Jumaat, 16 Disember 2022

Random Story 3


Cerita ni saya tulis 2017. Ada kisah luahan di page KRT yang menarik minat saya. Jadi kononnya nak buat novel.. tapi entah siapalah yang salah.. Sampai sekarang tergantung...
Tak panjang sangat ni, dalam lebih 2 ribu patah kata je... Dan macam tak ada kaitan lak dengan kisah bawah tu... hehehe sebab baru bab awal tau...

Bab 1

Shawl merah jambu dililit kemas. Matanya mengerling jam di dinding. Masih lagi ada masa 15 minit sebelum Wazir datang. Hari ini hari ulang tahun percintaan mereka yang ke 5. Tak sangka cinta yang berputik sejak zaman belajar di Universiti masih kekal sehingga kini. Dia merasa bertuah dapat memiliki cinta Wazir. Dia tidak lupa, ketika di Universiti, Wazir diminati ramai. Wazir popular dikalangan mahasiswi. Pertemuan tidak sengaja mereka di Taman Tasik Titiwangsa mengubah cerita. Dua bulan selepas itu hati Wazir menjadi miliknya.
Cuma sejak kebelakangan ini, Afia merasakan ada sesuatu tak kena dengan Wazir. Dia macam tak semesra dulu. Whatapps sudah jarang digunakan. Walaupun sayang tetap sentiasa meniti dibibir seksinya.
Ponn
Ponn
Afia cepat-cepat capai beg tangannya.
“Umi, Afi pergi dulu. Nanti kalau ada apa-apa umi cepat-cepat telefon Afi ya,” pesan Afia kepada Uminya. Afia cium dahi umi dan segera berlalu ke pintu utama.
Adila angguk. Dihantar anak tunggalnya dengan mata sayu.
‘Maafkan umi sebab susahkan Afi. Afi patutnya hidup bahagia sekarang. Bukan bersusah payah jaga umi.’
Dia sedih tengok Afia bersusah payah kerananya. Sampaikan tiada masa untuk diri sendiri. Sejak dia jatuh sakit setahun lalu, masa Afia banyak dihabiskan untuk menjaganya. Sudah jarang Afia habiskan masa hujung minggu bersama Wazir. Wazir pula sejak dia jatuh sakit sudah jarang singgah berbual-bual dengannya. Dia mengerti perasaannya Wazir. Siapa mahu memikul beban jaga orang tua sakit ini.
****
“Sorry. Afi tengok umi dulu sebelum keluar,” beritahu Afia seraya menarik seatbelt.
Wazir senyum terpaksa.
“Umi sihat?” tanya Wazir berbasa basi. Dia jengkel dengan sikap Afia yang lebihkan uminya. Dia tidak suka diketepikan. Sejak umi Afia sakit, Afia sudah tiada masa untuknya.
“Alhamdulillah, sihat macam tu lah. Hari ini banyak umi makan,” cerita Afia tanpa menyedari perubahan mimik wajah kekasihnya.
“Kita nak makan kat mana ni?”
“Nanti Afi akan tahu juga.”
Afia cebik bibir. Sengaja mahu buat dia tertanya-tanya.
Wazir tersenyum bahagia. Gelagat spontan Afia selalu membuatkan hatinya bahagia. Cintanya pada Afia tidak pernah surut malah semakin mendalam. Afia tidak perlu berlebih-lebih untuk menarik perhatiannya, cukup dengan sikap naturalnya sudah membuatkan dia jatuh hati. Afia tidak pernah meminta, sebaliknya Afia menerima apa yang diberikannya. Sebab itulah dia sayang sangat Afia.
“Kita dah sampai.”
Afia mendongak ke atas, Menara Kuala Lumpur. Tak kan nak makan kat sini?
“Kita dinner kat sini ke?”
“Ya sayang. Abang dah tempah awal-awal lagi.”
Afia senyum tak kena. Dia tidak suka bila Wazir berbelanja lebih. Dia tahu malam ini special. Tapi takkanlah sampai dinner di atas menara? Dia berjalan seiringan dengan Wazir.
“Tak membazir ke?” bisik Afia di dalam lif.
Wazir geleng sambil senyum. Itu yang Afia risaukan? Jika gadis lain pasti melebar senyuman dapat dinner di restoran berputar Menara Kuala Lumpur.
“Untuk Afia sayang, sikit pun tak. Lagipun ini adalah dinner anniversary kita.”
Afia angguk dan senyum. Tak boleh nak kata apa dah. Wazir selalu sangat memanjakannya berlebihan. Dia takut terbiasa sehingga lupa diri.
Afia dilayan macam puteri. Dia Cuma duduk menikmati keindahan malam di Kuala Lumpur. Wazirlah yang mengambil makanan untuk mereka berdua. Lagipun dia tahu apa kesukaan Afia, jadi tidak ada masalah.
Afia senyum sambil ucapkan terima kasih. Mereka makan secara buffet. Malam ini terasa amat istimewa. Perhatian yang telah lama pudar menyeri kembali. Dia mahukan selamanya Wazir hari ini. Selesai makan, Wazir mengambil pula pencuci mulut, macaron dan buah-buahan.
Mereka tak banyak bercakap. Namun Afia tahu perhatian sepenuhnya Wazir adalah untuknya.
“Afi, will you marry me?” lamar Wazir sambil hulurkan sebuah kotak kecil berbaldu merah ke hadapan Afia. Serentak dengan itu lagu will you marry me, Jason Derulo kedengaran.
Afia tergamam. Dia tidak jangkakan lamaran ini. Memang mereka telah 5 tahun bercinta. Dan dia tidak sesekali memaksa Wazir mengambil langkah untuk memaknakan cinta mereka.
“Abang?”
Dia tidak tahu tentang hatinya. Keinginannya. Betul kah lamaran ini yang ditunggu selama ini dari Wazir?
“Abang mahu jaga Afi. Please marry me,” rayu Wazir. Suara kasarnya lunak mengharap.
Direnung ke dalam mata Wazir. Dipandang wajah penuh mengharap itu. Dia tidak mampu berkata tidak. Ini cinta hatinya. Sudah tentu dia mahu menghabiskan sepanjang hayatnya bersama dengan lelaki di hadapannya ini.
“Abang mahu jadikan Afi kekasih halal abang. Abang mahu Afi setiap saat berada bersama abang,” bisik Wazir lagi setelah melihat Afia masih lagi teragak-agak menerima lamarannya. Dia tetap mahukan Afia. Bukan sekejap masanya dihabiskan untuk gadis itu. Takkanlah Afia tidak cintakannya?
Dia sabar menunggu. Say yes Afi...
Afia angguk perlahan. Walaupun hatinya masih lagi ragu-ragu, dia tidak sanggup kecewakan kekasih hatinya.
“Yes..”
“Alhamdulillah sayang... Terima kasih sayang. Abang berjanji akan bahagiakan hidup Afi dunia dan akhirat.” Spontan Wazir tarik jemari Afia lantas mengucupnya.
Walaupun tidak selesa, Afia tidak sampai hati menarik tangannya. Alaa.. tangan je bukan luak pun, bisik hati kecilnya.
“Nanti abang bagitahu mama supaya uruskan pernikahan kita secepat mungkin. Abang tidak sabar nak jadikan Afi suri hidup abang. Akad nikah kita buat dekat masjid Wilayah. Majlis nanti di Dewan Siantan Putrajaya,” rangka Wazir. Dia tidak putus-putus tersenyum. Macam banyak perkara yang perlu diuruskan.
Afia diam. Hanya angguk dengan setiap perancangan Wazir.
“Afi tak perlu susah-susah, mama abang akan uruskan semuanya. Nanti abang bagitahu mama supaya telefon Afi, bincang apa yang patut ya.”
“Lagi satu, abang dah carikan pusat jagaan orang tua terbaik untuk umi. Nanti lepas kita kahwin kita hantar umi ke sana....
Pang
Pang
Berkali- kali Afia merasakan pipinya ditampar kuat. Dia genggam tangannya.
“Senang sikit ada orang uruskan umi. Afi pun tidak perlu bersusah payah lagi. Setiap minggu kita lawat umi..” Dan Wazir terus merancang dan merancang.
Pang
Dan lagi dia merasakan hatinya pula ditampar.
Cincin lamaran diputar-putar berulang kali. Sehingga melecet jari manisnya. Hatinya bengkak berdarah. Ini ke wajah sebenar cinta hatinya selama ini?
Honda Accord Wazir berhenti di hadapan rumah Afia. Afia tarik nafas. Air mata dijuring matanya dikuis dengan hujung jari. Dia pandang Wazir, jemari kanannya menarik cincin yang disarung tadi.
“Saya rasa setakat ini pertemuan kita. Saya tarik balik penerimaan lamaran tadi. Antara awak dengan umi, saya lebih rela kehilangan awak daripada umi. Saya lebih rela bersusah payah menjaga umi daripada bersenang lenang menjadi isteri awak,” senafas Afia tuturkan. Diletakkan cincin tersebut di atas dashboard kereta. Kemudian dia pantas keluar.
“Afi.. tunggu dulu afi,” panggil Wazir. Dia juga buru-buru keluar dari kereta. Namun Afia lebih pantas menutup pintu gate eloktronik rumahnya.
Cintanya mati. Sampai hati Wazir mahu membuang umi. Umi sikit pun tidak pernah menyusahkannya. Umi tidak pernah menjadi bebannya. Bahkan perngorbanannya hanya sehalus debu berbanding pengorbanan umi sebesar gunung.
“Afi...”
“Umi... umi...”
Afia berlari ke dalam pelukan Adila di atas kerusi roda.
“Kenapa ni?”
Afia geleng kepala.
“Wazir panggil tu. Kenapa tutup pintu.”
“Afi dah putus dengan dia. Afi tak nak tengok muka dia lagi.”
“Afi...”
“Maafkan Afi, umi.”
“Kenapa ni? Cuba terangkan kat umi apa dah jadi?” lembut Adila memujuk.
Tapi makin laju pula air mata menuruni pipi Afia.
“Abang Wazir lamar Afi.”
“Alhamdulillah..” ucap
“Tapi lepas kahwin, dia nak hantar umi ke rumah orang tua. Afi tak sangka dia tak ada perikemanusian. Umi, umi Afia. Afia rela pilih umi dari dia,” luah Afia.
Adila terdiam. Dia tergamam. Hatinya terguris.
“Afi akan jaga umi. Afi tidak akan sesekali tinggalkan umi. Afi boleh kehilangan dia tapi Afi tidak boleh kehilangan umi. Umi nyawa Afi.”
“Afi... suatu hari nanti umi akan kembali kepada Dia. Umi tak sanggup tinggalkan Afi keseorangan.”
Afia geleng kepala.
“Afi sentiasa doakan umi panjang umur. Menemani Afi sampai bila-bila..”
“Afi.. Kena fikirkan hidup Afi juga. Umi tak kisah jika umi dihantar ke rumah orang tua.”
“Tapi Afi kisah! Umi, adalah ibu Afi. Yang susah payah lahirkan Afi, didik dan besarkan Afi. Bagi peluang kepada Afi pula untuk berbakti kepada umi.
“Tapi Afi..”
“Wazir dah jadi sejarah umi. Afi tetap tidak akan terima dia sampai bila-bila. Penghinaan dia cukup buat hati Afi hancur.”
Bab 2
Kuala Lumpur International Airport sibuk seperti biasa. Pelbagai gelagat manusia dapat dilihat. Naashif tersenyum. 4 tahun telah berlalu, akhirnya dia menjejakkan kaki ke tanahair sendiri. Rindu hendak melepak di kedai mamak. Rindu hendak mengusik Nini yang manja.
“Abang....” jerit Nini apabila melihat Naashif keluar daripada balai ketibaan.
Dia melambai sambil berlari mendapatkan abangnya. Terus diterpa ke dalam pelukan tegap abangnya.
Naashif ketawa. Dia membalas pelukan Nini. Nini tak pernah berubah. Sentiasa ceria dan manja. Buah hati keluarganya.
“Jatuh saham abang, kalau adik selalu peluk begini,” usik Naashif
Pantas jari ketam mengetip lengannya.
Dahi Naashif berkerut, sakit. Dia geleng kepala.
Dia peluk bahu Nini dan mendorongnya ke arah ke dua orang tua mereka.
“Assalamualaikum mama, papa,”
“Waalaikumussalam. Walcome home abang..” ucap Dr Marina sambil mendepangkan tangannya.
Naashif menjatuhkan dirinya ke dalam pelukan ibunya. Dipeluk erat mamanya. Terasa kasih sayang mamanya meresap ke dalam jiwanya. Wanita inilah yang tidak putus asa, sentiasa memberikannya semangat. Sentiasa ada apabila dia memerlukannya seseorang.
Kemudian Dr Nadim pula memeluk anak sulungnya. Tepukan kasih diberikan di bahu Naashif.
"Welcome back my son."
Mereka beriringan keluar dari Klia.
"Nana mana?"
"Tunggu dalam kereta. Tadi susah nak dapat parking."
Naashif angguk. Dia menolak troli berisi bagasi nya. Tak banyak mana pun barangnya. Selebihnya barang pesanan mama, Nana dan Nini. Macamlah mereka tidak pernah sampai ke negara kanggaru itu.
Dia mahu mulakan hidup baru. 4 tahun lepas dia telah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Hampir seminggu tak sedarkan diri akibat pendarahan dalam kepala membuatkannya insaf. Hidup ini bukan berkali-kali. Tapi hanya sekali Allah taala berikan peluang untuk menikmati dan bersyukur melalui setiap saat udara dihidu. Dan dia telah sia-sia hidup 26 tahun lalu dengan mencabar diri melakukan perkara sia-sia. Menjadi playboy mempermainkan hati dan perasaan orang lain.
Namun allah masih sayang padanya. Diberikan petunjuk melalui kemalangan yang menimpanya. Sepanjang seminggu tidak sedarkan diri, rohnya dibawa melihat sendiri setiap perbuatan yang telah dilakukannya selama ini. Berapa banyak air mata yang tumpah akibat perbuatannya. Dia menyesal.
Jadi setelah sedarkan diri dia melakukan solat taubat nasuha. Memohon keampunan daripada Allah taala. Kemudian dia berjump pula dengan setiap bekas kekasihnya yang telah dihancurkan hatinya. Dia insaf dan tidak lagi melakukan perkara bodoh itu.
Jadi setelah dia betul-betul sihat, dia membuat keputusan untuk menyambung pelajaran. Dia juga mahu mencari harga diri yang hilang. 4 tahun merantau bukan sahaja harga diri, malah jati diri sendiri pun ditemui. Dia juga sudah tahu bagaimana mahu memaknakan hidup ini. Melakukan perkara yang benar-benar terisi dan mendekatkan diri kepada Allah taala.
“Kita singgah makan dululah. Abang nak makan apa?”
“Apa-apa pun boleh mama. Tapi rindu nak makan nasi lemak Kampung barulah.”
“Okey. Kita makan nasi lemak.”
“NO.. Habislah diet Nini,” protes Nini. Masam wajahnya.
“Badan dah sekeping nak diet-diet lagi? Tak payahlah Nini. Nanti sekali angin bertiup terus tumbang,” sindir Nana.
Mereka kembar tetapi mempunyai personaliti yang berbeza. Nini yang amat menitik beratkan kecantikan dan gaya hidup sihat. Nana pula seorang yang ringkas dan fokus kepada pelajarannya.
“Abang sokong.”
Nini mencebik. Nana dan abang memang selalu sekepala. Dia selalu menjadi mangsa buli. Dia diam. Nampak gayanya kena lupakan dietnya malam ini. Mana boleh telan air liur je tengok mereka makan nanti.
Warung Nasi Lemak Antarabangsa Kampung baru penuh. Mereka terpaksa menunggu 10 minit sebelum ada meja kosong.
“Nak lauk apa?” Soal Dr Nadim.
“Abang nak sotong dengan kerang. Nasi lebih papa.”
“Nini nak pilih sendiri.”
“Nana pun.”
“Mama?”
“Ikut papa pilih lauk apa,” jawab Dr Marina.
Mereka ditinggalkan berdua.
“Apa perancangan abang lepas ni. Rehat dulu ke terus cari kerja?”
“Office lama abang offer abang kerja semula. Minggu depan baru mula kerja.”
Dr Marina angguk.
“Kahwin?”
Naashif sengih dan garu kepala.
“Mama, abang baru je pulang. Mama dah tanya pasal kahwin.”
“Mana tahu abang dah ada calon masa belajar.”
“Tak sempat nak cari pun mama. Better mama carikan je.”
“Betul ni? Mama dah ada calon.”
Naashif geleng kepala. Terkejut. Mulut pun dah terlepas cakap.
“Panjang pun umur. Baru sebut dah muncul.”
“Afi kan?” Tegur Dr Marina.
Langkah Afia terhenti. Dia berpaling ke sebelah kiri mengikut suara yang menegurnya.
“Dr Marina. Buat apa kat sini? Makan ke bungkus?"
"Makan. Anak bujang saya baru balik merantau, mengidam makan nasi lemak kat sini," terang Dr Marina.
Afia pandang sekilas kepada pemuda di hadapan Dr Marina sebelum beralih memandang Dr Marina kembali.
"Afi nak makan ke? Boleh join sama," ajak Dr Marina.
"Tak. Saya bungkus je. Belikan untuk umi. Semalam dia cakap nak makan nasi lemak ni."
Dr Marina angguk.
"Tapi jangan bagi makan banyak sangat. Sakit pulak dia nanti."
Afia sengih dan angguk.
"Saya pergi dulu doktor. Nanti makin lama pulak umi tunggu."
"Kirim salam dekat umi."
"In shaa allah."
Afia menghulurkan tangan bersalaman. Dicium tangan dr Marina seperti selalu.
"Macam mana calon pilihan umi, okey tak?"
"Hmmm..." Naashif angkat bahu. No komen.
Cantik tapi sombong. Sedikit pun tak senyum.
Naashif sengih.
Tapi dia percaya pilihan mama adalah yang terbaik.
Bab 3
Tangannya meramas kasar rambutnya berkali-kali. Sudah berpuluh kali dia cuba menghubungi Afia, namun tidak terangkat. Menyesal dengan setiap kata yang terlepas selepas lamaran itu. Menyesal kerana dia bersikap kurang sabar. Afia hampir menjadi isterinya. Kini peluang menjadikan Afia miliknya telah hampir tertutup.
TIDAK!
‘Aku tidak akan biarkan ia berlaku. Afia milik aku. Hanya milik aku!’
Afia nyawanya. Afia cinta matinya. Tapi dia telah mengecewakan Afia. Wazir mengeluh lagi.
WhatApps yang dihantar tidak dibuka sejak malam itu.
“Kau ni kenapa? Serabai dan serabut mama tengok.”
“Afia?”
Wazir angguk.
“Kenapa dengan Afia. Dia tolak lamaran Wazir?”
Wazir geleng kemudian angguk. Dia mengeluh lagi.
“Mama tak dapat baca bahasa badan Wazir. Of course mama juga tidak boleh tahu apa yang ada dalam fikiran Wazir. Jadi cerita kat mama supaya mama boleh tahu apa yang terjadi.”
Buat sekian kali Wazir mengeluh lagi.
“Wazir telah lamar Afi dan dia terima lamaran Wazir ta...”
“Alhamdulillah akhirnya Afi akan jadi menantu mama. Dah lama mama suruh lamar Afi tapi Wazir asyik tangguh-tangguh. Kalau tidak sekarang mama dah dapat main dengan cucu mama.”
“Mama.. Afi minta putuskan hubungan kami.”
“What? Mama tak faham.”
*
*
*
*
Tak ada ending tapi...
*
*
Saya bagi kisah KRT tu untuk korang baca jugak....
Assalam. Aku tak pandai nak confess. Apa2 pun, terima kasih utk admin kalau korang sudi utk sharekan confession aku ni kat orang luar sana. Semoga ada pengajaran. Maklumlah, aku ni pemalu sikit nak reveal nama sendiri. Eh?
Ok. Cerita dia macam ni. Aku dah 3 tahun berkahwin. Dan isteri aku ni ialah pilihan Mama aku. Tapi aku sayanglah kat dia sekarang, walaupun aku cuma kenal dia cuma beberapa bulan. Percayalah yg jodoh Mama dan Papa pilih. Naa. Jodoh yang Allah dah tetapkan utk aku act.
Aku ni sebelum kahwin, aduhaii. Banyak gila cawangan aku pasang. Or should I say ‘playboy’ ? Enjoy sana. Enjoy sini. Ye lah. Time tu tak fikir mati. Duk lah mainkan perasaan anak orang. Tapi aku ni bukanlah yang jenis lepak gi clubbing ke apa, cuma lepak kedai2 mamak cam biasa. Bukan xde duit. Tapi x worth kau laburkan duit kat pempuan2 yg cuma pakai ganti je time tu. Serik dah sekarang. Pernahlah ada sejarah kena tampar dgn pempuan sbb dia tahu yg aku gamed dia. Hmmm. Jahatkan?
Tapi, percayalah tu dolu2 punya cerita.
Antara banyak2 cawangan yg aku pasang ni, adalah sorang yang aku anggap serious nak dibuat isteri. Waktu aku ajak dia jumpa parents aku, amboii. Kemain susah lagi. Banyak giloss alasan dia bagi. Karma jugaklah aku rasa. Sbb asyik game anak org je. Padan muka kena game balik. Hahaha. Tapi aku anggap je, dia bukan jodoh aku. Dan waktu tu, ekonomi n kewangan aku pun x stabil lagi.
Usaha aku meluaskan cawangan2 aku tak terhenti sampai situ je. Setelah dikecewakan, sakit pulak ni haa hati. Sampailah satu hari ni, aku accident. Masa tu, aku fikir mati je. Teruk jugak lah aku accident. Kereta myvi aku dah xde rupa dah. Aku tak sedarkan diri 2 hari disebabkan kemalangan tu. Terasa macam dihidupkan semula lepas kau xsedarkan diri tu. Bangkit dpd tidur yang lena. Aku macam berperang dgn diri aku sendiri utk bangun.
Seriously. Aku buat reflection kat diri aku. Masa tu terasa macam satu2 kesalahan aku dilayarkan kat screen. Allah bg peluang kedua utk aku hidup. Takkan aku nak sia2 kan?
Tu lah turning point aku. Allah bagi aku pengajaran dpd peristiwa tu. Mungkin simple utk org macam korang, tapi bukan aku.
Lepas dpd peristiwa tu, aku minx maaf kat awek2 yg aku pernah gamed. Walaupun korang rasa lawak kan, tapi aku rasa puas lepas minx maaf. Suka hati korang lah nak gelak ke hapa. Aku minx maaf je lah yg mampu. Nak jadikan diorang semua isteri, mustahil.
Aku tinggalkan kerjaya jadi playboy tu officially. Aku ambil keputusan utk sambung belajar. 3 tahun. (Aku malas nak state uni mana, sbb student master kat negara tu sikit je. aku kompem kawan2 aku bantai gelakkan aku tulis confession kat sini) Mama dgn Papa pun terkejut. Tapi diorang support jelah keputusan aku. Memandangkan aku muda lagi waktu tu. Umur baru 27 tahun.
Ada je yang datang mendekat, cuba tarik perhatian aku. Tapi aku macam serik dah. Aku malas nak bagi komitmen kat benda macam ni, memandangkan aku pun bnyak assignment kena siapkan. Thesis n presentation. Seriously, xsempat nak fikir pasal perasaan orang lain. Apatah lagi, nak melaburkan duit kat anak orang. Ikat perut woo. Dpt je biasiswa, tp sbb aku ni kaki travel. Asal cuti sem je, hilanglah aku. Plus, aku punya course nih mmg bnyak guna duit. Nak beli tools lah and so on. Penat lelah n tangisan air mata darah time ambik master ni kalau aku cerita kat sini, aduhh. Xhabis.
So, habis belajar. Sekejap kan? Hahaha. Aku balik2 terus dpt kerja. Alhamdulillah. Aku kerja kat tempat yg sama macam dulu. Cuma dpt workstation sendiri. Dan yaa. Gaji pun sedaplah juga utk hidup.
Adatlah kan mulut2 org ni. Nampak anak teruna orang single je, terus tnya bila nak kahwin. Dess.
Aku memang tak de kawan n calon pada waktu tu. Jadinya aku minta jelah Mama n Papa carikan. Tu pun kalau ada . plus, umur dah lanjut~
Eh. Tapi adalah yang nak! Ni haa. Orang yang tengah melepak depan tv sambil makan aiskrim sebelah aku ni.
Before kahwin, aku pernah jumpa dia bape kali je. First time jumpa pun kat klinik. Aku mesej2 dia pun, nak tak nak je dia balas. Aku bukan apa. Aku mesej dia pun, sbb nk kenal. Aku ajak dia keluar, haramnye dia nak. Yaa. Dia ni mcm old-fashioned. Facebook pun dia baru buat 5 bulan lepas.
Logiklah weh. Xkan aku nak terima stranger dlm hidup aku utk jadi wife aku tnpa aku kenal kan? Aku nak stalk fb, dia xde fb. Nak ajak keluar, dia tak nak. Nak mesej, balas satu pkataan je. “K”. “Dah”. “Belum”. Wehhh. Dalam hati tu puas ngutuk perempuan ni. Rasa mcm kena reject secara perlahan-lahan. Kerekk.
Sbg alternatif lain, aku follow dia time dia habis ngajar. Dia nih ngajar sk menengah sesi petang. Tu yg boleh jadi stalker. Aku habis kerja kt office, aku buat kerja lain pulak. Dia kluar sk je aku follow. Tp aku pelik. Hampir setiap hari dia asyik pegi hospital. Curious gila. Sampailah satu hari ni, aku nampak dia tolak ibu dia atas kerusi roda. Sedih weh nak cerita. Kudrat orang perempuan, papah ibu dia naik turun kereta. Susah nak describe apa yg aku rasa.
Jadi, sejak dpd hari tu, aku selalu tnya pasal dia kt Mama. Baru aku tahu yg ibu dia sakit buah pinggang. Sbb tu selalu ulang alik hospital. Adik beradik dia yang lain semua dah kahwin, so dia yg solo , volunteer jaga ibu dia yg sakit.
Sebulan before nikah, dia request kat aku. Dia kata dia nak jaga ibu dia lepas kahwin. Aku pun faham je lah dgn pmintaan dia. Tu pun dia mesej aku guna bahasa baku ala skema jawapan bahasa melayu spm.
Hmmm. So, kitorang pun bernikah. Kalau kau faham makna sbnar ‘A Marriage’, perkahwinan ni bukan main pondok2 weh. Kahwin ni bukan ‘saya suka awak, awak kena suka saya’. Bukannnn. Bila kau dah bsetuju untuk kahwin dgn dia, automatic law ni digunapakai : “you didn’t just marry her, but you also married her family”.
So, dia kata bg dia peluang nak berbakti kat ibu. Aku cuba faham. Korang pun kena faham, jaga orang tua, lain. Kerenah diorang. Aku nampak isteri aku penat. Aku nampak pengorbanan isteri aku jaga ibu. Dah masakkan nasi, nak bubur. Suruh makan ubat, banyak sangat alasan. Belum lagi kena layan mogok lapar.
Aku volunteer diri aku hantar ibu pegi hospital. Penat weh. Aku yg lelaki ni pun, mcm nak patah bahu papah ibu. Tapi bila aku fikir isteri aku, badan ni lagi prefer lenguh dpd tengok isteri sendiri buat. Tu pun lepas puas aku pujuk dia utk bg aku yg hantar ibu pegi hosp. Aku doakan syurga utk isteri aku. Dia ank yg baik.
Tp dia jarang share masalah dia dgn aku. Kdg2 aku rasa useless jdi suami dia. Mana tak nye, dia dah biasa buat semua benda sendiri. Aku balik kerja, nampak dia turun kereta angkat beras n barang dapur. Aku masuk bilik, nampak dia pasang kain langsir. Esok nampak dia betulkan sinki. Dia demam, drive sendiri pegi klinik. Kereta rosak, xde maknanyaa dia call aku. Dia boleh cakap, dia xnak susahkan aku. Dia xnak aku risau. Dia dah biasa buat sendiri. Fyi, dia pernah ganti tayar dia sendiri tepi jalan.
Dah puas marah, tapi dia buat jugak. Aku terkilan sbnarnya. Akulah yg patut hantar dia pegi klinik. Akulah yg patut angkut beras, brg dpur. Aku lah yg kena buat benda tu semua.
Last2, before dia buat semua tu sendiri, aku buat dulu. Ada yg kena baling kapak dgn Mama kalau tahu isteri aku buat semua.
Dia x boleh mcm ni. Aku tak tahu lah apa masalah dia. Satu hari ni, aku nmpak dia nangis sensorg kt dpur. Nk tercabut jantung aku, nmpak dia duduk ats kabinet dapur dgn rambut mngurai tgah nangis, tunduk2 pgg perut dia, dahlah duduk dlm gelap. Bila aku tnya, dia cakap dia ‘OK’. Heyyy. Please lah. Nak menipu pun bukan dgn aku k.
Aku xcakap dgn dia seminggu. Saja tunjuk protes. Dia ada jugak nak pujuk aku, tapi aku buat dingin je. Bila dia nak explain, aku saja buat tak endah. Hmm. Puas merajuk, dia barulah nak cakap. Rupanya dia period pain. Dia punya susah nk bgtahu aku tu, mcm tgah simpan rahsia negara. Last2, aku pun berjangkit skli dgn period pain dia. Merajuk mcm ntahapa2.
Lagi satu, dia ni xpandai nak express perasaan dia. Pernah sekali tu, aku ambik dia kt sk pkul 7 mlm, lmbat sbb terlupa, plus kereta dia rosak. Bila aku minta maaf, dia senyum je. Aku nak juga tgok dia marah acane, tp dia cool je. Kalau nak tengok dia marah, tengok time dia tanda paper student dia. Tu pun, gigit kertas student dia je lah. Tak tahu lah kalau kt sk dia gigit tgn student dia kan? Hahaha.
Yg paling lawak, time anniversary kitorg kahwin. Aku request suruh dia cakap “I love you” kat aku, bukan main merah muka tu. Ntah lah. Dulu time bekerjaya sbg kasanova, aku tak payah minx org cakap “I love you”, diorang terus cakap.
Balasan lah untuk aku. Terasa sangat mcm balasan untuk dosa2 lama. Mahal gila nak tunggu isteri aku sendiri confess.
So, korng ada solution utk aku? Aku dah buat research nak buat isteri aku jatuh cinta, tapi x jalanlah. Aku tak tahulah, insulator apa dia guna.
Bg coklat, dia xmkn. Bg bunga, dia alergik. Bg gelang, dia x pakai. Bg handbag, dia sayang nk guna. Dia bukan materialistik. Aku dah guna semua ayat manis aku, still x jalan. Bila aku sogok dia dgn ayat manis, dia boleh cakap, “Hebatlah ayat awak. Tp saya xmakan semua tu. Saya mkn nasi je”.
Pheww, tp aku tahu dia sayang kt aku ( baca dengan nada riak ), cuma dia malu.
Sampai sekarang, dia malu gila nk cakap. Agak2 confession aku kt sini boleh jadi melting factor x untuk dia? Tu pun kalau dia baca. Aihh.
Korang semua doakan eh dia lembut hati.
K. Bye. Nak main basketball.
– Playboy Insaf
*
*
Versi saya kena tunggu ya...



Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan