Rabu, 7 Disember 2022

Random story 1


Random...
Versi ni takkan siap...
Sebab saya akan padam dan tulis baru.
Tapi sayang pulak saya nak padam macam tu je, bila sekian-sekian tulis padam dan tulis padam.
Jadi saya kongsikan di sini. Kisah Nailah ini ada plot lain yang telah saya drafkan... Jadi bila korang baca ni jangan kecewa sebab hanya 4 bab lebih sahaja saya kongsikan....


**Prolog**

“Talak tiga!” Mak Rozi mengurut dada mendengarnya. Wajahnya bertukar merah. Manis wajahnya telah hilang. Mata garang memandang Nailah. Anak yang selalu membuatkan darahnya mendidih. Tidak mampu menahan perasan marahnya, tangan naik ke muka Nailah.
Pang
Pang
Serta merta dua belah pipi Nailah berbekas merah, hasil dari penangan tangan kasar ibunya.
Nailah jatuh terduduk Sakit punggung tidak dihiraukan. Hujung bibir berdarah tidak dirasakan. Pipinya pijar. Dia sudah menjangkakan inilah habuan diterima apabila balik kampung membawa perkhabaran penceraiannya.
“Aku tak izinkan kau bercerai. Nuar tu sebaik-baik lelaki aku pilih untuk kau. Anak derhaka. Kau buat apa sampaikan Anuar tu ceraikan kau! Cakap!” jerkah Mak Rozi. Seperti guruh suaranya. Kuat membelah bumi sampai ada jiran terjenguk-jenguk di halaman rumah.
“Mak. Perlahan sikit volume suara tu. Orang sebelah dengarlah,” tegur Nur Ain.
Nailah tunduk membisu. Birai mata basah disapu dengan hujung jari. Hujung bibir berdarah dikesat dengan hujung tudung. Namun soalan mak dibiarkan tidak berjawab. Tidak akan dijawab walaupun emak memukulnya lagi. Punca penceraian bukan sedap didengar malah boleh mendatangkan aib dan fitnah. Jadi biarlah dia tanggung kesalahan ini demi nama baik bekas suaminya.
Mak Rozi pandang Nailah macam hendak terkeluar matanya. Namun Nailah tetap membatu. Itu membuatkan hati semakin membahang. Dia bingkas bangun dan ditampar tubuh kecil Nailah sepuas hatinya.
“Mak.. cukup mak. Jangan pukul kak chik lagi. mati kak chik nanti mak.” Nur Ain memeluk pinggang maknya, berusaha menarik Mak Rozi jauh dari Nailah.
Kuat tenaga Mak Rozi yang naik darah ketika itu. Nur Ain menggunakan sekuat tenaganya.
“Sabar mak. Mengucap mak. Mak pukul kak chik pun takkan ubah apa-apa pun mak. Mereka dah bercerai.”
“Itulah aku tanya kenapa bercerai? Tak rujuk orang tua dulu. Buat keputusan sendiri. Tapi anak derhaka ni keras hati.” Marah Mak Rozi masih lagi berapi. Namun dia telah berhenti memukul Nailah.
Nur Ain kasihan melihat keadaan kusut adiknya. Tapi dia tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya dia dan Mak Rozi berada di rumah ketika Nailah sampai dengan beg besar tadi.
“Mana mak nak letak muka ni? Dalam keluarga kita tak pernah ada yang bercerai. Inikan pula talak tiga sekaligus. Cakap dengan mak, kau buat silap apa sampai kena cerai!” memetir suara Mak Rozi.
Nailah diam. Soalan itu walau beribu kali tanya pun, dia tidak mampu menjawabnya. Aib orang walaupun orang itu meninggalkan luka di hatinya sekalipun tidak akan dijawab. Biar soalan itu orang lain atau atas keadaan lain terbongkar tapi bukan dari mulutnya.
“Hey.. jawablah aku tanya ni! Kau buat apa sampai kena cerai!” memetir lagi suara Mak Rozi.
“Dah setakat ini jodoh kami mak.” Suaranya perlahan tapi jelas. Tidak ada kekesalan dalam nada suaranya.
“Betul tu mak. Dah setakat itu jodoh kak chik. Lagipun talak di tangan lelaki. Bukannya kak chik yang ceraikan.” Nur Ain membela adiknya.
Tapi dengan dia sekali kena jeling tajam.
“Sebab dia buat perangailah kena cerai. Sudahlah mandul. Kena cerai pulak tu. Siapa yang nak dekat dia lagi. Takkan mak dan pak kamu pulak nak kena tanggung hidup dia lagi.”
Wajah Nailah berubah.
“Mak jangan risau. Ilah takkan susahkan mak. Takkan susahkan pak. Ilah boleh tanggung hidup sendiri.”
Perkataan mandul itu seperti batu, direjam ke hatinya. Sayu hatinya apabila mendengar perkataan itu keluar dari mulut maknya sendiri.
