Selasa, 15 November 2022

Novel Aisyah Humaira bab 3

Assalamualaikum semua...
Hi...
Nak bagitahu Novel  Aisyah Humaira telah pun siap. 



Ready stok. Pembayaran sebelum pukul 3 petang akan dipos dalam hari yang SAMA. 
Untuk pembelian novel ini boleh klik link kedai online saya ini : Kedai Online Shima Rostam

Saya kongsikan di sini BAB 3 


“Aisyah, ini untuk awak.” Sepinggan nasi ayam diletakkan di hadapan Aisyah.

Sofea menjeling. Dia tunduk melihat pinggan nasi ayam yang Ahmad letakkan di hadapannya.

Adelia dan Norza pula saling berbalas senyum. Dapat makan free, makan apa pun tidak kisah, janji mengenyangkan. Mereka juga tidak lagi mengusik Aisyah. Hati Sofea juga perlu dijaga.

Mata Irfan menyapa wajah manis itu dengan penuh rasa cinta. Sejak kali pertama melihat Aisyah, dia telah jatuh suka. Sangkanya, suka sekadar seorang kawan. Namun, dia sendiri tidak menyangka perasaan suka di awal remaja membibitkan perasaan cinta. Lebih setahun mengenali Aisyah, perasaan itu semakin kuat dirasakannya.

Wajah Aisya pula beku tanpa senyuman. Dia berasa tidak selesa, namun terpaksa juga berlagak biasa. Bukan dia tidak tahu perasaan Irfan, akan tetapi soal hati ini bukan boleh dipaksa. Tambahan pula, dia tahu Sofea sukakan Irfan. Jadi, dia lebih suka jika Irfan tidak memberikan  perhatian yang lebih kepadanya.

“Terima kasih. Esok saya pula belanja korang semua,” ucap Aisyah.

Kawan-kawan lain saling berpandangan tetapi tidak menyampuk. Mereka tahu Irfan sukakan Aisyah tetapi Aisyah menganggapnya kawan sahaja.

“Ala Syah, Irfan belanja buah hati dan kawan-kawannya makan, takkan nak balas pula,” Ahmad bersuara memecah suasana yang canggung itu. Dia menyokong Irfan memikat Aisyah.

“Makan. Orang tak bercakap ketika makan,” Norza menegur Ahmad.

Dia tahu perasaan Aisyah. Dia juga tahu Sofea sukakan Irfan, jadi dia tidak mahu hubungan baik mereka terjejas kerana cinta budak sekolah ini. Perjalanan mereka masih panjang. Masih banyak perkara belum mereka terokai.

Ahmad sengih. Tanpa kata lagi, dia tunduk makan apabila melihat jelingan Norza. Seram! Minah ni, jelingannya tajam sehingga membuatkan hatinya seriau.

Suasana riuh-rendah di kantin seolah-olah tidak mengganggu mereka makan. Sambil makan, mereka melayan perasaan sendiri. Namun, sesekali Irfan menjeling Aisyah, manakala Sofea pula mencuri pandang ke arah Irfan.

Sofea menelan rasa cemburunya. Dia tahu, dia tidak boleh cemburu atau menyalahkan Aisyah. Namun, terdetik juga dalam hatinya mengapa Aisyah yang menjadi pilihan Irfan dan bukannya dia.

“Petang ni study group macam biasa, kan?” tanya Ahmad.

“Ya. Hari ni kita buat BM. Soalan latihan yang Cikgu Che Eshah bagi tadi aku tak fahamlah,” keluh Sofea.

“Samalah,” sampuk Adelia pula.

Kemudian masing-masing memandang Aisyah.

“Apa? Nanti petang aku ajar cara jawab soalan tu.”

Serta-merta wajah Adelia dan Sofea berseri-seri. Dengan tunjuk ajar Aisyah, mereka yakin akan dapat menjawab soalan SPM.

 

Petang itu selepas habis study group bersama...

“Aisyah, esok ni awak free tak?” tanya Irfan.

Esok hari Sabtu. Sengaja Irfan bertanya, mahu mengajak Aisyah keluar.

Tangan Aisyah yang sedang mengemas bukunya terhenti. Dia berpaling melihat kawan-kawan yang lain. Masing-masing buat-buat tidak mendengar Irfan bertanya; sibuk mengemas buku masing-masing.

“Tok ayah dan opah ada kat rumah. Jadi, tak free hujung minggu ni,” balas Aisyah.

Dia bukan jenis yang suka keluar tanpa tujuan. Lagipun, kebiasaannya dia akan keluar dengan mamanya. Jarang sangat dia keluar dengan kawan-kawan semenjak hendak SPM ini. Tambahan pula, mama tidak membenarkan dia keluar tanpa tujuan; kata mama lebih baik belajar daripada ‘mengukur’ pusat beli-belah itu.

“Kita keluar sekejap pun tak apa. Saya ingat nak ajak ke MPH.”

“Aa ... kebetulan Fea ada ajak saya ke MPH, Fea boleh temankan awak,” Aisyah bijak mencipta peluang untuk Sofea.

Perlahan tangannya menarik baju sekolah Sofea. Peluang telah dibuka, jadi tuan empunya badan kena mainkan peranan. Bukan selalu peluang ini muncul.

“Aah, betul. Saya nak beli buku latih tubi. Buku yang ada dah habis jawab,” jawab Sofea. Dia faham dengan isyarat yang Aisyah berikan.

Wajah Irfan berubah, sedikit kecewa.

“Tapi tak apalah kalau awak tak nak keluar dengan saya. Saya boleh pergi sendiri,” ujar Sofea perlahan apabila melihat perubahan wajah Irfan itu.

Dia tidak mahu memaksa. Dia sedar yang Irfan sengaja mencari alasan mengajak Aisyah keluar.

Kawan-kawan yang lain berpandangan.  

“Alang-alang dua-dua nak pergi tempat sama, apa salahnya pergi sekali, kan?” sokong Norza.

“Betul tu. Nak pergi tempat yang sama juga. Lagipun, Aisyah ni ... mamanya susah nak lepaskan dia keluar. Kami ajak, berjela-jela kena bagi alasan dekat mamanya. Lepas tu, kami memang dah serik nak ajak Aisyah keluar,” jelas Adelia pula, membela Aisyah.

“Bukan kau tak faham, Irfan. Lima tahun kenal, boleh bilang dengan jari Aisyah keluar dengan kita semua,” sambung Ahmad menyokong. 

Adelia mengangguk. Mereka tahu yang Aisyah sengaja memberi peluang kepada Sofea merapatkan hubungannya dengan Irfan.

Walaupun berat hati, Irfan tidak sampai hati menolak saranan kawan-kawannya. Lagipun, mereka telah lama berkawan, beberapa bulan lagi mereka akan menamatkan pengajian di sekolah menengah. Selepas ini masing-masing akan membawa haluan.

“Okey. Nanti saya Whatsapp Fea pukul berapa nak pergi esok,” balas Irfan dengan senyum paksa.

Dalam masa yang sama telefon pintar Aisyah berbunyi.

“Abah saya dah sampai. Saya balik dululah. Assalamualaikum,” ujar Aisyah apabila melihat nama di skrin telefon.

“Waalaikumussalam. Jumpa Isnin nanti. Bye.”

Bye.”

Selepas itu mereka semua berpecah balik ke rumah masing-masing.

******

“Kawan awak bernama Irfan tu tampanlah. Tapi, kenapa awak tak suka dia?” soal suara lunak dari tempat duduk belakang.

Aisyah berpaling ke belakang. Dia melihat dua orang kawan buniannya tersenyum memandangnya. Sewaktu masuk ke dalam kereta tadi, tidak nampak pula mereka berdua. Apabila kereta bergerak barulah terdengar suara mereka.  

“Abah dari rumah ke?”

“Aah, kenapa?”

“Kawan Kak Cah ikut sekali.”

Serta-merta bulu roma Tuan Aziz berdiri. Patutlah terhidu bau bunga melur tadi. Walaupun dia tahu keistimewaan anak gadisnya, apabila diberitahu ada yang mengikut, meremang juga bulu romanya. Bukan takut tapi terasa lemah juga semangatnya dek perasaan terkejut.

“Berapa orang?”

“Dua orang, ada kat belakang ni. Dia tanya kenapa Kak Cah tak terima Irfan. Dia handsome.”

Laju Aisyah bercerita tanpa segan. Dengan abah, dia boleh bercerita apa sahaja, termasuk tentang kawan-kawan sekolah yang sukakannya.

“Aisyah, awak tak malu bercerita dengan bapa awak tentang lelaki?” soal Dang Anum di belakang, terkejut dengan sikap berani Aisyah bercakap tentang lelaki dengan ayahnya.

Aisyah berpaling.

“Buat apa nak malu. Ini abah saya. Kalau saya tak bercerita dengan abah, saya nak bercerita dengan siapa lagi. Nak tanya pendapat, abah tempat rujukan terbaik.”

Tuan Aziz diam mendengar perbualan Aisyah dengan kawan buniannya. Dia hanya mendengar suara Aisyah sahaja. Dia senyum bangga mendengar kata-kata Aisyah itu.

“Kalau saya, sebut nama lelaki pun tak berani. Ayah saya pantang anak perempuannya bercakap pasal lain jantina.”

Handsome, tapi Tengku Irfan tu tak sesuai untuk Kak Cah. Kita ni tidak sekufu dengan dia yang berdarah raja itu.” Dalam suara Tuan Aziz menyuarakan pendapatnya.

“Kenapa pula tidak sesuai. Islam, kan?” Dang Anum tidak faham.

Aisyah mengulang balik soalan Dang Anum tadi.

“Mereka orang kenamaan, berada dan dari segi harta dan keturunan tidak setaraf. Lingkungan sosial pun tidak sama. Abah takut Kak Cah tidak dapat menyesuaikan diri nanti. Seeloknya, kita pilih jodoh daripada lingkungan sosial kita saja.”

Penjelasan panjang lebar Tuan Aziz membuatkan Dang Anum di belakang terdiam.

Dia kenal ayah Irfan. Yang berhormat daerah ini. Yang Berhormat Dato’ Tengku Ishak seorang yang baik, tapi baiknya berisi. Hanya orang yang memberi manfaat kepada dia sahaja akan mendapat layanan baik itu.

Walaupun dia ahli perniagaan dan aktif dalam aktiviti persatuan di kejiranannya, dia tidak begitu rapat dengan bapa Irfan kerana aliran pemikiran mereka berbeza.  Oleh sebab itulah dia tidak mahu anaknya bertemu jodoh dengan anak Yang Berhormat itu. Mereka tidak setaraf dan dia tidak mahu Aisyah terjebak secara tidak langsung dengan mainan politik dunia sehingga lupa jati diri.

“Lagipun, Kak Cah masih muda. Baru nak ambil SPM, kalau pun hendak bercinta, tunggulah setidak-tidaknya selepas tamat SPM. Sekarang ni fokus untuk SPM dulu.”

“Abah ni, Kak Cah tak fikir pun nak bercinta lagi. Lambat lagilah. Kak Cah nak sambung belajar dan jadi akauntan dulu,” rajuk Aisyah, bibir dicemikkan. Boleh ke situ pula fikiran abah.

Tuan Aziz sengih. “Abah bergurau je.”  

“Kalau kat tempat saya, umur 17, orang tua kami dah carikan calon suami. Umur 18 akan dikahwinkan,” cerita Dang Anum pula.

“Anum tak pernah bercinta?”

“Bercakap dengan lelaki bukan mahram pun tak pernah.”

“Oh!”

Siti Hajar hanya diam mendengar. Nasibnya sama dengan Dang Anum.

Bercinta dilarang sama sekali. Pasangan pun orang tua yang tentukan. Dek kerana larangan itu, dia terpisah dengan lelaki yang disukainya. Sejak itu mereka sekeluarga berpindah-randah kerana dihalau dari kampung mereka. 


Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan