Selasa, 13 Disember 2022

Random Story 2




Okey saya kongsikan random story lain pulak...
Tergantung jugak ya. Sebab cerita ni pun saya main tulis je... bila nak sambung tersangkut...

Part 1

“Aku tak faham, kenapa mereka bercerai.” Mata Tasya tak berganjak dari kaca televisyen tapi mulutnya mengomel tak sudah.
“Tolak tuahlah bekas bini Dato’ Z tu,” bersambung lagi.
Aku sengih. “Tuah tak tuah. Kalau dah setakat itu jodoh mereka, nak kata apa lagi,” jawabku.
Tak hingin aku jadi tukang ulas perceraian yang menjadi topik hangat rakyat Malaysia tika ini. tapi dalam hati terselit simpati kepada anak-anak mereka. Dari segi kebendaan dan wang ringgit, anak-anak itu tidak terkurang satu pun. Tapi kasih sayang pastinya akan terkurang, bukan seperti sebelum. Mental mereka juga turut terjejas, apatah lagi kes penjagaan mereka menjadi rebutan di antara ibu dan ayahnya.
“Aku kasihankan anak-anak mereka. Aku pernah rasa apa yang mereka rasa dulu,” kata-kata itu lebih pada diri sendiri.
“Mereka tak kurang satu pun. Ibu ayah mereka pun pasti bagi apa yang mereka nak.” Tasya pandang aku, tak setuju dengan kata-kataku tadi.
“Betul. Dari segi material memang tak kurang pun, tapi segi kasih sayang? Nak ayah kena tinggal ibu. Nak ibu kena tinggal ayah. Kalau ikut kes mereka ni, dua-duanya sama-sama junjung ego.”
Tasya diam. “Anak mangsa penceraian, mudah sensitif dan rendah diri. Jika tidak memberontak, mereka pendam dalam, sekali meletop. Buruk akibatnya. Aku pernah rasa. Pernah terasa macam tak guna sebab aku rasa sebab aku mak dan abah aku bercerai.” Mataku pandang televisyen tapi minda aku jauh meneroka batasan waktu, di mana hanya ada aku, adik, mak dan abah. Bahagia kami kecapi hanya sekejap. Selepas itu abah berubah. Dan bahagia itu semakin menjauh. Air mata mak, tangisan pilu adik bila kena berpisah menghiris hati kecilku. Sakitnya terasa sehingga sekarang.
Part 2
Kali ke dua aku jejak ke menara Kenanga ini. Kali ini sebagai salah seorang pekerja KENANGA AUTOMOTIVE Sdn bhd. Aku senyum puas. Akhirnya dapat juga kerja di pejabat dan ikut waktu pejabat. Bukan lagi sebagai pekerja di pasaraya yang kena ikut kerja shift.
Aku menapak ke meja penyambut tetamu. Mengikut surat tawaran yang diberikan, aku kena tunggu di kaunter penyambut tetamu sebelum di bawa ke tempat kerja aku yang sebenar.
“Assalamualaikum cik. Saya ni pekerja baru melapor diri hari ni. Saya kena jumpa siapa ya?”
“Nama awak Amani Sufi?”
“Ya, saya.”
“Tunggu kejap saya telefon Nora.”
Aku senyum dan angguk. Aku perhati keadaan sekeliling. Ruang pameran kereta mewah terletak di sebelah kanan. Sebelah kiri pula ruang pameran motosikal berkuasa tinggi. Macam mimpi, aku boleh tengok kereta ferrari dekat-dekat. Selama ni tengok kereta mainan je, macam tak percaya ada kereta seperti itu.
Dalam ralit melihat-lihat ada orang sapa aku.
“Amani Sufi kan?”
Aku pantas berpaling dan angguk. Seorang perempuan cantik memakai kot berwarna krim dan berseluar slack berwarna yang sama menegur aku. Rambutnya pula disanggul cantik.
“Betul saya.” Aku hulur tangan menyambut salamnya.
“Kak Nora. Ikut akak. Mulai hari ini awak akan jadi pembantu akak.”
Kemudian kami berjalan seiringan menuju ke lif. Sambil itu Kak Nora memberitahu tentang tugas-tugas yang perlu aku lakukan nanti.
“Sufi ikut tak berita tentang Dato’ Z berebut anak dengan bekas isterinya? Soal Kak Nora tiba-tiba.
“Ikut juga sikit-sikit kak. Tapi tak tahu hujung pangkal cerita. Kasihan anak-anak dia kan. Mesti takut dan tertekan dengan keadaan sekarang.”
“Saya boleh faham perasaan anak-anak Dato’ Z tu. Sebab 10 tahun lepas saya pun sama situasi macam mereka.”
“Dato’ Z itulah bos kita!”
“Hah?”
Aku terkejut. Biar betul. Dato’ Z tu duda terhangat sekarang ni. Walaupun dia ada masalah dengan bekas isterinya, namun sahamnya tetap tinggi. Mesti ramai perempuan nak cuba nasib. Mana tahu, untung sabut timbul, untung nasib dapat jadi bini orang kaya.
“Iya.. Dato’ Z tu lah. Jadi nanti bila nak bercakap tu hati-hati sikit. Kalau boleh jangan layan gossip dengan staff lain sampai terlepas cakap. Mereka ni akan cari kita nak tahu pasal Dato’ Z ni.”
“Ok kak, saya faham.” sambil tunjuk zip mulut.
Kak Nora senyum lucu. Aku jatuh suka dengan kak Nora ni. Nanti-nanti senanglah kerja aku kalau kami serasi.
Sepanjang pagi tu aku tak jumpa dengan Dato’ Z. Kata Kak Nora sepanjang pagi ni Dato’ Z ada meeting dekat luar. Kata kak Nora lagi, selepas ini aku kena tahu dan ingat semua temujanji dan meeting Dato’ Za. Aku juga kena susun jadualnya.
Tengahari itu lepas makan, aku terus ke surau. Lagipun aku tak nak lambatkan solat. Sebab bila solat lambat aku rasa masa yang aku ada tak cukup untuk selesaikan kerja aku. Bila aku solat awal pula, aku rasa masa yang aku ada panjang.dan aku akan sempat siapkan kerja aku sebelum balik.
Dalam surau, ketika aku tengah-tengah siap-siap nak solat, terdengar orang mengaji. Merdunya suara, puji suara hati aku. Bestnya kalau dapat suami suara sedap macam ni. Tiap-tiap waktu aku akan bersemangat solat berjemaah. Beranganlah hati.. tak apa, bukan kena bayar pun.
Selesai solat, aku cepat-cepat keluar. Kebetulan pintu surau lelaki pun terbuka sekali. Aku kalih pandang untuk lihat siap. Terus mata aku tak berkelip.
Wajah dia kelihatan bercahaya dengan wuduk.
Hati aku telah jatuh terduduk. Dia pun pandang aku. Nasib baik aku cepat sedar diri dan alih tengok tempat lain. Kemudian aku cepat-cepat mahu berlalu dari situ.
“Awak staff baru kat sini?” soal lelaki itu. Aku berhenti melangkah dan berpaling lihat dia. Macam pernah nampak je dia ni. Tapi kat mana ya.
“Ya Encik. Baru mula hari ni sebagai pembantu kepada PA Dato’ Z.”
Lelaki itu sengih dengar jawapan aku. Dia angguk-angguk.
“Jadi awak kenal tak Dato’ Z tu.”
“Tak jumpa lagi hari ni Encik. Jadi tak kenallah.”
Aku terlupa tentang masa. Jadi cepat-cepat aku lihat jam tangan.
‘alamak,5 minit lagi nak pukul 2.”
“Saya pergi dulu Encik. Dah lewat ni” tanpa sempat tunggu jawapan aku terus melangkah meninggalkannya.
Part 2
Kak Nora duit lengan aku. Aku berpaling melihatnya sambil kerut dahi bertanya.
“Dato’ Z dah masuk...” bisiknya.
“Mari Kak Nora kenaikan awak dengan bos,” ajaknya.
Aku pandang dia kejap. Rasa berdebar pulak nak jumpa bos sendiri buat kali pertama. Takut dan teruja nak kenal. Dengar cerita dalam TV kata dia ni kaki pukul sebab itulah bercerai dengan bini dia. Kemudian kes berebut anak pulak. Jadi dalam fikiran aku walaupun orang kata dia ni Duda hot dan terhangat, dia seorang yang ego dan pentingkan diri sendiri. Langsung tak pertimbangkan perasaan anak-anaknya.
“Cepat. Bos masuk sekejap je ni, lepas sign beberapa dokumen dia akan balik. Lagipun kak Nora kasihan dekat bos tu, masalah rumahtangga dia tak selesai lagi..” aku angguk dengar cerita Kak Nora. Dia orang yang paling dekat dengan Dato’ Z di syarikat ini. Menjaga keperluan dan kepentingannya.
“Dia tu memang baran ke kak Nora?”
“Hisyy.. Awak dapat cerita tak betul dari mana ni?”
“Saya baca dalam facebook, orang dok viralkan.”
“Jangan percaya cerita tak betul tu. Ada sebab dia terlepas baran tu. Lelaki ni sebaik mana pun dia jangan selalu dicabar, sebab sekali dia tak mampu nak sabar, meletuplah jawabnya.”
Aku angguk. Setuju dengan separuh apa yang Kak Nora cakap. Selebihnya bagi aku dasar lelaki nak tunjuk kuasa, isteri ni tak boleh nak tegur, kena ikut apa yang suami cakap.
Aku malas nak panjangkan cakap. Cuma harapnya dia sama seperti Kak Nora cakap.
Sebaik sahaja dengar suara dari dalam suruh masuk, Kak Nora tolah pintu dan melangkah masuk dahulu kemudian aku ikut dari belakang.
“Dato’ saya nak kekalkan pembantu baru saya, hari ni mula kerja.”
“Assalamualaikum Dato’ nama saya Amani Sufi. Terima kasih terima saya bekerja di sini,” umatku sambil angkat muka pandang wajah bos aku.
Mulut aku terlopong. Ni lelaki yang aku terjumpa dekat surau tadi. Dia hulur senyum sambil angguk.
Ini Dato’ Z?
Biar betul?
Segala tanggapan buruk aku dah berhampiran lari. Takkanlah seorang lelaki wajah berseri dengan air wuduk seorang lelaki baran? Senyuman pula ikhlas. Aku pandang dia tak berkelip.
Ehemmm...
Kak Nora cubit aku. Dia jeling geram dengan sikap tak malu aku ni.
Aku tersedar. YA ALLAH malunya.. boleh pulak aku terlepas laku depan bos sendiri. Muka aku tika ini mesti dah merah padam. Itulah siapa suruh renung bos sendiri. Walaupun dia duda terhangat sekalipun, patutnya aku ni pandai kawal diri. Jangan jadi kmaca gadis diluar sana.
“Ma... maafkan saya. Saya tak kenal Dato’ kat surau tadi.”
Dato’ Z sengih.
“Saya lagi suka orang tak kenal saya. Lagipun saya bukannya artis terkenal.”
Aku terdiam. Tak lama selepas itu Kak Nora tarik tangan aku keluar.
“Kau ni memalukan Kak Nora lah. Terlopong macam tak pernah tengok lelaki tu kenapa? Buang tebiat?”
“Bukanlah kak. Saya pun tak sedar pun dok renung dia. Tadi masa dekat surau saya terjumpa dia. Dia tegur saya tanya staff baru ke sebab tak pernah nampak saya. Saya pulak tak cam pun dia padahal dah pernah tengok gambar dia dalam facebook.”
“Kak Nora terima alasan kau. Tapi selepas ni bersikap memalukan diri sendiri lagi. Kena kawal diri tu. Lagipun kau kena sedar diri jangan berangan nak jadi girlfriend atau bini dia.”
Aku sengih sambil garu kepala. Tak terlintas langsung dalam kotak minda aku ni. Tadi tu aku kagum dengan keindahan ciptaan tuhan. Tak lebih dari itu. Titik.
Part 3
Telah sebulan aku jadi pembantu Kak Nora. Sebulan juga setiap hari aku akan dengar suara Dato’ Z mengaji ketika sedang tunggu waktu zuhur. Aku sejak dengar suara Dato’ Z mengaji telah jatuh rindu dengan suara itu. Setiap hari aku tak lepaskan peluang untuk mendengarnya. Walaupun ada ketikanya juga Dato’ Z ada temujanji dekat luar. Ini rahsia aku dan tidak ada sesiapa pun yang tahu. Aku juga pastikan Dato’ Z tidak tahu aku selalu tunggu dia mengaji.Aku duduk diam-diam dalam surau. Sandal aku pun letak dalam sebab tak nak tertangkap basah. Lepas aku pastikan dia dah pergi baru aku keluar.
Hari ini entah apa yang malangnya, aku dah pastikan dia telah pergi sebelum aku keluar. Tapi sebaik sahaja aku sauk sandal aku, dia santai bersandar di dinding sebelah bahu sambil pandang aku. Tangannya di masukkan ke dalam poket seluar. Tak berkelip aku lihat wajah bersihnya. Masih ada bekas wuduk di situ.
Sedar aku tenung duda hot a.k.a bos aku sendiri, aku cepat tunduk. Malu makin bertepek tebal. Sebulan ni aku kerja dengannya, memang aku elak masuk bilik dia semasa dia ada. Air kopinya aku siap-siap sediakan sebaik sahaja Adila, penyambut tetamu di bawah intercom bagitahu.
Kak Nora pelik juga mula-mula tu. Kenapa takut dengan bos sendiri. Aku cakap, aku malu dengan lepas laku aku semasa pertemuan pertama dulu. Jadinya segala keperluan bos aku tu, aku siapkan awal-awal. Segala laporan yang dia nak, aku siapkan awal-awal dan Kak Nora semak. Jadi Kak Nora juga yang akan bawa jumpa dia. Aku berjaya jadi orang belakang tabir selama ini. Yeah.. kejayaan yang agak membanggakan kerana aku berjaya mengelak dari berjumpanya.
Tapi hari ini, ibaratnya sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Dia betulkan kedudukan. Tegak berdiri dan tangan tetap seluk poket seluar.
“Jadi awaklah orangnya?”
Aku kerut dahi tak faham. Adakah dia tahu aku ni pencuri dengar dia mengaji?
“Tunggu dan dengar saya mengaji sejak sebulan lepas.”
Macam buah kelapa jatuh dalam laut pulak aku rasa tika ni. Hampir tenggalam tapi masih mampu timbul untuk bernafas. Itulah ibaratnya hati aku ni sekarang.
“Maafkan saya Dato’ lainkali saya tak buat lagi.”
“Saya tak marah. Saya hanya nak tahu siapa dia sebab saya tahu ada orang di sebalik tirai tu. Lainkali kita boleh mengaji sama-sama.”
Apa? Cari nahas. Baik tak payah.
Aku cepat-cepat geleng kepala.
“Terima kasih atas tawaran Dato’ tu, saya hargai tapi rasanya tak manislah berdua dalam surau walaupun dengan niat nak mengaji. Dapatkan pahala.”
“Saya minta maaf. Saya memang tak patut curi dengar Dato’ mengaji.” setelah berkata, aku melangkah cepat-cepat meninggalkannya sebelum dia cakap apa-apa lagi.
Seram dan malu. Uwaaa... padam muka aku ni.
Part 4
Aku pelik. Dengar ceritanya Dato’ Z ni baran orangnya. Sampaikan pukul isteri sampai lebam-lebam hingga mereka bercerai berai. Tapi realiti di depan aku, dia seorang yang tenang walaupun wajahnya jarang sangat nak senyum kat orang.
“Sufi, hari ni awak ikut Dato’ pergi mahkamah,” arah Kak Nora.
“Buat apa kak?” tanya aku blur. Apa kes pulak aku kena ikut ke mahkamah ni. Tempat yang paling aku phobia dan hari ni sekali.
“Temankan dia. Hari ni rasanya dia dapat bawak balik anaknya untuk satu malam.”
Aku pandang kak Nora. Tak faham peranan aku di situ.
Kak Nora pandang aku. Kemudian dia mengeluh.
“Sepatutnya kak Nora yang kena ikut. Tapi hari ni Kak Nora rasa kena MC. period pain ni,” ujar kak Nora.
Aku memang perasan mukanya pucat. Sesekali dahinya berkerut tahan sakit.
“Kak Nora ada endrometriosis. Sakit melampau sebelum period.”
“Endromatriosis tu apa?” Soalku, tak faham. Pertama kaki dengar perkataan itu. Tergeliat lidah nak menyebutnya.
“Lebih kurang macam cyst jugak, ada dot dot atau darah beku dekat kilang telur menyebabkan ovari matang tak boleh nak keluar. Kalau ikut normal, lapisan darah tu akan gugur bila period, macam kes ni ada darah yang tak gugur dan melekat di situ. Jadi akan menyebabkan sakit.”
Okey. Aku angguk faham.
“Sufi, cepat turun. Dato’ dah tunggu dekat bawah,” arah Kak Nora.
Tanpa kata, aku ambil beg tangan yang baru aku letakkan di atas meja dan bergegas ke lif.
“Sufi bos tunggu dah ada dekat luar sana,” bagitahu Amira, penyambut tetamu Kenanga Automobile Sdn Bhd ini.
“Terima kasih Mira.”
Sebaik sahaja aku keluar, hon kereta kedengaran. Aku pandang depan, cermin kereta diturunkan, terjengul kepala Dato’Z.
“Cepat naik. Kalau tak lambat kita sampai.”
Aku dah tergamam. Naik kereta Ferrari Kuning ni? Berdiri bulu roma aku. Tak pernah sehayat aku bernafas di dunia ini bermimpi nak naik kereta mewah ni.
“Cepat!” Gesanya lagi.
Pantas aku tarik pintu yang telah dibuka dari dalam. Terus menyelinap duduk. Tak sempat nak pakai tali pinggang kereta dah mengaum keluar dari perkarangan Menara Kenanga. Aku pegang kuat-kuat tali pinggang. Kecut perut bila Dato’ Z pamerkan skill memandunya. Terpejam celik mataku bila dia mencelah di celah-celah kesesakan jalanraya.
“Boleh tak Dato’ perlahan sikit bawak kereta. Saya takutlah,” bagitahuku.
Dato’ Z pandang aku sekilas, jarum meter mula menurun sedikit tapi masih lagi dalam tahap laju.
“Saya cekap bawa kereta. Jangan risau. Awak selamat dengan saya,” ujar Dato’ Z.
“Malang tak berbau Dato’. Bila Allah Taala nak jadi sebab, walau cekap mana pun Dato’ tetap terjadi juga. Bila terjadi saya tak naklah tubuh saya ni berkecai.” Ahh.. bantailah cakap apa-apa pun. Biar Dato’ ni faham. Aku ni dah lah penakut. Sebab penakut punya pasallah ujian memandu aku dah masuk 4 kali, gagal.
Dato’ Z tersentap dengar kataku. Tapi dia cepat cover dengan ketawanya. Terpaku sekejap aku bila dengar dia ketawa. Macho habis. Hati aku ni pun gatal lak, tersyok bos sendiri.
Lama kelamaan aku dapat rasakan kelajuan kereta semakin perlahan. Aku mengeluh lega. Tangan yang genggam tali pinggang tadi aku lepas perlahan. Baru dapat pandang ke luar tingkap. Perhati keadaan jalan yang sesak ini. Biasalah masa kemuncak kenderaan di atas jalan raya. Masing-masing nak cepat sampai ke destinasi.
“Ada lesen?” tiba-tiba Dato’ Z bertanya.
“Hah.. Tak ada.”
“Aik.. umur awak dah 23 tahun, tak ambil lesen lagi?” soalnya dengan kening ternaik.
“Ambil tapi gagal. Dah 4 kali.”
Aku lihat Dato’ Z ketap bibir tahan sengih. Mesti kelakar dia dengar. Ambil ujian memandu sampai 4 kali tak pas-pas lagi.
“Dato’ nak gelak pun saya tak kisahlah. Memang saya ni penakut. Parking dan naik bukit saya lepas tapi bila bab jalan raya saya gagal sebab takut. Macam-macam dalam kepala saya bila bawak kereta atas jalan. Selisih dengan lori, saya pejam mata. Takut.”
“Oit.. Bahaya tu. Mana boleh pejam mata bila bawa kereta. Tu nak bunuh diri namanya,” cepat-cepat Dato’ Z balas,
“Terasa macam lori nak langgar saya,” luahku.
Dato’ Z geleng kepala.
“Lepas ni saya ajar awak bawa kereta, biar berani sikit.”
“Tak nak!” Cepat aku menjawab. Nak gila Dato’ Z nak ajar aku pandu kereta. Dia bawa kereta pun aku dah takut.
“Kenapa pulak?”
“Saya tak nak mati kemalangan dato’”
Kah.. kah... Terus Dato’ Z ketawakan aku.
Lantaklah. Janji aku cakap apa yang aku rasa.
*
*
*
*
*
*
Yang ni tak ada ending... korang boleh karang ending sendiri.. Mana tahu boleh bagi idea kepada saya nak tamatkan cerita ni








Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan