
cemburunya. Dia tahu, dia tidak boleh cemburu atau menyalahkan Aisyah. Namun,
terdetik juga dalam hatinya mengapa Aisyah yang menjadi pilihan Irfan dan
bukannya dia.
“Petang ni study
group macam biasa, kan?” tanya Ahmad.
“Ya. Hari ni kita
buat BM. Soalan latihan yang Cikgu Che Eshah bagi tadi aku tak fahamlah,” keluh
Sofea.
“Samalah,” sampuk
Adelia pula.
Kemudian
masing-masing memandang Aisyah.
“Apa? Nanti
petang aku ajar cara jawab soalan tu.”
Serta-merta wajah
Adelia dan Sofea berseri-seri. Dengan tunjuk ajar Aisyah, mereka yakin akan
dapat menjawab soalan SPM.
Petang itu
selepas habis study group bersama...
“Aisyah, esok ni
awak free tak?” tanya Irfan.
Esok hari Sabtu.
Sengaja Irfan bertanya, mahu mengajak Aisyah keluar.
Tangan Aisyah
yang sedang mengemas bukunya terhenti. Dia berpaling melihat kawan-kawan yang
lain. Masing-masing buat-buat tidak mendengar Irfan bertanya; sibuk mengemas buku
masing-masing.
“Tok ayah dan
opah ada kat rumah. Jadi, tak free hujung minggu ni,” balas Aisyah.
Dia bukan jenis
yang suka keluar tanpa tujuan. Lagipun, kebiasaannya dia akan keluar dengan
mamanya. Jarang sangat dia keluar dengan kawan-kawan semenjak hendak SPM ini. Tambahan
pula, mama tidak membenarkan dia keluar tanpa tujuan; kata mama lebih baik
belajar daripada ‘mengukur’ pusat beli-belah itu.
“Kita keluar
sekejap pun tak apa. Saya ingat nak ajak ke MPH.”
“Aa ... kebetulan
Fea ada ajak saya ke MPH, Fea boleh temankan awak,” Aisyah bijak mencipta
peluang untuk Sofea.
Perlahan tangannya
menarik baju sekolah Sofea. Peluang telah dibuka, jadi tuan empunya badan kena
mainkan peranan. Bukan selalu peluang ini muncul.
“Aah, betul. Saya
nak beli buku latih tubi. Buku yang ada dah habis jawab,” jawab Sofea. Dia
faham dengan isyarat yang Aisyah berikan.
Wajah Irfan
berubah, sedikit kecewa.
“Tapi tak apalah
kalau awak tak nak keluar dengan saya. Saya boleh pergi sendiri,” ujar Sofea
perlahan apabila melihat perubahan wajah Irfan itu.
Dia tidak mahu
memaksa. Dia sedar yang Irfan sengaja mencari alasan mengajak Aisyah keluar.
Kawan-kawan yang
lain berpandangan.
“Alang-alang
dua-dua nak pergi tempat sama, apa salahnya pergi sekali, kan?” sokong Norza.
“Betul tu. Nak
pergi tempat yang sama juga. Lagipun, Aisyah ni ... mamanya susah nak lepaskan
dia keluar. Kami ajak, berjela-jela kena bagi alasan dekat mamanya. Lepas tu,
kami memang dah serik nak ajak Aisyah keluar,” jelas Adelia pula, membela
Aisyah.
“Bukan kau tak
faham, Irfan. Lima tahun kenal, boleh bilang dengan jari Aisyah keluar dengan
kita semua,” sambung Ahmad menyokong.
Adelia mengangguk.
Mereka tahu yang Aisyah sengaja memberi peluang kepada Sofea merapatkan
hubungannya dengan Irfan.
Walaupun berat
hati, Irfan tidak sampai hati menolak saranan kawan-kawannya. Lagipun, mereka
telah lama berkawan, beberapa bulan lagi mereka akan menamatkan pengajian di
sekolah menengah. Selepas ini masing-masing akan membawa haluan.
“Okey. Nanti saya
Whatsapp Fea pukul berapa nak pergi esok,” balas Irfan dengan senyum paksa.
Dalam masa yang
sama telefon pintar Aisyah berbunyi.
“Abah saya dah
sampai. Saya balik dululah. Assalamualaikum,” ujar Aisyah apabila melihat nama
di skrin telefon.
“Waalaikumussalam.
Jumpa Isnin nanti. Bye.”
“Bye.”
Selepas itu
mereka semua berpecah balik ke rumah masing-masing.
******
“Kawan awak bernama
Irfan tu tampanlah. Tapi, kenapa awak tak suka dia?” soal suara lunak dari
tempat duduk belakang.
Aisyah berpaling
ke belakang. Dia melihat dua orang kawan buniannya tersenyum memandangnya. Sewaktu
masuk ke dalam kereta tadi, tidak nampak pula mereka berdua. Apabila kereta
bergerak barulah terdengar suara mereka.
“Abah dari rumah
ke?”
“Aah, kenapa?”
“Kawan Kak Cah
ikut sekali.”
Serta-merta bulu
roma Tuan Aziz berdiri. Patutlah terhidu bau bunga melur tadi. Walaupun dia
tahu keistimewaan anak gadisnya, apabila diberitahu ada yang mengikut, meremang
juga bulu romanya. Bukan takut tapi terasa lemah juga semangatnya dek perasaan
terkejut.
“Berapa orang?”
“Dua orang, ada
kat belakang ni. Dia tanya kenapa Kak Cah tak terima Irfan. Dia handsome.”
Laju Aisyah
bercerita tanpa segan. Dengan abah, dia boleh bercerita apa sahaja, termasuk tentang
kawan-kawan sekolah yang sukakannya.
“Aisyah, awak tak
malu bercerita dengan bapa awak tentang lelaki?” soal Dang Anum di belakang,
terkejut dengan sikap berani Aisyah bercakap tentang lelaki dengan ayahnya.
Aisyah berpaling.
“Buat apa nak
malu. Ini abah saya. Kalau saya tak bercerita dengan abah, saya nak bercerita
dengan siapa lagi. Nak tanya pendapat, abah tempat rujukan terbaik.”
Tuan Aziz diam
mendengar perbualan Aisyah dengan kawan buniannya. Dia hanya mendengar suara
Aisyah sahaja. Dia senyum bangga mendengar kata-kata Aisyah itu.
“Kalau saya,
sebut nama lelaki pun tak berani. Ayah saya pantang anak perempuannya bercakap
pasal lain jantina.”
“Handsome,
tapi Tengku Irfan tu tak sesuai untuk Kak Cah. Kita ni tidak sekufu dengan dia yang
berdarah raja itu.” Dalam suara Tuan Aziz menyuarakan pendapatnya.
“Kenapa pula
tidak sesuai. Islam, kan?” Dang Anum tidak faham.
Aisyah mengulang
balik soalan Dang Anum tadi.
“Mereka orang
kenamaan, berada dan dari segi harta dan keturunan tidak setaraf. Lingkungan
sosial pun tidak sama. Abah takut Kak Cah tidak dapat menyesuaikan diri nanti.
Seeloknya, kita pilih jodoh daripada lingkungan sosial kita saja.”
Penjelasan
panjang lebar Tuan Aziz membuatkan Dang Anum di belakang terdiam.
Dia kenal ayah
Irfan. Yang berhormat daerah ini. Yang Berhormat Dato’ Tengku Ishak seorang
yang baik, tapi baiknya berisi. Hanya orang yang memberi manfaat kepada dia
sahaja akan mendapat layanan baik itu.
Walaupun dia ahli
perniagaan dan aktif dalam aktiviti persatuan di kejiranannya, dia tidak begitu
rapat dengan bapa Irfan kerana aliran pemikiran mereka berbeza. Oleh sebab itulah dia tidak mahu anaknya
bertemu jodoh dengan anak Yang Berhormat itu. Mereka tidak setaraf dan dia
tidak mahu Aisyah terjebak secara tidak langsung dengan mainan politik dunia
sehingga lupa jati diri.
“Lagipun, Kak Cah
masih muda. Baru nak ambil SPM, kalau pun hendak bercinta, tunggulah
setidak-tidaknya selepas tamat SPM. Sekarang ni fokus untuk SPM dulu.”
“Abah ni, Kak Cah
tak fikir pun nak bercinta lagi. Lambat lagilah. Kak Cah nak sambung belajar
dan jadi akauntan dulu,” rajuk Aisyah, bibir dicemikkan. Boleh ke situ pula
fikiran abah.
Tuan Aziz sengih.
“Abah bergurau je.”
“Kalau kat tempat
saya, umur 17, orang tua kami dah carikan calon suami. Umur 18 akan dikahwinkan,”
cerita Dang Anum pula.
“Anum tak pernah
bercinta?”
“Bercakap dengan
lelaki bukan mahram pun tak pernah.”
“Oh!”
Siti Hajar hanya
diam mendengar. Nasibnya sama dengan Dang Anum.
Bercinta dilarang
sama sekali. Pasangan pun orang tua yang tentukan. Dek kerana larangan itu, dia
terpisah dengan lelaki yang disukainya. Sejak itu mereka sekeluarga berpindah-randah
kerana dihalau dari kampung mereka.