“Kau balik duduk sini, jangan harap aku dan pak kau bagi kau makan. Nak makan cari duit sendiri. Dapat laki kaya pergi cerai buat apa!” Tidak habis-habis lagi Mak Rozi membebel marah.
Nailah diam tidak menjawab. Dia balik kampung sebab inilah rumahnya. Tapi apabila dimarahi dengan kata-kata kesat dan menyakitkan ini hatinya tawar. Wajarkah dia kembali ke kota?
“Rozi! MasyaAllah, apa yang kau cakap ni. Nailah tu baru sahaja bercerai. Sebagai mak patutnya kau pujuk dia, bukan maki hamun dia. Kau ingat dia nak bercerai ke? Kalau bukan sebab masalah besar, yang tak mampu lagi ditanggung, dia tak akan bercerai.” Mak aji melangkah naik ke atas rumah.
Sampai ke pagar suara tinggi Rozi memarahi Nailah.
“Saya marah sebab sayang mak. Dapat suami elok rupa, kerja elok dan alim pulak tapi tak sampai 5 tahun dah kena cerai. Bukan satu tapi tiga sekaligus. Mak mana tak marah, mak!” adu Mak Rozi. Air mata di hujung mata dikesat dengan hujung lengan baju yang dipakainya.
“Dah jodoh mereka setakat tu. Kau nak marah-marah kenapa? Bukannya boleh rujuk balik pun. tapi moleklah Ilah ni terus balik kampung cakap. Buatnya diam tak bagitahu keluarga, kau marah jugak,” balas mak aji membuatkan Mak Rozi terdiam.
Nailah diam mendengar perbualan antara nenek dan maknya. Hati lega apabila mendengar mak aji membelanya.
“Saya malu mak. Mana saya nak letak muka bila jumpa dengan Milah nanti.” Mak Rozi tidak boleh terima perpisahan ini.
“Muka kau letak kat mukalah. Bukan boleh pecat buang muka kau tu,” tempelak mak aji membuatkan Nailah dan Nur Ain kemam bibir, menahan tawa.
Mak aji ni dalam orang tengah serius pun dia buat lawak. Tapi betullah cakapnya. Muka tu bukan boleh pecat pun.
“Mak... Kiah tu bukan bekas besan mak tapi saya. Tiap-tiap hari jumpa. Tiba-tiba hari ni budak ni balik bawak berita kena cerai.” Mak Rozi tidak puashati.
“Eloklah, bukannya dia balik bawak bakal menantu baru kau.”
Hik hik hik... Nur Ain dan Nailah ketawa tanpa dapat ditahan lagi.
“Suka. Gelaklah!” marah Mak Rozi.
Geram tapi mana boleh marah maknya.
“Sudahlah. Tak perlu kau marah-marah. Nanti naik darah tinggi kau tu. Bercerai tu tak salah. Lagi salah kalau kau tahu anak kau tak bahagia tapi kau paksa juga dia bersama dengan bekas suami dia tu.” Betul cakap mak aji tu tapi mak tetap cakap dia yang salah.
Tidak mengapalah. Anggap sahaja dia salah dalam hal ini. Memang salahnya sebab dia yang minta diceraikan. Lima tahun dia berusaha mencipta bahagia dalam perkahwinan ini tapi gagal. Bukan salahnya tidak mampu untuk memikat hati suami tapi takdir tertulis memberitahu setakat lima tahun sahaja jodoh mereka.
“Ilah...”
Nailah pandang kak chiknya.
“Tak nak cerita kat kak chik cerita sebenarnya?”
Nailah geleng kepala.
“Ilah nak mulakan hidup baru kak chik. Cerita lama tu Ilah tak nak kenang lagi. Yang buruk tu biarlah Ilah simpan.”
“Tapi mak dan orang lain mesti akan salahkan kau. Kau tak boleh berdiam diri. Kena bela diri jugak.” Nur Ain hulur bungkusan ais kepadanya.
“Terima kasih.” Bungkusan ais tu dituang ke pipi untuk menghilangkan bengkak kena tampar dengan mak tadi. Mendesis Nailah apabila bungkusan ais itu terkena pipinya.
“Tapi berbaloi ke kau kena marah dan kena maki dengan mak? Itu belum lagi orang kampung. Bukan kau tak tahu perangai bekas mak mentua kau. Anak-anak dia semua baik. Pijak semut pun tak mati. Inikan pula jatuhkan talak tiga. Mesti dia akan salahkan kau.”
Nailah senyum tanpa suara.
Mulut orang dia tidak akan mampu melarang apa mereka kata. Tidak mengapa, mungkin hari ini Allah mahu mengujinya. Dia yakin suatu hari nanti akan sampai juga hari bahagianya. Makian dan cemuhan itu akan dianggap ujian hidup yang perlu dilalui.
“Biarlah kak ngah. Mulut orang tak boleh tutup. Tapi aku yakin kebenaran akan terbongkar suatu hari nanti dan mulut-mulut orang tu akan tertutup sendiri.”
Kak ngah mengeluh.
Nailah senyum. Dia tahu kak ngah mengeluh dengan sikap degilnya. Tapi dia tidak mampu bercerita. Bahkan tidak tergamak menjaja keburukan bekas suami sendiri. Bukan dia tidak berusaha untuk membuatkan rumahtangga mereka bahagia, tapi usaha sendirian tidak mungkin akan berhasil. Untuk memutuskan ikatan ini pun sudah berhabis cara dilakukan. Mujurlah ugutan terakhir berkesan dan natijahnya dia diceraikan dengan talak tiga sekaligus.
“Kau tak menyesal?” Kak ngah menyoal lagi. masih belum berputus asa ingin tahu perkara sebenarnya.
“Aku lagi menyesal tidak meminta cerai awal-awal kak ngah.”
“Tapi kenapa?” Kak ngah pandang aku dengan wajah berharap.
“Suatu hari nanti kak ngah akan tahu juga tapi bukan dari mulut aku. Aku tak nak keburukan itu terbongkar dari mulut aku tapi aku doa moga Allah tunjukkan juga kebenaran itu.”
“Berbelit cakap kau ni. lagi tak faham aku.”
Aku ketawa nipis.
“Lebih baik tak tahu kak ngah.”
“Tapi aku kasihankan kau.”
“Aku lega diceraikan. Mungkin aku ni hanya layak bahagia bila sendiri.”
Bahagia itu rasa terlalu tinggi untuk digapai.

**Bab 1**

“Kau pergi!”
“Aku tak ada anak macam kau!”
Mak Rozi menyepak bagasi Nailah sehingga jatuh ke tanah. Tidak dapat menyepak Nailah, disepak bagasi sehingga tergolek jatuh.
Nailah dan Nur Ain terkejut. Segera mereka keluar dari bilik dan melihat mak mereka mengamuk lagi. Baru tadi tenang tapi tidak sampai setengah jam mengamuk lagi. Mak aji telah balik ke rumahnya.
“Fahim, nenek kenapa pulak?”
Fahim, anak sulung Nur Ain yang baru balik dari sekolah angkat bahu.
“Tadi ada orang call nenek. Lepas jawab panggilan tu dia terus mengamuk,” bagitahu Fahim.
“Pergilah masuk, mandi dan solat. Nak makan nanti ambil sendiri lauk kat atas dapur,” pesan Nur Ain.
Fahim angguk. Kemudian dia tengok muka Nailah, terkejut.
“Kenapa muka mak cik bengkak?” soalnya.
Nailah cuba sengih tapi terasa pedih. Dia mendesis.
“Mak tok.”
“Tapi kenapa?”
“Pergi masuk. Dah lewat ni. Zuhur dah nak habis,” tegur Nur Ain. Tidak mahu Fahim terus bertanya.
Fahim faham. Dia tanpa segan silu peluk Nailah. Dia tahu ada sesuatu tidak baik telah berlaku kepada mak saudaranya. Mak tok mengamuk pasti tentang mak cik Ilah.
“Walau apa pun yang berlaku, Fahim sayang dan percayakan mak cik Ilah.”
“Terima kasih sayang,” bisik Nailah perlahan. Hatinya tersentuh.
Fahim menghilang ke dalam biliknya.
“Mak marah dan mengamuk lagi kenapa? Apa salah bagasi tu?” tegur Nur Ain.
Mok Rozi terus berpaling dan menyinga. Dia pandang Nailah di belakang Nur Ain, seolah-olah mahu membunuhnya.
Teguran Nur Ain tidak dihiraukan. Langkahnya lagi ke arah Nailah. Sampai depan Nailah, ditampar pukul lagi tubuh Nailah itu.
“Anak derhaka. Aku tak ada anak macam kau. Berambus kau dari sini. Jangan bagi aku tengok muka kau lagi. Kau bukan anak aku!
Nailah berganjak ke belakang menahan pukulan bertubi-tubi emaknya.
“Mak, cukuplah mak. Jangan pukul Ilah lagi,” jerit Nur Ain sambil menarik kuat tubuh maknya menjauhi Nailah.
Fahim terkejut mendengar bunyi bising itu. Dia tidak jadi menanggalkan bajunya. Dia keluar bilik dan terus berlari menolong Nur Ain memegang Mak Rozi.
Nailah membatu dan tidak melawan. Dia terima pukulan dan makian maknya.
“Ilah, cepat pergi. Pergi rumah mak aji. Cepatlah,” jerit Nur Ain mengarahkan Nailah pergi.
Mendengar arahan itu, Nailah tidak tangguh lagi terus keluar dari rumah, mengambil bagasi di atas tanah dan terus ke rumah mak aji di belakang rumah maknya.
“Berambus kau. Jangan bagi aku tengok muka kau lagi.”
*****
Bagasi diletakkan di tepi dinding. Rumah kecil mak aji diperhatikan. Tidak banyak berubah sejak kali terakhir dia balik tiga bulan lepas. Rumah batu dua bilik ini, dibina dua tahun lepas. Mak aji tidak mahu duduk di rumah besar. Dia mulanya mahu tinggal di pondok tapi mak dan adik beradiknya tidak izinkan. Jadi pak do bina sebuah rumah kecil dua bilik untuk mak aji di belakang rumah mak.
Rumah ini kecil tapi selesa. Ruang tamunya hanya ada set kerusi kayu dan meja kopi. Tv plasma sebenar 42 inci tergantung di dinding. Rumah ini mengadap ke bendang. Di halaman rumah pula ada hammock di gantung antara tiang anjung rumah. Ada juga sebuah kerusi malas diletakkan di situ. Mak aji biasanya setiap pagi dan petang akan duduk di situ mengaji.
“Buat apa berdiri tepi pintu tu, mari masuk ni.”
Nailah sengih. Dia akur. Badan sakit kena pukul tadi tidak dihiraukan. Mulai hari ini dia akan tinggal bersama dengan mak aji. Maknya telah menghalaunya keluar dari rumah. tidak diizinkan dia menjadi penghuni rumahnya lagi. Hati terluka dan kecewa. Sampai hati mak.
“Ilah guna bilik belah kanan tu.”
“Tak apa ke mak aji Ilah tinggal kat sini? Pak su, pak ngah dan pak long tak marah ke?” berbelah bagi hati Nailah.
Kisah penceraian telah tersebar di dalam kumpulan whatapps keluarga mereka. Mak -mak saudara memarahinya kerana menolak tuah. Sepupu-pupunya pula ada yang memerli dan mengutuknya. Ada yang padankan mukanya jadi janda. Sudahlah rupa dan kerja tidak ada, kena cerai pulak tu. Ramai yang hendak tengok dia jatuh.
Pedih hati. Tapi mujurlah ada juga yang membelanya.
“Rumah mak aji, mereka nak marah kenapa? Ada kamu temankan mak aji, tak adalah sunyi sangat.”
“Mak aji jugak yang tak nak duduk dengan mak, nak duduk sendiri. Tapi sekarang mak aji kata sunyi pulak.”
Huh! Bukan Ilah tak tahu perangai mak Ilah tu, ada je benda tak kena dia nak marah ayah kamu tu. Mak aji tak suka, tegur dia tapi dia balas balik. Jadinya dari tengok dia bergaduh dengan ayah kamu, baik mak aji duduk sorang. Tenang hati ni.”
Nailah faham apa yang mak aji sampaikan. Dia sendiri pun sebagai anak rimas dan tidak suka dengan sikap mak yang tidak menghormati ayah. Sebab itulah ayah selalu balik lambat. Awal pagi sudah keluar. Namun begitu, perkahwinan orang tuanya tetap bertahan lebih 40 tahun.
“Apa perancangan kamu selepas ni. Nak terus duduk kat sini ke nak ke bandar semula?”
“Ilah nak duduk kampung temankan mak aji.”
“Tak nak cari kerja?”
“Ilah dah ada kerja dah mak aji. Buat kerja online je.”
“Kerja apa tu?”
“Saya jual barang orang dalam internet. Senang buat kerja macam tu, tak perlu masuk office. Kerja pulak ikut suka kita.”
“Oooo... banyak ke dapat duit kerja macam tu?”
“Lepaslah belanja diri sendiri dan mak aji nanti.”
“Eh, mak aji ni tak payah dah. Duit pak sedara kamu bagi tak abis nak guna. Duit pencen tok ayah kamu pun tak terguna. Jadi duit Ilah tu guna untuk Ilah je.”
Nailah diam je. Tidak pula mahu berbalas cakap dengan mak aji.
“Pergilah tengok dalam bilik tu. Hias ikut suka kamu. Nanti kalau nak beli barang kita pergi ke kedai petang ni.”
Nailah angguk. Dia melangkah menuju ke bilik yang bakal menjadi biliknya nanti. Dia tahu bilik itu bilik solat yang selalu mak aji gunakan. Tombol pintu dipulas dan pintu ditolak. Dia menjenguk ke dalam. Bilik itu cuma ada karpet dan sejadah yang mak aji gunakan. Ada almari kecil untuk menyimpan quran, sejadah dan telekung.
Bilik ini tidak luas mana. Muat-muat sebuah katil bersaiz ratu dan sebuah almari pakaian. Ruangnya terhad.
“Lepas zohor nanti kita pergi kedai perabut beli katil dan almari.”
“Mak aji, tak pe dulu. Ilah tidur atas toto pun tak apa. Nanti perabut tu Ilah beli online je.”
“Beli online ada ke?”
“Ada mak aji. Sekarang ni duduk rumah pun boleh beli macam-macam,” jelas Nailah.
“Ikut suka kamulah, Ilah. Buat apa yang kamu suka.”
Nailah peluk bahu mak aji.
“Terima kasih mak aji terima Ilah. Faham hati Ilah.” Ada kesayuan dalam nada suaranya. Mujurlah neneknya masih ada lagi. Kalau tidak ada mak aji, dia tidak tahu ke mana hala tujunya bila dihalau.
“Dalam ramai-ramai cucu mak aji, kamulah yang selalu telefon tanya khabar. Kalau orang lain, tak balik kampung tak adalah khabar mereka.”
Nailah diam. Sejujurnya dia telefon mak, tapi mak tidak pernah angkat panggilannya. Jadi dia telefon mak aji. Dapat berbual dengan orang tua, hatinya lega walaupun dia tidak pernah meluahkan masalahnya.
Mak aji selalu bagi nasihat dan suruh dia amalkan zikir untuk tenangkan hatinya. Walaupun mak aji tidak tahu masalahnya tapi mak aji tahu ketika itu dia perlukan seseorang untuk berbual.
Airmata Nailah menitik. Jarang dia menangis. ketika kena cerai talak tiga hari itu pun dia tidak menangis. malah dia ucap terima kasih kepada Anuar.
“Dengan mak aji, Ilah tak pernah tahan bila nak menangis tu. Menangislah sepuas-puasnya. Biar segala perasaan sedih itu terbasuh bersih. Lepas tu Ilah kena bangkit dan mulakan hidup baru.”
Nailah peluk mak aji kuat. Wajahnya disembamkan ke bahu dan leher mak aji. Sudah lama dia tahan tangis. Mak pukul dan marah semalam pun hanya setitik dua air mata keluar. Selebihnya dia tahan sekuat mungkin.
“Kena cerai bukan semua salah perempuan. Banyak salah lelaki tapi masyarakat kita ni lebih suka menyalahkan perempuan. Mak aji tahu kamu sudah buat sebaik mungkin untuk rumahtangga kamu. Kalau tidak, takkan Ilah bertahan selama lima tahun ni.”
Airmata masih lagi laju mengalir. Hati terharu. Mak aji lebih memahaminya dari maknya sendiri.
Mak aji menepuk belakang Nailah penuh kasih. Dibiarkan Nailah melepaskan perasaan yang terbuku itu.
“Ilah tak nak cerita sebab apa bercerai?” tanya mak aji setelah Nailah tenang.
Nailah tersenyum pahit.
“Maafkan Ilah mak aji. Bukan Ilah tak nak cerita tapi Ilah nak jaga aib dia. Abang Nuar ni baik tapi dia bukan lelaki sesuai untuk Ilah.”
Mak aji tengok Nailah lama-lama. Hati tersentuh dengan sikap Nailah. Diceraikan talak tiga, semua orang menyalahkannya tapi dia masih lagi menutup aib bekas suaminya.
“Bekas laki kamu itu tolak tuah. Suatu masa nanti dia akan menyesal ceraikan kamu.”
Nailah dengar tanpa mahu membalasnya lagi.
“Mari sapu ubat dulu. Teruk lebam mak kamu pukul ni. Mak kamu ni tak ada hati perut langsung. Menangkan orang luar bukannya nak bela anak sendiri.”


**Bab 2**

“Psst.. Mok Nab tahu tak, Ilah bercerai talak 3?”
“Ilah mana?” dahi Mok Nab berkerut. Rasa macam selalu dengar nama itu tapi dia tidak ingat Ilah ni siapa.
“Alaa, anak Mak Rozi lah. Yang kahwin dengan Nuar, anak Tuan Haji Ghani tauke emas tu.”
“Ooo.. Nailah. Eh kenapa pulak kena cerai?”
“Dengar cerita dia main dengan lelaki lain. Terkantoi dengan laki dia, terus jatuh talak 3 sekaligus.” Bersungguh Cik Gayah bercerita tentang cerita yang tidak sahih itu.
Hatinya puas apabila mendengar Nailah bercerai talak tiga. Sudah tidak ada peluang rujuk lagi. Jadi ada peluanglah anak sulungnya jadi calon menantu Haji Ghani tauke emas itu.
“Biar betul mung. Jangan nak buat ceritalah.” Mok Nab tidak mahu percaya. Takkanlah Nailah yang curang. Nailah itu baik budaknya. Sikapnya tidak pernah berubah, selalu balik kampung dan selalu bertegur sapa apabila berjumpa.
“Betullah Mok Nab, Aku dengar dari mulut Mok Rozi sendiri ni.” bersungguh Cik Gayah meyakinkan Mok Nab.
“Mok Rozi mengamuk semalam. Suara dia marahkan anak dia tu sampai ke rumah aku. Anak aku oyat Mek Rozi pukul Ilah tu. Mujur Mak Aji masuk campur. Kalau dok gak, masuk hospitallah Ilah semalam.”
Mok Nak geleng kepala. Dia masih tidak percaya.
“Tapikan Ilah ni baik budaknya. Selalu tegur aku bila jumpa.”
“Manusia bila-bila masa boleh berubah Mok Nab. Tak pernah puas dengan apa yang ada. Bodoh ikut nafsu. Nuar dahlah smart, baik, alim pulak tu. Tapi gak bini curang jugak. Main dengan lelaki lain.” Cik Gayah semakin rancak bercerita.
“Isk, aku tak percaya. Mung jangan buat cerita tak bukan-bukan gak.”
“Tak percaya sudah. Mung gi tanya Mok Rozi tu sendirilah. Cakap aku ni tak sey caya.”
“Mung ada dengar ko Pok Di?”
“Dengar gapo?”
“Pasal Ilah dengan Nuar bercerai talak tiga tulah.”
“Ooo... Dengar orang cerita Mok Rozi mengamuk jah. Pasal cerai talak tiga ko talak sepuluh ko aku tak tahu pulak.” Terherot-herot mulut Cik Gayah apabila mendengar jawapan Haji Hadi itu.
“Mung pun tak caya jugak hok aku cerita ni Pok Di?” Cik Gayah tanya dengan kedua belah tangannya mencekak pinggang. Gaya mahu gaduh.
“Nak percaya apa? Cerita tak sahih Cik Gayah jangan dok jaja.”
“Kalau cerita tak sahih aku tak cakaplah. Dia cerita betul, aku nak semua tahu. Biar tahu perangai buruk Ilah tu. Nampak jah baik tapi lebih jalang dari pelacur.”
“Astaga. Mengucap Cik Gayah oi! Mung tak puashati dengan Ilah babpo?” Haji Hadi geleng kepala.
“Mung patut mengucap Pok Di!” marah Cik Gayah. Dia terus tidak jadi beli barang dapur. Terus dia menonong keluar, balik ke rumah sambil mulut masih lagi membebel tidak puashati.
“Babpo Cik Gayah jadi begitu Mok Nab.”
“Tak tahulah aku. Dari mula Ilah kahwin dengan Nuar lagi dia tak puashati. Dia kata tengoklah mereka kahwin tak lama bercerailah. Ilah tu tak padan langsung dengan Nuar. Semua pasal Ilah tak pernah elok dimatanya. Padahal si Ilah tu tak pernah cakap buruk pasal dia.”
“Bukan ke Ilah tu kawan baik dengan Wafa, anak Cik Gayah ke?”
“Itulah. Tapikan aku perasan sejak Ilah kahwin dengan Nuar ni, mereka dah tak rapat dah.”
Haji Hadi terangguk-angguk.
“Kau kira ni berapa? Aku dah lewat nak balik masak pulak ni. Sebab Gayahlah aku sangkut kat kedai mung lagi.” Mok Nab geleng kepala.
Haji Hadi ketawa.
Selepas bayar barang Mok Nab terus keluar dari kedai Haji Hadi. Terserempak pula dengan Zayan yang baru tiba.
“Haa.. Zayan dari mana?” tegur Mok Nab.
“Dari KB. Banyak beli barang Mok Nab?” sapa Zayan.
“Banyaklah. Esok kan jumaat. Anak-anak Mok Nab semua balik.”
“Dah tengah hari ni, Mok Nab nak balik masak.”
Zayan angguk. “Jalan molek Mok Nab.”
“Apa cerita tadi? Cik Gayah balik gaya macam baru lepas bergaduh?”
Dia sebenarnya telah lama sampai. Kebetulan ada orang telefon, jadi dia tidak terus keluar dari kereta.
“Biasalah Cik Gayah tu. Kalau tak bawa mulut, tak lengkap hidupnya. Tapi kali ni melampau sangat mulutnya.”
“Mengumpat pasal siapa?” minat pula Zayan ingin tahu.
“Pasal Ilah, anak Pok Mi. Kena cerai talak tiga. Cik Gayah tu cakap Ilah curang. Tu yang kena cerai talak 3.”
“Tapi entah betul ke tak betul. Aku tak percaya sangat cerita Cik Gayah tu. Banyak ditokok tambahnya.”
“Mungkin betullah kot. Zaman sekarang ni kes bini keluar ikut pintu belakang ni biasalah.” Zayan tidak ambil endah. Dua kali dia dicurangkan oleh bekas tunang. Jadi dia bias sedikit tentang perkara ini.
“Tapi Ilah ni baik budaknya. Jenis pendiam dan bukan jenis suka berkawanlah.”
“Itu lagi bahaya Di. Makan dalam,” sela Zayan.
Haji Hadi geleng kepala.
“Tapi yang kecoh sangat pasal dia kenapa? Biasalah tu orang kahwin cerai.”
“Kecohlah sebab Ilah ni kahwin dengan Nuar anak Haji Ghani tauke emas tu.”
“Hah? Nuar?” Zayan seret skrin I-phonenya. Dia cari gambar Anuar yang disebut nama itu.
“Ini ke Anuar kau maksudkan?”
“Dialah. Kau kawan dengan dia ke?”
“Macam mana dia boleh kahwin dengan bxxxx tu”
Haji Hadi pulak terkejut mendengar perkataan yang Zayan sebutkan itu.
“Aku satu universiti dengan dia dulu.”
“Macam mana mereka boleh kahwin?” Zayan ingin tahu.
“Pilihan keluarga.”
“Apa tak kenalnya. Budak yang kau selalu kacau dululah.”
Zayan terpinga-pinga.
“Budak mana pulak aku rajin kacaunya. Aku ni bukannya selalu balik kampung.”
“Kau lupa ke dulu kau suka kacau adik Mek Zura. Sampai nangis-nangis budak tu kau kacau dia.”
“Adik Mek Zura? Budak kecil suka menangis tu?”
Haji Hadi angguk.
“Laa nama dia Ilah ke? Bukan Mek Na?” Zayan garu kepala. Dia sengih. Entahlah, sudah lama dia tidak melihat budak kecil itu.
“Nailah. Ilah. Mana pulak datangnya Mek Na ni?”
“Lima tahun lepas. Besar kendurinya. Tumbang dua ekor lembu. Kau tak balik kampung lagi masa tu. Patutlah tak tahu pasal majlis mereka?”
“Tapi tak sangka Nuar tu nak kahwin.” Perlahan suaranya seolah-olah bercakap dengan diri sendiri.
“Mereka kahwin pilihan keluarga. Ilah dah umur 30 tahun, tak ada pilihan lain. Terpaksalah dia ikut cakap keluarga. Lagipun gadis mana yang tak nak kan si Nuar tu, engineer, anak tauke emas pulak tu. Dia ikut jela cakap orang tua. Tapi itulah pilihan orang tua pun tak ke mana kalau jodohnya setakat lima tahun je.”
Zayan angguk.


**Bab 3**
“Assalamualaikum Pok Di.”
“Waalaikumussalam. Ilah rupanya. Ai.. Baru nampak muka.”
Nailah senyum tipis. Dua minggu berkurung dalam rumah mak aji kerana tidak mahu terjumpa dengan mak. Dia tidak mahu hati mak panas lagi apabila melihatnya. Selain itu dia merawat luka dan lebam di tubuhnya sehingga sembuh.
“Pok Di ada jual drill tak?”
“Nak buat dengan drill ni?” pelik pulak bila dengar Nailah cari drill ni.
“Nak pasang set bilik. Baru sampai tadi.”
“Laa orang hantar tu tak tolong pasangkan ke?”
“Beli kat shopee Pok Di, kenalah pasang sendiri. Ada tak drill?” Nailah ulang lagi.
“Tak ada. Tapi nak pinjam tu boleh.”
“Bolehlah pinjam pok di. Ilah malas nak keluar ke bandar beli. Lagipun bukan nak guna selalu.”
“Okey. Kejap Pok Di telefon kawan suruh dia hantarkan.”
Haji Hadi terus membuat panggilan.
“Hello Zayan. Kau kat mana?”
“Dah dekat nak sampai kedai kau dah ni. Kenapa?”
“Ada drill tak dengan kau?”
“Ada.”
“Okey.” Talian diputuskan.
“Kejap lagi Zayan sampai bawak drill.”
“Bukan drill Pok Di punya?”
“Yang Pok Di punoh lama doh. Pinjam hok Zayanlah.”
“Zayan?” Nailah garu kepalanya yang bertudung. Dia tidak kenal dengan Zayan ni.
“Zayan ni siapa Pok Di. Tak rajin dengar pun nama dia.”
“Ilah tak kenal Zayan?” Haji Hadi geleng kepala. Moleklah dua orang. Dua-dua tak kenal. Padahal masa kecil dulu bukan main rapat lagi.
Dalam tak suka pun Zayanlah yang rajin melayan kerenah Nailah dulu.
“Jumpa nanti kenallah. Bukan orang lain jugak.”
Semakin pelik Nailah mendengar kata-kata Haji Hadi itu.
Sebuah Triton berhenti di hadapan kedai runcit Haji Hadi. Zayan keluar dari kereta pacuan empat roda itu dan mengambil drill dari belakang kereta itu. lalu membawanya masuk ke dalam kedai.
“Nah drill yang kau nak.”
“Bukan aku tapi Ilah ni nak pinjam.”
Ketika itulah baru Zayan memandang wanita yang berada di depan kaunter itu. Lama dipandangnya. Seolah-olah mencari persamaan dengan budak perempuan yang pernah dikenalinya dulu. Tahi lalat di atas bibir.
“Ehemm...”
“Ilah kenal abang lagi tak” tiba-tiba soalan cepumas budak darjah satu keluar dari bibir lelaki bernama Zayan itu.
Berkerut dahi Nailah. Kenal ke?
Dia berpaling memandang Haji Hadi.
“Ilah kenal ke encik ni Pok Di?”
“Kenal. Masa kecik-kecik dulu Ilah suka ikut dia.”
Nailah tercengang-cengang. Ada ke? Tapi kenapa dia tak ingat.
“Ada ke? Ilah tak ingat pun.”
“Umur Ilah masa tu lima enam tahun, mana nak ingat. Kemudian Zayan ni pindah.”
“Jadi dia memang pernah tinggal kat sinilah.”
“Zayan ni cucu Tok Ayah Din. Dia tinggal dengan tok ayah dulu sebelum ikut keluarganya pindah ke Kuala Lumpur.”
Nailah terangguk-angguk. Dia kenal arwah Tok Ayah Din. Guru mengajinya dulu. Tapi dia tidak ingat tentang cucu tok ayah yang ni.
“Mesti Ilah tak ingat. Zayan ni tak pernah balik selepas ikut keluarganya. Baru tahun ni ayah Zayan ni pencen. Jadi mereka balik duduk rumah tok ayah Din tu.”
Nailah angguk lagi walaupun orang yang Pok Di cerita itu dia memang langsung tidak kenal.
“Dia tak kenal aku lah. Kau cerita pun dia tak tahu,” ujar Zayan.
“Betullah cakap Encik Zayan tu. Saya tak ingat,” akui Nailah.
“Ni drill yang Ilah nak. Tapi nak buat apa?”
“Nak pasang set bilik yang baru beli. Terima kasih Encik Zayan. Nanti dah siap guna saya pulangkan.”
“Boleh ke pasang sendiri.”
“Boleh tak boleh kena buat sendiri sampai boleh.” Tidak ada siapa yang boleh dia minta tolong.
Kak ngah telah balik ke rumah mentuanya. Cuti sekolah telah pun bermula. Mungkin esok lusa kak long dan adik beradiknya akan balik kampung. Pak pulak sudah dua minggu tidak balik ke rumah. Menurut mak aji, pak kena kerja dekat Kuala Terengganu selama dua bulan. Jadi dua bulan ni pak tak baliklah.
“Kau pergilah tolong kejap Zayan,” saran Haji Hadi.
“Eh, tak apalah. Tolong pinjamkan drill ni pun dah tolong dah.”
Zayan mengambil kembali dril di atas kaunter.
“Jom, abang tolong pasangkan.”
Nailah serba salah. Dia takut nanti akan jadi buah mulut orang. Sekarang ni namanya sensitif. Apa yang dia buat jadi serba tidak kena di mata mak dan orang kampung.
“Pergilah Ilah. Jangan risau, Zayan ni bujang lagi. Orang tak berani mengata dia.”
“Tapi orang suka mengata Ilah, Pok Di,” keluh Nailah.
“Apa susah. Kita kahwin.” Selamba Zayan kata membuatkan Nailah terkedu.
Wajahnya terus berubah. Kahwin baginya tidak boleh dibuat gurau. Lebih-lebih lagi dia yang memegang status janda.
“Mulut orang, tak buat apa-apa pun orang mengata jugak. Buat apa nak takut kalau kita tak buat salah. Mak Aji ada kat rumahkan?” Hadi cuba meredakan keadaan.
“Ada. Tapi..”
“Okey. Jom.” Pintas Zayan. Dia terus keluar dari kedai menuju ke Tritonnya.
Nailah mengikut dari belakang.
“Naik kereta Ilah,” ajak Zayan.
“Tak apalah Encik Zayan. Ilah jalan kaki je.” Bukan jauh pun. Hanya beberapa langkah sahaja.
Mendengar cakap Nailah tu, Zayan tidak jadi menghidupkan enjin keretanya. Dia ikut Nailah menuju ke rumahnya.
Dan sudah tentu ada mata memerhatikan mereka.
“Janda dah naik miang.”
“Baik janda dari dara yang tak dara,” sindir Hadi.
Wajah Sufina terus berubah. Barang yang diambil diletak kasar ke atas kaunter.
“Berapa semua ni Abang Hadi.” Kasar nadanya.
Tapi Hadi tidak melayan. Orang datang beli dia jual. Kalau datang cari gaduh dia halau.
“48 ringgit semuanya.” Barang-barang dimasukkan ke dalam plastik.

.
.
.
.
.
.
.
.

Seciput ending...

Kening Nailah dikucup lama. Dia tidak mampu menggambarkan kebahagiaan dan kemanisan yang dirasakan saat ini. Tidak pernah diimpikan apa yang dikecapinya semalam.
Nailah ditenung lama. Wajahnya merah dan nampak penat tapi berseri. Serinya manis dan memukau, membuatkan dia terasa sayang mahu melepaskan pelukannya.
Matanya terus terpaku pada wajah itu.
Nailah terjaga apabila dia terasa lemas. Digerakkan tubuh supaya dilepaskan. Namun saat ini Zayan tidak mahu melepaskan isterinya itu. Manis madu semalam mahu dinikmatinya lagi.
Subuh pagi itu, mereka berjemaah lagi. Subuh berjemaah bagaikan sudah menjadi rutin mereka sejak disatukan menjadi suami isteri tujuh hari lepas. Usai doa dibaca, Zayan berpaling mengadap Nailah. Tangan dihulurkan dan disambut oleh Nailah. Tangan dikucup dan kepalanya diangkat kembali memandang si suami.
Zayan merapatkan wajah mereka. Kening Nailah dikucup penuh kasih.
“Terima kasih sayang,” bisiknya.
Hati ingin tahu apa yang sebenarnya terjadi sebelum ini.
“Terima kasih juga Ilah ucapkan sebab abang sudi jadikan Ilah isteri abang.” Perlahan Nailah membalasnya.


Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan